Perkongsian pengalaman bersama pemilik The Wedding Heritage, Idayu Ideris mencetuskan inspirasi khususnya buat para usahawan muda. Berusia 27 tahun namun Idayu sudah pun memiliki empayar perniagaan dalam bidang pengurusan perkahwinan berkonsepkan banglo mewah.
The Wedding Heritage dimiliki dan diusahakan bersama suaminya, Muhammad Azim Ishuddin yang menjadi tulang belakang buat Idayu. Menjadikan kesilapan lalu sebagai pencetus semangat untuk menjadi yang terbaik, Idayu terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi.
PERMULAAN
“Saya memiliki kelulusan peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Biokimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Semasa dalam pengajian lagi saya sudah belajar tentang solekan dan buat secara suka-suka sejak lapan tahun lalu. Ketika itu masih belum tercetus lagi idea untuk saya buat konsep bungalow wedding. Saya cuma buat makeup sahaja.
Ads
Itulah juga kerjaya pertama saya sambil fokus kepada pengajian. Ia sangat mencabar, komitmen pula semakin besar. Waktu itu saya dalam dilema sama ada mahu meneruskan pengajian atau tidak walaupun pendapatan sebagai jurusolek sambilan mampu untuk menampung kos pengajian.
Ads
Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk meneruskan juga pengajian kerana telah membawa impian ibu dan ayah untuk melihat saya memperoleh Master. Saya mengenali suami pun semasa di universiti tetapi tidaklah bercinta.
Kami bermula sebagai kawan dan berniaga sama-sama. Lima tahun berkawan rapat akhirnya kami membuat keputusan untuk berkahwin pada usia 24 tahun. Setakat ini kami memiliki tiga cawangan iaitu di Jalan Semarak, Putrajaya dan Kota Damansara. Ketiga-tiganya berkonsepkan banglo tetapi berlainan tema,” kongsi Idayu.
“Kini dengan adanya sosial media, sedikit sebanyak dapat menyebarkan kisah-kisah kebangkitan wanita pada masa ini yang boleh dijadikan inspirasi. Dahulu pun memang sudah ramai wanita yang sukses tetapi kurang mendapat hebahan. Lagi pula, wanita dahulu kurang tertekan seperti wanita zaman sekarang yang terpaksa menjaga anak, keluar mencari rezeki dan sebagainya.
Bagi saya wanita zaman sekarang sangat berdikari. Seorang superwoman ialah wanita yang cintakan dirinya sendiri. Seorang superwoman juga mahukan sesuatu untuk dirinya, dia sayang dirinya lebih daripada apa yang dia ada,”ungkap Idayu yang berhasrat untuk menjadi pelopor dalam industri perkahwinan berkonsepkan banglo mewah namun pada harga mampu milik.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keprihatinan dan jiwa murni yang menebal dalam diri Dato’ Dr Hartini Zainudin mendorongnya bergiat aktif dalam dunia kebajikan sejak lebih 30 tahun lalu. Tidak mengharapkan sebarang liputan dan perhatian, jauh sekali pengiktirafan terhadap kerja-kerja kemanusiaan yang dilakukan berdekad lamanya, Dato’ Dr Hartini bagaimana pun bersyukur Yayasan Chow Kit berjaya membantu dan memberi perlindungan kepada 10,000 kanak-kanak sejak ia ditubuhkan.
Selaku Pengasas Yayasan Chow Kit, Dato’ Dr Hartini menjalin kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), agensi kerajaan dan korporat serta beberapa NGO lain demi memastikan misi penubuhannya tercapai.
Berkongsi suka duka menguruskan badan amal itu selama 17 tahun, pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Monitoring and Assessment (Education) dari Columbia University, New York ini membuka bicara.
“Yayasan Chow Kit adalah sebuah komuniti yang saling menjaga di antara satu sama lain dan mementingkan hubungan kekeluargaan. Saya sangat sayangkan kanak-kanak. Tak kisah walau apa pun terjadi, saya tetap sayangkan mereka.
Saya beri jaminan yang kanak-kanak di bawah jagaan kami berada dalam keadaan selamat, dijaga dengan baik dan penuh kasih sayang. Ada yang tanya, kenapa kanak-kanak di sini tak nampak kotor dan selalu gembira. Itu bermakna kami buat kerja,” ulas Dato’ Dr Hartini sambil tertawa.
Ditanya mengapa bidang kebajikan kanak-kanak menjadi pilihan sedangkan mempunyai kelulusan tinggi dari luar negara, ini jawapan jujur Dato’ Dr Hartini. “Arwah ayah pernah tanyakan perkara sama kepada saya dulu. Jawapannya mudah, sebab saya ada peluang dan tidak pernah menyangka ada kanak-kanak terpinggir, tak bersekolah dan tak makan di Malaysia.
Saya pernah bekerja dengan United Nations (UN) yang membantu golongan kanak-kanak pelarian tapi saya balik ke Malaysia semula sebab ini cara saya untuk menyumbang kepada masyarakat. Ini juga adalah minat saya dan saya tak boleh masuk ke bidang lain walau dah cuba. Jadi, bidang ini saja yang saya mahu buat.”
Yayasan Chow Kit kini beroperasi di dua buah tempat iaitu Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) dan Kuala Lumpur Krash Pad (KLKP) serta sebuah rumah perlindungan. PAKK menempatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dengan memberikan mereka persekitaran sihat untuk pembelajaran dan bermain. Sementara KLKP pula dikhaskan untuk golongan remaja berusia 13 hingga 18 tahun.
Lebih tiga dekad bergelumang dalam kerja-kerja kebajikan, pelbagai kisah menyayat hati yang disimpan kemas Dato’ Dr Hartini. Ugutan dan berselisih pendapat dengan pihak berkuasa bagaikan sudah sebati dengan dirinya sepanjang perjuangan murni ini.
“Ada seorang ayah ini cuba jual anak dan dia masuk penjara selama dua bulan. Masa dia keluar 100 kali dalam sehari dia mesej ugut dan ikut saya. Saya terpaksa dapatkan perlindungan daripada polis selama dua minggu. Sudahnya saya terpaksa sembunyikan anak-anak daripada ayah mereka dan saya tak datang kerja selama beberapa bulan.
Mengulas harapan terhadap kanak-kanak di bawah jagaannya andai suatu hari nanti dia tiada lagi di sisi, Dato’ Dr Hartini dalam nada sebak meluah isi hati.
“Saya suka buat kebajikan. Saya mahu kanak-kanak ini buat yang terbaik bukan saja untuk keluarga tetapi juga kepada masyarakat. Saya tak pernah paksa mereka tapi harap-harap ada di antara kanak-kanak yang saya ajar dan jaga ini meneruskan perjuangan saya supaya tiada lagi kanak-kanak yang terpinggir, terbiar dan menderita di negara kita.”
Sepanjang pembabitan dalam bidang ini, Dato’ Dr Hartini terbuka hati mengambil enam orang kanak-kanak sebagai anak angkat. Kini mereka hidup selesa dan menginjak usia remaja selain amat menyayangi insan berjiwa murni ini yang sudah pun dianggap seperti ibu mereka.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam mengejar kesenangan hidup, adakalanya wanita leka dengan 3 perkara ini. Tambahan pula bila sudah mendapat gelaran dan berada di puncak kerjaya.. ada di antara kaum wanita yang mula merasa bongkak hingga timbul perasaan riak. Reaksi tersebut nyata mengundang rasa kurang senang bagi penceramah motivasi terkenal, Datuk Prof Dr Che Muhaya yang dianugerahkan Nona Motivator Award sempena Nona Superwoman Award, semalam.
Sambil menggalakkan lebih ramai wanita mencipta pelbagai kejayaan dalam apa jua bidang kelak, Datuk Prof Dr Muhaya turut berkesempatan menzahirkan maksud tersurat di sebalik istilah inspirasi. Jelasnya, “Bila kita sebut inspirasi.. in spirit – dalam roh. Bila inspirasi, kita buat sesuatu daripada jiwa kita dan menyentuh jiwa lain. Siapa yang bekerja dengan inspirasi atau menjadi sumber inspirasi akan memberi kesan yang lebih besar daripada hanya fizikal saja.”
Ditanya bagaimana untuk menghindarkan diri daripada perkara yang mendorong kepada kemurkaan Allah SWT, dalam nada tenang dan bersahaja beliau melontar bicara.
“Kita nak wanita di luar sana kejar 3 perkara. Kebanyakan wanita yg silap dia kejar 3 perkara yang luaran. Contohnya nak cantik, nak lawa, nak famous, nk kaya. Ini semua boleh menyebabkan penyakit hati sebab nak lawa ada orang lawa lagi, nak kaya ada orang kaya lagi.. jadi takkan habis.Itu dunia.. itu topeng saja.
Sebaik-baiknya, kita nak orang kejar 3 perkara ini. Apa dia? Pertama, akhlak yang baik. Kedua, silaturrahim yang baik iaitu hubungan dengan semua orang pun baik dan ketiga beri manfaat sebanyak mungkin. Itu yg hebat!”
Pastinya, setiap bait kata yang dituturkan Datuk Prof Dr Muhaya mampu menyuntik semangat, inspirasi dan aura luar biasa kepada sesiapa pun yang mendengarnya. Bagi Nona, Datuk Prof Dr Muhaya dikurniakan kelebihan dari Allah SWT yang mampu meneutralkan emosi serta semangat seseorang hanya dengan melalui kata-kata. Sesungguhnya Nona Motivator Award memang selayaknya diberikan kepada wanita hebat ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sedekah menjadi antara amalan yang paling berat dilakukan, khususnya manusia yang tidak suka berkongsi harta dengan orang lain. Namun, bagi orang beriman yang memahami konsep sedekah, ia merupakan amalan yang terpuji sebagai bekalan pahala dan sebahagian proses menyucikan diri dan harta, pasti tidak pernah gusar untuk mengeluarkan sebahagian pendapatan untuk insan lain.
Tahukah anda, amalan bersedekah merupakan amalan sunat yang banyak disebut dalam Islam.(AlQuran). Ia merupakan pemberian ikhlas yang sebenarnya menandakan tahap keimanan seseorang, selain bukti ketaatan kepada Allah SWT. Sepertimana yang diperintahkan di dalam surah Al-Baqarah ayat 254: Wahai orang-orang yang beriman! Sedekahkanlah sebahagian daripada rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datangnya hari ketika tiada lagi jual beli, tiada lagi persahabatan dan tiada lagi syafaat (iaitu datangnya hari kiamat).
Tidak hairanlah mengapa potongan ayat Al Quran itu menjadi azimat buat Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana Dato Hj Rahmat JP. yang tidak pernah jemu menaburkan bakti dalam melakukan kerja-kerja amal sejak beberapa tahun yang lalu. Pengarah Urusan SRT Travel & Tours ini pernah dianugerahkan gelaran Mrs Malaysia Universe 2019 Charity Ambassador di atas kerja-kerja kebajikan yang dilakukan olehnya. Beliau juga dianugerahkan “First Lady Mrs International Global 2020 di atas kerja-kerja kebajikan dan infaq yang beliau lakukan di dalam mendidik dan memberikan pendedahan terhadap kerja-kerja amal dan kebajikan.
Keprihatinan Datuk Hajah Rozzana terhadap kebajikan golongan yang kurang bernasib baik samada di kalangan ibu tunggal, golongan asnaf, anak-anak yatim mahupun golongan fisabilillah bukan hanya dizahirkan tatkala tibanya bulan Ramadan dan Syawal semata-mata, malah wanita hebat ini sentiasa meluangkan masa dan wang ringgit membantu insan-insan yang memerlukan.
Penerima NONA BEST CHARITY AWARD, NONA SUPERWOMAN 2020 ini tidak pernah lokek membahagikan masa antara tuntutan kerjaya dan kerja kebajikan yang menjadi sebahagian dari darah dagingnya kini.
“Amalan sedekah tidak terhad kepada orang berharta sahaja, sebaliknya orang Islam yang tidak memiliki harta pun boleh bersedekah berdasarkan kemampuannya, asalkan lahir daripada hati yang ikhlas.
Sedekah juga tidak terhad kepada pemberian wang ringgit atau harta benda semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai aspek seperti mengajar ilmu baik dan memberi pertolongan, ” ujar Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana ketika ditemui baru-baru ini.
Ini tercatat di dalam Al Quran surah Al-Saff ayat 11 “Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu, itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui hakikat yang sebenarnya”. Ini merupakan tuntutan Allah supaya kita hambaNya berinfaq ke jalan Allah swt. Dalam ayat ini ada menerangkan yang infaq tidak semestinya hanya dari segi harta benda tetapi juga dengan “jiwa” bermakna diri kita sendiri.
Satu demi satu kejayaan ditempa oleh Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana Rahmat menerusi kerja-kerja amal yang dilakukannya. Kini beliau mahu terus menabur bakti untuk anak bangsa menerusi Yayasan yang ditubuhkan sejak tahun 2013. Melalui Program “My #InfaqIhsan” ramai golongan sasaran telah dikenalpasti untuk diberikan bantuan.
Mengambil inspirasi dari watak filem muzikal “Mary Poppins’ , ia melambangkan jiwa infaq yang sentiasa membantu kaum keluarga, sahabat handai, rakan taulan dan sesiapa sahaja yang datang meminta pertolongan dan nasihat darinya. Muzikal filem British yang popular Mary Poppins ini mempunyai ciri-ciri seorang yang kelakar atau good sense of humour, baik hati tetapi tegas yang sangat sinonim dengan keperibadian yang dimiliki oleh Datuk Hajah Rozzana.Dalam erti kata lain yang popular, “Jangan cakap akak tak payung !”Itulah kata-kata yang amat sinonim untuk Datuk Hajah Rozzana Dato’ Haji Rahmat yang dikenali ramai.
“Hampir 30 tahun dalam dunia perniagaan, saya sudah banyak belajar tentang pentingnya mengamalkan sikap profesional dan juga jujur. Bukan sahaja kepada orang lain tetapi kepada diri sendiri. Usah pernah menipu dalam perniagaan kerana jika kita berjaya disebabkan sikap tidak jujur, nescaya suatu hari nanti kita akan jatuh terduduk.
Apabila COVID19 melanda, saya akui perniagaan turut terkesan. Tetapi ini adalah masanya untuk saya merangka strategi dan usaha untuk terus mengemudi perniagaan. Alhamdulillah saya masih lagi boleh bertahan hingga ke hari ini dengan Kerjasama kakitangan dan sokongan keluarga serta pihak-pihak yang terlibat di dalam mengendalikan perniagaan saya. Saya juga yakin dan sentiasa husnuzon dengan Allah. Berkat doa dan pertolongan daripada Allah, insya Allah kami akan dapat melalui ujian yang getir ini.
Menurut beliau lagi, Rezeki itu datang daripada Allah. Adalah penting mencari rezeki yang halal. Rezeki yang halal penuh dengan keberkatan. Ianya akan memberi kebahagiaan dan ketenangan di dalam kehidupan kita.
Tetapi pada masa yang sama, saya mahu berkongsi rezeki dan atas inisiatif itu tertubuhnya Yayasan sebagai platform membantu golongan asnaf dan mereka yang terkesan akibat wabak Covid 19,” ujar wanita yang pernah bertugas sebagai Pramugari di awan biru selama lima tahun sebelum mengambil alih perniagaan yang dimiliki keluarganya.
Menerusi amalan sedekah, seseorang akan dimurahkan rezeki, terhindar bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian buruk atau dalam keadaan tidak beriman (su’ul khotimah) kerana ia membawa rahmat, selain menghapuskan sifat sombong, takbur, ujub serta menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.
Cabaran apabila kita berbuat kebaikan dan amal ma’aruf ialah akan wujud pandangan atau persepsi segelintir masyarakat yang mensalah tafsirkan tujuan dan matlamat. Semuanya itu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan sekadar perkongsian demi berdakwah untuk memotivasikan lebih ramai berinfaq ke jalan Allah.
Berbicara soal Yayasan, matlamat utama penubuhan Yayasan tersebut untuk memberikan bantuan dalam kadar segera atau ad-hoc merupakan cara Datuk Hajah Rozzana menghulurkan bantuan. Memahami desakan situasi semasa apabila kebanyakan masyarakat terkesan dengan COVID19, Datuk Hajah Rozzana lebih memberi tumpuan membantu golongan miskin, mereka yang terlibat dengan bencana alam ataupun mereka yang kurang berkemampuan yang mahukan bantuan segera sama ada dari segi keperluan asas, kewangan mahupun perubatan.
Malah, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana dan pasukannya memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan termasuklah para petugas di barisan hadapan dan pesakit COVID19.
“Pada peringkat awal, disebabkan waktu tersebut kita tidak boleh turun sendiri, kita meminta “team #InfaqIhsan” yang berada di kawasan atau daerah negeri tersebut untuk sampaikan bantuan bagi pihak kami kepada golongan asnaf.
Antara negeri yang telah menerima bantuan adalah seperti di Kedah, Kelantan, Melaka, Selangor dan termasuk juga pihak misi kemanusiaan lain yang memerlukan sumbangan. Dan baru-baru ini tumpuan utama beliau ialah di negeri Sabah yang sangat terkesan di Gelombang ke-3 akibat wabak Covid-19. Menurut beliau, Sabah perlukan bantuan segera.
“Kami juga telah berhubung dengan frontliner di Hospital Sungai Buloh untuk memberi bantuan kepada pesakit COVID-19. Malah, saya sendri telah turun padang ke Hospital Sungai Buloh dan melihat sendiri bagaimana para petugas barisan hadapan menjalankan tugas mereka dengan sepenuh jiwa dan raga bagi memastikan pandemik ini dapat dibendung,” ujar Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Hajah Rozzana yang memastikan sumbangan makanan untuk pesakit Covid disepanjang tempoh PKP Fasa 1 & Fasa 2 diuruskan sebaik mungkin di samping beberapa lagi sumbangan lain yang diperlukan oleh petugas barisan hadapan.
“Sepanjang berada di sana, saya dapat melihat bagaimana para petugas menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin. Dalam masa yang sama, saya turut berkongsi pengalaman dengan pengikut di laman media sosial agar mereka lebih menghargai petugas kesihatan dan cabaran yang harus mereka lalui setiap hari menyelenggara pesakit di wad Covid 19.”
Ketika diajukan pertanyaan tentang insiden paling terkesan di hatinya sepanjang melakukan pelbagai kerja kebajikan, wanita cekal ini berkata banyak peristiwa yang terkesan di hati dan kesemuanya memberikan satu titik keinsafan buat dirinya. Melihat kepayahan hidup individu lain yang ditimpa musibah, penyakit dan sebagainya menjadikan dirinya lebih bersyukur dengan kurniaan rezeki oleh Allah S.W.T buat dirinya.
“Saya sentiasa mengamalkan sifat SYUKUR, SABAR, REDHA. Redha adalah satu perkataan yang ringkas namun besar maknanya. Dalam apa yang kita lakukan kita perlu reda dengan bagaimana pengakhiran atau keputusannya. Segala usaha telah dilakukan dan keringat telah diperah, jadi biarlah Allah yang memutuskannya dengan reda dan bertawakal. Jika kita reda, maka hati tidak akan mati dan akan terus memandang ke hadapan untuk menghadapi sesuatu yang lebih gemilang. Insya Allah”, katanya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.