Memang layak! Tahniah buat bekas atlet terjun negara, Leong Mun Yee yang menerima Pingat Mahkota Wilayah (PMW) sekaligus membawa gelaran Datuk dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
Dalam istiadat berkenaan, atlet paralimpik negara Abdul Latif Romly turut menerima gelaran sama. Awal tahun ini, Datuk Mun Yee dikhabarkan bersara daripada arena terjun selepas 27 tahun menabur bakti dan Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi pentas terakhir buat dirinya.
Datuk Mun Yee pernah menyumbangkan 17 pingat emas, lima perak dan lima gangsa di temasya dwi tahunan, Sukan SEA. Malah beliau berjaya merangkul satu pingat perak dan dua pingat gangsa di pentas Sukan Komanwel termasuk dua pingat perak dan lima pingat gangsa sepanjang menyertai Sukan Asia.
Menerusi laman web peribadinya, Datuk Mun Yee mendedahkan dia mula aktif dalam sukan tersebut seawal usia 10 tahun lagi. Sejak itu, dia diberi kepercayaan mewakili Malaysia. Jelas beliau, penampilan pertamanya dalam Sukan Olimpik adalah ketika menyertai temasya sukan terbesar berkenaan di Sydney, Australia pada tahun 2000.
Ads
Waktu itu beliau baru berusia 15 tahun. Bertitik tolak daripada pencapaian membanggakan, Datuk Mun Yee berjaya meletakkan standard yang tinggi dalam kerjaya sukannya sehingga melayakkan diri dalam lima penyertaan Sukan Olimpik iaitu di Sydney pada tahun 2000, Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.
Rentetan pembabitan aktif dan dedikasi serta minat mendalam dalam sukan akuatik, Datuk Mun Yee mendapat pengiktirafan yang menyaksikan namanya tersenarai dalam Malaysia Book of Records apabila menjadi atlet wanita pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebanyak lima kali.
Tidak hanya berbakat dan cantik, Mun Yee merupakan graduan Sarjana Komunikasi Korporat di Universiti Putra Malaysia (UPM). Jelas atlet berusia 37 tahun ini, “Pendidikan adalah sangat penting. Ia ibarat perjalanan sepanjang hayat yang membantu mengasah kemahiran dan pengetahuan seseorang secara peribadi mahupun profesional.”
Ads
Bersandarkan kejayaan, bakat dan kecantikan yang dimiliki, Datuk Mun Yee turut menjadi buruan syarikat iklan yang mahukan wajahnya menghiasi kempen produk keluaran mereka.
Syabas dan tahniah buat Datuk Mun Yee. Moga terus mengangkat martabat kaum wanita di mata dunia dan menjadi inspirasi ramai.
Kredit foto: Instagram Leong Mun Yee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rezeki Rohana Ibrahim.. dikurniakan anak seperti Shiha Zikir yang tidak pernah putus memberi kebahagiaan kepadanya. Walau bergelar selebriti, anak bongsu daripada tiga beradik itu sedikit pun tidak berasa malu membawa Rohana menghadiri setiap show yang diterima. Paling menyentuh hati, Shiha sanggup berbelanja besar semata-mata mahu memberi keselesaan kepada ratu hatinya itu. Alahai, sejuk perut ibu mengandung!
Ditemui ketika menemani Shiha untuk program The Stage Media Hiburan, ibu berusia 60 tahun ini meluahkan rasa syukur kerana punya anak yang cukup prihatin. Mengakui tidak pernah memaksa Shiha untuk membawanya ke mana saja, Rohana yang merupakan ibu kepada tiga orang anak menjelaskan semua itu adalah kerelaan hati Shiha sendiri yang mahu sentiasa melihat dan berada di sisi ibunya setiap masa. Tanpa berselindung, dia membuka bicara.
“Bukanlah kata nak puji anak sendiri tapi iyalah mana-mana ibu pun akan rasa bertuah kalau ada anak macam dia sebab Shiha ni apa-apa yang dia buat mesti dia pentingkan kita (ibu) dulu. Misalnya kalau ada show yang kata tak boleh bawa mak, memang dia tolak walaupun bayarannya tinggi. Itu yang saya perasan tentang Shiha.. dia ada prinsip dia sendiri. Aunty pernahlah juga datang ke satu show ni. Bila dah sampai, mereka tak bagi masuk.. katanya orang pakai tudung tak boleh masuk dan macam-macamlah aunty pernah kena.”
Mendengar pengakuan ibunda tersayang, Shiha yang duduk di samping ibunya terus mencelah. “Bila jadi situasi macam tu, kita mula fikir sesuatu dan rasa tak best. Sampai pertengahan show tu baru saya sedar ia bukan persembahan dinner ‘biasa-biasa’ sebaliknya ada acara yang bertentangan dengan agama kita. Tanpa fikir panjang, saya terus panggil kawan saya yang juga penyanyi datang gantikan persembahan dan terus tinggalkan show. Memang saya kena ugut masa keluar dewan tapi kalau nampak botol arak depan mata, saya akan stop.”
Meskipun nama Shiha Zikir tidak begitu popular dalam industri muzik tanah air namun ia bukan halangan bagi penyanyi berbakat besar ini. Katanya, bukan populariti yang menjadi ukuran sebaliknya penglibatan Shiha dalam arena muzik adalah kerana minat.
“Dengan Shiha ni kita tak boleh merungut apa. Kalau cakap sedikit je ‘Eh, cantiklah barang ni’.. esok mesti dapat. Pemberian paling bernilai yang Shiha hadiahkan ialah kereta Vellfire. Tak minta pun sebab dah ada kereta tapi dia takut aunty tak selesa bila selalu ikut dia jalan jauh. Bab hadiah hari jadi, tiap-tiap tahun mesti dia bagi barang kemas,” jelas ibu Shiha yang menggemari barangan kemas.
Tambahnya lagi, “Dia anak yang sangat bertanggungjawab. Tak boleh dengar kita susah. Kalau kita termenung, dia akan cepat-cepat tanya ada Shiha buat salah ke. Kalau ada mak beritahulah jangan simpan-simpan. Sampai macam tu sekali dia takut buat kita terluka. Sejujurnya, Shiha ni akan yang paling senang nak besarkan. Bahkan masa dia kecil lagi dia dah jadi anak yang baik. Ingat lagi masa bersalin dulu, ibu-ibu yang bersalin sama hari macam aunty tak boleh tidur sebab anak mereka menangis tapi Shiha tak.
Nurse pun jadi pelik suruh aunty tengokkan dia sebab lena tidur. Masa Shiha baru berusia 15 hari, dia pernah hanyut atas tilam di rumah sebab hujan tak henti-henti. Bila terjaga, tengok-tengok dia dah dekat pintu. Rumah banjir dan nasib waktu tu malam dan pintu rumah tutup. Waktu dia baru berjalan umur setahun setengah, dia pernah lemas dalam baldi di bilik air sampai muka jadi biru. Sebab kejadian tu.. sampai sekarang dia takut air. Dari dia kecil, arwah bapa dia yang perasan bakat menyanyi Shiha tapi tak kesampaian tengok anak dia berjaya seperti hari ini.”
Mula menyanyi seawal tahun 2010, Shiha nyata bersyukur dengan limpahan rezeki yang diterimanya walaupun sedar tidak mencapai puncak populariti seperti artis popular lain. Pun begitu, dia selesa dengan kejayaan yang diraih sekarang. “Saya sedar populariti tu perlu tapi tak terdesak sampai hendak create story kontroversi untuk popular. Alhamdulillah, rezeki saya cukup mungkin sebab saya jaga mak dari dulu lagi sejak arwah bapa meninggal tahun 2008. Orang fikir dia ni tak popular sangat tapi rezeki saya cukup. Tiap minggu ada saja jemputan persembahan dinner dan rezeki cukup untuk menyara ibu, bayar duit kereta, rumah dan sebagainya.”
Nona percaya rezeki yang diterima Shiha berkat doa dan keikhlasannya membahagiakan hati insan bergelar ibu. Moga kasih sayang Shiha menjadi inspirasi kepada semua wanita agar terus menghargai jasa ibu yang melahirkan kita ke dunia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ternyata orangnya bukan sahaja cantik, berperwatakan menarik ditambah dengan kebijaksanaannya merencanakan kehidupan demi masa depan menjadi kelebihan buat Dr. Tengku Ezulia Tengku Azlan Ismara.
Mana tidaknya, bukan calang-calang individu boleh mendapat gelaran doktor pakar dalam usia yang begitu muda!
Tidak lokek dengan senyuman dengan ramah, wanita berusia 31 tahun ini turut berkongsi tentang rencana serta rutin hidupnya yang sibuk. Walaupun rutin hariannya sebagai doktor perubatan serta pensyarah sibuk dengan pelbagai tugasan yang perlu dilaksanakan, dia tidak pernah merasa terbeban lantaran minat yang mendalam dalam bidang ENT sejak kecil lagi.
“Saya mengambil masa lapan tahun untuk membina karier pada tahap kini dan berjaya memenuhi sebahagian daripada impian untuk mendalami pengkhususan telinga, hidung dan tekak (ENT). Malah, saya memilih cabang tersebut kerana merasakan ENT adalah masalah biasa yang dialami sesiapa sahaja.”
Wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mahu menjadi antara orang yang mampu mengatasi masalah berkaitan ENT selain melihat peluang kerjaya dalam bidang itu terbentang luas kerana tidak ramai yang mahu menceburinya.
“Saya sendiri dihujani dengan pelbagai pertanyaan berkaitan dengan ENT sejak saya menceburi bidang perubatan. Namun apa jua bidang yang saya pilih, yang penting tetap digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Ujar Dr. Lea, ENT memberi cabaran yang tersendiri yang mana telinga, hidung dan leher melibatkan lokasi kritikal berhubung dengan organ-organ penting seperti otak, mata, rongga pernafasan, salur darah yang besar pada leher dan saraf-saraf penting.
Ketika ditanya mengenai momen yang tidak dapat dilupakan sepanjang karier, tambah Dr Ezulia, memandangkan ENT turut melibatkan airway atau pernafasan, ia sememangnya menjadi masalah utama untuk setiap individu.
Pernah mengendalikan beberapa kes melibatkan pesakit kanser yang menghadapi kesukaran bernafas, Dr Ezulia bersyukur kerana dapat menyelamatkan nyawa pesakit dengan bantuan perubatan yang pantas dan bersiap sedia dengan segala kemungkinan.”
Bercerita pula peranannya sebagai social media influencer, sememangnya Dr Lea tidak pernah menganggap ianya sebagai satu batu loncatan untuk glamor dan dikenali. Malah, Dr Lea menggunakan platform tersebut untuk mendidik generasi muda masa kini untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Di hospital saya merupakan seorang doktor bukan social media influencer. Saya tidak akan sesekali mencampur-adukkan antara minat dan kerjaya. Walaupun ramai yang mengenali saya aktif di Instagram, saya masih meletakkan batasan. Apabila menyarung uniform kerja, saya perlu fokus terutama apabila masuk ke dewan bedah kerana saya perlu mematuhi setiap etika kedoktoran,” katanya yang amat mementingkan kualiti dalam kerjaya dan kehidupan.
Menggunakan media sosial sebagai platform untuk mendidik generasi masa kini, Dr Ezulia berkata lama sosialnya sering dikunjungi oleh para pelajar jurusan perubatan yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam berkenaan bidang ENT.
“Saya yakin setiap apa pun yang hendak dilakukan haruslah ada minat. Apabila minat telah timbul, pasti perasaan tertekan dan bebanan dengan apa yang dilakukan tidak timbul. Sebagai pakar bedah, semestinya memerlukan kerja keras dan tanggungjawab yang besar. Setiap apa yang kita hendak lakukan perlulah mempunyai usaha dan bekerja keras untuk mencapai kejayaan,” ujar Dr Tengku Ezulia mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak perempuan kepada pelakon Didie Alias dan Ridzuan Hashim ini memang superwoman. Selamat melahirkan cahaya mata ketiga pada 22 Februari lalu, Nur Dhaniyah Mohd Ridzuan meluahkan rasa syukur atas kehadiran puteri comel berkenaan yang menyerikan lagi rumah tangganya di samping suami tercinta, Razi Shahriman.
Terdahulu, Dhaniyah mempunyai sepasang cahaya mata iaitu Seth Shahriman yang kini berusia lima tahun dan Suri Shahriman berumur tiga tahun. Mesra menyambut panggilan penulis, ibu berusia 30 tahun ini dalam temu bual bersama Nona terbuka berkongsi momen kelahiran anak ketiga.
“Pengalaman paling tidak dapat dilupakan ketika dalam labour room nak deliver baby seberat 3.8 kg secara normal tanpa sebarang bantuan seperti pain killer atau pun epidural. Berbanding kelahiran sebelum ini, anak ketiga inilah baby paling ‘semangat’ antara abang dan kakak dia.”
Menariknya, Dhaniyah dan suami menamakan bayi comel mereka ‘Senja Shahriman’. Klasik sangat nama anak!
Ditanya dari mana dapat idea nama tersebut, ini jawapan Dhaniyah. “Saya dan suami dapat inspirasi daripada suasana senja ketika kami di pulau. Tiada yang tersirat selain daripada agungnya kami kepada ciptaan Allah.
Dan kami memang mahukan sesuatu nama yang klasik dan senang disebut. Sama seperti nama anak kami Seth dan Suri.”
Turut gembira dan syukur dengan kehadiran Senja pastinya Didie Alias sebagai nenek yang berpeluang menimang cucu kesayangan. Dedah Dhaniyah, walau ibunya sibuk dengan jadual penggambaran yang padat setiap hari namun aktres tersebut tetap meluangkan masa melawat cucu.
“Dalam kesibukan dia shooting drama untuk bulan puasa ni, dia tetap excited timang cucu lagi sekali. Dia juga luangkan masa dia yang sangat terhad untuk berjumpa dengan cucu walaupun sekejap.”
Dhaniyah yang merupakan graduan Master in Visual Communication and New Media dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) bergelar suri rumah sepenuh masa selain turut aktif sebagai digital creator.
“Alhamdulillah kerja-kerja kami suami isteri banyak yang ‘work from home’ dan untuk saya pula boleh work anytime. Kami uruskan anak-anak sendiri tanpa bantuan maid. Dari urusan kerja suami sehinggalah sekolah anak, saya sama-sama bantu dalam rumah tangga kami.”
Memiliki hampir 40 ribu followers di Instagram dan bergelar Influencer, Dhaniyah ketika diaju status sebagai anak selebriti yang membolehkan dia meraih populariti dan dikenali ramai menganggap ia satu bonus buat dirinya dalam masa sama berusaha menggunakan pengaruh yang ada ke arah kebaikan.
Antaranya memanfaatkan ia dengan infomasi berkaitan ilmu keibubapaan dan tip kecantikan kepada umum.
“Sebenarnya itu dah menjadi satu kelebihan untuk anak-anak artis berada dalam platform dan exposure seperti ini. Cuma yang membezakan adalah cara kita ‘influence’ netizen atau followers kita ke arah yang macam mana.
Macam saya sendiri, saya lebih kepada sharing tentang lifestyle saya, motherhood dan beauty. Saya akan gunakan pengaruh saya dengan share apa yang saya sendiri experience dan gunakan serta boleh beri galakan untuk audience saya.
Sebagai contoh, macam mana saya boleh belajar sambil menguruskan anak pada masa yang sama. Tip-tip itu yang akan saya kongsikan dengan followers.”
Bercerita lanjut pengalaman sewaktu menyambung pengajian, Dhaniyah yang ketika itu sudah pun mempunyai dua anak kecil sanggup bersengkang mata demi menggenggam Master
“Ketika sambung Master, suami yang paling banyak beri dorongan untuk teruskan study dalam keadaan anak saya yang baru berumur 4 bulan ketika itu. Sejujurnya impian saya untuk sambung Master untuk bergelar seorang pensyarah kerana minat saya dalam mengajar dan belajar.
Saya susun sehabis baik jadual saya supaya tiada satu waktu pun yang terluang tu dibazirkan. Habis class je saya akan bergegas balik ke rumah untuk uruskan anak. Malam saya akan habiskan masa untuk siapkan assignment.”
Tambahnya lagi, “Saya sangat berterima kasih kepada mertua saya yang sama-sama bantu untuk tengokkan anak ketika saya ke kelas. Dan kawan-kawan yang sama-sama faham dengan keadaan saya yang kena uruskan anak kecil waktu itu.”
Masih simpan hasrat untuk memiliki Ijazah Doktor Falsafah kelak, Dhaniyah akui terpaksa tangguh niat tersebut demi membesarkan anak-anak terlebih dahulu.
“Perancangan itu ada tapi bukan buat masa terdekat. Mungkin bila anak-anak dah sekolah atau tamat sekolah. Saya masih pasang impian untuk bergelar Dr.
Walaupun bukan dalam bidang yang saya dapat ceburi, namun ia satu kepuasan untuk diri sendiri dan pada masa yang sama saya nak jadikan cerita saya satu inspirasi buat anak-anak saya untuk teruskan mengejar impian mereka nanti.”
Terinspirasi dengan kegigihan Dhaniyah sebagai isteri dan ibu serta rajin menimba ilmu. Semoga segala impian dimakbulkan dan terus memberi semangat buat kaum wanita dalam mengejar cita-cita!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.