Klasik dan eksklusif serta pada harga patut, namun beg tangan buatan Siti Noor Misro tetap menjadi pilihan isteri Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Masakan tidak, tas tangan terbabit diperbuat daripada fabrik songket yang jarang diketengahkan oleh pereka tempatan lain, sementara gandingan corak abstrak serta bunga pada fabrik dengan kombinasi warna pastel (pucat) dan terang menjadikan hasil tangan usahawan berusia 50 tahun itu tampak mewah.

IKLAN

Jadi Pilihan Termasuk Wan Azizah, Beg Tangan Songket Buatan Tangan SITI NOOR MISRO Terus Jadi Kegilaan VVIP!

“Saya memang minat menjahit kerana menerusi kegiatan itu saya boleh serlahkan kreativiti. Pada masa sama, saya juga suka produk buatan tangan.

“Apabila saya melihat video cara membuat beg tangan di YouTube, terdetik di hati saya untuk mencuba,” katanya ketika dihubungi di kediamannya di Seremban, Negeri Sembilan.

Kini, selepas lebih 11 tahun berkecimpung dalam bidang itu, Siti Nor berbangga dengan jenama Ct N Honey yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat tas tangan unik termasuk orang kenamaan.

HANYA BELAJAR SENDIRI

Mengimbas semula pembabitan beliau dalam kerjaya itu, Siti Noor berkata beliau mula menghasilkan beg tangan pada 2012 namun hanya berani menjual produk yang dihasilkannya secara dalam talian pada pertengahan 2013.

“Pada ketika itu saya gunakan pelbagai material seperti kain kapas, linen, kanvas dan kulit sintetik. Reka bentuk juga sangat ringkas dengan kebanyakan beg tangan tersebut saya buat ikut tempahan dan cita rasa pelanggan,” kata ibu kepada enam orang anak tersebut.

Melihat sambutan yang menggalakkan, Siti Noor membangunkan laman web untuk memasarkan beg tangan buatan beliau dan juga barangan jahitan untuk mereka yang ingin menghasilkan sendiri tas tangan.

Jadi Pilihan Termasuk Wan Azizah, Beg Tangan Songket Buatan Tangan SITI NOOR MISRO Terus Jadi Kegilaan VVIP!

Walaupun tidak mendapat sebarang pendidikan formal dalam bidang jahitan dan hanya belajar sendiri menerusi pelbagai video dalam YouTube, ternyata kerja tangan Siti Nor begitu menyerlah sehingga berjaya menarik perhatian pembantu Dr Wan Azizah pada 2019.

Bercerita lanjut, wanita itu berkata beliau dihubungi oleh pegawai Dr Wan Azizah yang pada masa itu merupakan Timbalan Perdana Menteri, memintanya menyediakan sebuah tas tangan daripada songket untuk dihadiahkan kepada isteri Presiden Turkiye Emine Erdogan yang dijadualkan datang ke Malaysia untuk menghadiri KL Summit 2019.

“Selepas mendengar tujuan tempahan itu, walaupun saya tidak pernah menggunakan fabrik songket, saya cuba sehabis baik untuk memenuhi tempahan Timbalan Perdana Menteri ketika itu,” ujar beliau.

Menurutnya, dari situlah bermula sejarah penggunaan songket dalam pembuatan tas tangan beliau.

KETENGAHKAN SONGKET

Katanya, selepas menerima tempahan sulung daripada Dr Wan Azizah, beliau memberanikan diri untuk memfokuskan pembuatan tas tangan daripada songket.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai serampang dua mata, iaitu mengetengahkan beg tangan songket dan mempertahankan warisan songket yang semakin kurang digunakan oleh masyarakat umum.

“… hingga kini saya masih menerima tempahan beg tangan songket daripada beliau (Dr Wan Azizah), dan saya terharu kerana beliau mempercayai (akan kualiti) produk buatan tangan ini,” kongsi Siti Nor.

Menurut usahawan itu, pembuatan beg tangan menggunakan fabrik songket khususnya, bukanlah satu kerja yang mudah kerana memerlukan ketelitian, dan beliau mengambil masa hingga dua hari untuk menyiapkan sebuah beg ringkas.

IKLAN

Jadi Pilihan Termasuk Wan Azizah, Beg Tangan Songket Buatan Tangan SITI NOOR MISRO Terus Jadi Kegilaan VVIP!

“Penghasilan beg buatan tangan ini adalah proses yang mengambil masa yang lama dan penuh ketelitian. Proses pertama ialah pemilihan reka bentuk dan material, kemudian kita akan melekatkan pengeras bagi memastikan beg lebih kukuh.

“Mesin jahit khas digunakan bagi memastikan kemasan yang rapi,” jelas beliau, menambah tugas paling rumit ialah menghasilkan rangka beg kerana kerja menjahit bagi mencantum rangka dilakukan dengan tangan.

Jadi Pilihan Termasuk Wan Azizah, Beg Tangan Songket Buatan Tangan SITI NOOR MISRO Terus Jadi Kegilaan VVIP!

“Selalunya saya akan mengambil masa satu ke dua jam untuk menyiapkan jahitan tersebut,” katanya yang mendapatkan bekalan songket daripada usahawan tempatan.

Menurut beliau, bagi memberikan rasa eksklusif, setiap corak songket dihadkan kepada satu beg sahaja.

PERLUASKAN PASARAN

Siti Nor berkata buat masa ini beliau melakukan kerja berkenaan di rumahnya dan dibantu oleh beberapa rakan yang dikenali menerusi media sosial.

IKLAN

“Rakan-rakan saya akan membantu terutama jika tempahan banyak, dan mereka menyiapkan bahagian masing-masing di rumah mereka sebelum dihantar kepada saya untuk dipastikan produk mengikut spesifikasi yang ditetapkan sebelum dihantar kepada pelanggan,” katanya.

Jadi Pilihan Termasuk Wan Azizah, Beg Tangan Songket Buatan Tangan SITI NOOR MISRO Terus Jadi Kegilaan VVIP!

Selain beg tangan songket, Siti Noor turut menghasilkan pelbagai beg lain seperti sling bag, clutch dan tote, bergantung pada permintaan pelanggan.

Harga pula bergantung pada jenis beg, saiz dan material yang digunakan, iaitu dari serendah RM180 hingga RM400.

Tentang pasaran, beliau berkata selain platform dalam talian, produknya juga boleh didapati di sebuah butik di Pavilion Bukit Jalil.

“Saya juga akan menyertai pameran dan acara besar untuk berjumpa dan memperkenalkan jenama kepada lebih ramai orang termasuk acara yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia kerana produk saya turut dipromosikan menerusi laman web Kraftangan Malaysia,” katanya.

Menurut Siti Noor, beliau berasa puas setiap kali melihat pelanggan menggayakan beg tangan buatan beliau, lebih-lebih lagi jika dipadankan dengan baju kurung atau kebaya.

Sumber: BERNAMA | Gambar: FB Siti Noor Misro

***

Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI