Jaga Cucu & Amal Kickboxing, Buat PUAN SRI NISA BAKRI Rasa Cergas & Awet Muda!

Kecantikan cef selebriti, Puan Sri Nisa Bakri sememangnya memukau pandangan. Selain dikurniakan rupa paras cantik, Puan Sri Nisa juga disifatkan seorang wanita mesra, bercita-cita tinggi dan lemah-lembut tatkala berbicara. Sekaligus membuatkan sesiapa sahaja yang pernah bekerja bersamanya turut merasa tenang. Melihat susuk tubuh beliau yang fit dan ramping, pasti ramai tidak menyangka isteri bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Zinin ini sudah pun berstatus nenek kepada dua orang cucu comel. Maintain awet muda!

Membongkar ‘rahsia’ kecergasan dan awet muda Puan Sri Nisa, usahawan masakan ini tanpa berselindung memberitahu, “Saya aktif bersenam dan suka kickboxing. Ia buat saya rasa muda dan badan rasa sihat selain minda yang positif. Untuk penjagaan wajah, saya cuma amalkan rutin skincare yang dibuat sendiri. Ia adalah penjagaan wajah yang mempunyai beberapa campuran herba.”

Puan Sri Nisa penerima Nona Superwoman Award 2020
Hobi masak kini jadi kerjaya
Di samping suami tercinta & cucu tersayang
Anak perempuan Puan Sri Nisa

Menerusi Instagram miliknya, Puan Sri Nisa sebelum ini pernah mendedahkan beliau mempunyai darah keturunan Yemen dan Turki daripada belah bapanya. Sementara ibunya pula berketurunan French Parsi Indian. “They had very strong principles and values in life. Very strict. But those values moulded me to who I am today. Arwah abah spoke 7 different languages while arwah mama spoke 5 different languages.”

Cukup merendah diri apabila menerima pujian, Puan Sri Nisa atau nama sebenarnya Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid bagaimana pun enggan mendabik dada dengan kurniaan tersebut sebaliknya meluahkan rasa syukur kerana diberikan kesihatan yang baik untuk terus berbakti kepada keluarga dan masyarakat. Tidak hanya aktif melakukan kerja amal dengan memberi sumbangan masakan kepada insan kurang bernasib baik, Puan Sri Nisa juga sangat mementingkan hubungan kekeluargaan.

Ditanya bagaimana beliau mampu sentiasa tampil menawan ini ‘rahsia’ Puan Sri Nisa. “Kebahagiaan keluarga bagi saya sangat penting dan ia buat saya sentiasa rasa seronok. Tambahan pula, dah ada cucu sekarang. Bila saya jaga cucu rasa macam awet muda. Tidak dinafikan, Tan Sri dan saya rasa macam young couple bila kami sama-sama jaga cucu.

Bila dalaman kita tu rasa happy, tak timbul rasa hasad dengki bahkan sentiasa hidup syukur dengan apa yang Allah kurniakan. Tak kira walau sebesar atau sekecil mana sekalipun. Dari dalaman kita happy, pasti luaran… muka pun happy.”

Ujar Puan Sri Nisa, beliau sangat bahagia tinggal sebumbung dengan anak perempuannya Intan Junita. Difahamkan, 10 orang menghuni kediaman Puan Sri Nisa termasuklah cucu dan pembantu rumah mereka.

“Cucu saya ada dua. Anak saya seorang je. Cucu pertama saya, Mohamed Raul ialah anak autism tapi tak severe. Kami sekeluarga syukur dapat peluang belajar dan jaga special child seperti Raul. Sekarang Raul dah berusia empat tahun. Untuk tiga setengah tahun juga adalah cabaran buat anak saya, Intan dan suaminya, Adam.

Bila anak kedua mereka, Mohamed Rayyan lahir. Saya dan suami bantu jaga supaya anak dan menantu boleh fokus jaga Raul. Raul seorang anak yang perlukan lebih perhatian dan sangat rapat dengan bapa dia. Alhamdulillah, cucu kedua Rayyan membesar dengan normal dan seorang kanak-kanak yang aktif. Rayyan memang saya jaga dari lahir. Saya suka dengan kehidupan keluarga yang sibuk, meriah dan sentiasa bising dengan budak-budak. Rasa seronok.

Saya sedar hidup kami sekeluarga banyak belajar dari Raul. Dia anak luar biasa dan ajar kami banyak tentang kesabaran dan prihatin. We don’t judge anybody.

Anak kecil ini banyak ajar kami apa itu hidup. Ia satu anugerah yang Allah beri.”

Puan Sri Nisa yang merupakan penulis buku masakan, I Am Not A Chef yang diterbitkan pada tahun 2015 berkonsepkan Romance, Food and Love yang menghimpunkan 25 resipi tradisional. Selepas kejayaan menerbitkan buku masakan sendiri, Puan Sri Nisa turut mendapat pengiktirafan sebagai Top Outstanding Gourmet Ambassador di World Gourmet Award 2018 selain dilantik Culinary Advisor oleh World Gourmet Award Association 2019.

Pada tahun sama juga Puan Sri Nisa menerima Anugerah Outstanding ASEAN Women Enterpreneur Award 2019 anjuran Awen iaitu ASEAN Women Entrepreneur Network di Bangkok, Thailand. Disember lalu pula, beliau merupakan penerima Nona VIP Award di Nona Superwoman Award 2020.

 

 

Kredit foto: Instagram Puan Sri Nisa

IKLAN
Share