Jasa & Dakwah Martabat Al-Quran, FARHATUL FAIRUZAH Terima Darjah Kebesaran SULTAN SELANGOR!

Tumpang bangga dan gembira melihat kejayaan diraih Nor Farhatul Fairuzah Haji Panut! Atas jasa dan dakwah memartabatkan Al-Quran, Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 berkenaan dipilih sebagai penerima Darjah dan Kebesaran Negeri Selangor daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 11 Disember.

Meniti usia 22 tahun, Nor Farhatul Fairuzah atau mesra disapa Farha berkongsi berita gembira tersebut bersama Nona.

Pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang Ke-77 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, anak kepada bekas qari dan qariah iaitu Allahyarham Haji Panut Haji Markum dan Hajah Jaliah Haji Simin ini dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S).

“Alhamdulillah Syukur kehadrat Ilahi atas Pengurniaan Darjah dan Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan, Sempena Menyambut Ulang tahun Hari Keputeraan yang ke-77, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Menjunjung Kasih Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-haj diatas penghargaan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S).

Semoga Tuanku dan Permaisuri dipanjangkan usia , sentiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT.”

Anggun mengenakan persalinan kurung rona biru lembut, turut kelihatan menemani Farha ialah ibu dan adik-beradik tersayang.

Mewakili suara anak muda, Farha nekad berusaha menarik minat golongan ini mencintai Al-Quran melalui media sosial memandangkan kebanyakan mereka aktif dan gemar menggunakan platfrom berkenaan.

Pada 2019, Farha dinobatkan Johan Qariah dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61.

Farha yang juga pelajar Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membahagikan masa dengan sebaiknya selepas menerima perlantikan sebagai Ikon Dakwah YADIM 2021 dan Tokoh Belia Negara 2019.

 

IKLAN
Share