Sejak menjuarai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019, makin mencurah-curah rezeki Nor Farhatul Fairuzah Panut. Daripada menjadi tetamu jemputan di stesen televisyen dan menerima undangan di majlis-majlis sekolah sehinggalah berniaga tudung, Nor Farhatul Fairuzah atau mesra disapa Farha mengembangkan bakat sebagai hos di saluran Astro Oasis.
Alhamdulillah, tumpang bangga dengan pencapaian Farha saban tahun dan pastinya kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk mengikut jejak langkah qariah termuda negara ini yang tidak hanya berbakat. Malah memiliki keperibadian yang hebat!
Meniti usia 21 tahun, kemenangan Farha di pentas Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019 nyata meraih perhatian masyarakat. Mutu bacaan yang diperdengarkan Farha telah berjaya memikat hati panel juri sekaligus menjadikan anak kelahiran Selangor ini sebagai qariah termuda negara yang mengungguli majlis berprestij itu.
Dedah Farha, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula saya didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan arwah ayah banyak mendidik saya sejak kecil sebab mereka berdua bekas qari dan qariah. Arwah ayah jadi qari tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar qariah pula tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.”
Jelas anak kepada Allahyarham Haji Panut Haji Markum dan Hajah Jaliah Haji Simin ini, dia sama sekali tidak menyangka mampu melakar pencapaian terbesar sebagai johan qariah dalam usia muda.
Berpeluang menemu bual perkembangan terkini Farha, Tokoh Belia Negara 2019 ini mengakui sedang melanjutkan pengajian di universiti. “Buat masa sekarang, alhamdulillah saya masih belajar dan penuntut di universiti. Doakan saya jadi pelajar berjaya dunia dan akhirat.
Bisnes sebelum ini saya ada keluarkan tudung di bawah jenama Farha Looks, tapi buat masa sekarang saya lebih banyak tumpu kepada pelajaran. Memang ada keinginan untuk keluarkan produk yang baru, apa-apa pun doakan saya jadi usahawan berjaya satu hari nanti.
Waktu PKP ini juga saya masih aktif dan inovatif. Sentiasa belajar ilmu-ilmu baru walaupun secara online dan banyak benda saya belajar. Selain itu, saya juga ada kongsi ilmu tarannum atau Al-quran di platform media sosial saya di samping turut memenuhi program-program online daripada stesen TV dan sekolah-sekolah.
Tahun ini juga saya telah diberi tanggungjawab jadi pengacara di Astro Oasis. Tapi memandangkan situasi pandemik Covid-19, semuanya terpaksa dilakukan secara online,” terang Farha yang sebelum ini menjadi hos Geng Ngaji dan kini mengacarakan program Berbicara Tentang Bidadari di Astro Oasis.
Terkesima mendengar Farha membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan pasti ramai yang hendak tahu masa yang diperuntukkan anak bongsu daripada lima beradik ini untuk mengaji dalam sehari.
“Sebenarnya saya tak letak syarat berapa lama dan berapa jam. Cuma saya akan mengaji selepas solat fardu at least 1 page. Bercerita tentang surah kegemaran pula, saya suka surah Al Mulk yang dituntut baca sebelum tidur dan kelebihan surah akan jadi penyelamat di alam kubur nanti. Selain akan meringankan seksa kubur. Pembaca surah ini juga akan dipancarkan cahaya. InshaAllah.”
Tambahnya lagi, “Nak kuasai Al-Quran banyakkan mendengar dan cuba mencari guru. Sebab ilmu tak akan datang kalau kita tak cari. Cari guru Al-Quran dan inshaAllah, Allah akan permudahkan kita untuk belajar Al-Quran. Sebenarnya memang sangat dituntut untuk kita bertalaqi. Maksud talaqi ini ialah berhadapan dengan guru.
Belajar Al-Quran tak boleh satu hala perlu dua hala dan berhadapan dengan guru. Jadi guru tu akan tahu dan tegur mana salah kita dalam pembacaan Al-Quran. Saya tau bukan mudah nak kuasai, ia perlukan usaha tapi kalau ada keinginan tinggi, Allah akan permudahkan urusan kita.
Di sini juga saya ingin berpesan dan ajak anak muda di luar sana tak kira siapa kita, cuba jadikan Al-Quran sahabat kita di dunia sebab bila kita jadikan Al-Quran sahabat di dunia, ia akan jadikan kita sahabat di akhirat nanti dan semoga dengan berkat kita sentiasa bersama Al-Quran ini akan bantu kita di alam kubur nanti.”
Ditanya impian yang masih belum tertunai, sambil tersenyum Farha memberitahu, “Cerita tentang impian ini, macam-macam yang saya fikir. Saya teringin sangat nak pergi umrah yang tertangguh. Sepatutnya awal 2020 pergi umrah tapi sebab pandemik Covid-19 tak dapat pergi sana. Impian yang lain juga, Farha teringin jadi usahawan yang aktif dan membantu orang di luar sana.
Selain itu, impian yang ingin dicapai ialah saya sebenarnya suka jalan-jalan dan pergi melancong. Pada saya di samping melancong, saya juga nak berkongsi keindahan Al-Quran dan alunannya serta berdakwah di luar negara. Pendek kata, saya mahu jadi wanita hebat dunia akhirat.”
Lebih mengagumkan, kelima-lima beradik Farha turut aktif mendalami Al-Quran dan menyertai pelbagai pertandingan tilawah. Difahamkan mereka pernah menjadi wakil negeri dan kebangsaan dan sebab utama lima beradik ini menyertai tilawah kerana ia impian arwah ayah dan mak. Tambahan pula, mak mereka merupakan guru mengajar Al-Quran.
MasyaAllah, kagum dengan kejayaan Farha dan adik-beradik. Moga pencapaian yang diraih mampu menjadi suntikan semangat untuk lebih ramai anak muda mengikut jejak langkah Farha.
Kredit foto: Instagram Farhatul Fairuzah