
Wah, meriahnya majlis gender reveal anak jutawan Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan ini! Dalam perkongsian di media sosial Chryseis Tan baru-baru ini, isteri kepada SM Faliq SM Nasimuddin sudah pun memasuki usia kehamilan 29 minggu dan bakal timang anak kedua.
Tampil dengan persalinan serba putih, dekorasi mewah dan eksklusif ketika majlis berkenaan nyata menarik perhatian warga maya.
Berkonsepkan dekorasi bulan dan bintang, pendedahan jantina bayi Chryseis dan SM Faliq turut diserikan dengan kehadiran ibu bapa, adik-beradik dan kenalan rapat.



Saat belon berisi warna melambangkan jantina bayi diletupkan dan kotak gergasi dibuka, kelihatan wajah teruja dan gembira tetamu apabila mendapati warna biru bertebaran di segenap ruang. Menandakan pasangan suami isteri berkenaan bakal menimang cahaya mata lelaki!
Chryseis dalam pada itu berkongsi kapsyen ringkas, “Excited to grow our little family.”




Chryseis Tan, anak kepada Tan Sri Vincent Tan dan Puan Sri Esther Tan sah bergelar isteri kepada anak Allahyarham Tan Sri Nasimuddin Amin, SM Faliq SM Nasimuddin pada Februari 2018. Mereka saling mengenali sejak zaman persekolahan di sebuah sekolah antarabangsa.
Kedua-duanya memegang jawatan tinggi di dalam syarikat milik keluarga masing-masing. SM Faliq merupakan Timbalan Pengerusi Eksekutif di Naza TTDI manakala Chryseis pula merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Times Square Berhad.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Arianna Kyla yang berusia dua tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hari Wanita Sedunia 2022 Raikan Perjuangan Wanita, Bangkit Memecahkan Stereotaip

Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2022, Twitter membawa kempen #SheInspiresMe di seluruh Asia Tenggara bagi meraikan peranan dan sumbangan wanita dalam memberi inspirasi kepada komuniti mereka.
Hari Wanita Sedunia bertujuan membentuk masyarakat seimbang serta menghormati setiap pencapaian dari segi sosial, ekonomi, budaya dan politik di kalangan wanita yang bangkit memecahkan stereotaip.
Meniti arus globalisasi, wanita menggunakan media sosial seperti Twitter sebagai medium perbualan dalam membincangkan isu-isu semasa termasuk hak wanita, akses kepada sumber dan isu sosial. #WomenOnTwitter menyumbang, membentuk, dan membangkitkan beberapa peristiwa penting di Twitter.
Para wanita juga dapat berinteraksi dengan komuniti mereka yang mempunyai pandangan dan hala tuju yang sama. Sekaligus, memberi inspirasi kepada mereka yang terdiri dari Ketua Pegawai Eksekutif, artis digital, pakar kewangan peribadi hinggalah ke sektor perubatan.
Kenali 8 wanita inspirasi yang bangkit menempuh cabaran melalui Twitter:
ALINA AMIR
Pengasas Bersama Arus Academy
Graduan dari University of Illinois di Urbana Champaign dan berpengalaman sebagai penganalisa di Accenture Management Consulting selama setahun. Alina menyertai gerakan Teach For Malaysia (TFM) bagi membanteras ketidakadilan dalam sistem pendidikan. Pada tahun 2014, Alina tercalon mewakili Malaysia di World Innovation Summit for Education di Doha, Qatar. Pengalaman di TFM telah membuka matanya bahawa lebih banyak perkara yang perlu dilakukan.
Alina bersama 3 alumni TFM memulakan Arus Academy untuk menjadi sebahagian daripada jalan penyelesaian dalam memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar. Arus Academy menawarkan program kurikulum berkaitan falsafah Maker Education, komputer dan STEM kepada pelajar yang kurang berkemampuan. Alina turut menyatakan minatnya dalam menggunakan Twitter sebagai platform pembangunan profesional kegemarannya serta mendapatkan inspirasi daripada pendidik seluruh dunia.
“Kita dibesarkan dalam persekitaran di mana wanita perlu menjadi submisif, pasif, dan pendiam. Dalam bidang kerja yang majoritinya lelaki, saya cuba untuk kawal perasaan-perasaan tertentu di tempat kerja, atau punca ketakutan saya untuk bersuara dan menilai sama ada ia adalah akar dalam norma budaya kita.”
BOO SU LYN
Ketua Editor di CodeBlue
Misinya untuk menangani isu serangan seksual, salah laku etika dan isu penjagaan kesihatan. Boo sentiasa bersuara berkenaan isu-isu ini di Twitter dan menurutnya, Twitter adalah platform terbaik untuk pakar subjek menyampaikan maklumat yang kompleks terutama dalam bidang kesihatan, sains dan perubatan. Boo menggunakan Twitter sebagai alat advokasi untuk abstrak Rang Undang-undang kerajaan mengenai kawalan penyakit berjangkit dalam konteks kehidupan sebenar.
Dengan cara ini, rakyat Malaysia dapat memahami impak dan ketidakadilan penalti yang dikenakan terhadap salah laku COVID-19. Baru-baru ini, beliau telah melancarkan Ova, sebuah laman berita yang membicarakan isu kesihatan wanita dan perkara-perkara lain seperti ruang pekerjaan, hak wanita dalam seks, dan rumahtangga.
“Lelaki dan wanita perlu hentikan stereotaip terhadap jantina. Kenal pasti diskriminasi jantina dan bebannya yang lebih berat ke atas wanita. Contoh, wanita bekerjaya memikul tanggungjawab membesarkan anak dan mengurus hal rumah tangga yang lebih berat. Para lelaki hendaklah memberi sokongan kepada pasangan.”
DR AMALINA CHE BAKRI
Pakar Bedah Am, National Health Service UK
Felo Penyelidik Klinikal di Imperial College London, Dr. Amalina terkenal dengan semangatnya dalam memperjuangkan hak wanita. Beliau menggunakan Twitter sebagai medium untuk memperkasakan wanita, memecahkan stereotaip, serta berkongsi petua kesihatan dan perubatan. Beliau turut berkongsi pengalaman menarik yang dilaluinya sendiri tentang stereotaip.
“Dalam pembedahan kecemasan, saya pernah membedah seorang warga emas lelaki. Keesokan harinya, saya melawat beliau dan memperkenalkan diri saya sebagai pakar bedah kes tersebut. Saya menerangkan tentang keputusan pembedahan dan proses operasi yang telah dilakukan. Waktu itu, saya bersama-sama dengan junior yang juga rakan sekerja saya iaitu seorang lelaki warga tempatan yang tinggi dan berkulit putih. Beliau memegang nota pesakit manakala saya masih dalam pakaian bedah. Selepas saya bercakap dengan pesakit selama kira-kira 10 minit, pesakit kemudian bertanya kepada rakan sekerja saya, “Jadi, adakah kamu pakar bedah?” mengabaikan apa yang saya katakan kepadanya selama 10 minit yang lepas. Dia menyedari kesalahannya dan meminta maaf.”
IVY JOSIAH
Aktivis Hak Asasi Wanita
Berperanan penting dalam pembentukan Women’s Aid Organisation, sebuah NGO Malaysia yang memberikan bantuan kepada wanita untuk bebaskan diri daripada keganasan rumah tangga. Kini, Ivy bersama 4 organisasi wanita menerajui Tribunal Wanita pertama Malaysia. Misi tribunal adalah untuk menyediakan satu bentuk keadilan alternatif serta advokasi untuk hak wanita dan kesaksamaan jantina di negara ini. Usaha ini akan memperkasakan suara wanita yang terjejas oleh diskriminasi jantina.
“Pemerkasaan adalah peribadi dan politik, anda bukan sahaja memperkasakan diri sendiri tetapi anda memperkasakan dan bekerja dengan wanita lain.”
MOON
Artis NFT
Mumu the stan, juga dikenali sebagai Munira Hamzah merupakan seorang artis visual dan penyair tempatan yang mencipta non-fungible tokens (NFTs) sebagai sumber pendapatan. NTFs adalah aset digital yang mewakili pemilikan item digital seperti karya seni dan barang koleksi. Dengan wujudnya NFT, artis dan pengumpul boleh menjadi pemilik kekal seni digital dan aset digital unik lain dan menjana pendapatan daripadanya. Karya seninya menarik perhatian Mike Shinoda dan telah menjadi pembeli NFT pertamanya. Mike juga mendorongnya untuk meneruskan NFT demi kelangsungan hidup. Pada tahun 2021, karya seni Moon pernah dipamerkan di Art Basel, Miami. Dengan NFT, Moon dapat menjana keuntungan dengan menjual karya seni digital. Tambahan lagi, beliau turut menerima royalti daripada penjualan semula karya seninya. Moon juga percaya, dengan wujudnya sistem desentralisasi, NFT menjadi sebuah medium yang dapat mendorong artis dari pelbagai lapisan masyarakat untuk berhubung dengan khalayak global dan meletakkan nilai karya itu kepada penciptanya.
“Sebagai seorang ibu, masyarakat sekeliling mengharapkan wanita untuk bekerja umpama mereka tidak mempunyai keluarga tetapi untuk menjaga keluarga seolah-olah mereka tidak mempunyai kerjaya. Wanita juga ada cela, dan kami juga ada impian dan cita-cita. Bukan hanya untuk memuaskan hati orang lain. Sebaliknya, kita bekerja untuk diri sendiri. Fikirkan apa yang anda ingin capai. Jadilah kawan baik anda sendiri. Letakkan diri seperti mana anda masih kecil dan tanyakan kepada diri anda apakah matlamat hidup yang anda impikan?”
NADIAH WAN
Ketua Pegawai Eksekutif, Thomson Hospital
Merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Thomson Hospital, Kota Damansara dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMC Life Sciences Bhd. Beliau juga memegang jawatan sebagai Pengarah di Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM) dan seorang mentor bersama sebuah NGO antarabangsa, Endeavour. Nadiah sentiasa memanfaatkan akaun Twitter beliau untuk membantu meningkatkan lagi komunikasi kesihatan. Nadiah kerap berkongsi pandangan tentang usaha kerajaan dalam memerangi virus COVID-19.
“Hal ini bertakuk kepada pilihan dan ia datang dari pemahaman pertama tentang apa yang anda inginkan untuk diri sendiri. Tidak semua wanita mahukan anak dan sesetengah wanita lebih suka menumpukan perhatian kepada keluarga daripada kerjaya mereka. Namun, berapa ramai wanita yang yakin bahawa ini adalah apa yang mereka mahukan? Antara soalan yang sering saya tanyakan kepada diri sendiri adalah jika saya meneruskan trajektori saya sekarang, apakah bentuk kehidupan saya dan adakah itu kehidupan yang saya inginkan?
NALINI ELUMALAI
Aktivis Hak Asasi Manusia
Berpengalaman selama 15 tahun sebagai aktivis yang memperjuangkan hak asasi manusia. Kini, beliau merupakan Senior Malaysia Program Officer di ARTICLE 19, sebuah NGO antarabangsa yang memperkasakan hak kebebasan bersuara. Sebelum menyertai ARTICLE 19, Nalini memegang jawatan di NGO, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dan Anti ISA Movement (AIM).
“Kita perlu membuka minda dan membebaskan diri daripada norma masyarakat terhadap wanita. Jadilah diri sendiri dan jalani hidup anda tanpa sebarang penyesalan atau keraguan. Tidak mengapa untuk melepaskan diri dari rantai yang dikenakan pada wanita selama beberapa generasi.”
SURAYA ZAINUDIN
Pakar Kewangan Peribadi
Seorang penulis, penceramah dan pemasar digital. Suraya juga merupakan pengasas laman web kewangan peribadi yang popular, RinggitOhRinggit.com. Selain itu, beliau juga merupakan kurator siri buku ternama Cerita Duit Orang Malaysia. Suraya banyak meluaskan ilmu kewangan peribadi di Malaysia dengan berkongsi petua, nasihat untuk berbelanja dengan bijak, simpanan dan pelaburan. Beliau juga telus dalam berkongsi maklumat berkaitan pendapatan dan kewangannya sendiri.
“Pemerkasaan wanita ialah tugas seorang wanita untuk menjaga keluarga, komuniti dan masyarakat. kebanyakannya pada masa ini tidak berbayar dan hal ini akan meruntuhkan mereka dari segi ekonomi dan politik, diberi pampasan dari segi kewangan. Ia bukan hanya tentang ‘melengkapkan diri dengan set kemahiran untuk berjaya dalam dunia lelaki’, akan tetapi lebih kepada memperakui tugas yang dipikul secara percuma adalah sangat berharga dan layak mendapat ganjaran dari segi kewangan”.
“Fahamilah, walaupun anda fikir anda berjuang untuk hak dan kesaksamaan wanita, anda mungkin juga mempunyai perasaan berat sebelah yang tersembunyi terhadap wanita. Mungkin anda mahukan mereka menjadi lebih mudah disukai dan berkemahiran tinggi, sedangkan lelaki hanya perlukan kemahiran. Mungkin juga anda keliru antara keyakinan dan kecekapan. Mungkin anda tidak sedar, wanita sentiasa merendahkan diri mereka untuk lelaki walaupun hasil kerja mereka jauh lebih baik. Saya juga ingin menasihati anak muda agar mengamalkan budaya membaca. Jika anda mahu mempelajari sesuatu, bacalah buku mahupun artikel. Jika tidak berkesempatan, bacalah Tweets.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
NEELOFA Selebriti Pertama Malaysia Lancar Kasut Mewah Edisi Terhad Giuseppe Zanotti!

Wow, dalam diam rupa-rupanya Neelofa tengah rancak merencana masa depan dengan ramai designer luar negara! Kolaborasi terbarunya bukan calang-calang, Giuseppe Zanotti merupakan pereka kasut mewah terkenal kelahiran Itali dan rekaan kasut beliau sering digayakan selebriti terkemuka dunia antaranya Kim Kardashian, Lady Gaga dan Heidi Klum. Khabarnya, belum pernah lagi artis Malaysia menjalin kerjasama dengan pereka kasut hebat ini dan Neelofa pastinya menjadi personaliti pertama negara ini yang mendapat peluang keemasan tersebut. Kagum!
Penampilan Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor pada pertunjukan koleksi Giuseppe Zanotti Fall Winter 2019 di Milan, Februari lepas menjadi detik permulaan kepada kerjasama ini. Mereka berdua kemudian bertemu semula di Paris pada Jun lalu untuk membincangkan secara terperinci mengenai rekaan kasut eksklusif yang diilhamkan oleh Neelofa sendiri. Tiga bulan seterusnya iaitu pada September, pengasas Naelofar Hijab ini sekali lagi bertemu Zanotti ketika dia menghadiri pertunjukan koleksi Women’s Spring Summer 2020 di Milan.



Teruja mendapat kepercayaan untuk menghasilkan rekaan istimewa ini di bawah label terkemuka, Giuseppe Zanotti… duta telefon pintar Oppo berkenaan berkata, “Ia merupakan impian bagi setiap wanita memiliki sepasang kasut yang direka khas untuk mereka sendiri daripada pereka ternama. Dan Giuseppe Zanotti sudah tentunya pereka impian yang diidam-idamkan saya selama ini.
Saya mula memiliki kasut ini sejak 10 tahun lepas dan ia seperti mimpi yang jadi nyata apabila Zanotti sudi mereka kasut yang mencermikan personaliti saya. Saya harap para peminat turut teruja dan suka dengan koleksi eksklusif ini.”
Sementara itu, Zanotti turut melahirkan penghargaannya terhadap Neelofa di atas kerjasama berkenaan. Katanya, “Neelofa adalah gambaran kepada karakter moden, wanita yang yakin dan bersifat unapologetic terhadap gaya pilihannya sendiri. Saya cukup gembira dapat mengenali dan berkerjasama dengan Neelofa dalam menghasilkan sepasang kasut sempurna untuk dirinya.”
Rekaan gaya ‘Dazzling Liza for Neelofa’ dan ‘Mirror Liza for Neelofa’ akan dilancarkan pada penghujung November ini sebagai sebahagian daripada koleksi Spring/Summer 2020 dan ditawarkan dalam kuantiti yang terhad hanya di butik Giuseppe Zanotti di Pavilion Kuala Lumpur.




‘Dazzling Liza for Neelofa’ diperincikan dengan material suede rona biru cair yang ditaburi dengan kilauan kristal sebagai simbolik kepada gaya yakin wanita feminin. Sementara ‘Mirror Liza for Neelofa’ pula dibaluti dengan material kulit rona silver/rose gold metallic.
Memang terinspirasi dengan kejayaan terbaru Neelofa. Nampaknya makin rancak usahawan muda ini membina nama dan legasi ke peringkat antarabangsa. Buat Lofa, syabas dan tahniah kerana bukan hanya mengangkat martabat wanita Islam di mata dunia bahkan secara tidak langsung berjaya menyerlahkan kredibiliti rakyat Malaysia!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Bonda Pakai Semasa Umur 23 Tahun,” Persalinan Puteri Bongsu TUNKU AZIZAH Curi Tumpuan!

Ketika berlangsungnya Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, busana warna putih gading yang disarung Yang Amat Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah nyata mencuri tumpuan tetamu. Semuanya kerana persalinan puteri bongsu KDYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ini mengingatkan kembali nostalgia semasa pertabalan nendanya 35 tahun dahulu.
Meskipun usia busana tradisi berkenaan sudah lebih tiga dekad namun ia masih terletak cantik tatkala Tengku Puteri Jihan memakainya dan yang lebih penting memiliki nilai sentimental tersendiri.
Mana tidaknya, persalinan yang diperbuat daripada satin Dutch bersulaman renda Perancis itu merupakan persalinan bondanya, Tunku Azizah ketika menyaksikan pertabalan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada November 1984.



Maknanya sejarah sama kembali berulang. Dahulu, Tunku Azizah yang menyaksikan ayahanda ditabalkan Yang di-Pertuan Agong… tapi kini giliran Tengku Puteri Jihan pula mengulangi momen serupa dan memakai persalinan sama bonda tersayang!
Tengku Puteri Jihan yang berusia 17 tahun berkata beliau berasa bangga dan selesa mengenakan baju kurung milik bonda yang mempunyai nostalgia tersendiri. “Saya rasa bangga. Menurut bonda, kain (baju kurung) ini dibeli di London. Bonda pakai semasa berumur 23 tahun. Perlu besarkan sedikit sahaja di bahagian pinggang,” katanya.
Sementara itu, pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim yang berpengalaman selama 15 tahun sebagai ‘tukang jahit’ busana Tunku Azizah dan anakanda-anakanda baginda, diberi tanggungjawab mengubah suai saiz baju kurung Tunku Azizah itu untuk disesuaikan dengan saiz pinggang Tengku Puteri Jihan.

Lensa kamera pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 turut berjaya merakam kelibat putera dan puteri baginda. Kelima-lima puteri baginda tampak cukup manis dengan persalinan baju kurung tenun Pahang dan dihiasi dengan selendang putih serta mahkota di kepala.
Istimewanya, persalinan indah yang dipakai adalah dari Tenun Pahang Diraja yang ditenun oleh banduan-banduan terpilih dari Penjara Penor dan Penjara Bentong.
Manakala putera-putera baginda pula segak menggayakan busana songket dengan corak jalur menegak.
Istiadat yang berlangsung dengan gilang-gemilang penuh tradisi Raja-raja Melayu itu secara rasmi menandakan pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun.
Sumber: BERNAMA / Kredit foto: Instagram Malaysia Royal Family & Istana Negara
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


