Gila meroyan atau postpartum psychosis sering dikaitkan dengan kemurungan di kalangan ibu selepas bersalin.
Nampak ringan, namun sebenarnya cukup serius. Pada tahap ini, wanita yang mengalami gangguan jiwa atau psikosis mampu melakukan perkara-perkara yang membahayakan dirinya, bayi serta orang di sekeliling.
Kisah wanita bernama Najwa Abd Rahman ini patut dijadikan iktibar agar wanita yang mengalami keadaan serupa segera mendapatkan rawatan psikiatri.
Selepas bersalin anak kembar pada tahun 2015 yang lalu, perasaan meroyan ini mula hadir.
Saya melahirkan secara Caesarean. Mula-mula sikit. Lama-lama makin berat dan berlanjutan. Makin banyak bisikan halus yang datang mengganggu.
Mulanya saya tak perasan. Tapi bila akhir-akhir ini, makin kuat sehingga kadang-kadang seperti rasukan.
Saya menangis dan ketawa sesuka hati. Tanpa sebab tertentu. Saya juga kerap bergaduh dengan suami dan keluarga.
Meroyan ada 44 jenis. Apa yang saya alami sekarang ialah meroyan angin dan meroyan darah. Alhamdulilah semakin pulih selepas berubat dengan cara membaca Al-Quran setiap hari (10 muka surat), beristighfar dan baca Saidul Istighfar termasuk amalan-amalan lain.
Tapi saya perlu bantuan sebab saya dah lama sangat jadi tak kuat. Jadi saya berubat cara tradisional juga iaitu dengan meminum akar kayu merebu.
Simptom-Simpton Meroyan Yang Dialami
- Bila baca Al-Quran, ada bisikan datang (buang Al-Quran dalam tandas atau pijak). Astarghfirullah kalau saya tak ada asas agama, mungkin dah lama tewas. Bila jadi macam tu, terus saya istighfar banyak-banyak dan cuba lawan dengan sedaya upaya.
- Kadang-kadang datang bisikan pasal anak-anak. Dia suruh buang anak, bagi anak kat orang, rasa anak-anak macam beban dan malang. Saya sendiri hairan kenapa jadi macam ni? Alhamdulilah setakat ini saya mampu lawan bisikan tu lagi.
- Bila stres, makin bertambah bisikan tu. Ini saya tak ada ubat kecuali baca Al-Quran dan zikir.
- Jadi sensitif tak bertempat. Anak makan coklat saya pun saya nangis macam Cina mati.
- Pemikiran tak stabil. Masa tu dalam pantang di rumah mak saya. Rasa nak bunuh diri dan nak tamatkan hidup. Fikir pula dosa apa saya buat ni, teringat pula sakit kalau kena batu, nasib di rumah teres bukan bangunan 40 tingkat. Itulah kali pertama dan terakhir.
- Rasa putus asa, bersalah, sunyi, letih, sedih, selalu menangis, keseorangan dan rasa diri tak berguna sangat.
Itulah yang saya alami. Semua ni orang tak nampak, orang tak percaya. Hanya diri kita saja yang tahu.
Alhamdulilah saya ada keluarga yang faham diri ini dan sentiasa beri sokongan. Jadi sesiapa yang ada simptom-simptom macam di atas, cepat-cepatlah berubat sebab kalau lambat boleh jadi gila.
Satu lagi meroyan ni bukan dalam pantang saja. Meroyan boleh berlarutan seumur hidup jika tak berubat.
Sekarang ni saya sedang berubat dengan berjumpa ustaz dan berubat secara tradisional. Saya juga dalam proses untuk bertemu pakar psikiatri untuk rawatan lanjut. Paling utama saya berubat diri sendiri dengan mengamalkan bacaan ayat Quran, ruqyah serta zikir..
Kenali Psikosis
Menurut Majalah Sains, psikosis selepas bersalin atau postpartum psychosis juga dipanggil gila meroyan merupakan peringkat paling teruk yang jarang berlaku selepas bersalin.
Ia berbeza daripada masalah psikosis yang biasa berlaku kepada masyarakat umum kerana kaitannya dengan proses bersalin, manifestasi yang lebih mirip masalah emosi dan prognosisnya adalah lebih baik.
Dalam kalangan 1,000 ibu yang melahirkan anak, satu hingga dua orang (1- 2: 1000) boleh diserang psikosis selepas bersalin. Ia biasanya bermula tiga hingga lima hari selepas bersalin dan dua pertiga daripada pesakit mendapat psikosis dalam dua minggu pertama selepas kelahiran.
Gejala psikosis selepas bersalin boleh berlaku sehingga satu atau dua tahun selepas bersalin. Ia bermula dengan gangguan emosi seperti perasaan resah dan tidak tenang. Mereka tidak dapat cukup tidur walaupun bayi tidur lena. Mereka sering merasa keletihan. Kemudiannya, ibu yang menghidap psikosis selepas bersalin ini akan mengalami emosi yang tidak stabil dan berubah-ubah.
Terdapat tempoh kemurungan atau kesedihan yang melampau dan sering menangis. Psikosis berlaku apabila mereka mula mempunyai perasaan ragu-ragu, bercelaru, bercakap merapu dan mengeluarkan fakta-fakta yang sukar diterima akal yang waras. Separuh daripada mereka mempunyai pelbagai kepercayaan karut atau delusi.
Ada kalangan pesakit yang beranggapan bahawa bayinya cacat walaupun sebenarnya sihat, bayi yang dilahirkan bukan anak mereka, bayi yang dilahirkan membawa sial dan sebagainya. Satu perempat daripada mereka (25 peratus) mengalami gangguan halusinasi dengan mendengar suara-suara ghaib yang kadang-kadang memburukkan mereka, menyuruh pesakit membunuh bayi dan sebagainya.
Terdapat ibu-ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin tidak mahu menjaga bayi mereka sendiri, membenci bayi tersebut dan ada yang mencuba membunuh bayi mereka sendiri. Kadar bunuh diri dalam kalangan ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin juga adalah tinggi. Norzalina Mohd Alias