‘Kalau Di Mata Orang Luar Sana Fikir Saya Salah, Saya Minta Maaf’- Bella Astillah

Enggan mengenang insiden lalu dan mahu terus ke depan di samping keluarga tersayang. Itu pengakuan ikhlas Bella Astillah ketika ditanya tentang kehidupannya hari ini. Kelihatan ceria di sisi Aliff dan anak sulungnya, Mohamad Ayden Adrean, wanita berjiwa kental ini cukup terbuka berkongsi rahsia hati. Jelas Bella, apa yang diluahkan bukan untuk meraih simpati tetapi sekadar untuk dijadikan pengajaran kepada semua wanita.

“Sebagai wanita dan juga isteri, saya harus kuat. Kalau selamanya tengok ke belakang takut nanti kita jadi pemarah dan lebih membenci. Jadi, untuk elak perselisihan kena harus ke depan dan fikir positif. Berbincang dengan suami tentang apa juga yang dirasakan tidak puas hati atau apa yang harus diperbaiki. Kalau hendak cakap saya sudah lupakan peristiwa itu seratus peratus, tipulah. Cuma doakan yang baik-baik dan inshaAllah setiap perbuatan positif yang kita buat hasilnya pun akan sentiasa positif.”

Tatkala ditanya kunci kebahagiaan yang perlu ada dalam sesebuah perkahwinan, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah selesa menjadikan kepercayaan, sikap saling menghormati dan komunikasi di antara pasangan sebagai fokus utama. Malah, sepanjang setahun melayari alam rumah tangga kedua-duanya lantang menyuarakan pandangan sekiranya ada yang terguris perasaan atau sebaliknya.

“Tak senang hati ke atau apa-apa saja perlu suarakan dan berterus-terang. Tak boleh simpan dalam hati sebab itu yang buatkan perasaan kita semakin hari semakin hilang sayang. Sempena kedatangan Awal Muharam, saya mahu jadi isteri dan ibu yang lebih baik. Saya turut berharap orang luar tidak lagi mempertikaikan kenapa kami masih bersama.

Beri kami ruang untuk saling cuba memperbaiki hubungan ini,” tuturnya penuh hormat sambil mengesahkan dia dan suami berusaha mengembalikan kehangatan cinta mereka seperti awal percintaan dulu.

Tidak mahu ambil pusing dengan kata-kata negatif atau tindakan segelintir pihak yang masih kurang puas hati dengan kebahagiaan yang dikecapinya bersama Aliff sekarang, ini pesan Bella. “Saya tak sepatutnya buat benda yang sama seperti mereka. Tak perlu buat atau komen balas apa-apa pun. Pada saya mana-mana pihak pun harus sentiasa ke depan.

Saya juga wanita dan manusia biasa yang ada perasaan. Memang saya rasa sangat sakit pada masa itu tapi sekejap saja dan sekarang saya dah ok. Kalau ada di mata orang luar sana fikir saya salah, saya minta maaf.”

 

IKLAN
Share