Kemelut kenaikan harga minyak sekali lagi pada minggu ini, bukanlah apa-apa jika mahu dibandingkan sengsara yang sedang dialami etnik Rohingya di Myanmar jam sekarang.
Tak terbayang rasanya melihat berita penganiayaan terhadap mereka. Jiwa bergelora, air mata bertakung dan rasa geram menyala-nyala tatkala melihat nasib mangsa rogol dan kekejaman manusia di sana, seolah-olah nyawa tidak berharga! Betapa darah seperti air hujan yang menyiram bumi.
Sebagai wanita, Nona sendiri kelu bicara membaca kes-kes di bawah. Allahuakbar, Tuhan bantulah mereka! Duhai wanita yang lembut hatinya, jika ini tak mampu menyentuh hatimu, mungkinkah ia sudah mengeras seperti batu?
Kes 1: Keranda Terapung
Dalam usaha wanita Rohingya melarikan diri, kebanyakannya berakhir dengan kematian dalam bot ‘keranda terapung’.
Roshida, seorang janda berusia 25 tahun, memberitahu bagaimana dia menaiki kapal bersama seorang anak perempuan berusia sembilan bulan.
Beliau berkata, di atas kapal, dia tersungkur selama berjam-jam dalam keadaan yang menyesakkan dan panas. Kakinya tertindih dengan wanita lain di hadapannya.
“Suatu ketika, anak-anak kapal sedang makan nasi dan anak saya mula menangis kerana kelaparan. Mereka marah dan membakar tangan anak saya dengan puntung rokok.”
Dia juga memberitahu bahawa dia telah melihat ada dua orang mati di dalam kapal tersebut kemudian dibuang ke laut.
Sesungguhnya, beratus-ratus telah meninggal dunia dalam perjalanan laut ini untuk melarikan diri dari penganiayaan dan mencari tempat berlindung, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Kes 2: Kubur Besar Pelarian Rohingya
Ibarat ‘menggali kubur’ sendiri, begitulah takdir pelarian wanita yang diseludup oleh para sindiket.
Ads
Beratus-ratus kubur telah ditemui oleh pihak berkuasa Malaysia yang ditinggalkan di sempadan Thailand dipercayai untuk menanam mayat Rohingya yang mati akibat kebuluran dan penyakit.
Pada bulan April 2015, kubur besar juga dijumpai di kem tahanan di Songkhla, Thailand, tertanam mayat pelarian Rohingya.
Kes 3: Dipisahkan Daripada Keluarga
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, Yasmine, memberitahu Human Rights Watch yang 12 orang lelaki datang ke rumahnya di Rakhine, dan memaksanya untuk meninggalkan Myanmar.
“Mereka mengheret saya ke perahu, mereka mempunyai kayu dan mengugut untuk memukul saya… Saya menjerit, saya menangis dengan kuat.
Ibu bapa saya juga menangis, tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Saya pergi ke bot dengan tiga lelaki dan diserahkan kepada sindiket.”
Ads
Kes 4: Mangsa Penderaan Seksual
Wanita Rohingya yang melarikan diri ke kem transit penyeludupan manusia memberitahu bagaimana wanita dan kanak-kanak perempuan Muslim telah diperlakukan seperti hamba seks oleh pengawal kem.
Nur Khaidha Abdul Shukur, 24 tahun, berada di kem tersebut selama lapan hari dengan bayinya, berkata ada wanita Rohingya yang diperkosa oleh penyeludup dan kemudiannya mengandung.
Di Rakhine, rumah-rumah orang Islam Rohingya dimusnahkan dan diserbu oleh sekumpulan lelaki bersenjata; mereka dipukul dan diculik manakala wanita Rohingya dan anak-anak menghadapi penderaan seksual dan rogol.
Hal ini telah menjadi faktor pendorong kepada mereka kerana terpaksa menghantar anak-anak perempuan mereka jauh ke negara-negara seperti Malaysia.
Tindakan Wanita Malaysia
Saudara kita di Rohingya, anak-anak dan keluarga mereka tidak memerlukan perlindungan sementara atau hanya bantuan kemanusiaan.
Ads
Tapi mereka memerlukan keselamatan, perlindungan, hak dan janji kehidupan yang sejahtera yang sepatutnya diperolehi oleh setiap manusia.
Mereka juga mahu menghapuskan air mata dan melupakan kisah silam penderitaan mereka.
Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk melindungi saudara-saudara kita; dan kewajipan Islam kita sebagai orang yang beriman untuk mempertahankan dan mengubah nasib umat Islam Rohingya, kerana Rasulullah (SAW) berkata,
“Adalah tidak beriman sehingga kamu suka saudaramu seperti mana kamu menyukai dirimu sendiri.”
Nona ingin menyeru wanita-wanita prihatin di Malaysia agar menyalurkan sedikit bantuan mengikut kapasiti yang kita ada di saluran yang betul.
Antaranya melalui kempen ‘SINAR4ROHINGYA – Solidariti Untuk Kemanusiaan’ yang digerakkan oleh Sinar Harian & Kumpulan Media Karangkraf.
Menerusi kempen itu, dana turut dikumpulkan untuk pendidikan, perubatan, makanan dan pemulihan kaum Rohingya di Malaysia dan Myanmar.
Anda boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank ‘Sinar Karangkraf SDN BHD’ (tabung Sinar4Rohingya-Solidarity for Humanity), 503033634355.
Semua dana yang terkumpul akan dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank khusus untuk program itu.
Dana ini akan diurus oleh Sinar Harian yang akan melantik badan-badan yang bertanggungjawab agar semua sumbangan akan digunakan sepenuhnya untuk membantu masyarakat Rohingya.
Sinar Harian bersama NGO dan juga badan-badan korporat akan melancarkan kempen kesedaran melalui hebahan di akhbar bercetak Sinar Harian, Sinar Online dan Sinar TV bagi meningkatkan kefahaman rakyat mengenai krisis yang menimpa kaum Rohingya.
Sehingga Mei lalu, 133,725 pelarian dari Myanmar didaftarkan oleh United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) di Malaysia. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sekejap saja masa berlalu. Menjengah 15 September lepas genap setahun usia Areesya Malaykha, anak perempuan Azrinaz Mazhar Hakim dan Fairos Khan Abdul Hamid. Melalui foto-foto yang dikongsikan bekas personaliti TV ini di Instagram miliknya, jelas terserlah wajah bahagia seisi keluarga Azrinaz. Apatah lagi telatah dan gelagat comel Areesya sentiasa mencuri tumpuan dan menghiburkan followers dan peminat setia jelitawan ini.
Dalam majlis sambutan hari lahir Areesya Malaykha, bayi bijak ini diraikan penuh meriah dengan hiasan belon berwarna pastel dan aneka menu pencuci mulut menyelerakan. Areesya juga cukup bertuah kerana menerima dua biji kek lahir yang salah satu daripadanya bertemakan hidupan laut. Comel sangat!
Sebagai ibu, tiada ucapan yang lebih bermakna selain bersyukur melihat anak yang dikandung semakin menginjak usia dewasa. “You makes my life brighter. You brought soul into us. You gave happiness to your grandparents. You spark energy in our daily life. You complete what a marriage for. Through you, God gave us never ending rizqi.
Setahun yang penuh warna warni. 365 hari yang sungguh menyenangkan. Keletah yang ceria sentiasa. Senang kemana-mana. Looking forward to many more days and celebrations with you. Mommy and daddy wishes you the best of everything in this dunya and here after. May you be the coolness of our eyes.”
Mengimbas kembali kelahiran permata hati Azrinaz dan suami, kehadiran Areesya Malaykha pada tanggal 15 September 2019 jam 10.20 pagi seberat 2.75 kilogram benar-benar mengubah ‘corak’ kehidupan rumah tangga pasangan romantis berkenaan. Tidak sangka rezeki menimang cahaya mata tiba dengan cepat, Azrinaz dan suami mengakui Areesya menjadikan rutin mereka lebih bermakna.
Berkongsi momen terindah selepas kembali bergelar ibu, Azrinaz menjelaskan dia dan suami sangat teruja dengan amanah yang dikurniakan Allah SWT ini. Ujarnya, proses kelahiran kali ini dipermudahkan dan berjalan dengan lancar. Kali terakhir Azrinaz melahirkan anak adalah pada 11 tahun lalu.
Kasut yang sama pernah dipakai kakaknya, Puteri Ameerah Wardatul BolkiahKakak Areesya Malaykha (tengah)
Menerusi perkahwinan terdahulu bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Azrinaz dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Pengiran Muda Abdul Wakeel 14 tahun dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berusia 12 tahun.
Genap seminggu dilahirkan, Azrinaz dan suami sepakat mengumumkan nama anak mereka iaitu Areesya Malaykha selepas bayi perempuan comel tersebut selesai bertahnik. Upacara tahnik disempurnakan Ustaz Muhamad bin Abdullah Al-Amin dan dibantu Ustaz Mohd Hafeez di kediaman mereka. Menurut ibu ini lagi, nama Areesya dalam Bahasa Arab membawa maksud tinggi dan kuat. Manakala Malaykha pula bermakna bidadari atau malaikat.
Pada penghujung tahun lalu, Azrinaz menjadi perhatian ramai apabila majlis cukur jambul Areesya Malaykha diadakan penuh indah dan mewah di sebuah hotel terkemuka di ibu negara. Ia merupakan majlis cukur jambul pertama yang direalisasikan dengan pelamin carousel ala Disneyland bergerak ilham Glam Weddings by Dato’ Rizalman! Untung Areesya Malaykha.
Harapan Nona, semoga Areesya Malaykha membesar dengan sihat, berjaya menjadi anak solehah dan membanggakan kedua-dua ibu bapa. Buat Azrinaz dan Fairos, semoga terus menjadi contoh ibu bapa terbaik dan tidak lelah mendidik serta mengasuh cahaya mata mereka ini ke jalan yang diredai dan diberkati Allah SWT.
Kredit: Instagram Azrinaz Mazhar Hakim
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pernah suatu ketika lalu, isu-isu melibatkan zakat seperti proses pengagihan yang lambat serta bantuan tidak sampai kepada mereka yang memerlukan, pernah mencalarkan imej pusat zakat di Malaysia.
Salah satu luahan yang paling menyentuh hati Nona adalah yang dikongsikan di bawah,
Realitinya, tidak pernah wujud isu pilih kasih dalam institusi zakat di negara ini. Sebagai orang yang memegang amanah dan tanggungjawab agama yang besar, Nona percaya mereka telah sedaya upaya memberikan bantuan kepada pemohon yang layak.
Jika ada pun permohonan bantuan zakat yang ditolak, ia mungkin bukan sengaja kerana institusi zakat ini telah menetapkan had kifayah (penentuan asnaf fakir miskin) mengikut kutipan zakat tahunan.
Luahan di atas juga menggambarkan betapa komitednya pihak zakat menguruskan setiap proses yang mereka terima setiap hari. Terkini, pengumuman Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mempercepatkan kelulusan permohonan bantuan zakat daripada 30 hari kepada 5 hari sahaja dilihat sebagai suatu usaha yang amat cekap.
Kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, “MAIWP sentiasa menambahbaik perkhidmatan dalam urusan zakat, kalau dulu 30 hari, sekarang mesti selesai dalam tempoh tidak lebih 5 hari.
Kedua meringkaskan borang permohonan, dulu 8 halaman sekarang 2 halaman dan tidak perlu pengesahan mahupun sokongan daripada mana-mana pihak kecuali pengesahan pendapatan.”
Tambah beliau, MAIWP telah membuka 10 Pusat Agihan Zakat mengikut kawasan parlimen untuk memudahkan asnaf berurusan tanpa perlu ke ibu pejabatnya di Jalan Ipoh.
Dalam menyahut seruan kerajaan supaya setiap agensi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, MAIWP juga telah mempunyai Skuad Jejak Asnaf yang akan turun padang menjejaki asnaf yang masih tercicir.
Talian hotline 1-800-88-5222 turut disediakan bagi memudahkan asnaf menghubungi MAIWP. Selari dengan teknologi terkini, talian Whatsapp Skuad Jejak Asnaf beroperasi 24 jam dan 7 hari seminggu iaitu 012-5183614 dan 012-5127614. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kekuatan seorang wanita sememangnya luar biasa. Dalam keadaan sukar macam mana sekalipun mereka mampu mengawal situasi dengan baik dan pastinya dengan ‘bantuan’ Dia Yang Satu! Benarlah, Allah menciptakan wanita dengan cukup istimewa. Luaran sahaja nampak lembut tapi dalaman mereka tersimpan seribu satu rahsia.
Melihat ketabahan Dayah Bakar mengharungi saat kelahiran tanpa ketiadaan suami di sisi membuktikan betapa kuatnya insan bergelar ibu ini. Nona percaya ramai wanita rasa kagum dengan semangat Dayah.
Detik 2.23 petang tanggal 17 Ogos lepas, cahaya mata sulung yang paling dinanti-nantikan Dayah dan suami tercinta selamat lahir ke dunia. Namun, momen kelahiran bayi lelaki comel tersebut tidak dapat disaksikan suami Dayah yang juga pegawai tentera berpangkat kapten iaitu Muhammad Hanif Hamidi kerana bertugas di Australia dan tidak dapat pulang ke tanah air kerana wabak Covid-19.
Pun begitu, kedua-dua pasangan romantis ini saling memahami dan kerap berinteraksi di antara satu sama lain. Dayah atau nama sebenarnya Nurhidayah Abu Bakar selamat melahirkan anak sulung secara pembedahan dan ditemani ahli keluarga tersayang.
Berkongsi khabar gembira bersama peminat di Instagram, Dayah turut memuatnaik gambar jari si comel memegang erat jemarinya. “Allahuakbar alhamdulillah. Saya selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada jam 2.23 petang tadi. Both mommy and baby doing fine. Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kami. Sehingga saat ini, saya masih tak percaya that little bb is already out. Macam mimpi. Indescribable feeling, MashaAllah.”
https://www.instagram.com/p/CD93Y2PpyHl/
Genap seminggu kelahiran, Dayah mengumumkan pula nama si comel tersebut yang diberi nama Achbar Muhammad Fahri bin Muhammad Hanif. Sedap nama! Jelas Dayah, Achbar bermaksud dihormati, Muhammad pula membawa makna yang terpuji dan Fahri ialah kebanggaanku. “Nama pilihan Baba. Apa Baba suka, ibu turutkan. Tapi, nama Fahri tu memang pilihan tepat hati Ibu.”
Pada 29 Jun lepas, Dayah dan Hanif menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang kedua. Walau tidak lagi berpeluang untuk bertemu tapi Hanif tetap mengingati tarikh keramat itu dan menghantar pemberian istimewa kepada isteri tercinta sempena meraikan ulang tahun hari bersejarah mereka. Moga Dayah terus kuat menjalani tempoh berpantang dan dapat segera dipertemukan dengan suami tercinta di samping anak tersayang.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.