
Sudah menjadi lumrah dalam alam perkahwinan, pasangan yang bergelar suami isteri pasti mahukan sebuah keluarga yang bahagia hingga ke akhir hayat. Pastinya, dikurniakan cahaya mata menjadi pelengkap dalam sesebuah mahligai cinta yang dibina indah dua hati. Namun apa yang pasti, soal jodoh merupakan ketentuan-Nya. Siapalah kita sebagai manusia, harus mempersoalkan dan mempertikaikan segala ketentuan-Nya?
Berbicara mengenai cahaya mata, pelakon Zulin Aziz bersama suami, Farhan Norzaini sering diasak soal anak selepas 10 bulan mendirikan mahligai rumah tangga bersama.
Tampil memberi respons padu ketika sedang bercuti di Korea Selatan bersama suaminya, Zulin meluahkan keinginannya mahu mempunyai zuriat, namun dia tidak pernah berhenti berusaha.
“Kami seringkali ditanya mengenai soal anak. Jujurnya, kami juga inginkan zuriat setelah 10 bulan TEMPOH usia perkahwinan kami. Kami tidak pernah berhenti berusaha untuk dikurniakan cahaya mata.
Pelakon yang pernah membintangi drama Penjara Janji itu turut berharap agar orang ramai mendoakan kesejahteraan buat mereka berdua dan terus sabar menanti.
Ini bagaikan sebuah proses. Harus banyak kesabaran dan mohon doakan yang baik-baik buat kami ya?
Hasil tinjauan di ruangan komen, perkongsian tersebut telah mendapat pelbagai respons yang rata-ratanya memberikan kata-kata semangat kepada pasangan itu.
Sebelum ini, pelakon itu telah mendedahkan bahawa dirinya pernah mengalami keguguran, September lalu.
Sumber gambar: Instagram Zulin Aziz
Senyuman Anna Antara Dubai City Dan Hong Kong

Datuk Halim sudah membayangkan kelincahan Anna di Dubai City. Malah Hanif Bobo juga sudah tersengih melihat Anna sedang menari gemalai di bawah neon yang malap. Lebih daripada itu Datuk Jalal tersengih sakan melihat Anna terlentok di bahunya dalam penerbangan MAS ke Hong Kong.
ANNA RAZALI bukanlah calang-calang wanita. Apabila dia berjalan di hadapan sekumpulan lima orang lelaki, boleh dikatakan kelima-lima mereka akan menoleh lebih sekali padanya dengan mulut berdecit dan mata hampir terbeliak. “Fuyoo…!” kata pula mereka yang lebih miang.
Anna biasa sahaja. Sekurangnya dia puas hati, mungkin kerana semburan Diornya pagi tadi berjaya menghambat dada lelaki-lelaki itu. Atau mungkin skirt labuh yang baru dibeli di Pavilion, Ahad lepas menambah lagi keyakinannya untuk melangkah. Mungkin juga beg sandang dengan laptopnya itu semakin menjadikan dirinya berwibawa.
Dia selamba sahaja meneruskan segala urusannya seharian, ke hulu dan ke hilir, turun naik kereta membereskan segala urusan dalam pejabat dan luar pejabat. Sama ada di kaunter pejabat swasta ataupun menghadiri mesyuarat penting di jabatan kerajaan itu lumrah baginya. Orang senyum dia senyum. Orang bertanya, dia menjawab.
Pernah sekali Datuk Munir menegur Anna; “You ni cubalah cool sikit… you bukan tak boleh buat semua itu tetapi ikutlah kesesuaian, slow and steady,” kata lelaki itu.
Anna hanya tersengih. Kemudian lambat-lambat dia menjawab…”Saya ni Datuk, kalau disuruh melompat dan berlari pun saya memang sanggup. Itu cara kerja saya, pantang bertangguh. Tapi saya memang tak boleh melihat pekerja yang buat kerja dengan lembap dan penuh lemah gemalai,” kata Anna.
Datuk Munir tersenyum. “Yes… you are a good girl…” Selalu dia puji Anna begitu. Dia tahu Anna Razali akan bergerak pantas mengalahkan orang lain. Datuk Munir memang bangga dengan pencapaian Anna.
Malah ramai kawan-kawan bisnes Datuk Munir minta dikenalkan dengan Anna. Mereka mahu membawa Anna masuk ke dalam syarikat mereka. Mereka malah mahu lebih daripada itu. Misalnya kalau boleh…. Membawa Anna pergi makan malam, duduk berborak-borak, bersantai sambil berbual ringan.
“Eh, kamu jangan nak buang begitu dengan Anna…” Tegas Datuk Munir.
Datuk Halim termenung. Dia meraba-raba misai nipisnya. “Kenapa?” Soalnya pantas. “Bukankah Anna tu masih muda, mahukan perhatian, mahukan hiburan dan teman-teman gembira di sekelilingnya setelah penat seharian menguruskan hal pejabat?”
Datuk Munir tersengih sahaja.
“Saya ni Datuk, kalau boleh mahu pinjam Anna untuk mini pelaburan syarikat saya ke Dubai bulan depan. Boleh Datuk benarkan saya bawa Anna bersama?” pinta pula Hanif Bobo, seorang tuan punya sebuah syarikat perkapalan.
Sekali lagi Datuk Munir tersenyum. Datuk Halim dan Hanif Bobo mengerut dahi. Kali ini Datuk Jalal pula menyampuk, “Ah Munir… janganlah kedekut. Pinjamkan Anna… saya pinjamkan you saya punya June. Bukan lama, sekejap saja,” kata Datuk Jalal, penuh yakin dan amat berharap.
Datuk Halim sudah membayangkan kelincahan Anna di Dubai City. Malah Hanif Bobo juga sudah tersengih melihat Anna sedang menari gemalai di bawah neon yang malap. Lebih daripada itu Datuk Jalal tersengih sakan melihat Anna terlentok di bahunya dalam penerbangan MAS ke Hong Kong.
Datuk Munir menggeleng. Berkali-kali dia menggeleng. “Tak boleh. Saya tak akan benarkan Anna mengikut you all. Dia amanah bagi saya. Saya kena pegang amanah itu. Tak boleh!”
“Kenapa? Apa salahnya? Saya hendak pinjam sekejap sahaja. Habis siap semua projek, saya pulangkan semula… Semua projek akan beres dalam tiga bulan sahaja. Nanti jika berjaya saya akan berikan juga sebahagian keuntungan projek pada you…”
Sekali lagi Datuk Munir menghela nafas panjang. “Tahukah kamu Anna tu dah kahwin, dah ada lima orang anak. Lagipun dia staf saya, bukan barang dagangan untuk ditukar milik,” kali ini Datuk Munir terpaksa meninggikan suara.
Serentak itu Datuk Halim dan Hanif Bobo melopong. Datuk Jalal sudah angkat punggung, meninggalkan mereka bertiga. Seketika, Datuk Halim dan Hanif Bobor tidak berani bersuara. Mereka melihat raut wajah Datuk Munir penuh teka-teki.
“Saya tahu ramai yang anggap Anna masih bujang. Maafkan saya… dia seorang ibu muda yang aktif. Dia berjaya dengan usahanya sendiri. Dia berjaya mengimbangi antara kerjaya dan rumah tangga. Itu sudah cukup baginya. Tak perlu ada suntikan dari luar…” Datuk Munir menerangkan panjang lebar.
“An honest heart is an open heart… saya ikhlas. Semoga lepas ini tak ada salah sangka pada ibu bekerja. Mereka betul-betul kerja untuk membantu keluarga, bukan main-main untuk menggoda lelaki,” jelas Datuk Munir lagi.
“Jangan samakan Anna kepunyaan syarikat saya itu dengan June atau Sally atau Mimie yang ada di pejabat kamu…” kata Datuk Munir, menyindir.
Bukanlah payah untuk berusaha
Namun seksanya jika kita menjaja setia
Coretan: Sri Diah
“Hanya Bertemu Ayah Raya Ke-4”- NURUL IMAN DZULKEFLY

Figura bernama Nurul Iman Dzulkefly selayaknya dijadikan contoh atau ikon bagi wanita lain di luar sana. Pelbagai kisah jatuh bangun yang diharunginya hingga mampu berada di tahap sekarang. Walaupun Nurul Iman atau lebih mesra disapa Iman merupakan anak kepada Menteri Kesihatan Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Bin Ahmad, ia bukanlah alasan untuk dia berdiri di atas kaki sendiri.
Mempunyai latar belakang Pendidikan yang hebat, pastinya Iman menyemai kepakaran yang dimiliki dalam bidang yang dicintainya. Graduan Undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa ini semakin rancak melakar kejayaan sekaligus menjadikan dia seorang wanita yang cukup matang dan berdikari.

“ Selepas memperoleh ijazah di UIA, saya menyambung pelajaran dengan mengambil Master dalam jurusan undang-undang. Sejurus tamat belajar, saya bekerja sebagai peguam syarie selama tiga tahun. Seterusnya, saya melangkah ke bidang akademik dengan menjadi salah seorang tenaga pengajar di sebuah kolej islam tempatan.
Saya akui bukan mudah untuk lalui kehidupan ini. Pelbagai cabaran yang harus saya tempuhi termasuklah masalah rumah tangga yang saya alami. Saya menjadi ibu tunggal selama lima tahun. Hasil perkahwinan pertama, saya dikurniakan lima cahaya mata. Alhamdulillah, jodoh pertemuan di tangan tuhan. Saya menemukan jodoh untuk kali kedua. Saya mengharapkan ikatan perkahwinan yang baru saja dibina ini berkekalan hingga ke Jannah, amin “ bicara Iman.
BAHAGIA LEBARAN
Perjalanan rumah tangga Iman pastinya menjadikan dia seorang wanita kuat dan cekal. Kehidupan baru bersama keluarga tercinta mencipta seribu satu kemanisan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Sempena Aidilfitri yang penuh mulia, Iman turut berkongsikan kenangan dan momen manis lebaran bersama insan tersayang.
“ Tahun ini merupakan tahun kedua raya bersama keluarga baru selepas setahun lebih mendirikan rumah tangga bersama suami. Alhamdulillah, untuk perkahwinan kedua ini, suami sangat memahami dan boleh menerima saya dan anak-anak seadanya. Walaupun usia dia jauh lebih muda, umur bukanlah pengukur kepada sesebuah kebahagiaan. Paling penting ia perlu ada mawaddah, sakinah dan rahmah.
Menyentuh soal raya, saya masih teringat kenangan lalu ketika beraya bersama keluarga saya. Sejak ayah saya sudah menjadi menteri, rutin raya kami jadi sedikit berbeza. Masa bersama menjadi lebih terhad. Seperti tahun lepas, selepas solat raya, ayah akan bertemu rakyat dan hadiri majlis rumah-rumah terbuka.
Saya masih ingat, sebelum ayah jadi menteri dan berpindah ke Putrajaya, kami akan berkumpul adik-beradik di rumah yang terletak di Shah Alam untuk raikan hari raya. Sebelum ayah jadi menteri pun, memang dia akan solat di masjid Kuala Selangor bersama dengan rakyatnya. Ketika itu ayah merupakan ahli parlimen Selangor. Selepas itu, barulah dia balik ke rumah. Itu pun selepas pukul 2 atau 3 petang. Namun, pada raya tahun lepas dimana tahun pertama ayah jadi menteri, raya ke-4 baru kami dapat berjumpa dengannya.
Saya sebagai anak, kadangkala merasakan ayah sendiri telah diambil oleh rakyat. Dalam kata erti lain, ayah sudah menjadi hak rakyat. Pada mulanya timbul perasaan itu, namun lama-kelamaan, selepas duduk dan berborak dengan adik-adik yang lain, kami semua boleh menerima dengan hati yang terbuka. Mungkin itu merupakan cabaran apabila rakyat sudah memilih, kami perlu belajar untuk menerima keadaan ini,” jelas Iman yang cukup berbangga dengan pencapaian ayahnya hari ini.
PERSIAPAN SYAWAL
Setiap keluarga pasti ada tradisi atau rutin menjelang hari lebaran. Aktiviti seisi keluarga bagi mengeratkan ikatan silaturrahim pasti dirasai. Begitu juga bagi Iman sekeluarga. Menurutnya, dia bersama kelaurga mempunyai tradisi tersendiri.
“ Setiap hari pertama puasa, kami sekeluarga wajib berbuka puasa bersama. Ini merupakan tradisi kami sejak masih kecil lagi. Tahun ini, ia sedikit berbeza dan segala persiapan perlu dirancang semula memandangkan tugas ayah yang sibuk dan mungkin tidak menginzinkan. Untuk berbuka bersama, kami mencari waktu hujung minggu kerana jadual harian sudah terlalu padat.
Sejujurnya, persiapan raya kami sama sahaja seperti orang lain. Tiada istilah anak atau keluarga menteri, cara sambut lebaran perlu berbeza. Cuma persiapan raya tahun ini agak berbeza memandangkan adik saya bakal berkahwin pada bulan Jun ini. Jadi persiapan perkahwinan dan raya dilakukan sekaligus. Tema pakaian juga telah dipilih dan ditetapkan oleh keluarga.
Selain itu, kami sekeluarga akan memakai baju warna sedondon. Kami akan bincang untuk tentukan rona baju pada setiap kali datangnya Syawal. Kami akan pilih rona yang tidak pernah dipakai sebelum ini,” terang Iman yang merupakan anak pertama daripada tujuh beradik.
“Rindu Yang Tak Tertanggung…” BCL Kenang Hari Lahir ASHRAF SINCLAIR, Ramai Titip Doa Agar Terus Kuat

Hari ini, 18 September merupakan hari ulang tahun kelahiran arwah Ashraf Sinclair, dan sudah semestinya isteri beliau, pelakon dan penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari tidak melupakan hari jadi suaminya walaupun sudah masuk 2 tahun pemergian Ashraf menemui penciptanya.
Menerusi hantaran terbaru BCL di dalam akaun Instagramnya BCL telah memuat naik gambar Alahyarham suaminya sambil memeluk anak tunggal, Noah dengan kespyen yang sangat menyentuh hati.
“Hai awak…, Selamat Hari Lahir ❤️ Kami merinduimu.. Dan Mencintaimu, sentiasa..”, tulis BCL di dalam hantarannya.
Pemergian pelakon dan pengacara Ashraf Sinclair, yang juga abang kepada DJ Mix FM, Aishah Sinclair secara mengejut ketika dalam tidur pada Februari 2020 sememangnya mengejutkan industri seni Malaysia dan Indonesia.
Mana tidaknya, Ashraf Sinclair tidak dilaporkan menghidap sebarang penyakit serius ketika hayatnya, dan pemergian secara tiba-tiba nyata sangat pedih untuk diterima oleh BCL serta anak mereka Noah. Malah perhubungan BCL dan Ashraf dilihat cukup akrab, sebagai sebuah pasangan romantis yang sentiasa menyayangi dan mencintai, sehinggalah ajal memisahkan mereka. Difahamkan punca kematiannya adalah disebabkan serangan jantung.
Dek perkongsian BCL, rata-rata ramai rakan selebriti dan peminat meninggalkan komen serta menitipkan kata-kata semangat buat BCL dan Noah serta terus kuat melalui kehidupan, dan mendoakan agar allahyarham Ashraf ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
Kredit foto: Instagram (@bclbclsinclair)