
Berita gembira mengenai ikatan pertunangan antara pendakwah selebriti, Da’i Syed dan personaliti TV Al-Hijrah bukan lagi sebuah rahsia. Malah, berita tersebut mendapat maklum balas yang positif dari orang ramai.
Berbicara soal keterbukaan hati Hana Ismail dalam menerima Da’i Syed sebagai bakal suaminya, Hana menyatakan bahawa Syed memiliki sebuah keperibadian yang mulia, yang membuatkan dirinya tertarik dengan jejaka tersebut. Ia merupakan salah satu kriteria yang dilihat oleh Hana, atau nama sebenar Nurulhana Ismail, 36, untuk membina mahligai cinta bersama Syed.
Bukan itu sahaja, malah menurut Hana, Syed juga fasih dan mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang Islam.
Syed merupakan seorang lelaki yang santun dalam bicaranya serta luas ilmu pengetahuannya dalam Islam. Dia juga tidak culas meluangkan masa menghadiri majlis-majlis ilmu serta memuliakan ulama.
Tambah Hana, dia amat suka apabila melihat Syed peka dengan tanggungjawabnya menjaga serta menggembirakan ibunya. Tidak mudah untuk mencari lelaki yang memiliki sikap seperti itu.
Ikatan cinta yang terjalin antara dua hati ini bermula saat pertama kali berjumpa di sebuah majlis ilmu, awal Oktober lalu. Proses pengenalan itu dibantu oleh pelakon Datin Seri Umie Aida yang mempertemukan mereka berdua. Selepas berjumpa dan berkenalan, mereka berdua bertawakal kepada Allah SWT.
Saya dan Syed membuat solat istikarah meminta petunjuk sebelum mengikat tali pertunangan. Ia bukanlah sebuah perkara yang biasa-biasa. Jadi, kami serahkan semuanya kepada Allah SWT. Selepas kedua-dua hati sudah yakin, maka barulah kami tekad untuk bertunang”
Hana berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar dan turut berharap agar orang ramai mendoakan yang terbaik kepada mereka berdua.
Sekadar info, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 23 Oktober lalu di kediaman keluarga Hana di Johor Bahru.
Sumber: Media Hiburan
Sumber gambar: Instagram Hana Ismail & Da’i Syed
Cuaca Panas Terik! Ini Caranya Sejukkan Rumah Tanpa Aircond, Bil Elektrik Pun Rendah

Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas yang dialami sekarang dijangka berlarutan sehingga pertengahan September berikutan monsun Barat Daya yang mengakibatkan iklim panas dan kering.
Cuaca yang sangat panas boleh menimbulkan beberapa masalah kesihatan di kalangan orang ramai termasuk ruam panas, kekejangan, keletihan dan strok haba.
Banyak langkah berjaga-jaga perlu diambil apabila melakukan aktiviti luar, antaranya minum lebih banyak air. Tapi sebaik-baiknya, berlindunglah di bawah tempat redup atau di dalam rumah bagi menjaga kesihatan.
Penghawa dingin adalah pilihan utama bagi kebanyakan orang untuk mengharungi cuaca panas kerana ia sangat selesa untuk kekal sejuk pada suhu pilihan. Walaupun ia memberi kita keselesaan yang tak terbanding, kita mesti sedar tentang masalah yang akan timbul apabila ia digunakan dengan terlalu lama.
Penggunaan penghawa dingin bukan sahaja menyebabkan peningkatan pada bil elektrik akibat tenaga yang diperlukan, ia juga salah satu punca pemanasan global yang merupakan isu alam sekitar utama pada masa kini.
Untuk mengelakkan sebarang masalah seperti yang disebutkan, berikut adalah beberapa penyelesaian alternatif mesra alam dan mesra dompet yang boleh kita lakukan di rumah untuk menyejukkan hari yang panas!
1. Gantikan mentol pijar ke mentol LED
Semua peralatan elektronik menghasilkan haba apabila menjana elektrik dan menyumbang kepada peningkatan suhu bilik. Ini termasuk mentol lampu.
Berbanding dengan mentol pijar tradisional, mentol LED menggunakan lebih sedikit tenaga dan menjana lebih sedikit haba serta lebih cekap tenaga.
Oleh itu, jika anda cuba menyejukkan bilik anda, peralihan kecil seperti pertukaran kepada mentol LED dapat membantu dan ia juga akan mengurangkan bil elektrik anda!

2. Pasang bidai atau langsir gelap
Cahaya matahari yang mengalir melalui tingkap akan meningkatkan suhu bilik. Lagi besar tingkap, lagi banyak haba yang akan terkumpul.
Bidai dan langsir gelap adalah salah satu cara paling berkesan untuk menghalang cahaya matahari langsung daripada memanaskan ruang. Sebelum anda meninggalkan rumah, tutup langsir dahulu supaya anda boleh kembali ke rumah yang lebih sejuk.

3. Lekatkan filem gelap pada tingkap
Walaupun langsir adalah cara yang mudah dan berkesan untuk menghalang cahaya matahari yang terik, ramai yang mungkin tidak mahu berada dalam ruang gelap pada siang hari. Pemasangan filem gelap (tinted) pada tingkap di rumah anda boleh mengurangkan haba daripada cahaya matahari sambil mengekalkan cahaya semula jadi.
Secara amnya, filem gelap memantulkan haba untuk mengelakkan peningkatan suhu bilik. Terdapat juga filem gelap di pasaran yang direka khusus untuk melindungi daripada sinaran UV yang langsung dapat memastikan rumah kekal pada suhu yang lebih sejuk.

4. Wujudkan kolam dan hiasan air
Pemasangan hiasan air di dalam rumah telah menjadi semakin popular kerana ia bukan sahaja bertindak sebagai sistem penyejukan semula jadi cekap tenaga untuk ruang kediaman kita, malah mewujudkan suasana yang amat menenangkan.
Di samping itu, air menambah kelembapan pada ruang kediaman, meningkatkan kualiti udara sambil menyejukkan udara di sekitar kawasan di mana hiasan air diletakkan. Walau bagaimanapun, faedah ini tidak akan kekal jika hiasan air tidak dipasang atau diselenggara dengan baik.
Menurut Encik Koo Zao Cheong, Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco, jika semua peralatan dipilih dan dipasang dengan betul, aliran air pasti lancar dan ia hanya akan memerlukan penyelenggaraan yang minimum pada masa hadapan.

“Terdapat beberapa faktor yang menentukan hiasan air yang berjaya, dan salah satunya ialah saiz pam. Memilih pam air mengikut reka bentuk hiasan air adalah penting kerana ia akan memastikan kelancaran aliran air tanpa percikan merata.
Sistem penapisan air yang berkesan juga penting untuk memastikan air bersih dan selamat, terutamanya bagi mereka yang ingin menternak ikan dalam hiasan air mereka. Ini untuk mengelakkan bau dan mengurangkan penyelenggaraan yang diperlukan.”
5. Lap kipas siling anda dengan kerap
Tahukah anda lapisan habuk tebal pada kipas siling adalah salah satu faktor utama yang mempengaruhi kesan penyejukan kipas? Pembersihan kipas siling sememangnya menyusahkan dan ramai juga yang mungkin hanya membersihkannya setahun sekali.
Habuk pada kipas bukan sahaja kotor malah ia juga memperlahankan kelajuan kipas kerana lebih banyak tenaga diperlukan untuk berpusing. Bersihkanlah kipas siling anda dengan kerap dan anda pasti akan merasai perbezaannya!

Cubalah langkah-langkah mudah ini dan jangan bergantung pada penghawa dingin untuk kekal sejuk di rumah! Anda mungkin mendapati langkah-langkah ini bermanfaat untuk dompet anda, ruang kediaman dan alam sekitar.
‘Jika Sebagai Ibu Tak Mampu Membantu, Siapa Lagi Boleh Tolong Anak Disleksia?’ Luahan Kasih Sayang Datin Azreen

Menjawat dua kerjaya berbeza di samping menguruskan hal rumahtangga pastinya menimbulkan rasa lelah kepada ibu kepada 4 cahaya mata lelaki ini. Biarpun sibuk dengan segala macam urusan, namun keluarga tetap menjadi keutamaan. Lebih-lebih lagi anak ketiganya, Muhammad Umar Hafiy yang berusia 13 tahun memerlukan perhatian khusus kerana menghidap Disleksia iaitu gangguan pembelajaran.
“Saya mendapat tahu bahawa anak saya mempunyai masalah pembelajaran semasa dia darjah 1, kira-kira 6 tahun lalu. Pada mulanya, sebagai ibu sudah tentu kita tidak boleh menerima hakikat ini. Bagaimanapun, saya fikir kembali sekiranya saya sebagai ibu tidak boleh menolong, membantu dan menyokong anak saya, siapa yang lagi yang boleh berbuat demikian? Bermula dari situ, saya tidak lagi menoleh ke belakang dan terus berfikiran positif membantu anak saya mengatasi masalahnya.
Pada masa sama, saya tekankan kepada anak-anak saya yang lain dan berbincang dengan mereka termasuk Umar Hafiy mengenai masalah yang dihadapinya. Pendek kata, kami sekeluarga sentiasa memberikan sokongan moral kepada Umar untuk cuba mengatasi masalah Disleksia. Perkataan ‘bodoh’ atau ‘stupid’ juga adalah dilarang sama sekali digunakan oleh ketiga-tiga anak-anak saya kepada Umar Hafiy,” bicara telus Datin Azreen mengenai keadaan anaknya.
Walaupun terdapat banyak buku atau program mengenai Disleksia, apa yang penting adalah sokongan keluarga terutamanya ibu bapa atau orang yang terdekat dengan mereka. “Masalah ini boleh diatasi but not cured. Kita sebagai ibu harus sentiasa berbicara dari hati ke hati dengan kanak-kanak ini dan memberi dorongan tidak berbelah bahagi. Sekiranya ibu bapa dapat mencari keistimewaan atau apa yang kanak-kanak ini gemari, sokong dan doronglah mereka kerana ini akan menolong mereka memperoleh keyakinan diri yang tinggi seterusnya dapat membantu mengatasi masalah pembelajaran tersebut.”
Mendirikan rumahtangga bersama Dato’ Mohd Firuz Jaffril yang juga seorang peguam pada tahun 1996, pasangan romantis ini dikurniakan 4 orang anak lelaki iaitu Muhammad Danial Hakimi, 19 tahun, Muhammad Airil Fazreen, 17 tahun, Muhammad Umar Hafiy, 13 tahun dan Muhammad Ammar Haarez, 11 tahun sebagai penyeri rumahtangga mereka.
Memiliki 4 orang putera nyata bukan masalah kepada Datin Azreen. Sebaliknya dia cukup bersyukur dengan anugerah terindah ini. Sudah menjadi lumrah, anak lelaki mempunyai sikap kasar dan suka bergaduh, namun ujar Datin Azreen semua itu berlaku seketika sahaja dan dia enggan mencampuri urusan anak-anak apabila mereka bergaduh kerana kebiasaanya ia kembali pulih seperti sediakala.
Lebih 20 tahun berkongsi episod suka dan duka bergelar suami isteri, Datin Azreen dan suami menerapkan konsep family comes first dalam mendidik anak-anak. Jelasnya, “Sejak masih kecil lagi, anak-anak telah diasuh untuk menunjukkan kasih sayang antara satu sama lain dengan memberi pelukan erat serta ucapan ‘I love you Mama & Daddy’ setiap masa. Anak-anak kami juga diajar agar merendah diri dan hormat orang yang lebih tua. Ilmu agama sentiasa menjadi teras dan panduan hidup yang menyinari hidup mereka.”
Walaupun usianya sudah memasuki 40an, namun Datin Azreen tetap kelihatan sihat dan cantik. Malah, pada usia seperti ini tidak semua wanita berupaya untuk melunaskan pelbagai kerja kerana keadaan kesihatan yang semakin merosot. Berbeza bagi Datin Azreen yang masih kuat untuk mengikuti sukan lasak seperti bermain golf dan senamrobik.
Selain bergerak aktif dalam sukan, Datin Azreen turut mengamalkan beberapa petua tradisional sebagai panduan penjagaan kecantikan diri. Di samping berkunjung ke pusat kecantikan 2 kali sebulan, dia juga akan memastikan mendapat waktu tidur secukupnya, minum air jus seperti beet root dan kerap melakukan urutan tradisional. Pemakanan sihat dan berkhasiat seperti ulam-ulaman serta makanan sampingan yang membekalkan vitamin penting kepada tubuh turut diamalkan Datin Azreen agar kekal cergas dan bermaya.
“Sebagai seorang wanita, sudah tentu kita akan mengharungi pahit getir kehidupan. Bagi saya, setiap kegagalan atau kesedihan adalah satu cabaran untuk lebih berusaha. Kita harus move on, melupakan perkara yang lalu dan melihat ke hadapan dengan fikiran yang positif. Jangan cepat menjadi judgemental terhadap seseorang atau sesuatu perkara tetapi harus menilai rahsia di sebalik kejadian itu. Niat untuk membuat sesuatu perkara juga amat penting. Jika kita ikhlas, inshaAllah ada jalan kebenaran. Paling utama, jangan lupa tanggungjawab sebagai isteri dan ibu,” pesan Datin Azreen. SUZIANA ABU DAUD
Jadi Pengasas Label Pakaian, REVALINA Tak Lagi Aktif Seni! Suami & Anak-Anak Kini Keutamaan

Orangnya memang cantik dan punya aura tersendiri. Pernah mencipta nama di Malaysia menerusi drama dan lakonan filemnya, Revalina S. Temat kini dilihat selesa menguruskan keluarga di samping mengusahakan perniagaan sendiri berbanding karier seni.
Dalam masa sama, Revalina juga ligat menjalin kolaborasi bersama jenama-jenama busana muslimah di Indonesia dalam mempromosikan karya kreatif usahawan di sana dan mengangkat fesyen muslimah ke tahap lebih tinggi.
Terbaharu, dia bekerjasama dengan selebriti yang juga usahawan Zaskia Mecca menerusi koleksi eksklusif Bia by Zaskia Mecca X Revalina S. Temat, Yunani Edition.
Walau sudah 18 tahun fenomena sinetron Indonesia ‘Bawang Merah Bawang Putih’ berlalu namun impak drama tersebut masih terkesan di hati penonton tanah air hingga ke hari ini.
Gandingan mantap Revalina sebagai Bawang Putih dan Nia Ramadhani yang membawa watak Siska ketika masing-masing baru mencecah usia remaja membuatkan ramai penonton Malaysia tertarik dengan kecantikan mereka berdua.


Seiring peningkatan usia, Revalina atau nama sebenarnya Revalina Sayuthi Temat yang kini berstatus isteri dan ibu dua anak tampil cantik menawan dengan pesona memikat. Dia mendirikan rumah tangga pada 15 Mac 2015 dengan jejaka pilihan, Rendy Aditwa Gunawan.
Revalina yang ketika zaman gadisnya sering berpakaian seksi kini menjadi tumpuan para hijabi apabila memilih untuk tampil lebih sopan dan berhijab selepas pulang mengerjakan umrah pada tahun 2017.
Dengan gaya muslimah yang elegan, ibu kepada Rihga Sadiwasakti Rabbani ini juga tetap kelihatan cantik meskipun hanya bergaya sederhana.




Revalina melahirkan anak keduanya, Rajendra Satya Razzani secara pembedahan pada Januari 2019. Biarpun sudah beranak dua tapi jelitawan berusia 36 tahun ini bijak menjaga penampilan diri.
Sepanjang pembabitan dalam bidang seni, Revalina pernah membintangi beberapa drama popular Indonesia antaranya Assalamualaikum Beijing, Perempuan Berkalung Sorban dan Hijrah Cinta.


Memperlahankan kerjaya seni sejak berumah tangga dan mempunyai anak, dia bagaimana pun aktif menjana pendapatan sebagai usahawan dengan bergelar pemilik label pakaian Tifle’s by Revalina S Temat.
Personaliti ini juga sering mengenakan gaya sopan dan elegan. Mengintai fesyen pilihan Revalina jelas menggambarkan peribadinya yang gemar menyarung busana santai. Memang serba sederhana. Dengan menggayakan tudung bawal dan solekan ringkas, ia sudah memadai untuk menyerlahkan kelembutan wajah Revalina.