Terharu tengok kasih sayang angkasawan negara, Dato’ Dr Sheikh Muszaphar Shukor terhadap anak-anak. Sering menjadi rujukan dan inspirasi dalam mendidik anak, bapa kepada tujuh cahaya mata ini sekali lagi menjadi perhatian khalayak apabila puteri keduanya iaitu Sophea Natasha terpilih mengikuti program kepimpinan di Oxford University pada 14 Disember lalu.
Lebih menyentuh emosi, meskipun Dato’ Dr Sheikh Muszaphar baru tiba di tanah air selepas ‘berkampung’ di Thailand selaku pengurus skuad taekwondo negara Sukan SEA Thailand 2025.
Sheikh Muszaphar Hantar Anak Pergi Oxford University
Tindakan Dato’ Dr Sheikh Muszaphar meluangkan masa bersama Sophea Natasha atau mesra disapa Tasha sebelum anak tersayang berangkat ke Oxford nyata meraih perhatian.
Ads
Kongsinya, “Just got back from SEA GAMES. Rushed to Gate C22. Tasha off to Oxford University today. For a one-week leadership programme. Luckily sempat jumpa kat airport.
Hoping Oxford could inspire her, to study there one day, to aim high, to fly high, to greatness and success Dunia and Akhirah. Amiinn.”
Walau sentiasa menjadi bapa yang supportive, tapi dia mengaku terasa sayu melepaskan anak remaja berusia 12 tahun menimba pengalaman dan ilmu di negara asing.
Kejayaan Anak Sheikh Muszaphar, Sophea Natasha
Kejayaan Tasha yang sering dikongsikan Dato’ Dr Sheikh Muszaphar di media sosial miliknya menerima pujian warga maya. Pada usia masih muda, Tasha bukan hanya sukses dalam bidang akademik. Tetapi juga dalam sukan.
Ads
“Tasha is at year 6. Graduated. She has achieved so much at a very young age. KL State Swimmer, Juara 1200m MSSWPKL, Pengawas, Pengakap Rambu Biru, Excel in Studies, High Achiever, Highly Disciplined and Highly Motivated.”
Tahun ini usia perkahwinan Dato’ Dr Sheikh Muszaphar dan Datin Dr Halina cecah 15 tahun.
Hasil perkongsian hidup selama 15 tahun, pasangan ini dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Sophea Isabella, Sophea Natasha, pasangan kembar lelaki Sheikh Adam dan Sheikh Noah, sepasang kembar lagi Sheikh Eusoff dan Sophea Emilia serta zuriat bongsu mereka, Sheikh Muhammad.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat,” ujar penyandang Nona Superwoman Award 2020, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berusia 94 tahun itu.
Sepagi di kediaman rasmi Tun Hasmah di Jalan Kuda Emas, Seri Kembangan, bagai melestarikan mimpi kami. Nyaman suasana hijau di perkarangan, lengkap tugu Pak Belang menghiasi landskap dan seni bina banglo retro itu. Tun Hasmah turun dari lif dipimpin seorang pembantu, tak lekang senyumannya, ramah dan mesra berjenaka seperti selalu.
Tidak sah berbual dengan Tun Hasmah jika tidak mengimbau nostalgia lama. Rumah klasik ini sarat dengan memorabilia serta gantungan foto-foto bersejarah sejak Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan nombor satu Malaysia sebanyak dua kali.
Ada juga ruang menempatkan piano serta biola yang digeseknya setiap minggu. Ketika pandangan merayau meninjau koleksi-koleksi tersebut, perhatian penulis tertancap di sebuah ruang menonton TV.
“Inilah tempat rehat kegemaran saya. Hari-hari tengok TV dan ikut perkembangan kes COVID-19 di sini. Saya mesti akan tengok berita dan tunggu Dr Noor Hisham ke udara,” cerita Tun Hasmah sambil menunjukkan sofa tempat beliau selalu berbaring.
Sofa empuk dan seekor kucing hitam gebu bernama Blackie menjadi teman Tun Hasmah ketika suaminya keluar bertugas.
Tidak jemu dengan rutin yang sama? Soal penulis sambil mengusap leher Blackie yang manja. Tun Hasmah menggeleng. “Dah biasa,” jawab beliau perlahan sambil melemparkan senyuman.
Benarlah sifat penyayang itu miliknya. Karakter lembut Tun Hasmah sebenarnya adalah tenaga terkuat sepanjang mengenali wanita hebat berusia 94 tahun ini.
Beliau yang sudah cukup masak dengan kesibukan suami tercinta sempat berseloroh, “Tun Mahathir tu rajin bekerja… cubalah kalau boleh suruh dia (Tun) berhenti,” ujar Tun Hasmah sebelum berkongsi rahsia kuat ingatannya kepada followers Nona.
Sanjungan penulis terhadap Tun Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu.
Rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu kian bertambah apabila melihatkan kesihatan Tun Hasmah yang tidak banyak terjejas kecuali penglihatan. Syukur alhamdulilah.
“Dari segi pemakanan tu, macam biasa je. Saya tak boleh makan pedas. Tapi saya suka sayur terung yang disambal, ikan kering dan lauk kuah-kuah… Selain tu saya cuba kurangkan nasi dan makan mihun sup yang menyihatkan.
Diet Tun Mahathir pun sama. Dia makan apa saja kecuali ikan. Tapi bila ke Jepun, anehnya dia suka pula makan ikan mentah macam sashimi (ketawa). Apa pun bila pasal makan, lebih elok kita bersederhana,” cerita Tun Hasmah yang merupakan nenda kepada 18 orang cucu itu.
Anak kelahiran Klang, Selangor ini menamatkan pengajian perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura sebelum bergelar mahasiswi perubatan dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Singapura (ketika itu) pada tahun 1955.
Banyak pengalaman Tun Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf.
Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat.
Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Perkahwinan Tun Hasmah dan Tun Mahathir mencecah usia 64 tahun. Rahsia perkahwinan suami isteri ini sudah tentulah bergantung pada sifat mengalah dan bersabar dengan ombak badai yang menghempas rumah tangga mereka.
Jelas ibu kepada Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar itu lagi, sebagai isteri, kepercayaan itu amat penting.
“Orang kata behind every successful man, there is a woman. Kalau kata-kata ini dibacakan depan saya, saya akan jawab ‘No. Behind every successful man, there is a woman, not any woman but his wife’. Kadangkala saya tambah lagi, not any wife but first wife!” tutur Tun Hasmah serius.
Sekilas kata-kata itu mengingatkan penulis pada hantaran Facebook Tun Mahathir (klik sini) beberapa bulan lepas.
Perkahwinan mereka yang sudah melewati ulang tahun Jubli Intan menjadikan apa jua perkongsian cinta berkenaan keduanya begitu indah untuk dijadikan panduan.
“Sebagai isteri, kita harus percaya dan yakin suami kasih dan sayang. Setiap pasangan mesti ada keyakinan sebegitu supaya tiada kebimbangan di hati.”
Nasihat Tun Hasmah, seandainya berlaku konflik dalam rumah tangga, belajar selesaikan dengan matang pada waktu dan tempat yang sesuai.
“Ada ketikanya saya tergelincir juga dalam kata-kata hingga menyebabkan dia berdiam diri. Kadangkala dalam motokar pun dia diam. Tak boleh buat-buat cakap. Itu tandanya ada sesuatu yang tak kena. Jadi sampai rumah kami akan selesaikan,” kongsinya tentang petua kebahagiaan.
Tidak hanya terkenal sebagai isteri pemimpin negara dan doktor perubatan, bonda Tun Hasmah terus meniupkan inspirasi kepada generasi wanita moden seperti kita semua agar lebih bijak menguruskan keluarga serta memberi masa untuk menjaga diri sendiri.
Dari hobinya yang suka menulis, bermain muzik dan mengambil tahu perihal isu semasa, beliau jelas melambangkan sisi Nona Superwoman yang sebenar… She’s truly a living legend.
Penyelaras & Penulis: Norzalina Mohd Alias
Penata Gaya: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Emma Mustafa
Dandanan: Dr Rajavel
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahun ini merupakan tahun kedua balu anggota bomba yang terlibat dalam Tragedi 6 anggota bomba lemas ketika operasi menyelamat remaja di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, sambut Ramadan tanpa suami.
Ketika ditanya tentang perbezaan berpuasa tahun lau dengan tahun ini, jawab Shahmiza Salleh, “Entah ya…tahun ni dalam hati masih rasa kosong tapi emosi dan fizikal rasa kuat sikit la boleh lawan.
Saya beruntung sangat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan saya ‘terperangkap’ di kampung. Dalam tempoh ini saya mempunyai banyak masa bersama keluarga. Saya juga dah ‘dapat’ balik mood masak setelah sekian lama hilang sejak tragedi yang menimpa suami,” tutur wanita ini.
Benar orang kata ada hikmah di sebalik sesuatu kejadian. Wanita yang mesra disapa Miza ini turut mengakuinya. “Ada juga hikmahnya PKP ini yang orang lain tak nampak dalam kehidupan saya.
Sejujurnya saya penat sangat sebelum PKP dilaksanakan. Ini kerana saya sambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Jika ada kelas saya terpaksa hantar anak-anak dijaga oleh mak di kampung.
Jadi berulang alik dari Sungai Buloh ke Port Dickson sudah menjadi rutin saya. Selalu cakap kat diri sendiri, penatnya memandu. Dulu memandu hanya ke tempat kerja. Kalau balik kampung atau berjalan ke mana-mana ada orang bawakan.
Sekarang merata pergi ke mana bawa kereta sendiri. Ha, sekarang terus Allah SWT bagi PKP dan duduk rumah. Kereta pun tak bergerak dah sebulan lebih,” tutur wanita yang bertugas sebagai Pengajar di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini.
Walaupun nampak kuat namun jelas kelihatan rindu masih bertamu di hati wanita ini. Aktiviti yang paling dirindui ketika bulan puasa sudah pasti ketika berbuka puasa bersama-sama dan makan sahur bersama-sama.
“Arwah suami lebih gemar berbuka dan bersahur di rumah berbanding di luar. Namun, berpuasa tahun sebelumnya memang kami lebih kerap berbuka puasa di rumah. Kalau nak bandingkan berbuka di luar boleh dikira dengan jari. Pergi bazar Ramadan pun tak, kecuali nak beli air lemon asam boi yang menjadi kegemarannya.
Arwah memang suka makan pedas-pedas seperti sambal namun sejak kehilangannya sampai sekarang saya belum lagi ada keupayaan untuk masak sambal. Makanan kegemaran suami secara tak langsung jadi kegemaran anak-anak juga.
Ada juga anak bertanya sudah lama ibunya tak masak makanan kegemaran mereka, saya jawab pada mereka “Ibu belum beli barang lagi,”. Saya belum ada kekuatan nak masak makanan kegemaran arwah,” tutur isteri kepada salah seorang anggota bomba yang terkorban, Adnan Othman.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berbicara tentang keluarga dengan cucunda DYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bernama YM Tunku Dato’ Indera Syazwan Kaiyisah ini, Nona berkesempatan mengetahui beberapa amalan yang menjadi kunci kebahagiaan mereka.
Kalau mengikuti media sosialnya, paling seronok kalau melihat keakraban keluarga diraja Pahang ini bila mereka berjumpa. Ikatan persaudaraan terlihat begitu erat termasuklah diri Tunku Kaiyisah sendiri yang merupakan anakanda sulung YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Hajah Tengku Aishah Binti Sultan Ahmad Shah.
Sambil tertawa kecil, Tunku Kaiyisah berkata, “Kami sekeluarga memang sangat rapat sejak kecil lagi. Saling menyokong dan tolong-menolong.
Pantang jika ada keraian, semua orang mesti datang. Itu amalan wajib kami walau sesibuk apa pun, mesti datang. Setiap bulan ada majlis hari jadi atau anniversary dan sekarang ni tiap-tiap tahun ada majlis perkahwinan sepupu-sepupu yang lebih muda,” cerita Tunku Kaiyisah yang menganggarkan jumlah ahli keluarganya mencapai 60 orang.
Tambahnya, kini beliau mempunyai 8 orang ibu dan bapa saudara yang sudah berkahwin (kecuali seorang), kira-kira 32 orang sepupu dan 5 orang cicit. Jumlah keluarga ini semakin lama semakin bertambah besar dan meriah dari tahun ke tahun.
Dunia kecantikan dan wanita ini memang sukar dipisahkan. Kerana minat berniaga dan obsesinya terhadap bidang kecantikan, Tunku Kaiyisah dan sepupu, Natasha Ozeir menubuhkan PrettySuci.com, sebuah laman membeli-belah atas talian yang menjadi hab produk kecantikan dan penjagaan diri halal pertama di dunia.
“Alhamdulilah, kami berada di landasan yang betul sepanjang tahun 2017 ini dan insyaAllah bakal menambah lebih banyak pilihan produk menjelang tahun depan. Buat masa sekarang, PrettySuci menawarkan 32 jenama dengan 250 jenis produk berbeza.
Kemudahan teknologi banyak memudahkan kerja saya. Walaupun berada di rumah, tapi saya masih boleh mengakses, membuat kajian dan menguruskan PrettySuci dengan baik. Secara tak langsung dapatlah beri tumpuan untuk keluarga,” jelasnya.
Beralih kisah tentang kehidupan peribadi, Tunku Kaiyisah yang merupakan isteri kepada Wan Putera Shahril dan ibu kepada YM Tun Putera Shakeel Abdullah Shah, 2, serta YM Tun Putera Khyrie Ahmad Shah, 9 bulan, ini sebenarnya seorang family person. Meskipun sibuk dengan bisnes yang sedang berkembang, tapi beliau bijak menetapkan had bagi mengimbangi peranan sebagai ibu dan isteri di rumah.
“Saya bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang. Tidak sempurna, tapi complete. Ada keluarga yang memahami dan kerjaya yang saya sukai. Cuma mungkin ada beberapa misi lagi yang mahu dibuat seperti menjadi lebih fit dan dari sisi spiritual, menambahbaikkan ibadah saya.
Di rumah walaupun ada dua pembantu, tapi kami tetap luangkan banyak masa untuk anak-anak. Bonda saya pun rapat dengan cucu dan beliau selalu pesan supaya berikan didikan terbaik buat anak-anak kami.
Dari segi penjagaan kecantikan, saya amalkan produk-produk di PrettySuci seperti Argania Wonder Oil untuk memelihara kelembapan kulit dan rambut, Naveen Hydrating Mask untuk menyegarkan wajah serta sebagainya kerana saya harus uji semua produk yang dijual.
Dulu saya selalu tengok bonda amalkan macam-macam suplemen, tapi saya pula lebih gemar makan makanan seimbang dan buat cold pressed juice untuk kesihatan. Minum air mesti banyak untuk atasi water retention dan cegah selulit,” akhiri Tunku Kaiyisah sambil menunjukkan botol air yang selalu dibawa. Norzalina Mohd Alias
Sumber: Instagram @kaiyisah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
MasyaAllah, lunak suara Afiqah Jalil yang merupakan anak kepada selebriti veteran iaitu Jalil Hamid. Ternyata Afiqah atau lebih dikenali sebagai Iqa bertuah kerana mewarisi bakat ayahanda tersayang dalam bidang muzik. Dah namanya anak kepada penyanyi, pasti darah seni mengalir deras dalam diri wanita ini.