Kasihnya Terhadap Alam Sekitar Dorong Ibu Jelita Ini Muncul Sebagai ARKITEK LANDSKAP WANITA TERMUDA Di Malaysia. Membanggakan!

Bukan mudah mencipta nama dalam dunia landskap lebih-lebih lagi jika baru lepas keluar universiti. Pencapaian dalam bidang ini tidak datang dalam sekelip mata kerana mengambil masa yang agak lama untuk dinilai.

LAr. Wan Salamatul Juita Dato’ Dr. Wan Hashim, pernah dinobatkan sebagai Young Landscape Architect of the Year bagi tahun 2015 oleh Institusi Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) di Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA). Anugerah ini dinilai melalui pencapaian dan sumbangan yang cemerlang dalam industri sepanjang penglibatan 10 tahun di dalam kerjaya Arkitek Landskap di Malaysia.

Sebaik sahaja menggenggam Ijazah Sarjana Muda Arkitek Landskap dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai pada tahun 2005, wanita ini memulakan kerjaya sebagai Arkitek Landskap di Walrus Design Sdn. Bhd., atau yang dahulunya dikenali sebagai ICN Design International. “Kemudian saya mencabar diri menyertai salah sebuah firma Arkitek Landskap yang terbesar di Malaysia, Malik Lip & Associates.

Ketika berumur 26 tahun, saya telah menduduki peperiksaan Kursus Amalan Ikhtisas yang dianjurkan oleh Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) untuk diiktiraf sebagai Ahli Korporat dan Arkitek Landskap Bertauliah.

Alhamdulillah, saya lulus ujian dengan sekali percubaan. Dengan pentauliahan ini, saya memberanikan diri meneruskan langkah dengan membuka syarikat saya sendiri, Verona Design Sdn. Bhd, pada usia 28 tahun,” ungkap wanita yang mengagumi arkitek Zaha Hadid itu.

Ramai yang kurang jelas tentang tanggungjawab seorang Arkitek Landskap. Sebenarnya kerjaya ini tertumpu kepada reka bentuk persekitaran luaran (external spaces). Ia merupakan bidang yang berkaitan antara sains dan seni dalam reka bentuk melalui perancangan atau pengurusan sesuatu kawasan.

“Untuk menjadi seorang Arkitek Landskap, seseorang itu hendaklah mempunyai daya kreativiti serta imaginasi yang tinggi, berkemampuan dalam analisa logik, pengurusan dan pengaturan, kebolehan menyelesaikan masalah serta mempunyai daya pemerhatian yang tajam,” ujar anak Kuala Lumpur itu.

Wanita yang berusia 34 tahun ini begitu optimis setiap kali diajak berbicara tentang landskap dan persekitaran. “Bagi saya, jika hendak berjaya, kita perlu bijak memilih kawan. Pilih rakan yang positif, yang meyakini kebolehan kita, selalu memberi semangat dan akan bersama-sama berusaha untuk mencapai matlamat masing-masing.

Sikap saling sokong-menyokong ini dapat mematangkan kita untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dalam hidup ini. Saya hidup dengan prinsip Oprah Winfrey, iaitu surround yourself with only people who are going to lift you higher.

Salah satu projek high rise saya ialah Suria Residence di Bukit Jelutong yang telah memenangi kategori 5 stars Best Residential Landscape Architecture di peringkat Asia Pacifik di International Property Awards of London, United Kingdom.

Saya telah selesai menyiapkan satu projek di Help University Campus, di Subang Bestari yang berkonsepkan Tropical Rainforest Green Campus, apabila sebanyak 130 pokok-pokok hutan matang serta berbuah dibawa khas dari nurseri di Tanjung Malim bagi mencerminkan suasana hutan di dalam kampus.”

Persekitaran landskap juga berfungsi sebagai terapi, memberi ketenangan serta merehatkan minda manusia. Apabila mereka benar-benar tahu kepentingan bidang arkitek landskap, profesion ini akan lebih dihargai.

Akhiri beliau, “Tidak seperti pereka fesyen, bidang pembinaan mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan, baru hasil kerja dapat dilihat dan dinikmati oleh semua orang. Some people said a Landscape Architect will only recognised when they get older.

Jadi kena sentiasa bersabar dan tidak putus berusaha untuk terus berjaya,” ungkap ibu kepada Harris Danial Adlan, 7 tahun, dan Ireena Rania Adlan, 1 tahun. Hamizatul Maizan Mohamed

IKLAN
Share