Beauty with brain. Itu ungkapan ringkas yang bisa diberikan kepada figura ini yang tidak putus memberi inspirasi kepada seluruh wanita terutamanya di Malaysia. Dr. Amalina Che Bakri, sebuah nama yang pernah menggemparkan negara apabila berjaya meraih17 A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2004. Kini, bertugas sebagai Pakar Bedah Am di National Health Service, UK.
Baru-baru ini, menerusi laman Instagramnya, Dr Amalina memuat naik sebuah hantaran berkaitan dengan isu wanita memperkasakan kaum wanita yang lain. Dalam hantarannya itu, Dr Amalina mengupas lanjut mengenai cara berpantang yang diamalkan olehnya selepas melahirkan puteri sulung, Arabella Mia.
Mendapat pelbagai reaksi serta komen mengenai cara berpantang yang diamalkan, Dr. Amalina menegaskan bahawa semua orang, wanita terutamanya, memiliki hak yang sama-rata dan bebas membuat pilihan yang terbaik untuk diri sendiri. Oleh disebabkan itu, dia selesa dengan caranya sendiri dalam melakukan proses berpantang.
View this post on Instagram
Semua orang memiliki pilihan masing-masing. Tidak semua orang mempunyai citarasa yang sama dengan kita. Seperti saya sendiri, apa yang saya lakukan berpandukan dari nasihat doktor, bukti saintifik serta dari pengalaman saya sebagai seorang doktor. Itu adalah pilihan saya sendiri. Jika anda ingin melakukan proses berpantang cara Melayu, itu terpulang kepada anda.
Dr. Amalina juga turut menyeru agar orang ramai lebih sensitif dan menghormati keputusan ibu-ibu yang baru saja dikurniakan anak supaya mereka tidak berasa stres dan terbeban dengan komen yang diberikan. Kadang-kala, komen-komen yang kurang membina memberi kesan buruk kepada para ibu yang baru bersalin.
Apa yang saya ingin lakukan ialah untuk memperkasakan kaum wanita untuk mereka lebih yakin dengan setiap keputusan yang dibuat dan memilih yang terbaik untuk diri dan bayi mereka sendiri agar mereka berasa lebih gembira dan tidak stres.
Dalam hantarannya itu juga, Dr. Amalina turut mengulas isu buli yang mencetuskan ketakutan kepada ibu yang baru melahirkan anak.
“Membuli para ibu sehingga menakutkan mereka seperti mengatakan bahawa para suami akan mencari wanita lain dan mereka akan menghidap penyakit ketika usia 40-an merupakan sebuah perkara yang negatif. Bilakah situasi toksik ini akan berhenti?” soalnya.
Tambahnya lagi, kaum wanita harus diberi peluang dan ruang terutamanya kepada para ibu yang baru sahaja bersalin untuk menikmati momen indah tanpa rasa stres. Sama juga seperti kaum wanita lain di seluruh dunia, mereka juga menjalani momen selepas melahirkan anak dan masih sihat dan kekal fit biarpun tidak melakukan cara berpantang Melayu. Jadi, semuanya terpulang kepada para ibu itu sendiri untuk menentukan yang terbaik buat diri mereka.
Nasihatnya, setiap wanita haruslah sentiasa membantu dan memperkasakan kaum wanita lain dan sentiasalah berkongsi ilmu bermanfaat untuk kebaikan bersama.
Dr. Amalina Che Bakri mendirikan rumah tangga bersama jejaka Inggeris, Alexander Charles di Masjid Central London pada 31 Mac, tahun lalu.
Sumber gambar: Instagram Dr. Amalina Che Bakri