Nita Ambani bukan hanya mendiami bangunan setinggi 27 tingkat yang dianggarkan menelan kos USD1 bilion bahkan kediaman yang dinamakan Antilia sempena nama pulau mitos Laut Atlantik yang terletak di Mumbai, India ini juga dikhabarkan antara hartanah termahal di dunia selepas Istana Buckingham.
Singgahsana mewah milik pasangan terkaya India, Mukesh Ambani dan Nita Ambani ini turut dilengkapi dengan beberapa kolam renang, dewan, taman seluas tiga tingkat, tempat letak kenderaan enam tingkat, tiga helipad dan memerlukan seramai 600 pekerja untuk menguruskan kediaman tersebut. Lebih mengagumkan, Antilia juga mampu menahan gegaran gempa bumi berskala 8 magnitud.
Antilia di sebelah kananNita bersama anak perempuan, Isha Ambani
Kekayaan luar biasa keluarga Ambani kian menjadi bualan sejak berlangsungnya majlis perkahwinan anak perempuan mereka, Isha Ambani pada awal Disember lalu yang menelan belanja hampir USD15 juta dengan pewaris empayar hartanah dan pharmaseutikal ternama India, Anand Piramal. Isha merupakan kembar kepada Akash Ambani berusia 27 tahun dan kakak kepada Anant Ambani yang kini berumur 23 tahun.
Perkahwinan gilang-gemilang itu bukan hanya dihadiri selebriti terkemuka India seperti Shah Rukh Khan, Priyanka Chopra, Nick Jonas, Aisywarya Rai.. tetapi juga tokoh politik antarabangsa termasuk Hillary Clinton. Tidak cukup dengan itu, satu konsert khas turut diadakan yang menampilkan penyanyi terkenal dunia, Beyonce!
Di samping suami, Mukesh Ambani
Ads
Pernah mendapat gelaran ‘The first lady of Indian business’ dari Forbes pada 2016, Nita Ambani nyata bukan calang-calang wanita. Dia merupakan graduan Ekonomi yang kini bergelar pengerusi Reliance Foundation iaitu sebuah yayasan kebajikan yang membantu golongan dan kanak-kanak miskin dari segi kewangan dan pendidikan.
Ads
Selain itu, wanita berusia 55 tahun tersebut juga adalah pemilik kelab kriket India yang turut terlibat dalam urusan strategi pemasaran dan penjenamaan, Reliance Jio Infocomm.
Mengikuti laman media sosial Nita, ibu kepada tiga orang anak ini dilihat tidak kekok turun padang bertemu golongan susah dan menghulurkan sumbangan kepada mereka di samping membuat lawatan ke sekolah pedalaman untuk membantu para pelajar kurang bernasib baik.
Ads
Suaminya, Mukesh Ambani diiktiraf Bloomberg Billionaires Index sebagai Lelaki Terkaya Di Asia mengatasi pengasas Alibaba, Jack Ma pada Julai lalu dengan nilai kekayaan dianggarkan mencecah USD42.7 bilion.
Sumber: Business Insider
Kredit: Instagram Nita Ambani
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terharu mendengar impian Noor Akmal Fadzila Ibrahim tentang matlamat utamanya menceburi bidang perniagaan. Jelas usahawan berusia 46 tahun ini, pembabitannya dalam dunia keusahawanan bukan berpaksikan kepada keuntungan semata-mata. Sebaliknya dia mempunyai misi lebih besar iaitu mahu memartabatkan golongan Muslimah.
Tahun ini merupakan tahun kelapan penubuhan pusat spa kecantikan Seri Wajah Muslimah Aesthetic, sebuah pusat rawatan wajah dan estetik khusus untuk Muslimah yang diasaskan pada tahun 2018. Noor Akmal Fadzila atau mesra disapa Noor memberitahu sebelum ‘terjun’ dalam bidang perniagaan kecantikan, dia pernah bertugas sebagai jurutera teknologi maklumat (IT) dan komunikasi.
Seri Wajah Muslimah Aesthetic diposisikan sebagai spa Muslimah patuh syariah yang mengutamakan privasi, keselesaan dan ketenangan jiwa. Setiap rawatan dikendalikan sepenuhnya oleh therapist wanita terlatih dalam suasana tertutup, memastikan aurat pelanggan sentiasa terjaga daripada bukan mahram.
Bagi Noor, konsep ini bukan sekadar strategi perniagaan, sebaliknya satu keperluan yang jarang diberi fokus dalam industri kecantikan arus perdana. Justeru Seri Wajah Muslimah Aesthetic bukan hanya menawarkan rawatan wajah dan estetik, tetapi juga berperanan sebagai ruang selamat untuk Muslimah merehatkan diri, memulihkan emosi dan membina keyakinan diri.
CEBURI BISNES
Mengulas lanjut, idea untuk membina empayar perniagaan ini terdetik kerana pengaruh dua individu yang cukup bermakna dalam hidupnya.
“Dua orang yang banyak mengubah saya ialah arwah ayah dan suami, Baiatur Ridzwan Ibrahim. Selepas perkahwinan kali kedua, baru saya menceburkan diri dalam bidang kecantikan atas dorongan arwah ayah dan suami.
Kalau ikutkan arwah ayah tidak menggalakkan saya berbisnes. Dia tidak menghalang dan tidak juga terlalu menggalakkan sebab ayah kata perniagaan ini banyak ups and downs. Tapi arwah ayah guide saya dari jauh,” ujarnya sambil menahan sebak.
Akui Noor, hatinya mudah tersentuh setiap kali bercerita mengenai arwah ayah. “Dia pernah jatuh bankrap disebabkan perniagaan. Jadi saya faham, dia tak nak anak-anak lalui benda yang dia rasa dulu. Arwah ayah pernah ada bisnes sendiri dalam bidang IT dan communication.”
Berbekalkan dorongan tersebut, Noor melangkah berani bergelar usahawan dan optimis membuka sebuah spa kecantikan holistik khusus buat Muslimah merawat serta membelai diri setelah seharian mengurus keluarga dan kerjaya.
Dalam masa sama, dia mahu menjadikan Seri Wajah Muslimah Aesthetic sebagai satu bentuk fardu kifayah baginya dalam memelihara kesucian agama Islam dan martabat Muslimah.
“Istimewanya Seri Wajah Muslimah Aesthetic kerana kami khas untuk wanita beragama Islam saja. Kami bukan racist, tetapi sebagai seorang Muslimah saya rasa terpanggil untuk menjaga keperluan golongan ini.
Di spa ini, pelanggan dapat menjalani rawatan dalam keadaan tenang dan selesa tanpa risau aurat mereka terdedah kepada bukan mahram. Bagi saya, ini ibarat satu fardu kifayah dan juga dakwah kecil dalam perniagaan.
Sekurang-kurangnya saya dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat di Malaysia,” tegas Noor yang merupakan graduan Sarjana Pengurusan Kejuruteraan, University of Sunderland, United Kingdom dan Ijazah Kejuruteraan Elektrikal, Universiti Malaya (UM).
Sehingga kini, Seri Wajah Muslimah Aesthetic telah berkembang pesat dengan 15 cawangan di seluruh Malaysia, merangkumi Lembah Klang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pantai Timur.
CABARAN
Sepanjang lapan tahun mengemudi empayar perniagaan, wanita kelahiran Kuala Lumpur ini tidak terlepas daripada ujian. Beranggapan ia adalah lumrah bagi setiap usahawan, Noor memaklumkan situasi ketika negara dilanda pandemik Covid-19 merupakan cabaran terbesar yang menguji kemampuannya selaku majikan.
Perniagaan berlandaskan servis kecantikan menjadi sektor pertama yang diarahkan tutup dan sektor terakhir yang dibenarkan beroperasi semula sekitar tahun 2020 hingga 2021. Hampir dua tahun Noor dan suami berjuang membayar gaji para pekerja yang ketika itu mencecah hampir 100 orang.
“Saya tak boleh berhentikan semua staf sebab perlu fikir jauh ke depan. Awalnya kami buat jualan secara online dan alhamdulillah strategi itu berjaya.
Masuk tahun seterusnya, saya dan suami nekad membeli durian Musang King di Raub, kopek di rumah, pek dan jual di Kuala Lumpur. Selain itu kami juga pernah menjual nangka dari Lanchang.
Saya sangat terharu dengan inisiatif team saya yang sanggup memasak dan berniaga tepi jalan demi meneruskan kelangsungan hidup. Walaupun susah, mereka tetap berjuang bersama Seri Wajah Muslimah Aesthetic,” luahnya penuh syukur.
Dalam landskap industri kecantikan yang semakin kompetitif, Noor menyedari kepentingan untuk sentiasa peka dengan teknologi dan rawatan terkini agar Seri Wajah Muslimah Aesthetic kekal relevan serta menjadi pilihan utama pelanggan.
KEJAYAAN
Menyentuh pencapaian sehingga kini, Noor bersyukur empayar perniagaan yang diusahakan selama lapan tahun membawa pulangan memberangsangkan. Pada tahun 2025 sahaja, Seri Wajah Muslimah Aesthetic berjaya merekodkan jualan tahunan sebanyak RM11 juta.
Namun bagi Noor, kejayaan sebenar bukan terletak pada angka semata-mata.
“Pada saya, pencapaian paling bermakna ialah apabila seorang Muslimah datang ke Seri Wajah, mereka keluar dengan keyakinan diri yang lebih baik, masalah kulit yang berkurangan dan emosi yang lebih tenang.
Kami bukan sekadar spa rawatan kulit, tetapi juga terapi emosi untuk Muslimah. Itulah definisi kejayaan sebenar bagi saya.”
Ditanya mengenai hala tuju Seri Wajah Muslimah Aesthetic dalam tempoh 10 tahun akan datang, Noor menyatakan hasrat untuk menjadikan jenama ini sebagai rujukan utama spa Muslimah di Malaysia dan rantau ini.
Selain merancang pembukaan lebih banyak cawangan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, Noor turut beraspirasi melahirkan lebih ramai therapist dan usahawan Muslimah, sekali gus memperkasakan wanita dari sudut ekonomi, emosi dan spiritual.
“Saya mahu Seri Wajah Muslimah Aesthetic menjadi platform untuk Muslimah berkembang — bukan sahaja cantik secara luaran, tetapi kuat dari dalam. Jika lebih ramai Muslimah boleh dibantu melalui perniagaan ini, itulah kejayaan yang ingin saya capai.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meskipun rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji tidak dapat dilaksanakan seperti biasa, namun masih ada beberapa amalan bulan Zulhijah lain yang boleh dilakukan sewaktu pandemik COVID-19 ini.
Bulan terakhir dalam kalendar Islam ini adalah empat bulan haram, yang di dalamnya terkandung bonus pahala yang besar. Ada sebuah hadis yang sering kali dikaitkan dengan keistimewaan 10 hari terawal bulan Zulhijah. Cuma hadis berkenaan dikhabarkan mempunyai sanad yang lemah.
Tapi terdapat beberapa amalan utama yang boleh dilakukan pada bulan Zulhijah. Kita digalakkan untuk melakukannya sepanjang 10 hari terawal Zulhijah. Ini seperti yang dikongsikan Presiden Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman yang dipetik menerusi hantaran di Facebook miliknya.
(1) Berzikir
Basahkan lidah dengan memperbanyakkan zikir sebagaimana yang dianjurkan dalam hadis diriwayatkan oleh al-Tabarani.
Subhanallah
Alhamdulillah
La ilaha Illallah
Allahu Akbar
Firman ALLAH SWT: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama ALLAH, pada hari-hari yang tertentu..” (Surah al-Hajj, ayat 28)
Ketika menafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’, Ibn Abbas RA berkata, ia adalah 10 hari Zulhijah dan inilah juga pendapat majoriti ulama.
(2) Berpuasa
Umat Islam amat digalakkan berpuasa pada 1 hingga 9 Zulhijah bagi orang yang tidak menunaikan haji.
Ketahuilah, Hari Arafah iaitu 9 Zulhijah merupakan hari yang terbaik untuk kita berpuasa.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiada hari yang lebih banyak ALLAH membebaskan hambanya lebih daripada hari Arafah.” (Riwayat Muslim)
Apabila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah itu, baginda SAW menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.
(3) Melakukan amalan-amalan lain
Umpamanya bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Semua amalan berkenaan termasuk dalam hadis umum yang menunjukkan perbuatan melazimkannya amat disukai oleh ALLAH SWT.
(4) Jauhi maksiat
Andai kita pernah berbuat salah dan dosa, inilah masa terbaik untuk memulakan taubat, terutama bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhkan perbuatan mulia itu.
Amat biadab jika umat Islam bersuka ria dengan melampaui batas haram pada hari yang amat agung di sisi ALLAH SWT ini.
Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Sedarilah bahawa hidup di dunia ini hanya sementara. Segala keseronokan yang ada di muka bumi hanyalah tipu daya semata-mata.
(5) Bertakbir
Ibn Abi Shaibah menyebut, ‘Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tashriq.
(6) Berkorban
Ia merupakan amalan yang dituntut bagi umat Islam yang berkemampuan. Hukumnya adalah sunat muakkad.
Firman ALLAH SWT: “Sesiapa yang membesarkan syiar ALLAH (berkorban), maka ia adalah dari tanda ketakwaan hati.” (Surah al-Hajj, ayat 32)
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh ALLAH SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang)” ( Riwayat al-Tirmidzi, Abu Daud; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan)
Justeru, kita digalakkan untuk memperbanyakkan dan meningkatkan amal soleh serta ketaatan kepada ALLAH SWT pada 10 hari yang pertama ini.
Semoga ALLAH SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-NYA yang mendapat rahmat, keampunan dan pelepasan daripada api neraka.
Sumber: Sinar Plus, Bayan Li Al-Haj Siri ke-32: Keistimewaan dan Fadhilat 10 Awal Zulhijjah: Marilah Kita Beramal, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Facebook Dr Zaharuddin Abd Rahman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebut sahaja nama Zakiah Anas, pasti perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah gaya penyampaiannya ketika mengacarakan Program 999 suatu ketika dulu. Biarpun sudah lama meninggalkan program berkenaan namun aura Zakiah masih terkesan di hati penonton hingga ke saat ini. Sedang ralit meninjau media sosial, gambar terkini personaliti TV ini ‘singgah’ di timeline penulis. Wow, macam tak makan dek usia! Tetap anggun dan memukau seperti dulu.
Paling tak sangka, sudah ‘besar panjang’ anak-anak Zakiah Anas. Segak dan lawa. Iyalah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Memang mewarisi kecantikan ibu tersayang.
Agak lama tidak mendengar khabar tentang jelitawan ini. Nama Zakiah Anas seakan menyepi dari dunia penyiaran, lebih-lebih lagi sebaik dia mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Raja Shahrul Azmi Raja Sahar pada 12 Disember 2012. Tanggal 12 Disember lalu merupakan ulang tahun perkahwinan ke-8 bagi pasangan romantis tersebut.
Pastinya, tumpuan Zakiah Anas kini lebih kepada keluarga tercinta namun kerinduan terhadap dunia pengacaraan masih menebal. Apatah lagi, dengan pengalamannya selama lebih 20 tahun dalam bidang tersebut. Sayang rasanya kalau bakat itu disia-siakan begitu saja.
Jika dulu wajahnya sering menghiasi program di kaca televisyen tetapi kini Zakiah Anas dilihat lebih selesa menjadi pengacara di majlis-majlis rasmi anjuran syarikat swasta dan kerajaan serta menyumbang suara latar (voice over) untuk pelbagai program. Tidak hanya manis dengan penampilan sopan dan bertudung, figura yang sudah melewati usia 50 tahun ini juga kekal sihat dan menawan seperti zaman kegemilangannya suatu masa dulu.
Berkongsi di IG miliknya, Zakiah bukan hanya aktif mempromosikan produk busana ‘by Zakiah Anas’ yang diusahakan sejak tahun 2016 bahkan ibu cantik ini juga berkongsi wajah anak-anak yang semakin meningkat usia. Anak lelaki sulung, Aiman Muzzammil misalnya meniti usia 26 tahun sementara anak kedua pula berumur 23 tahun. Biarpun anak-anak dah besar tapi Zakiah tetap mencuri perhatian kerana penampilannya yang kekal awet muda.
Melihat perkembangan terkini Zakiah seolah-olah tiada apa yang berubah melainkan penampilannya yang lebih sopan selepas memutuskan untuk berhijab. Ternyata, nampak lebih ayu dan manis dipandang. Terdetik juga rahsia Zakiah mengamalkan susuk tubuh langsing. Rupa-rupanya jelitawan ini gemar mengikuti sukan lasak seperti mendaki. Lebih menarik, minat yang sama turut dikongsi suami dan rakan-rakan. Patutlah kekal slim!
Antara rakan-rakan yang berkongsi hobi sama seperti Zakiah termasuk Datin Nor Azlina Redzuan, Azrinaz Mazhar Hakim dan Ruhil Shafinaz. Difahamkan Zakiah Anas pernah menawan beberapa puncak gunung seperti di Gunung Keriang, Kedah.
Kongsi Zakiah menerusi laporan Sinar Plus, “Memang wajib buat aktiviti (mendaki) tiga kali seminggu bagi memastikan badan saya sentiasa fit dan cergas. Makan dan minum pun kena jaga sebab bila sudah berusia 50an, kena jaga pemakanan dan gaya hidup.”
Kredit: Instagram Zakiah Anas
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dilraba Dilmurat tampil memukau di acara Dior Fall 2026 dengan gaya elegan persis puteri fairytale, sekali lagi membuktikan statusnya sebagai ikon fesyen dan kecantikan antarabangsa.