
Sayuran brokoli, selain enak digoreng ala Cina atau direneh sup panas yang menyegarkan, sebetulnya turut menyimpan pelbagai khasiat perubatan yang menakjubkan. Pemilik nama saintifik Brassica oleracea italica dan berasal dari keluarga kubis Brassica ini merupakan sayuran rendah kalori, selain menjadi makanan yang paling kaya dengan bahan-bahan fotokimia untuk melindungi tubuh daripada penyakit barah, gangguan kardiovaskular serta masalah penuaan.
Menerusi kajian, amalan memakan satu setengah cawan sayur brokoli pada setiap hari berkesan untuk menghindarkan penyakit barah di kawasan paru-paru, usus besar, perut, mulut, farinks dan prostat. Brokoli juga mengandungi beta-carotena dan alpha-karotena, sejenis bahan antipengoksidaan yang bertindak melawan penyakit barah paru-paru dan menghalang pertumbuhan sel ketumbuhan.
Kandungan klorofil yang tinggi dalam sayur kalori menyekat pertumbuhan sel barah dan merangsang pembiakan sel darah merah dan hemoglobin.
Kandungan Gizi Brokoli
- Brokoli mengandung tenaga, karbohidrat, vitamin dan mineral yang berguna untuk tubuh.
- Brokoli merupakan sayuran berkalori rendah, rendah lemak, bebas kandungan lemak tepu, tinggi kalium dan rendah sodium serta tidak mengandungi kolesterol.
- Sumber serat yang sangat baik bahkan lebih banyak daripada serat yang ada dalam roti gandum. Serat ini sangat baik untuk sistem pencernaan.
- Selain itu, brokoli juga mengandung folat. Seperti yang diketahui, folat merupakan salah satu vitamin yang terbaik terutamanya untuk ibu hamil dan janin.
- Mengandungi vitamin C yang sangat tinggi.
- Kandungan kalsiumnya hampir setara dengan kalsium dalam segelas susu (71.8 mg kalsium brokoli sama dengan 120 ml kalsium susu).
- Vitamin K yang terkandung dalam brokoli juga penting untuk menguatkan tulang dan membantu pembekuan darah.
- Brokoli juga mengandung karotena dan lutein.
Khasiat Brokoli
Khasiat sayuran brokoli dalam melawan barah ternyata tidak hanya mampu mencegah perkembangan tumor sebanyak 60%, tetapi juga mampu mengecilkan ukuran tumor yang sudah ada sebanyak 75%. Ia turut mengandungi indole untuk meningkatkan estrogen wanita sekali gus menjadi alasan utama mengapa brokoli sepatutnya diambil dengan serius oleh wanita bagi mencegah potensi barah payudara dan barah rahim. Malah, indole ini juga memiliki kesan baik untuk menentang sel barah prostat.
Rezeki Anak, FIZO OMAR & Keluarga Terima Durian Runtuh!


Bakal menyambut cahaya mata ketiga perempuan dijangka hujung Mei depan, Fizo Omar dan isteri, isteri, Fazeera Nazri Azrai mengakui teruja dan bersyukur dengan rezeki dikurniakan. Fizo percaya rezeki lantikan sebagai duta jenama berkenaan bersama isteri dan anaknya Wan Khaleeda, ibarat rezeki anak dan umpama durian runtuh.
Untuk rekod, selain Wan Khaleeda, Fizo juga mempunyai anak pertama, Wan Maryam hasil perkongsi perkahwinan pertamanya. Fizo atau nama penuhnya Wan Hafizol Wan Omar mengumumkan isterinya kini hamil lapan bulan.
“Ini semua rezeki anak termasuk yang sedang dikandung isteri saya kini. Isteri saya disahkan mengandung anak kedua ini, di saat Wan Khaleeda baru berusia tiga bulan. Nama pun rezeki kami terima dengan lapang dada.
“Tapi saya sebagai suami dan bapa sejujurnya terkejut dengan berita kehamilan ini di saat Wan Khaleeda masih kecil dan memerlukan perhatian,” kata Fizo.
Mengenai tawaran dan lantikan sebagai duta jenama itu, Fizo awalnya ragu-ragu menerimanya.
“Takut juga terima tawaran produk kesihatan seumpama ini. Jika tidak berkesan nanti orang akan salahkan kita pula. Dipendekkan cerita pada suatu hari, kakak saya ada datang ke rumah.
“Kakak memang sudah ada anak. Saya pun terus buka cerita, dapat tawaran untuk berkolaborasi dengan produk ini. Rupa-rupanya, kakak pun sudah lama menggunakannya sejak anak pertama lagi.
“Akuinya, ia memang bagus dan bebas bahan kimia. Tambah pula ada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia, buat apa nak ragu.
Sejak itu, saya sendiri menggunakan produk ini untuk Wan Khaleeda. Saya pun sudah jatuh hati dan akan sapu krim produk berkenaan ke atas badan Wan Khaleeda selepas mandi dan sebelum tidur.
“Hasilnya anak tidur lebih lena dan susah terkena kembung. Bau pun segar, rasa nak cium sepanjang hari.” kata Fizo.
Mengenai jantina anak ketiganya yang juga perempuan, Fizo hanya mampu bersyukur.
“Alhamdulilah, sekali lagi Allah memberi amanah kepada saya untuk menjaga seorang lagi puteri. Kehadiran bakal puteri ini akan melengkapi hidup kami,” kata Fizo sambil memberitahu isterinya bakal melahirkan anak mereka hujung Mei ini.
Pengumuman jantina anak ketiga Fizo itu diumumkan secara eksklusif di majlis Mamz Crazy Rich Night di Hotel Zenith, di sini, 11 Mac lalu.
Malah serentak dengan itu, pengasasnya yang juga pasangan suami isteri, Ahmad Zulkifli Saad dan Mahirah Mohd Fazil berbangga meraikan 150 usahawan pada malam itu yang berjaya membuat jualan tertinggi tahun lalu.
Antara hadiah yang diserahkan kepada kumpulan usahawan itu ialah kereta Toyota Alphard berwarna putih sebagai ganjaran utama kepada ‘top seller’, pakej umrah, komputer riba, telefon bimbit dan sebagainya.
Menurut, Ahmad Zulkifli, pemilihan Fizo dan kerabat keluarganya dilihat bertepatan dengan jenama produk keluarannya.
“Fizo dan isterinya sendiri dilihat begitu tebal dengan sifat keibubapaan. Mereka seperti ibu bapa lain mengutamakan kesihatan dan keselamatan anak sekali gus menyemai kasih sayang bersama.
Jenama yang berdaftar di bawah syarikat Mamz Legacy Sdn Bhd dan beribu pejabat di Bandar Baru Bangi ini mula berada di pasaran sejak tahun 2017. Malah hingga kini, jenama itu sudah mempunyai lebih 10,000 ejen.
“Kami bangga melihat kebangkitan ejen yang menjana pendapatan dan meneruskan kelangsungan hidup. Dari awal bertapak hingga awal tahun ini, sudah 10,000 rakyat yang rata-ratanya wanita berjaya membuat jualan atas talian di rumah saja.
“Kebanyakan daripada mereka berjaya mengubah status hidup dan meraih pendapatan tetap walaupun bergelar suri rumah. Pada acara berlangsung tempoh hari, Naemah Mohamad Mohd Fadzil menjadi top seller 2022 dan dihadiahkan Toyota Alphard.
“Tahun lalu saja dia berjaya membuat jualan lebih daripada RM4 Juta, mampu menyelia lebih 3000 pasukan ejen di bawahnya dan membuka sebuah cawangan Mamz di Butterworth, Pulau Pinang,” tambah Mahirah pula.
Dua produk yang laku keras ialah Mamz Oil dan Mamz Baby Cream.
“Mamz Oil berfungsi untuk merawat kahak dan selesema bayi, melegakan batuk dan merawat asma dan resdung.
“Mamz Baby Cream pula untuk mengelakkan ekzema, mencegah kembung perut, membantu anak tidur lebih lena, selain melembapkan kulit bayi,” kata Mahirah.
Mengenai sasaran tahun 2023, syarikat ini mensasarkan untuk membantu melahirkan lebih ramai usahawan dan membantu lebih ramai suri rumah menjadi usahawan atas talian dan seterusnya membantu menjana pendapatan tambahan buat keluarga masing-masing.
Julung Kali Istiadat Pengurniaan Pingat Di Luar Negara, HALIZA HASHIM Antara Penerima Bintang Ahli Mangku Negara

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Bintang Ahli Mangku Negara (A.M.N) kepada koresponden sebuah stesyen televisyen swasta yang berpangkalan di London, Haliza Hashim. Lebih istimewa, buat julung kalinya istiadat pengurniaan pingat diadakan di luar negara.

Istiadat pengurniaan bintang persekutuan dan darjah kebesaran negeri Pahang tersebut telah berlangsung di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London pada Khamis 10 Ogos, bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan hari keputeraan peribadi Sultan Pahang.
Ianya merupakan satu pengiktirafan atas jasa dan khidmat bakti cemerlang Haliza selama lebih 30 tahun berada di luar negara sebagai pengamal media.
Turut berangkat di majlis pengurniaan bintang tersebut ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut dikurniakan bintang kebesaran A.M.N. adalah Zaharah Othman, 69 tahun, wartawan akhbar The New Straits Times dan pengamal media bebas yang juga berpengkalan di London selama lebih 40 tahun.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (D.S.A.P) yang membawa gelaran Dato’ kepada ahli perniagaan Britain, Ajay Soni.
KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berkenan berangkat ke istiadat berkenaan.
Untuk rekod Haliza, 58 tahun menyertai stesen TV3 sebagai wartawan penyiaran pada 1991, sebelum berpindah ke London pada tahun 1993 dan menjadi koresponden berita dan hal ehwal semasa untuk TV3 sehingga hari ini.
Haliza juga aktif dalam kerja-kerja amal di UK dan telah menerajui badan kebajikan MERCY Humanitarian UK sebagai Pengerusi sejak 2015. Ketika ditanya mengenai perasaannya dikurniakan Bintang Ahli Mangku Negara, Haliza Hashim melahirkan rasa terharu dan gembira di atas pengiktirafan tersebut.

“Saya sangat terharu dan gembira dengan pengiktirafan ini. Bagi saya tugasan sebagai koresponden di UK dan Eropah ibarat sebagai satu tanggungjawab untuk negara juga. Perlu buat laporan untuk berita yang relevan dan membangun untuk penonton di tanahair.
Penghargaan ini saya kongsi kan dengan keluarga di United Kingdom dan Malaysia yang banyak memberi sokongan,” ujar Haliza Hashim yang hadir ke majlis istimewa tersebut ditemani suami, Jonathan Paul Doyle serta dua orang anaknya, Edward Iskandar Doyle dan Emma Suraya Doyle.
“Jutaan terima kasih kepada TV3 dan Media Prima kerana terus memberi saya kepercayaan dan tanggungjawab , menyediakan ruang and sentiasa beri sokongan dan tunjuk ajar untuk saya berkongsi laporan berita dan hal ehwal semasa,” ujarnya mengakhiri perbualan.
“Pengalaman Ambil Vaksin Dos Pertama, Proses Berjalan Lancar. Petugas Kesihatan Amat Berdedikasi Jalankan Tugas”-Wartawan NONA

Hari ini, penulis selaku salah seorang team Editorial Majalah NONA menerima suntikan vaksin dos pertama AstraZeneca (AZ) bertempat di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada jam 9.30 pagi. Syukur Alhamdulillah!
Harapan untuk divaksin terlaksana pagi ini, apabila penulis menerima dos pertama AstraZeneca (AZ) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC). Penulis merupakan antara pendaftar pusingan pertama pendaftaran untuk vaksinasi AstraZeneca yang dibuka pada 2 Mei,
Ia menyaksikan keseluruhan 268,000 slot habis ditempah dalam tempoh tiga jam dua puluh minit pendaftaran tempahan dibuka.

Tahniah diucapkan kepada petugas di Pusat Penerimaan Vaksin IDCC kerana segalanya berjalan lancar daripada proses menunggu, divaksin sehinggalah keluar daripada IDCC, mengambil masa kira-kira sejam sahaja!
Tidak dinafikan, sebelum sampai ke pisat penerimaan vaksin, perasaan gugup tetap muncul dalam diri penulis memandangkan pelbagai andaian mengenai kesan sampingan vaksin yang dimomokkan. Tetapi berbekalkan rasa reda dan tawakal vaksin sebagai salah satu cara mencegah penyakit, penulis menerima dengan hati terbuka dan melaksanakannya.

Memetik kata-kata Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) Prof Datuk Dr Abdul Rahim Mohamad bahawa pengambilan vaksin membuktikan bahawa ia lebih banyak membawa kebaikan daripada keburukan sekaligus tidak bercanggah dengan Islam.
Malah beliau berkata pengambilan vaksin menurut pandangan Islam adalah harus memandangkan ia mampu mencegah kemudaratan daripada berlaku ke atas manusia.
Penulis ingin kongsikan sedikit pengalaman sebelum melalui proses vaksinasi pagi ini. Melalui aplikasi MySejahtera dan vaksincovid.gov.my, penulis berjaya mendapatkan slot untuk temujanji bagi menerima suntikan vaksin AZ.Syukur Alhamdulillah, ketika penulis ‘menekan’ slot temujanji, tidak berlaku sebarang masalah untuk mendapatkan slot. Lebih menyeronokkan, suami juga mendapat slot janjitemu pada masa dan tarikh yang sama!
Beberapa hari sebelum tarikh temujanji, penulis menerima beberapa kiriman SMS selain panggilan telefon sebagai peringatan tarikh untuk menerima suntikan vaksin.

Setelah menghitung hari melihat beberapa kaum keluarga dan sahabat handai yang selamat melalui proses vaksinasi masing-masing, akhirnya temujanji penulis terlaksana pada tarikh hari ini, 3 Jun 2021 jam 9.30 pagi. Sebaik tiba di IDCC dan sebelum naik ke tingkat tujuh untuk proses vaksinasi, semua perlu melakukan imbasan kod QR di pintu masuk yang disediakan.
Anggota RELA pula memeriksa aplikasi MySejahtera setiap individu sama ada individu berkenaan berisiko atau sebaliknya.Setibanya di tingkat tujuh, penulis dan para penerima vaksin yang lain mematuhi arahan yang diberikan oleh para petugas dan memastikan penjarakan fizikal diberi keutamaan sambil diberi taklimat bagi mengisi borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 di Stesen 1 sebelum dibenarkan masuk ke dewan utama.

Usah risau kerana para sukarelawan bertugas pula sedia membantu dan sentiasa ada bagi memastikan proses berjalan lancar selain memastikan orang ramai tidak kehilangan arah. Tidak sampai beberapa minit selepas mengisi borang di stesen 1, penulis dipanggil untuk pendaftaran, sekali lagi melalui imbasan kod QR MySejahtera, bagi memaklumkan kehadiran di Stesen 2.
Proses selanjutnya pula membawa penulis ke Stesen 3 di mana penulis bertemu doktor untuk pengesahan tahap kesihatan selain menandatangani borang persetujuan sebelum ke Stesen 4 bagi suntikan vaksin. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan, anda boleh bertanya dengan doktor bertugas di stesen ini bagi merungkaikan permasalahan yang membelenggu diri anda sebelum suntikan vaksin diberikan!
Tibalah ke stesen 4, proses vaksinasi berjalan lancar dengan penulis hanya menunggu tidak sampai lima minit untuk divaksin. Di Stesen 4 ini, terdapat lebih 10 bilik kecil menempatkan dua vaksinator untuk menyuntik vaksin AZ kepada dua individu pada satu-satu masa. Dalam bilik berkenaan, penulis juga melakukan imbasan kod QR MySejahtera untuk pengesahan menerima vaksin. Sebelum proses vaksinasi dijalankan, petugas menunjukkan jumlah dos yang bakal diberikan serta menerangkan proses bagaimana suntikan vaksin dijalankan. Bagi wanita berhijab, usah bimbang, semasa proses vasinasi dijalankan, vaksinator akan meminta kebenaran anda untuk melakukan suntikan vaksin kerana anda perlu menyelak sedikit pakaian di bahagian lengan. Penting untuk memakai pakaian yang sesuai untuk memudahkan proses suntikan vaksin seperti kemeja t lengan pendek serta memakai cardigan di luar!

Usai menerima suntikan, penulis perlu ke stesen 5 untuk menunggu bagi mendapatkan kad pengesahan dan temujanji vaksin yang kedua dalam tempoh 12 minggu yang akan datang. Meskipun proses sudah selesai, semua penerima vaksin digalakkan menunggu di ruang pemerhatian (Observation Area) selama setengah jam untuk memastikan tiada alahan atau kesan sampingan yang berlaku selepas menerima vaksin. Ruang pemerhatian disediakan untuk penerima suntikan berehat sebentar selain memastikan tiada alahan selepas divaksin sambil diawasi oleh petugas kesihatan yang sentiasa meronda serta bertanyakan kepada penerima vaksin keadaan mereka.

Selain itu, taklimat melalui tayangan video berkaitan kesan dan langkah yang perlu diambil sekiranya terdapat sebarang simptom selepas suntikan turut disediakan untuk memudahkan orang ramai memahami kesan sampingan sekiranya ada.
Tidak dinafikan, usai disuntik, lengan kiri penulis terasa agak sengal-sengal namun selainnya, tiada apa kesan sampingan berlaku.Insyaallah semoga usaha untuk menerima vaksin ini menjadi asbab untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.
Penulis juga amat berharap, lebih ramai akan menerima suntikan vaksin dalam masa terdekat bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19. Akhir kata, jaga kesihatan, patuhi SOP yang telah ditetapkan dan terima kasih petugas barisan hadapan yang tidak putus-putus berkhidmat demi memastikan kesejahteraan kesihatan rakyat Malaysia!.