Selama ada Allah dihatimu, maka kamu takkan pernah menderita. Kerana bahagia itu adalah pilihan, maka cintailah kerana Allah…
Kisah perkahwinan anakanda Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Nurulhidayah Ahmad Zahid dengan ahli perniagaan, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff pada penghujung Ramadan lalu bukanlah rahsia. Termasuklah statusnya sebagai isteri kedua.
Kesempatan bertemu dua wanita kenamaan ini sempena penggambaran cover Nona Oktober 2017 lalu, benar-benar menyingkap dimensi poligami yang baru. Retoriknya, tiada lagi istilah ‘tarik rambut’ atau adegan serang-menyerang seperti dalam filem P. Ramlee, Madu 3.
Mesra bersahabat karib, hubungan mereka selayaknya digelar bagaikan kakak dan adik. Anak-anak membahasakan Dato’ Nurul sebagai Thethe, manakala madunya sebagai Mak.
Kerana Allah
Pertama kali penulis bertemu Datin Bahazanariah Baharudin, 47, atau Datin Nana di kediaman Dato’ Nurulhidayah, terserlah sifat kelembutan dan naluri keibuan yang dimilikinya.
Teringat ketika berus makeup artist Kelrina menari-nari di pipinya, Datin Nana pantas memberitahu kali terakhir beliau bersolek tebal adalah ketika menghadiri sebuah majlis perkahwinan rakannya.
Ads
Datin Nana merupakan isteri pertama Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff serta ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Muhammad Akmal, 21, Nur Amalia, 20, dan Muhammad Arif, 17. Mereka mendirikan rumah tangga pada 8 April 1995 atau kira-kira 22 tahun lalu.
Wanita dari Ipoh, Perak ini pernah bergelar Pegawai Bank selama 18 tahun sebelum meletakkan jawatan pada tahun 2011.
Kini sebagai suri rumah sepenuh masa, Datin Nana bukan saja memberi tumpuan pada keluarga, malah tekun mengisi masa lapangnya dengan mengikuti kelas tajwid di masjid.
Sementara itu, Datuk Saiful Nizam pula adalah seorang ahli perniagaan berjaya yang berasal dari Pahang. Beliau merupakan graduan dari Universiti Sains Malaysia dan pernah bekerja dengan nama-nama besar seperti Tan Sri Mustapha Kamal dan Tan Sri Bustari Yusuf.
Ads
“Semenjak bermadu, saya temui ketenangan yang tak pernah dirasai sebelum ini. Bila tiba giliran madu, saya gunakan waktu terluang itu untuk berbakti pada Mak. Selalunya kami akan keluar bersarapan atau makan malam bersama.”
Dalam nada gementar, penulis berhati-hati mengutarakan satu soalan yang mungkin turut menjadi persoalan ramai wanita… Apa perasaannya ketika suami minta izin untuk berkahwin lagi?
Soalan penulis disambut ketawa kecil. “Sejujurnya saya tak kisah. Saya izinkan kerana kenal suami saya jenis hormat wanita. Kami kenal pun sejak sama-sama berumur 15 tahun dan saya yakin dia tak akan sia-siakan sesiapa pun.
Cuma bila suami beritahu pilihannya adalah Dato’ Nurulhidayah, anak TPM, itu yang paling mengejutkan saya. Saya ingatkan orang biasa!” katanya sambil tertawa.
Ads
Bermula daripada hasrat itu, Datin Nana mohon diaturkan pertemuan untuk berjumpa sendiri dengan bakal madunya.
“Masa berjumpa itulah saya kenal Dato’ Nurul buat kali pertama. Alhamdulilah saya tengok walaupun dia berkedudukan, tapi orangnya peramah dan biasa saja. Terus saya ajukan padanya, boleh ke kita nak berkongsi?”
Susulan pertemuan itu, Datin Nana dengan rendah hati memberikan lampu hijau untuk sang suami, Datuk Saiful Nizam menikahi Dato’ Nurul. Lebih indah, Datin Nana sendiri turut hadir ke upacara akad nikah mereka di Masjidil Haram, Mekah, pertengahan Jun lalu.
Pesanan Datin Nana untuk Dato’ Nurul ini memang sweet sangat. Terkesan nada kasihnya sebagai seorang kakak yang baik terhadap adik tersayang.
“Akak harap perkahwinan ni akan jadi yang terakhir buat Nurul. Jangan gaduh-gaduh.”
Tip Bermadu Datin Nana
Buat persiapan yang cukup dari segi emosi dan mental.
Jangan bermusuhan sesama isteri.
Jangan mengada-ngada bila tiba giliran madu. Hormat masa mereka.
Jangan percaya pada suami bila dia mula menipu. Sekali menipu, dia tak akan teragak-agak untuk mengulanginya.
Cara Menerima Ketentuan Takdir
Bila timbul perasaan cemburu atau marah, cepat-cepat ambil wuduk dan solat 2 rakaat.
Terima hakikat bahawa Tuhan telah menulis takdir di Loh Mahfuz. Kalau sudah ditakdirkan bermadu, jangan melawan ketentuan-Nya.
Orang yang paling baik untuk meluahkan perasaan adalah ibu bapa kita sendiri. Norzalina Mohd Alias
Foto: Instagram @nurulzahid
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Apabila bercerita mengenai siapakah pemain bola sepak terkaya di dunia, pasti ramai akan tertumpu kepada nama-nama besar seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Neymar. Namun begitu, di sebalik kekayaan bintang bola sepak dunia itu, tiada siapa menyangka pemain berusia 24 tahun iaitu Faiq Jefri Bolkiah atau YAM Pengiran Anak Faiq Bolkiah tersenarai sebagai pemain paling kaya di dunia.
Faiq Bolkiah, yang merupakan anak saudara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, mempunyai anggaran nilai bersih kekayaan lebih £20 billion (RM111 bilion). Bapanya, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Di-Gadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Wadden merupakan paduka adinda kepada Sultan Brunei, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.
Faiq juga menghabiskan lebih sedekad dalam akademi bola sepak Inggeris, dengan pengalaman bermain secara professional di Southampton, Chelsea dan Leicester.
Menerusi hantaran di Instagram pada Ahad, Faiq mengumumkan dirinya meninggalkan Chonburi FC.
“Terima kasih Chonburi untuk dua musim terakhir. Dan terima kasih kepada penyokong di atas sokongan yang mengagumkan sejak hari pertama. Semoga yang terbaik untuk anda pada masa hadapan dan saya berharap suatu hari nanti kita akan bertemu lagi,” tambahnya.
Dilahirkan di Los Angeles, Amerika Syarikat, Faiq mendapat pendidikan di England dan mula menceburi sukan bola sepak selepas menyertai Southampton ketika berusia 11 tahun.
Faiq menyertai Choburi pada 2021 dan meninggalkan kelab itu selepas menjaringkan dua gol dalam 29 perlawanan pada musim ini. – Daily Star
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ruang dapur serta ruang makan umumnya menjadi sebuah tempat kita berkumpul dengan ahli keluarga. Selain itu, adakalanya banyak aktiviti yang dilakukan di kedua-dua ruang tersebut. Dalam dapur moden masa kini, kebanyakan wanita menghabiskan banyak masa di dapur dengan melakukan pelbagai aktiviti antaranya memasak, membuat kek atau mengajar anak-anak ketika sibuk menyediakan makanan untuk seisi keluarga.
Tidak dinafikan dapur memerlukan kaedah pencahayaan yang baik supaya suasana menjadi lebih selesa dan menyenangkan. Berikut adalah beberapa tips agar pencahayaan dapur kediaman anda menjadi lebih menarik dan bertepatan.
CHANDELIER
Lampu jenis moden ini semestinya masih sesuai digunakan di beberapa ruang dapur. Semakin banyak lampu chandelier yang ingin digunakan, sebaiknya anda memilih rekaan chandelier yang ringkas supaya persekitaran ruang dapur tidak kelihatan terlalu berlebihan.
LAMPU GANTUNG
Lampu gantung umumnya sesuai digunakan untuk ruang dapur yang berkonsepkan minimalis. Ini adalah kerana lampu gantung mempunyai karakter yang sangat ringkas seterusnya mampu menyerlahkan gaya yang elegan pada ruang dapur. Pastikan, sekiranya anda menggunakan lampu gantung pilihlah rekaan yang serupa agar selaras dengan keseluruhan dapur anda.
TRACK LIGHT
Lampu sorot yang menjalar bukan hanya berfungsi pada bahagian taman mahupun garaj sahaja. Kini, lampu tersebut boleh digunakan serta dikombinasikan dengan reka bentuk dapur moden anda. Bahkan, dengan menggunakan lampu tersebut ruang dapur anda akan terasa lebih luas serta lebar.
PLAFOND GANTUNG
Lampu jenis ini boleh menjadi pilihan terbaik untuk dekorasi pencahayaan ruang dapur anda. Kesan daripada penggunaan lampu jenis ini akan menyerlahkan suasana yang elegan serta ringkas. Plafond gantung tentunya boleh digabungkan dengan berbagai reka bentuk dapur yang anda miliki. Supaya kelihatan lebih menarik, anda bolehlah menambahkan lampu LED di setiap sisi plafond dengan warna-warni tertentu sehingga ruang dapur tampak lebih menarik dan moden.
TIP MEMILIH PERALATAN LAMPU
1. Sekiranya anda sedang mengubahsuai rumah serta mempunyai bajet yang terhad untuk peralatan lampu, mulakan pemilihan anda dengan peralatan lampu di ruang makan ataupun ruang tamu. Lampu yang paling menarik dan menyerikan rumah bermula di ruang utama ini. Dari situ, lebih senang untuk anda mula mencari lampu-lampu yang lain dan membahagikan bajet pada peralatan lampu untuk bilik-bilik yang lain.
2. Sertakan bersama dalam bajet pengubahsuaian anda beberapa jenis lampu meja dan lampu berdiri. Sekurang-kurangnya dua hingga empat jenis lampu sudah memadai. Lampu-lampu ini amat berguna apabila anda ingin melakukan quick makeover di ruang rumah anda. Mudah juga untuk anda mengalihkannya mengikut citarasa dekorasi anda, lebih-lebih lagi lampu meja dan lampu berdiri kerana ia boleh menjadikan ruang bilik lebih mesra suasana.
3. Jika inginkan daya tarikan pada dinding, anda boleh menggunakan sebuah lampu dinding yang menarik dan yang boleh memberikan sinaran cahaya lampu yang kreatif pada dinding. Pilihan anda tidak terhad pada kertas dinding, lukisan, panel papan kayu dan seterusnya. Anda boleh menggunakan lampu dinding untuk mencipta kesan pencahayaan dan membuat dinding lebih menarik.
4. Di kedai hardware terdapat banyak corak bal LED sentuh atau tap-on yang boleh dipasang siap dan menggunakan bateri. Jika kabinet besar ataupun almari baju anda malap dan gelap, lekatkan sahaja bal LED tap-on ini di dalam kabinet supaya anda senang melihat barang di dalamnya. Ia juga mudah dipasang dengan menggunakan pelekat sahaja tanpa memasang aliran elektrik kepada kabinet dan almari. Anda boleh menjimatkan kos memasang lampu di almari kerana menggunakannya sebentar sahaja. Kosnya amat minimal kerana menggunakan bateri biasa.
Perhatikan cara anda menggunakan lampu dalam kehidupan harian. Elakkan pembaziran kos pada peralatan lampu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Baru saja berlangsung semalam tapi ‘penangan’ majlis resepsi selebriti popular Fattah Amin dan Fazura masih hangat diperkatakan sampai hari ini. Paling membuatkan peminat tak berhenti bercakap mengenai majlis tersebut, tentunya keanggunan isteri pelakon KL Special Force itu yang persis puteri kayangan! Berbusana tradisional songket penuh dan bersanggul kemas, Fazura sekali lagi meraih perhatian ramai dengan penampilan yang begitu mempersona.
Orang kata kalau dah memang cantik, pakai apa pun tetap nampak cantik. Itulah hakikat sebenar tentang aktres Hero Seorang Cinderella ini. Walau pun mengenakan solekan natural, kecantikan Fazura tetap terserlah. Thumbs up buat @kfbongmakeup kerana berjaya menaikkan lagi seri pengantin kesayangan ramai ini. Tak lupa juga sentuhan magis @ckayliow yang turut mendapat pujian ramai hasil dandanan kemas sanggul Fazura. Segala-galanya nampak cukup indah dan sempurna.
Tak hanya tertawan dek kecantikan yang dimiliki, ribuan peminat Fattzura yang membanjiri Royale Palace semalam nyata kagum dengan sikap ramah pasangan ini yang rajin melayan peminat untuk bergambar. Malah, dalam satu ketika kelihatan kelibat Fazura sibuk beramah mesra dengan peminat di sebelah kiri pelamin. Sementara Fattah pula meluangkan masa bersama peminat di sebelah kanan. Memang nampak betul kedua-duanya sangat menghargai peminat masing-masing.
Sambil melambai ke arah hadirin dan sentiasa menguntum senyuman, Fazura dan Fattah turut membuat kejutan dengan persembahan tarian dan nyanyian popular mereka, Cinderella. Sporting habis!
Sebenarnya majlis resepsi kedua Fattah dan Fazura ini diadakan untuk dua sesi iaitu sesi pagi dikhaskan buat para penaja. Manakala pada sebelah petang pula khusus buat para peminat. Khabarnya, pereka kasut tersohor, Prof Datuk Jimmy Choo pun hadir memeriahkan majlis.
Pujian juga harus diberikan kepada Reka Teemor kerana berjaya menghasilkan singgahsana nan indah ‘The Fattamorgana’ yang sarat dengan elemen kerawang dan garapan rona putih bersih. Buatkan yang sudah berumah tangga pun terasa seperti mahu bersanding lagi. Selamat Pengantin Baru Fattah dan Fazura. Moga ikatan suci ini berkekalan hingga ke syurga.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.