Dua minggu lalu, pelakon Anzalna Nasir dan suami tersayang, Hanif Zaki telah mengadakan majlis akikah untuk anak kesayangan mereka, Mohamad Eidrees bertempat di Hotel Sheraton Petaling Jaya. Selain mengadakan majlis akikah sebagai tanda kesyukuran dikurniakan zuriat sebagai pengikat kasih sayang, Anzalna dan Hanif turut mengambil kesempatan meraikan ulang tahun perkahwinan keempat sambil disaksikan oleh kaum keluarga serta sahabat rapat pasangan ini.
Jika kebiasaannya Anzalna dan Hanif memilih meraikan majlis istimewa mereka dengan kehadiran rakan selebriti dan sebagainya, kali ini mereka lebih senang memilih meraikan anak-anak yatim dari Raudhatul Afaeez serta anak-anak yatim dan asnaf dari Maahad Tahfiz Al Hijrah. Menurut Anzalna, dia mahu majlis tersebut lebih santai dan mendapat keberkatan sebagaimana dia dan Hanif bersyukur dikurniakan zuriat sebagai penyambung keturunan.
Majlis akikah dimulakan dengan acara marhaban dari Kumpulan Rasyada sebelum Anzalna bersama Hanif masuk ke dewan membawa si comel Eidrees yang segak berbaju Melayu. Sepanjang majlis berlangsung, si comel yang telah mengunjak usia 9 bulan kelihatan sangat aktif dan tersenyum sambil didukung secara bergilir-gilir oleh ahli keluarga Anzalna dan Hanif. Apatah lagi Eidress merupakan satu-satunya cucu lelaki di dalam keluarga Anzalna dan menjadi kesayangan semua.
Anzalna anggun mengenakan persalinan bak pengantin hasil sentuhan Wan & Mary rona keemasan. Manakala ballroom dihias indah hasil dekorasi TheCalla yang menjadi pilihan Anzalna. Konsep istana menjadi pilihan Anzalna dan Hanif bagi meraikan majlis akikah Eidrees sekaligus majlis ulang tahun perkahwinan mereka keempat.
Dalam asyik bercerita mengenai majlis akikah, rupanya Anzalna turut berhadapan detik cemas kira-kira seminggu sebelum majlis akikah tersebut berlangsung.
“Setiap ibu pastinya tidak sanggup membiarkan anak menangis tanpa diberi perhatian. Walaupun ketika itu, agak kelam kabut untuk bersiap dan menghadiri acara, Anzalna tetap bingkas untuk mendapatkan Eidrees sehingga mencederakan diri sendiri.
Bayangkan,sewaktu berkejar mendapatkan Eidrees,saya tersilap langkah dan jatuh terlentang.
Tapi saya bingkas bangun dan mendapatkan Eidrees. Saya juga sempat memberinya makan sebelum keluar bersama suami untuk ke majlis. Namun apabila berada di dalam kenderaan, saya mula merasa tidak selesa dan tak mampu bergerak dengan sempurna.Panik dengan keadaan tersebut,Hanif membawa saya ke hospital.
Pemeriksaan lanjut mendapati saya mengalami otot bengkak dan perlukan rawatan,”ujar Anzalna yang terpaksa di tahan di wad beberapa hari.
Sepanjang tempoh berada di wad pastinya saat yang sukar untuk dirinya apabila terpaksa berjauhan dengan Eidrees.Memandangkan pelbagai virus penyakit melanda negara, Anzalna akur untuk mengehadkan kehadiran Eidrees di kawasan awam dan ia merupakan saat yang paling sukar untuk dirinya terpaksa berjauhan dengan si kecil.
Walaupun masih memerlukan rawatan fisioterapi, Anzalna nekad untuk cepat sembuh demi si kecil yang pastinya memerlukan perhatian khusus darinya.
“Alhamdulillah saya dapat meraikan majlis akikah Eidrees bersama keluarga dan rakan terdekat pada malam tersebut,”ujar Anzalna anggun bak puteri mengenakan persalinan dari Wan and Mary rona keemasan. Malah, adik beradik Anzalna juga anggun mengenakan busana rona keemasan di majlis akikah tersebut. Dekorasi sentuhan The Calla melengkapkan lagi majlis akikah tersebut.Malah sepanjang majlis berlangsung, Eidrees yang berusia 9 bulan tidak meragam malah menunjukkan reaksi tersenyum dan comel tatkala foto dirakam.
Dalam masa yang sama, Anzalna dan Hanif turut meraikan sambutan hari lahir ke 27 Afifah Nasir kebetulan jatuh pada tanggal 15 Februari lalu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nampaknya anak sulung kepada pasangan keluarga diraja Britain, Putera Harry dan Meghan Markle bakal bergelar abang tak lama lagi apabila kedua-dua ibu dan bapanya telah mengumumkan bahawa sedang hamil anak kedua. Berita gembira ini disampaikan oleh jurucakap kepada pasangan berkenaan.
“Kami mengesahkan Archie akan menjadi abang. Duke dan Duchess of Sussex sangat gembira untuk menanti kelahiran cahaya mata kedua mereka,” kata jurucakap pasangan ini seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Ratu Elizabeth turut gembira dengan berita ini dan menzahirkan perasaannya melalui jurucakap Istana Buckingham kepada portal T&C. Bayi kedua Putera Harry dan Meghan Markle akan menjadi cucu ke-10 atau ke-11 Ratu Elizabeth II bergantung kepada tarikh bersalin seorang lagi cucu banginda, Zara Tindall, yang sebelum ini mengumumkan kehamilannya pada Disember lalu.
Sebelum ini sejarah tercipta apabila menyaksikan perkahwinan Diraja Putera Harry dan Meghan Markle tiga tahun lalu. Kisah cinta di antara anak bongsu mendiang Puteri Diana dan pelakon Hollywood ini sememangnya menjadi perbualan hangat seantero dunia.
Namun, Meghan Markle dan suami tercintanya telah membuat keputusan untuk mengundur diri sebagai ‘senior members‘ keluarga diraja Britain dan akan memulakan hidup keluarga kecil mereka di Amerika Utara bersama anak mereka, Archie.
Pasangan ini juga telah membuat keputusan untuk mengundurkan diri dari media sosial masing-masing dan bahagia dengan keputusan tersebut.
Datin Paduka Eina Azman sememangnya memiliki aura memukau. Setiap gerak-geri dan fesyen yang digayakan beliau pasti menarik perhatian peminat. Bahkan, segala perkongsian Datin Paduka Eina juga amat dinanti-nantikan terutamanya melibatkan aktiviti beliau di dapur. Terbaharu, isteri kepada Datuk Paduka Kaiser Gurmeet ini memuatnaik foto bersama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Idris yang turut ditemani suami tercinta.
Difahamkan pertemuan bersama Raja Nazhatul Shima berlangsung di Istana Riswin, Ipoh, Perak. Seperti dijangka, penampilan Datin Paduka Eina nyata menarik perhatian followers dan peminat setia. Dalam pertemuan berkenaan kelihatan aktres cantik ini mengenakan persalinan tradisi rona pastel bermotif bunga-bungaan dan lengkap berselendang. Sementara usahawan Datuk Paduka Kaiser pula segak berkemeja turquoise dan bersongkok.
Melihat penampilan serba anggun dan segak pasangan romantis ini, rata-rata peminat memberi reaksi positif dan menyifatkan Datin Paduka Eina seorang wanita yang bertuah
kerana tidak hanya mempunyai rupa paras cantik malah personaliti dirinya yang lembut menjadi tarikan ramai.
Tidak kurang juga yang mengagumi kecantikan semula jadi beliau yang tetap menarik dipandang meskipun tanpa sebarang solekan. Malah, pakai apa juga busana pun sentiasa nampak cantik!
Selain berlakon, Datin Eina turut menceburi bisnes makanan ‘It’s Done by Eina Azman’ yang sudah pun bermula sejak Ramadan lalu. Walau masih bertatih dalam perniagaan ini namun sambutan yang diterima sangat memberangsangkan. Bayangkan, setiap hari beliau menerima tempahan makanan tanpa henti sampai ke awal pagi! Memandangkan bisnes ini perkara baru bagi Datin Paduka Eina, beliau masih cuba menyesuaikan diri dan berusaha memberikan yang terbaik kepada semua.
“Anyway, Eina nak share sikit apa yang Eina rasa semenjak buat ‘It’s done by Eina Azman’ ni. Syukur alhamdullilah rezeki Allah bagi terlalu banyak sampai tak menang tangan. Tapi yang sedihnya Eina tak dapat nak terima semua order dengan baik. Terlalu ramai yang whatsapp sampai Eina tak dapat nak amik order.
Sebab bayangkan setiap hari WhatsApp masuk beratus-ratus. Staff-staff Eina semua cuba yang terbaik untuk balas semua WhatsApp tapi tak pernah habis-habis nak balas sebab WhatsApp non stop sampai 4 ke 5 pagi. Ada juga yang marah-marah Eina dan staff.
Eina tak boleh nak balas semua dari Eina. Sebab kalau Eina reply siapa pula nak memasak di dapur? So Eina harap u all boleh faham dan boleh bagi Eina sedikit ruang dan peluang untuk Eina and the team untuk perbaiki segala kekurangan. “Minta maaf sangat-sangat”.”
https://www.instagram.com/p/CCTRXMcDRG6/
Meninjau akaun rasmi ‘It’s Done by Eina Azman’ yang sudah pun mempunyai hampir 50 ribu followers, antara menu yang dijual ialah Assam Laksa, Sambal Tempoyak Ulam Kayu (9 Jenis Ulam) dan Sambal Jering Bilis. Bagi memudahkan pelanggan menikmati menu air tangan Datin Paduka Eina di rumah, perkhidmatan penghantaran makanan sampai ke pintu rumah anda turut disediakan.
Malah, rata-rata feedback memberikan komen positif mengenai ketiga-tiga menu masakan Datin Paduka Eina Azman. Pendek kata, memang tak rugi cuba sambal dan laksa jualan
aktres tinggi lampai tersebut. Sudahlah cantik, popular dan kaya. Pandai memasak pula tu! Menyedari minat memasak isteri tercinta, baru-baru ini Datuk Paduka Kaiser telah menghadiahkan peralatan memasak berteknologi tinggi Thermomix kepada Datin Paduka Eina.
https://www.instagram.com/p/CC56iJcDL86/
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Datin Paduka Eina Azman sudah pasti mengetahui bakat memasak ibu dua anak kembar ini yang gemar menyediakan sendiri hidangan untuk seisi keluarganya. Tidak hanya sajian tradisi Melayu bahkan beliau juga pandai memasak aneka hidangan Barat termasuk pencuci mulut. Jadi tidak hairanlah, air tangan Datin Paduka Eina digemari ramai dan mendapat sambutan luar biasa.
Di samping gemar berkongsi aneka resipi di platform media sosial, Datin Paduka Eina juga memberi pendedahan kepada kedua-dua anak kembarnya untuk beraksi memasak di depan kamera. Memang comel habis!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pasangan suami isteri yang dilahirkan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU), Siti Zainab Yusof (45) dan Muhammad Zulfakar Tong Abdullah (44) membuktikan golongan seperti mereka juga mampu menjalani kehidupan seperti mana insan yang sempurna.
Usia perkahwinan mereka kini sudah pun mencecah 20 tahun. Kecacatan fizikal yang dialami sejak lahir bukan alasan untuk mereka tidak berbuat apa-apa.
Jika dahulu Siti Zainab aktif memenuhi permintaan menjahit pakaian namun kini tidak lagi kerana tahap kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Bukan sekadar mengalami kecacatan di kaki kiri sejak lahir sehingga terpaksa menggunakan kaki palsu yang digunakan sejak kecil, Siti Zainab juga diuji dengan penyakit kencing manis, darah tinggi dan batu karang.
Sumber Rezeki
Siti Zainab gigih membantu suaminya yang mencari rezeki dengan menjaja makanan ringan di pasar pagi dan pasar malam. Setiap hari Siti Zainab akan membantu suaminya membungkus barangan jualan di rumah.
Bilangan stok barangan yang dibeli bergantung kepada jumlah modal yang ada. Setiap hari bertemankan motosikal roda tiga yang diubahsuai, suaminya akan berulang alik dari Meru ke kawasan sekitar termasuk Kapar dan Puncak Alam untuk menjaja. Motosikal tersebut telah pun digunakan sejak 12 tahun lalu hasil sumbangan BAKTI.
“Saya menjaja di pasar malam dan pasar pagi sejak 13 tahun lalu. Terdahulu saya pernah bekerja di kilang membuat beg golf di Meru selama 10 tahun. Semasa ekonomi merudum kilang tempat saya bekerja itu ditutup.
Saya diberhentikan dan diberikan pampasan. Demi kelangsungan hidup bersama isteri saya menggunakan sebahagian daripada wang pampasan sebagai modal berniaga. Alhamdulillah, kini kami menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor.
Dalam sehari paling banyak keuntungan yang saya dapat ialah sekitar RM30-RM60 sahaja. Jika ada rezeki lebih kami simpan dan berjimat.
Jiran dan rakan-rakan tidak pernah memandang serong terhadap kami sebaliknya mereka banyak membantu. Sepanjang menjaja di pasar, pernah juga saya di saman oleh pihak berkuasa kerana tidak memiliki lesen perniagaan.
Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana tidak mempunyai wang untuk ambil lesen berniaga. Mujurlah rumah sewa kami ini ditanggung oleh Lembaga Zakat Selangor. Begitu juga dengan bantuan-bantuan lain seperti perbelanjaan harian dan makanan asas,” ungkap Zulfakar yang memiliki kemahiran menjahit baju Melayu.
Rahsia Bahagia
Sewaktu usia lima tahun, Zulfakar dihantar ke rumah anak-anak yatim di Perak. Dia membesar di situ sehinggalah usianya 17 tahun. Kemudian Zulfakar dihantar ke Pusat Pemulihan Cheras, Selangor.
Sebaik bergelar mualaf, kehidupan Zulfakar mulai berubah. Jiwanya semakin tenang. Sebaik bertemu dengan Siti Zainab mereka mengambil masa selama tiga tahun untuk mengenali hati budi sebelum berkahwin. Siti Zainab merupakan anak yatim piatu dan anak keempat daripada lima beradik.
Hingga kini pasangan ini belum dikurniakan zuriat. Zulfakar sudah biasa menguruskan dirinya sendiri. Selagi mampu dia akan berusaha berdikari kerana memahami isterinya juga memiliki kekurangan.
Mereka saling memerlukan dan hasrat Zulfakar biarlah mereka hidup dan mati bersama. Buat anda yang ingin membantu pasangan ini bolehlah menyalurkan sumbangan ikhlas ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN): 10154-29-00002007-0 atas nama Muhammad Zulfakar Tong Bin Abdullah. Amy Mohd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.