KELLY KNOX Wanita Kelainan Upaya Paling Berpengaruh Di Britain. Jadi Rebutan Di Pentas Fesyen

Siapa sangka, kekurangan diri menjadi kelebihan yang menjadikan dirinya mahsyur! Dikenali sebagai supermodel kudung, Kelly Knox, 38  dilahirkan tanpa lengan kiri tidak melihat kekurangan dirinya sebagai satu titik yang boleh melemahkan semangatnya untuk menjadi seorang model peragaan terkenal.

Lebih membanggakan, ibu kepada seorang cahaya mata itu  sering menjadi buruan jenama terkenal Eropah seperti Primark selain ditugaskan berjalan di pentas peragaan London Fashion Week pada 2019. Wanita itu turut diundi sebagai wanita kelainan upaya paling berpengaruh di Britain!

Meskipun industri fesyen sudah lama meraikan perbezaan termasuk memperkenalkan lebih ramai model ‘plus-size’

dan model pelbagai warna kulit yang mewarnai kempen-kempen fesyen berskala  besar, namun model kelainan upaya masih belum diraikan, menyebabkan Knox berdepan prejudis dan tentangan.

Namun, wanita itu tidak patah semangat kerana dia tahu kekuatan dan kehebatan yang ada dalam dirinya.

“Biarpun saya tahu ada segelintir pihak yang akan menolak kehadiran dan keunikan saya dalam industri ini, namun ia tidak akan sesekali membuatkan saya mengalah.

“Saya mahu orang kelainan upaya untuk merasakan kehebatan mereka dan tidak malu atau bersalah mempunyai tubuh badan yang berbeza daripada orang lain,” ujarnya.

Menerusi projek terbaharu, Knox yang memperagakan koleksi pakaian daripada gedung peruncit fesyen Primark telah menerima beratus-ratus pujian dan juga respons positif daripada orang ramai yang meraikan perbezaan Knox.

Kempen itu menerima hampir 97,000 jumlah likes dalam tempoh kurang 24 jam.

Knox mempunyai daya penarik serta kecantikannya yang tersendiri dan sehingga kini sudah berkecimpung dalam dunia peragaan  selama 14 tahun.

Pencapaiannya itu telah meletakkan dirinya sebaris dengan supermodel terkenal dunia seperti Kate Moss, Adriana Lima dan Gisele Bundchen.

Dilahirkan di Enfield, England, Knox mengakui zaman kanak-kanaknya adalah sukar memandangkan ibu dan bapanya berpisah ketika dia berusia dua tahun. Ibunya juga melalui kesukaran membesarkan Knox, lebih-lebih lagi apabila Knox sering dihina akibat kekurangan fizikalnya.

“Pada zaman ini, saya beranggapan bahawa sekiranya saya seorang remaja atau seorang individu yang membesar dengan kekurangan fizikal, saya pasti akan berasa tertekan memandangkan di media sosial, apa yang ditonjolkan adalah ‘kesempurnaan’.

“Namun, selepas berjalan di pentas peragaan, saya berasa diri ini hebat dan kuat. Ini adalah permulaan dan saya mengimpikan untuk menghiasi muka hadapan majalah Vogue dan berkempen bersama jenama besar seperti Gucci,” katanya yang memasang impian yang tinggi.

Sumber: Kosmo
IKLAN
Share