
Siapa sangka, kekurangan diri menjadi kelebihan yang menjadikan dirinya mahsyur! Dikenali sebagai supermodel kudung, Kelly Knox, 38 dilahirkan tanpa lengan kiri tidak melihat kekurangan dirinya sebagai satu titik yang boleh melemahkan semangatnya untuk menjadi seorang model peragaan terkenal.

Lebih membanggakan, ibu kepada seorang cahaya mata itu sering menjadi buruan jenama terkenal Eropah seperti Primark selain ditugaskan berjalan di pentas peragaan London Fashion Week pada 2019. Wanita itu turut diundi sebagai wanita kelainan upaya paling berpengaruh di Britain!
Meskipun industri fesyen sudah lama meraikan perbezaan termasuk memperkenalkan lebih ramai model ‘plus-size’ dan model pelbagai warna kulit yang mewarnai kempen-kempen fesyen berskala besar, namun model kelainan upaya masih belum diraikan, menyebabkan Knox berdepan prejudis dan tentangan.

Namun, wanita itu tidak patah semangat kerana dia tahu kekuatan dan kehebatan yang ada dalam dirinya.
“Biarpun saya tahu ada segelintir pihak yang akan menolak kehadiran dan keunikan saya dalam industri ini, namun ia tidak akan sesekali membuatkan saya mengalah.
“Saya mahu orang kelainan upaya untuk merasakan kehebatan mereka dan tidak malu atau bersalah mempunyai tubuh badan yang berbeza daripada orang lain,” ujarnya.

Menerusi projek terbaharu, Knox yang memperagakan koleksi pakaian daripada gedung peruncit fesyen Primark telah menerima beratus-ratus pujian dan juga respons positif daripada orang ramai yang meraikan perbezaan Knox.
Kempen itu menerima hampir 97,000 jumlah likes dalam tempoh kurang 24 jam.
Knox mempunyai daya penarik serta kecantikannya yang tersendiri dan sehingga kini sudah berkecimpung dalam dunia peragaan selama 14 tahun.
Pencapaiannya itu telah meletakkan dirinya sebaris dengan supermodel terkenal dunia seperti Kate Moss, Adriana Lima dan Gisele Bundchen.
Dilahirkan di Enfield, England, Knox mengakui zaman kanak-kanaknya adalah sukar memandangkan ibu dan bapanya berpisah ketika dia berusia dua tahun. Ibunya juga melalui kesukaran membesarkan Knox, lebih-lebih lagi apabila Knox sering dihina akibat kekurangan fizikalnya.

“Pada zaman ini, saya beranggapan bahawa sekiranya saya seorang remaja atau seorang individu yang membesar dengan kekurangan fizikal, saya pasti akan berasa tertekan memandangkan di media sosial, apa yang ditonjolkan adalah ‘kesempurnaan’.
“Namun, selepas berjalan di pentas peragaan, saya berasa diri ini hebat dan kuat. Ini adalah permulaan dan saya mengimpikan untuk menghiasi muka hadapan majalah Vogue dan berkempen bersama jenama besar seperti Gucci,” katanya yang memasang impian yang tinggi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lee Chong Wei, Ratu Badminton Goh Liu Ying Sertai Barisan Atlet Dilantik Duta Anti-Scam JSJK

Nama atlet beregu campuran badminton negara, Goh Liu Ying sekali lagi melonjak perhatian apabila beliau menyertai barisan ‘influencers’ dari bidang sukan sebagai duta anti-scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) oleh Polis Diraja Malaysia.
Wanita jelita berusia 33 tahun dengan ketinggian 166cm ini kelihatan teruja dengan lantikan tersebut sambil berkongsi video rakaman penyampaian cenderahati yang berlangsung semalam.
“Rasa bangga dilantik sebagai duta anti-scam PDRM dan menerima sendiri sijil lantikan tersebut daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani.” Goh Liu Ying


Bagi mengurangkan kes penipuan online, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah melantik seramai 104 orang pempengaruh (influencer) dalam kalangan pelbagai latar belakang sebagai duta anti-scam bagi memberi kesedaran terhadap orang ramai.
“Selaku duta mereka akan berkongsi informasi berhubung pencegahan jenayah komersil kepada pengikut laman sosial masing-masing.” Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani
Mengetuai senarai duta anti-scam yang diumumkan itu adalah legenda badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei dan bekas pemain No.1 dunia, Roslin Hashim.

Senarai itu diikuti dengan beberapa jaguh negara pada masa kini iaitu perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia, gandingan juara Kejohanan Dunia BWF, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Goh Liu Ying.
“Buat masa ini, kita jangkakan dapat (capai sasaran) penurunan (sebanyak) 10% setahun, itu merupakan satu perkembangan yang baik.
Jenayah penipuan ini adalah jenayah yang sukar dicegah dan dibendung tapi ia boleh dikawal dengan memberikan pendedahan dan pengetahuan secukupnya kepada setiap ahli anggota masyarakat,
Mereka akan menjalankan peranan mereka (sebagai duta) dengan cara mereka tersendiri, tidak ada satu garis panduan yang mereka terikat, penglibatan mereka adalah dimana-mana dan bila-bila masa yang mereka fikirkan sesuai dan dapat menyampaikan maklumat yang tepat kepada seramai mungkin anggota masyarakat kita.”
Selain daripada legenda dan jaguh sukan, pelakon dan selebriti terkenal, Datuk Ahmad Azhar Othman (Awie), Datuk Mohd Shukri Shahabudin (Hattan), Zed Zaidi serta beberapa individu terkenal dan berpengaruh lain termasuk usahawan, pegawai polis dan agamawan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Video Kolaborasi SOFYANK-ZACH KING Raih 10.2 Juta Tontonan, Kejayaan Di Los Angeles Cetus Inspirasi

Baru-baru ini pereka kandungan digital, Sofyank telah mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai pertandingan Ultimate VFX Challenge – Magic of The Month di Los Angeles, Amerika Syarikat yang dianjurkan oleh pempengaruh media sosial dan pereka kandungan digital terkemuka antarabangsa, Zach King.

Kejayaan anak muda berusia 27 tahun ini telah mencetuskan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia sekaligus mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. DS Anwar turut menyifatkan kejayaan Sofyank sebagai satu inspirasi dan membanggakan negara.

Pemilik nama penuh, Mohamad Sofian Abdullah yang berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan ini terus mencipta sejarah apabila melakukan kolaborasi khas bersama Zach King. Menurut Sofyank, kolaborasi ini adalah ‘hadiah’ buat para peminatnya yang sentiasa memberi sokongan kepada setiap video yang dihasilkan.

Tulis Sofyank di ruangan kapsyen video kolaborasinya itu di YouTube:-
“Selepas lapan tahun saya muat naik video di media sosial untuk hiburan semua, kali ini saya hadiahkan korang satu video kolaborasi khas antara saya dan idola saya, @zachking.
“Kolaborasi ini khas untuk semua yang sentiasa bagi sokongan terhadap video kami.”

Sementara itu, menerusi hantaran video sama yang dimuat naik di akaun Instagram Zach King, Sofyank meninggalkan balasan di ruangan komen:-
“Akhirnya, impian terbesar saya sebagai pereka kandungan digital untuk berkolaborasi dengan anda (Zach King) menjadi realiti. Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan betapa gembiranya saya!”

Menerusi video pendek itu, kelihatan Sofyank dan Zach King berlakon dengan menampilkan aksi magik di mana kopi yang dihidangkan oleh Zach King kepada Sofyank bertukar menjadi kek dan papan tanda menu pula bertukar menjadi kain napkin yang digunakan semasa makan.
Sehingga kini, perkongsian video itu di aplikasi Tiktok Zach King berjaya meraih lebih lebih 10.2 juta tontonan pelayar media sosial dan lebih sejuta tanda suka serta ribuan komen seluruh dunia.

Di ruangan komen Zach King memaklumkan kepada peminatnya, Sofyank adalah sahabatnya yang berasal dari Malaysia. Dia menyifatkan Sofyank sebagai pereka filem serta artis VFX yang luar biasa.
“Beliau baru-baru ini datang ke Los Angeles untuk menyempurnakan cabaran membuat filem yang saya hoskan. Tiada spoiler, anda patut ke saluran YT (YouTube) saya untuk melihatnya,” kata Zach King.
ISTERI SETIA DI SISI
Di sebalik kejayaan seorang suami, pasti ada isteri di belakangnya yang menjadi tulang belakang di kala susah mahupun senang.
Nona memetik kata-kata yang pernah dititipkan oleh isterinya, Nabilah di Instagram:-

“Sejak 7 tahun lepas, sayalah orang oertama yang dia akan tunjukkan hasil video dia sebelum dia post. Tanya pendapat saya, tanya apa yang patut diimprove.
“Walaupun masa tu saya langsung tak pandai bab editing. Tapi still saya akan puji, and yakinkan dia yang video-video yang dia hasilkan sangat bagus.

“Dan harini semua penat lelah, kerja keras dia membuahkan hasil. Saya tahu setiap pengorbanan dia untuk video-video yang dia hasilkan. Saya ada di saat dia kecewa, stress dan letih. Dia korbankan tenaga dan masa untuk impian dia. Tapi awak tak pernah “Putus Asa”.
“Menitis air mata saya sambil tulis ni. Tapi semalam, saya adalah orang yang paling bahagia melihat satu-satunya orang yang saya cintai gembira. Semoga suami saya akan terus berjaya dan memberi manfaat untuk orang lain.”
“Your wife, who always proud of you.”


Semoga Sofyank terus sukses pada masa akan datang dan teruslah menjadi inspirasi dan kebanggaan negara. Malaysia Boleh!
Kredit Foto: IG Sofyank96, IG Nabilah
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Dalam Motokar, Dia Pegang Tangan Saya. Pegangan Tangan Dileraikan Apabila Kami Melintasi Tol & Jari-Jemari Kembali Bertaut Selepas Itu” – Tun Hasmah

Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!


Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
MENULIS
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.

Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.

KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.

Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


