Sebut saja nama Dian Sastro pasti peminat mengingati lakonan menarik pelakon kelahiran Indonesia ini dalam filem ‘Ada Apa Dengan Cinta’. Meskipun sudah lebih dua dekad filem box office tersebut sudah berlalu namun impaknya masih dikenang peminat filem hingga kini. Pesona Dian Sastrowardoyo dan wajah cantiknya pernah menjadi kegilaan ramai jejaka di Malaysia.
Dian dilahirkan di Jakarta pada 16 Mac 1982 dan kini berusia 42 tahun. Walau sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, namun Dian Sastro masih bergiat aktif sebagai anak seni. Yang pasti, pemilik nama Dian Paramita Sastrowardoyo ini bukan calang-calang wanita.
11 Jun lepas, Dian dilantik sebagai Duta Festival Film Indonesia (FFI) 2024 di samping empat lagi pelakon hebat Indonesia.
Ads
Pada tahun 2007 ketika kerjaya seni sedang berada di puncak, jelitawan ini dilaporkan berjaya menamatkan pengajian sarjana dalam bidang Falsafah dari Universiti Indonesia.
Biarpun waktu itu dia sudah pun mempunyai nama besar dalam industri seni Indonesia namun Dian tetap belum puas dengan pencapaian tersebut.
Ads
Lantas pada tahun 2014, dia meneruskan pengajian dalam bidang ekonomi dan menggenggam Master dalam lulusan berkenaan di universiti sama.
Isteri kepada usahawan berjaya Indonesia ini juga prihatin terhadap nasib pelajar perempuan yang ketinggalan dalam Pendidikan disebabkan kesempitan hidup.
Ads
Memetik laporan Antara News, Dian berkata dia terinspirasi untuk menjayakan usaha memberi pendidikan kepada pelajar perempuan daripada tokoh pejuang hak wanita Indonesia iaitu Raden Adjeng Kartini atau lebih dikenali sebagai Ibu Kartini.
“Saya percaya saat banyak perempuan menginginkan pendidikan tinggi, maka akan lahir generasi berikutnya yang jauh lebih cerdas. Kerana dengan mendidik perempuan maka sebenarnya secara tidak langsung sedang mendidik anak-anak dan cucu-cucu iaitu generasi berikutnya.”
Dian mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan hati, Maulana Indraguna Sutowo pada tanggal 18 Mei 2010.
Hasil perkongsian hidup selama 14 tahun, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan iaitu Syailendra Naryama Sastraguna Sutowo berusia 13 tahun dan Ishana Ariandra Nariratana Sutowo, 11 tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap wanita adalah unik. Menjadi seorang suri rumah sepenuh masa mahupun ibu yang bekerjaya tetap mempunyai cabaran tersendiri. Apa pun wanita berhak mendapat peluang sama rata. Hari Wanita Sedunia yang dirai seluruh dunia pada 8 Mac setiap tahun bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangan wanita dalam apa jua bidang.
Dipandu oleh falsafah korporatnya iaitu kyosei, Canon Marketing Malaysia (“Canon”) menghormati kepelbagaian budaya, adat, bahasa dan etnik dalam menggalakkan pengambilan pekerja dan kenaikan pangkat secara adil tanpa mengira jantina, umur atau kelainan upaya. Seterusnya memperkasakan dan memupuk budaya yang inklusif serta nilai-nilai kesamaan di tempat kerja.
Sempena Hari Wanita Sedunia Canon memilih 3 wirawati ‘tak didendang’ bagi mengiktiraf dan meraikan pencapaian serta sumbangan mereka terhadap masyarakat dan juga keberanian mereka dalam menghadapi cabaran.
Melalui kisah mereka, Canon berharap dapat memberikan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia agar mula bertindak dan #ChooseToChallenge situasi semasa yang kian mencabar akibat pandemik COVID-19.
SERENA LEE
PENGASAS SIGN FOR MALAYSIA
Pada tahun 2017, ketika usianya 15 tahun Serena mengalami kepekakan separa pada telinga kirinya. Kehilangan pendengaran sensorineural secara mengejut (akibat jangkitan virus) telah menjejaskan keyakinan diri Serena. Menyedari tidak banyak yang diketahuinya tentang kepekakan dan rasa ingin tahu membuatkan Serena mendekati komuniti Pekak di Malaysia bagi memahami kepekakan dari perspektif mereka.
Diinspirasi dari pengalamannya yang perlu mengubah tanggapan negatif mengenai kelainan upaya, Serena mengasaskan Sign for Malaysia (SFM) kurang setahun selepas itu. Melalui SFM, beliau berharap dapat merapatkan jurang antara komuniti yang boleh mendengar dan komuniti Pekak dengan memulakan dialog mengenai isu-isu berkaitan Pekak dan meningkatkan kesedaran mengenai bahasa isyarat kebangsaan Malaysia iaitu Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).
Projek rintis organisasi tersebut iaitu “Negaraku in Schools” menggalakkan pembelajaran bahasa isyarat dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia dengan mengajar mereka lagu kebangsaan dalam BIM.
“Saya bangga menjadi ahli komuniti ini. Saya melihat Kepekakan separa yang dialami sebagai kekuatan yang memperkasakan saya untuk mencetuskan impak dalam kehidupan. Kelainan upaya ini tidak menghalang saya mencapai cita-cita, sebaliknya menjadikan saya unik. Saya memilih untuk menggunakan keunikan itu untuk melakukan kebaikan.”
RUZIANA MOHAMAD
AHLI BOMBA DI BALAI BOMBA & PENYELAMAT
Beliau antara 5% daripada tenaga kerja wanita di jabatan bomba seluruh negara. Ruziana mempunyai kepakaran sebagai penyelamat perubatan kecemasan yang memberikan rawatan awal kepada ahli bomba yang tercedera semasa bertugas serta mangsa di lokasi kejadian sejak 11 tahun lalu.
Sebagai ahli bomba wanita, Ruziana berusaha untuk mencapai ketahanan mental dan berjaya dalam tugasnya yang didominasi lelaki. Ruziana bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan ibunya. Hasil kegigihan ditunjukkan sepanjang bertugas di jabatan bomba, Ruziana dianugerahi Pingat Kecemerlangan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan.
Beliau menyeru kepada seluruh wanita agar tidak berputus asa walau menghadapi pelbagai cabaran kerana kegagalan bukan untuk selamanya. Kecekalan dan konsistensi pasti akan membuatkan anda berjaya meraih pencapaian yang hebat dalam kehidupan.
SISTER MATHINA BEE GULAM MYDIN
JURURAWAT VETERAN
Sepanjang pengalamannya selama 21 tahun di Amerika Syarikat dan Timur Tengah, sikap tidak mementingkan diri Sister Mathina dalam memberi bantuan kepada pesakit telah mendorong beliau untuk mengatasi rasa takut dan menyertai 25 misi kemanusiaan di zon-zon perang paling berbahaya di dunia.
Semasa menjalani sebuah misi pada tahun 2003, satu letupan bom telah menggegarkan seluruh bandar Nasiriyah ketika Perang Iraq. Sister Mathina berada hanya 2 km dari tempat berlakunya insiden tersebut dan dapat merasakan gegarannya. Tidak lama kemudian, mangsa letupan tiba di hospital tempat beliau sedang berkhidmat.
Walau tugas asalnya adalah menyelia para doktor dan jururawat warga Iraq, Sister Mathina bertindak untuk melakukan lebih dari itu dan mula merawat pesakit. Walaupun syif 12 jam beliau telah tamat, Sister Mathina memilih untuk tidak berehat dan terus merawat pesakit di hospital tersebut.
Meskipun terdapat pelbagai kebimbangan dari serangan bom hinggalah diugut dengan pistol, Sister Mathina terus membantu pesakit dan tidak membiarkan ketakutan menghalang beliau dari memenuhi matlamat hidupnya untuk membantu mereka yang sakit, cedera dan yang kurang bernasib baik.
Sister Mathina menasihatkan semua orang agar tidak membiarkan rasa takut menghalang kita daripada membuat kebaikan. Jadi, marilah kita memerangi sikap mementingkan diri dan tamak. Bantulah mereka yang memerlukan.
Kesimpulan dari kisah mereka, untuk melakukan sesuatu yang hebat kita mungkin akan terlebih dulu menghadapi kegagalan. Maka, beranikan diri dan usah biarkan ketakutan menjadi penghalang. Sentiasalah berusaha untuk menjadi lebih baik.
MENGENAI CANON
Canon adalah peneraju global dalam penyelesaian fotografi dan pengimejan digital. Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd diasaskan pada tahun 1987 bagi menyampaikan pelbagai produk dan sokongan perkhidmatan secara terus serta menerusi rakan kongsi salurannya seluruh negara. Syarikat induknya, Canon Inc. memilik rangkaian global yang terdiri daripada lebih 300 buah syarikat dengan hampir 200 ribu kakitangan seluruh dunia.
Kredit Foto: Canon
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kebiasaannya, apabila anak-anak meraikan ulang tahun pertama kelahiran, pasti mereka akan diraikan dalam majlis yang istimewa dan meriah.
Berbeza buat pasangan selebriti Indonesia, Nikita Willy dan suaminya, tokoh konglomerat Indonesia, Indra Priawan apabila mereka memilih untuk meraikan ulang tahun pertama anak mereka, Issa Xander di Hospital Pesakit Kanser Dharmais, Jakarta, Indonesia sabtu lalu.
Ditambah pula dengan keberkatan Ramadan, kunjungan pasangan selebriti ini berkongsi rezeki dengan kanak-kanak yang sedang berjuang melawan kanser sememangnya mendapat pujian ramai pihak yang melihat kemuliaan hati pasangan ini meraikan sambutan ulang tahun pertama buah hati kesayangan mereka dengan berkongsi rezeki.
Memilih untuk meraikan ulang tahun pertama Issa Xander dengan berkongsi rezeki dengan kanak-kanak yang berjuang melawan kanser, Nikita berkongsi momen tersebut di laman Instagram miliknya.
“Terima kasih kerana sudah menerima kedatangan kami untuk meraikan ulang tahun Issa bersama adik-adik hebat yang sedang berjuang untuk sembuh,” katanya.
Nikita ditemani suami tersayang, Indra Priawan turut menitipkan kata-kata semngat buat kanak-kanak di wad kanser tersebut dan sentiasa mendoakan mereka sebagai tanda sokongan.
“Untuk adik-adik atau rakan-rakan yang sedang berjuang melawan penyakitnya, teruskan semangat kamu dan ingat kalian tidak sendirian. Semoga Issa bisa mencontoh kakak disana untuk selalu bersyukur dan tersenyum,” ujar Nikita.
Untuk rekod, Nikita mendirikan rumah tangga bersama Indra Priawan pada 16 Oktober 2021 dan pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Issa Xander Djokosoetono yang genap berusia satu tahun.
Nikita memilih untuk melahirkan Issa di Hospital Cedars-Sinai Medical Center, Los Angeles, Amerika Syarikat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Peningkatan kes jangkitan COVID-19 terus di tahap membimbangkan dengan empat angka kes baru setiap hari. Dalam situasi mencemaskan ini, golongan berisiko tinggi paling diberi keutamaan umpamanya seperti yang menimpa usahawan terkenal Saidatul Amin, yang kini sarat hamil 5 bulan.
Percaya bahawa tidak ramai yang tahu keadaan sebenar di hospital, Sai sudi berkongsi pengalamannya sebagai ibu hamil yang positif COVID-19 kepada Majalah Nona.
“Waktu tu simptom yang ada pada Sai cuma batuk sahaja. Nothing serious than that,” ujar beliau sebelum menjalani ujian swab.
Punca jangkitan COVID-19… “Pada mulanya, Sai dan suami dapat tahu yang kawan kami sendiri disahkan positif COVID-19. Perasaan masa tu memang risau sebab kami dengan pesakit adalah kontak rapat dan pernah berjumpa dalam masa yang lama.
Jadi kami terus buat PCR Test untuk confirmation dan sedih sekali bila dapat keputusan bahawa kami berdua pun positif juga.
Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya waktu tu dengan kandungan 5 bulan. All i think about is my baby’s health,” cerita Sai atau nama penuhnya Khairul Norsaidatul Firdaus Alhusna Khairul Amin.
DIBAWA KE HOSPITAL
Sehari selepas disahkan positif COVID-19, wanita berusia 26 tahun ini telah dihubungi oleh Pusat Kesihatan Daerah untuk diambil dengan ambulans ke pusat kuarantin.
“Saya dan suami saya, Muhammad Zahiruddin Ariffin, sentiasa positifkan diri sepanjang tempoh kuarantin sementara di rumah. Keesokan harinya, ambulans pun datang ambil Zahir dan dia dihantar ke MAEPS Serdang.
Berpisahlah sekejap dengan suami buat sementara sebab saya dikategorikan sebagai pesakit berisiko tinggi. Saya dibawa ke Hospital Sungai Buloh supaya pihak Doktor mudah memantau kesihatan saya dan bayi dalam kandungan,” tulisnya.
Menceritakan pengalaman beliau sebagai ibu hamil yang positif COVID-19, Sai mengambil pendekatan terbuka dengan menceritakan keadaan sebenar di hospital.
“Untuk semua ibu hamil yang disahkan positif COVID-19, saya tahu anda pun mesti risau dengan kesihatan bayi dalam kandungan. Jangan risau, doktor akan selalu scan perut kita serta pantau keadaan ibu-anak setiap masa.
Saya dengar macam-macam tentang keadaan ibu hamil yang terkesan dengan COVID-19. Tak henti-henti saya berdoa untuk kesihatan anak dan dipermudahkan semuanya.
Sepanjang di hospital, alhamdulilah bayi banyak bergerak dan aktif dalam perut. Itu bagi saya betul-betul memberi semangat dan kekuatan untuk kami suami isteri.
Saya juga nak orang luar tahu bahawa frontliners di sini begitu komited dengan kerja-kerja mereka. Memang respek dan kagum dengan usaha serta kerja keras mereka semua menjaga pesakit-pesakit COVID-19.”
SEMBUH
Dalam perkembangan terbaru, kedua-dua pasangan suami isteri ini telah disahkan negatif dan kembali ke rumah. Kata Sai kepada Nona, “Alhamdulillah kesihatan saya kini semakin baik. Sekarang saya dah boleh buat kerja-kerja seperti biasa.”
Usahawan AYO Fried Chicken itu juga memanjatkan kesyukuran kerana semuanya sudah selamat. “Banyak pengalaman yang mengajar saya sepanjang menjadi pesakit COVID-19. Untuk semua #covidfighters, selalulah berfikiran positif dan elakkan stres. Insyaallah everything will be fine,” akhirinya.