Nama Ashanty mungkin tidak begitu popular dalam kalangan peminat di Malaysia. Namun di negaranya, Ashanty yang merupakan suri hati Anang Hermansyah ini mempunyai pengaruh tersendiri dan dikagumi peminat Indonesia. Ini terbukti apabila dia memiliki lebih 30 juta followers di Instagram dan hampir tujuh juta subscribers di YouTube!
Minat mendalam terhadap dunia seni dan nyanyian membawa Ashanty ke industri muzik Indonesia. Ashanty atau nama penuhnya Ashanty Siddik Hasnoputro dilahirkan di Jakarta pada 4 November 1984.
Meniti usia 40 tahun, Ashanty bukan saja berstatus ibu malah sudah bergelar nenek sejak anak tirinya, Aurel Hermansyah melahirkan anak kira-kira dua tahun lalu.
Kelibat Ashanty mula menjadi perhatian sejak berkahwin dengan Anang Hermansyah yang merupakan bekas suami kepada penyanyi terkemuka Indonesia, Krisdayanti. Walau ibu tiri kepada Aurel tapi hubungan kedua-duanya sangat akrab.
Setiap kali majlis keraian pasti mereka sekeluarga akan berkumpul. Baru-baru ini Ashanty kelihatan meraikan majlis kesyukuran Aurel dan suami berangkat mengerjakan haji. Malah, adik Aurel iaitu Azriel Akbar Hermansyah sentiasa berada di sisi ayah tersayang dan ibu tiri.
Memetik laporan Palembang Tribunews, Ashanty bukan calang-calang wanita. Dia berasal dari keluarga bangsawan dan anak bongsu daripada lima beradik kepada pasangan Soejahjo Hasnoputro dan Farida Siddik.
Ads
Ibu Ashanty keturunan Arab-Perancis. Sementara ayahnya, Prof Soejahjo Hasnoputro pula berketurunan Jawa. Ini bermakna Ashanty mempunyai darah kacukan Jawa, Arab dan Perancis.
Penglibatan Ashanty dalam arena hiburan tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa. Ini kerana keluarganya sangat mengutamakan pendidikan. Apatah lagi, datuk Ashanty ialah bekas diplomat.
Manakala bapanya pula seorang profesor dan staf di Lembaga UNICEF Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Datuk Ashanty bernama Prof Dr. KH Abdullah Siddik dan neneknya pula H Sutimah Siddik. Khabarnya moyang figura ini iatu Edward Coles berkahwin dengan puteri bekas penguasa Pangeran Ing Alaga di kerajaan Silebar yang terletak di wilayah Bengkulu, Sumatra Selatan.
Ads
Dikatakan juga moyang Ashanty menjadi gabenor terakhir Benteng Bengkulu pada 14 Oktober 1781 hingga 28 Februari 1785.
Akur dengan didikan ibu bapa yang mementingkan pendidikan terhadap anak-anak, Ashanty berjaya melanjutkan pelajaran dalam jurusan Hubungan Antarabangsa di Universitas Paramadina.
Pada tahun 2009, isteri Anang ini mewarnai dunia seni dan melancarkan album sendiri bertajuk Ashanty. Popularitinya kian melonjak ketika dia berduet dengan Anang Hermansyah sehinggalah kedua-duanya menghasilkan lagu berjudul Jodohku pada tahun 2011.
Keserasian mereka berpadu suara akhirnya bercambah menjadi pasangan kekasih dan mereka selamat bernikah pada 12 Mei 2012 di Jakarta.
Hasil perkongsian hidup, Ashanty yang juga suri hati Anang ini dikurniakan dua anak iaitu Arsy Addara Musicia Nurhermansyah dan Arsya Akbar Pemuda Hermansyah.
Selepas berkahwin, Ashanty lebih menumpukan perhatian terhadap keluarga dan anak-anak.
Selain masih aktif dengan kerjaya nyanyian, Ashanty turut memanfaatkan masanya dengan urusan perniagaan. Dia berjaya membina empayar niaga bersama-sama suami tercinta dan antara bisnes yang diusahakan Ashanty termasuklah dalam bidang kecantikan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ikon usahawan terkenal, Mona Din nekad menularkan isu #JusticeForBella di Facebook peribadinya pada Julai 2021 demi membela nasib seorang anak syurga bernama Bella.
Memetik kata-katanya dalam sesi temu bual ekslusif bersama Mona Din di FB Live Majalah Nona pada 9 Julai 2021, beliau berjuang kerana Allah SWT. Betapa luluh hatinya melihat penderitaan yang dilakukan terhadap Bella. Beliau pernah kehilangan anak kandung yang merupakan anak sulungnya, seorang anak Down Syndrome. Kini Mona Din mempunyai seorang anak angkat bernama Nadira berusia 14 tahun yang juga anak Down Syndrome.
“Arwah anak sulung saya, Nur Salima atau dikenali sebagai Kak Mar meninggal dunia ketika umurnya 12 tahun. Arwah meniggal pada Syawal terakhir 2004. Kalaulah arwah masih ada sekarang ni umurnya 30 tahun. Maknanya arwah telah pergi meninggalkan saya selama 18 tahun. Arwah ada masalah jantung berlubang, 2 di jantung dan 2 di injap.
Bagi saya, arwah Kak Mar menjadi satu perkara yang sangat besar dalam hidup kami. Walau pemergiannya sudah 18 tahun tetapi setiap tahun tidak kiralah tarikh birthday atau tarikh kematiannya saya akan catat di Facebook (FB). Dulu tak ada FB saya tulis dalam diari. Tapi bila ada FB, setiap tahun nama Kak Mar sentiasa disebut sampai sekarang.
KEHADIRAN NADIRA
Semasa Kak Mar meninggal dunia, saya baru setahun memulakan bisnes Leesa Formula. Ketika pemergiannya saya dalam fasa sangat sibuk sebab baru membina bisnes. Setelah saya bersara 6 tahun yang sudah, pada Julai 2017 saya menulis di FB bertajuk “Mencari Anak Syurga Down Syndrome” Saya tulis saya dah bersara dan rindu Kak Mar. Saya ingin memiliki anak angkat Down Syndrome.
Bukan niat saya nak ambil terus sebab tahu susah nak dapat. Kalau boleh saya nak yang berumur 8-10 tahun. Saya cuma nak membela saja dan berkongsi kasih sayang. Ada dalam 2-3 orang yang respon tapi bila sampai masa untuk berjumpa mereka tak sampai hati. Saya sangat faham dan anggap hasrat saya itu tak kesampaian.
Setahun selepas itu, pada 25 Mei 2018 Presiden Bunga-Bunga Syurga Down Syndrome Malaysia hantar mesej di FB dan menyatakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada anak Down Syndrome perempuan berumur 10 tahun. Mereka sedang mencari keluarga angkat jika saya berminat. Saya kata saya nak anak itu dan beliau bersetuju untuk uruskan. Cuma satu permintaan saya supaya anak itu boleh berjalan, tidak kisah bagaimana tahap Down Syndrome yang dialami. Sebab saya fikir saya makin berusia, mungkin tidak mampu untuk mengangkat dan sebagainya.
Esoknya beliau menyuruh saya ke Mahkamah Majistret untuk lafaz ikrar pengambilan anak angkat. Sebenarnya, perkara ini suami saya tidak tahu. Sebab saya tahu kalau minta permission dia tidak akan benarkan. Sampailah petang tu, saya berdoa dan hantar mesej di WhatsApp. Saya jelaskan semuanya dan minta maaf. Jika dia setuju saya nak ajak suami untuk pergi ambil anak angkat tersebut.
Lewat petang barulah suami balas mesej saya itu. Balik saja rumah suami diam membisu. Lama kelamaan suami pun bersuara dan ajak kami pergi sesudah Subuh esoknya, alhamdulillah. Esoknya saya mendapat surat dari Mahkamah Majistret kemudian terus ke Taman Sinar Harapan di Seremban. Kami bersyukur perjalanan dipermudahkan.
Ketika pertama kali memeluk Nadira saya merasakan yang saya sedang memeluk anak kandung sendiri. Seolah-olah memeluk seorang bayi yang baru lahir. Saya ada 6 orang anak kandung dan Nadira adalah anak yang ke-7. Saya memeluknya lama dan dia terus duduk di sebelah saya.
Nadira seorang anak yang sangat aktif, suka bercakap dan mudah sensitif. Kalau bercakap tu memang sangat kuat. Berbeza dengan arwah Kak Mar dulu. Mungkin arwah Kak Mar kami bela sejak kecil, mengikut acuan adik beradiknya. Sangat behave dan polite. Nadira berlawanan sikapnya dan lebih cerdik.
Semasa mengambil Nadira saya dimaklumkan keluarganya tidak pernah datang melawat walaupun sekali. Tetapi semasa umurya setahun ibunya diminta untuk datang ambil. Atas sebab tertentu mereka tidak dapat ambil kerana ibunya sudah memiliki beberapa orang anak. Mereka juga telah membuat surat akur sumpah dan menyerahkan tanggungjawab secara rasmi kepada JKM.
Saya rasa sangat sedih, 10 tahun dalam hidup Nadira dia telah kehilangan haknya sebagai seorang anak. Saya mesej ibunya yang saya ambil Nadira dari JKM dan minta berjumpa di Pesuruhjaya Sumpah di tempatnya. Akhirnya kami bertemu. Itulah juga pertemuan pertama Nadira dengan ibunya. Tetapi itu juga bukanlah yang terakhir kerana ia menyusul ke Hari Raya, Nadira dijemput ke rumah mereka. Saya bersyukur bila ambil Nadira saya berjaya ‘memulangkan’ semula Nadira kepada keluarganya.
Sepanjang memiliki anak syurga ini saya sangat bersyukur kerana dikelilingi orang-orang yang sangat baik termasuk keluarga, rakan-rakan dan pengikut-pengikut di FB. Sejak ada Nadira, saya terima banyak penghargaan dan sokongan daripada mereka.
Bagi saya anak kandung atau anak angkat harus diberi kasih sayang sama rata. Anak angkat memerlukan kasih sayang lebih berbanding anak kandung. Kerana mereka adalah amanah yang sangat besar kepada kita. Saya juga amanah daripada JKM yang telah membenarkan saya membuat pengangkatan tehadap Nadira. Secara tak langsung, saya juga ada tanggungjawab terhadap keluarganya.
Untuk masa depan Nadira, saya ada berpesan kepada beberapa orang andai ditakdirkan saya atau suami pergi dulu. Diharapkan anak sulung yang sangat rapat dengan Nadira dapat menjaganya dengan baik. Selain itu, saya ada juga membuat hibah untuk anak-anak termasuk rumah untuk setiap seorang. Saya turut menghibahkan sebuah kondo buat Nadira. Diharapkan esok kalau saya dah tiada, adalah sedikit harta untuknya.
Saya menjadi serius apabila melihat perkara yang perlu diambil serius. Itulah saya, mungkin disebabkan sikap peribadi dan memiliki 2 anak Down Syndrome ia benar-benar memberi kesan yang sangat besar. Saya nak menyampaikan mesej itu kepada orang lain yang mungkin tidak ada anak Down Syndrome tetapi kena ambil berat.
Bella tiada sesiapa dalam hidupnya. Hanya ada kita yang bersimpati dan berjuang untuk #JusticeForBella, seorang anak Down Syndrome yang didera sebegitu rupa. Marilah kita ambil berat kes Bella ini sebagai satu benchmark atau permulaan untuk semua orang memastikan ia tidak berlaku lagi. Mereka ini adalah anak-anak yang tidak berupaya.
Nasihat saya, bagi sesiapa yang berhasrat untuk mengambil anak-anak Down Syndrome sebagai anak angkat hendaklah betul-betul ikhlas untuk menerimanya. Bersedia untuk menerima yang buruk kerana ia lebih banyak daripada yang baik. Pastikan anda mampu untuk memberikan kasih sayang dan cukup kuat untuk menerima kekurangan itu.
Buat sesiapa yang dikurniakan anak istimewa, anda telah pun memiliki seorang ahli syurga dalam keluarga. Kita belum tentu masuk syurga tetapi anak itu pasti menjadi ahli syurga. Itu adalah nikmat terbesar yang Allah SWT bagi, selalu ingat itu. Ciumlah anak syurga ini setiap saat. Kalau benar-benar tidak sanggup carilah bantuan kerana kita ada NGO, JKM dan sebagainya. Banyak yang hendak membantu sebenarnya.”
Kredit Foto: Facebook Mona Din
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rezeki Farhatul Fairuzah! Muda-muda lagi dah berjaya memperoleh tauliah untuk mengajar Agama Islam dan berceramah. Bersandarkan kejayaan Farhatul yang merupakan Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada tahun 2019, tidak hairanlah dia diberi kepercayaan daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Berkongsi berita gembira itu di media sosial, Farhatul atau nama sebenarnya Nor Farhatul Fairuzah Panut melahirkan rasa syukur kerana memenuhi kehendak Jawatankuasa untuk mengajar di Wilayah-Wilayah Persekutuan dalam bidang Al-Quran bagi kategori Kanak-Kanak dan Dewasa.
Ujarnya, “Alhamdulillah baru sempat menghadiri Muzakarah Tauliah Mengajar, setelah beberapa kali tertunda disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Terima kasih para penceramah-penceramah yang hebat. Dan juga Timbalan-Timbalan Pengarah Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Dengan adanya majlis dan tauliah sebegini, ajaran Agama Islam tu dapat dipantau dan diiktiraf.
Semoga usaha ini sentiasa diberkati dan dapat melahirkan lebih ramai pendakwah-pendakwah untuk meluaskan dan menyebarkan lagi ilmu Agama Islam. Sama-sama kita belajar dan menyampaikan walaupun satu ayat.”
Tumpang bangga dan gembira melihat kejayaan Farhatul. Atas jasa dan dakwah memartabatkan Al-Quran, dia juga dikurniakan Darjah dan Kebesaran Negeri Selangor iaitu Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 11 Disember 2022.
Rezeki Farhatul Fairuzah, meniti usia 24 tahun dia mewakili suara anak muda berusaha menarik minat golongan ini mencintai Al-Quran melalui media sosial memandangkan kebanyakan mereka aktif dan gemar menggunakan platfrom berkenaan.
Farha yang juga pelajar Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membahagikan masa dengan sebaiknya selepas menerima perlantikan sebagai Ikon Dakwah YADIM 2021 dan Tokoh Belia Negara 2019.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sudahlah cantik, pandai pula jaga badan walaupun memiliki anak kembar. Mengikut pengalaman yang dikongsi oleh wanita cantik ini bukan mudah sebenarnya hendak menjaga anak kembar. Sudah tentu sang ibu kurang rehat dan mudah penat.
Wan Nur Shahirah Wan Mohamed Azman merupakan isteri kepada Afiq Amani, satu-satunya anak lelaki tunggal Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Puan Sri Rosniah Abdul Rahman. Tiga lagi anak Tan Sri Annuar Musa ialah Azzahraa, Azzwaa dan Ajjrina. Kesemuanya sudah berumahtangga.
Wan Nur Shahirah yang kini berusia 27 tahun merupakan seorang peguam korporat dan berasal dari Kota Bahru, Kelantan. Anak kembarnya yang comel itu diberi nama Samaira Amani Afiq Amani dan Sara Amani Afiq Amani kedua-duanya kini berusia 9 bulan.
KEKAL LANGSING & CANTIK “Saya yakin dengan cara sederhana dan konsisten, contohnya diet. Saya tak pernah amalkan diet kerana akan makan apa sahaja yang saya suka tetapi dengan cara sederhana. Kalau makanan itu manis saya makan sekadar untuk merasa. Paling penting berhenti sebelum terlalu kenyang.
Apabila menyentuh tentang bentuk badan ramai di luar sana yang menggunakan umur sebagai alasan. Bagi saya tua atau muda kita sentiasa digalakkan untuk bersenam atau sekurang-kurangnya berjalan di halaman rumah sekitar 15-20 minit secara konsisten.
Luangkan beberapa jam atau minit untuk memanjakan diri. Buat perkara yang menyeronokan seperti menari, brisk walking di dalam bilik, facial atau memasak menu kesukaan. Bila dalam keadaan gembira dan tidak stres, akan memudahkan kita dalam membuat keputusan. Remember that when you eat better you will feel better and you will look better.
PENGALAMAN HAMIL & BERSALIN Ketika dimaklumkan oleh doktor yang saya hamil anak kembar sejujurnya saya merasa sangat risau memandangkan kami baru sahaja memasuki alam perkahwinan. Tak sangka pula fasa parenting datangnya sangat cepat sehingga membuatkan saya cemas. Dalam pada itu saya tetap bersyukur dengan rezeki Allah SWT.
Sememangnya sebelah keluarga saya ada kembar iaitu makcik saya namun kedua-duanya telah meninggal dunia sejak bayi. Alhamdulillah sepanjang kehamilan saya tidak mengalami sebarang masalah yang teruk. Cuma saya sangat takut dengan suntikan. Pengalaman setiap kali kena suntik ketika check-up memang sangat ngeri bagi saya.
Momen sedih adalah ketika bersalin. Asalnya saya dijadualkan untuk kelahiran normal dengan cara induce. Namun setelah beberapa jam tiada progres, doktor pakar menasihatkan saya agar menjalani pembedahan caesarean (c-section) kerana bimbang dengan keselamatan kedua-dua bayi.
Memandangkan I was induced sejak pagi lagi, pada malam pembedahan tu kesan ubat bius saya semakin berkurang. Kebetulan semasa doktor cuba mengeluarkan bayi kedua saya dalam keadaan sedar. Waktu itu saya terasa badan seperti ‘dibelah’ dua. Akhirnya doktor terpaksa menambah dos ubat bius dengan segera.
CABARAN BERGELAR IBU Saya cuba yang terbaik untuk menguruskan kedua-duanya mengikut jadual yang sama iaitu waktu untuk makan, tidur, nap, playtime, dan lain lain. Saya juga cuba untuk memberikan perhatian sama rata terhadap mereka. Tak dinafikan mempunyai bayi kembar sangat memenatkan apatah lagi ini pengalaman pertama saya bergelar ibu.
Apabila seorang bayi tidur, yang seorang lagi akan bangun dan menangis. Jadi saya sentiasa berjaga untuk menyusu dan menguruskan mereka. Bila dua-duanya menangis saya rasa sangat sedih kerana tidak dapat dukung bagi memenangkannya. Ia benar-benar menyentuh jiwa saya sebagai ibu.
Sejak mempunyai anak saya sering berasa resah dan kurang rehat. Bila ada urusan di luar saya akan mudah risau dengan keadaan anak-anak di rumah, pengerakan pun jadi terhad. Jadi saya hanya akan keluar rumah bila perlu sahaja.
KAGUMI BAPA & IBU MERTUA Saya kagum dengan sikap mereka yang tidak mementingkan diri. Mereka sering meletakkan kepentingan orang lain sebelum diri mereka sendiri. Setiap hari Papa akan bertugas bermula pukul 7.30 pagi sehingga adakalanya sampai lewat malam. Namun begitu Papa gembira melaksanakan tugasnya membantu rakyat kerana ia memberikan satu kepuasan buat dirinya. Bagi saya, Papa adalah seroang pemimpin yang sangat berwibawa serta sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.
Manakala Mama adalah tulang belakang keluarga. Mama sentiasa memastikan segala keperluan serta makan minum anak-anak, menantu serta cucunya terjaga. Malah, Mama sendiri yang akan memasak dan menghidangkan makanan ke dalam pinggan untuk semua pembantu di rumah. Ini menunjukkan betapa penyayang dan merendah dirinya mereka.
Selalunya kalau dengan Mama, kami akan ada sesi bual pagi dan petang berbincang mengenai pelbagai topik antaranya tip-tip masakan, agama dan kesihatan. Walaupun umurnya sudah mencecah 62 tahun tetapi beliau masih kekal langsing dan cergas. Alhamdulillah!”
Kredit Foto: IG @wnshahirahazman @annuar.musa56
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!