Tanggal 8 Mac sinonim dengan sambutan Hari Wanita peringkat antarabangsa dan diraikan setiap tahun di seluruh dunia. Pada 2022, tema #BreakTheBias dipilih sebagai simbolik memperjuangkan hak setiap manusia.
Bayangkan sebuah dunia yang adil untuk lelaki dan wanita. Dunia yang bebas dari stereotaip, diskriminasi atau sifat berat sebelah. Dunia yang pelbagai, dimana setiap perbezaan atau kelainan diterima baik.
Dengan ikatan yang kukuh sesama wanita, kita mampu mewujudkan ‘dunia’ itu dan sama-sama #BreakTheBias.
Generasi wanita yang bersatu harus dibangunkan dari sekarang
Raikan persamaan dan hormati perbezaan pendapat
STRIKE THE POSE
Bias, atau sifat berat sebelah sebenarnya mengekang perjalanan wanita untuk terus melangkah maju. Walaupun ramai yang menyedari kewujudan bias dalam masyarakat, tapi usaha mengatasinya masih berkurangan.
Jika anda melihat situasi berat sebelah atau gender bias, adakah anda mahu membantu mencegahnya?
Silangkan lengan anda seperti ini sebagai tanda solidariti.
Ads
Ads
Ads
Inilah pose atau isyarat rasmi #BreakTheBias sempena Hari Wanita Sedunia 2022. Kongsikan pose ini dengan hashtags#IWD2022 dan #BreakTheBias agar lebih ramai orang dapat menyertai kempen ini di media sosial.
Pemain tenis Amerika, Venus Williams turut menyokong penuh kempen tahun ini kerana baginya semua wanita mempunyai impian. Namun jika bias masih berleluasa, impian itu akan musnah dan tiada impian yang mampu dicapai lagi.
Tonton video Hari Wanita Sedunia 2022 bersama Venus Williams ini…
#VenusWilliams on #BreakTheBias 🙅🏽♀️ “Breaking the bias has been my life…I was never expected to hit the courts at #Wimbledon. But I did. Why? Because breaking the bias is living your dream & not letting any stereotype or any perception stop you.” https://t.co/dQTZMH7nI7#IWD2022
Jadi, sama-sama kita sokong perjuangan Hari Wanita Sedunia tahun ini dengan membuat pose#BreakTheBias – cuma silangkan lengan sebagai tanda komitmen kita menolak bias, mencegah sifat berat sebelah dan stereotaip, mengecam ketidakadilan serta diskriminasi terhadap sesama wanita.
Masih bergantung dengan lelaki? Wanita yang kuat adalah wanita yang berdikari, tak pernah takut menjadi diri sendiri dan bahagia seadanya. Selamat menyambut Hari Wanita buat semua pembaca Majalah Nona!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Gara-gara watak Tombiruo, semua peminat Zul Ariffin tahu bahawa aktor kacak ini terpaksa ‘membina badan six-pack’ agar mirip sang Penunggu Rimba.
Tidak boleh terlalu kekar dan tidak juga terlalu kurus. Peranan Zul Ariffin sebagai Ejim atau Tombiruo yang menjadi legenda di hutan Keningau turut ‘memaksa’ dia sentiasa bertopeng.
“Memang kali ini produksi filem betul-betul tak menjual rupa. Bayangkan wajah saya tak nampak langsung, sebaliknya mereka banyak close up pada bahagian badan dan mata.
Saya rasa watak Farid Kamil pun lebih menguntungkan sebab sekurang-kurangnya orang tahu juga itu Farid Kamil,” seloroh Zul sambil ketawa.
Katanya kepada Nona, salah satu scene yang paling sukar dilupakan adalah sewaktu mengangkat Nabila Huda, atau pemegang watak Wan Suraya di sungai.
“Rasa menggigil-gigil tangan angkat dia! Bukan saja berat, tambah lagi kena jalan atas batu-batu sungai dan rambut palsu yang menutup topeng muka.
Masa scene tu, kami sama-sama cuak sebab batu licin. Nabila yang ‘konon-konon’ pengsan tu pun asyik minta maaf,” sambung Zul tertawa kecil.
Nona: Tak bawa Mak?
“Saya dengan Mak memang close sangat sebab saya anak bongsu. Kadang-kadang ada juga bawa dia ke lokasi penggambaran sebab nak Mak tengok sendiri bagaimana saya bekerja.
Tapi untuk shooting Tombiruo ni, saya tak cakap langsung sebab kebanyakan scene di hutan. Tak sesuai pula bawa Mak.
Sebenarnya sepanjang penggambaran tu, saya selalu cedera kerana buat stunt sendiri. Nak pakai padding tak boleh sebab Tombiruo tak pakai baju.
Ligamen lutut saya pun cedera sebab dehydrated joint. Itu belum lagi kena slip disc dan macam-macam lagilah! Kalau Mak nampak tentu dia risau. Sebab tu saya rahsiakan,” kongsi lelaki kacak berumur 31 tahun itu.
Nona: Pengalaman baru sebagai Tombiruo?
“Sebenarnya setiap kali berlakon, ada saja benda baru yang saya belajar. Untuk filem ini, salah satunya kena selalu bawa bandage (ketawa).
Tapi sebenarnya I wish I had more time. Walaupun saya dah bagi sepenuhnya, tapi saya yakin kalau ada banyak masa lagi mesti saya akan beri yang sehabis baik.
Penggambaran filem ini dijalankan selama 60 hari iaitu dari bulan Ogos hingga September 2016. Saya selalu dengar macam-macam pendapat… Yang itu yang ini, buat begitu atau jangan buat begini, tapi sejujurnya saya cuma value pendapat yang keluar dari mulut Abang Ramlee saja.
Berkali-kali saya tanya dia, Abang nak role ni macam mana? Sebab bagi saya sebagai penulis cerita Tombiruo yang sebenar, hanya dia yang layak nilai lakonan saya.
Dan momen paling memuaskan hati ini sebagai pelakon adalah bila saya siap pakai kostum, dengar Abang Ramlee cakap, ‘Tak percaya orang yang saya imagine menjelma depan mata!’
Ramlee Awang Murshid Dapat Ilham Sebelum Tidur
Memilih untuk bekerja dari rumah, novelis thriller No. 1 di Malaysia ini mengakui selalu mendapat inspirasi menulis sebelum tidur.
“Yang sebenarnya bila-bila pun idea tu boleh datang. Tapi saya paling tak suka bila ‘dia’ datang sebelum tidur sebab saya akan jadi susah nak tidur!
Jadi cara yang saya buat, saya pujuk-pujuk ‘otak’ supaya keluarkan lagi banyak idea bila saya bangun tidur nanti,” kata Ramlee Awang Murshid yang kini memilih untuk menulis sepenuh masa.
Nona: Abang Ramlee bekerja dari rumah ke sekarang?
“Ya, itu keputusan saya selepas berkhidmat selama 19 tahun di RTM. Sudah sampai satu tahap yang saya mahu bekerja sendiri dan atas kesedaran tak mahu mencuri-curi masa menulis sewaktu bekerja.
Hidayah untuk bekerja sendiri datang pada tahun 2008. Akhirnya saya berhenti pada tahun 2012 dan fokus 100% untuk menulis sepenuh masa.
Setiap hari saya bangun jam 5.45 pagi, solat Subuh dan buat sarapan untuk famili. Kemudian saya hantar anak tunggal ke sekolah, diikuti aktiviti basuh kain dan bersolat Dhuha.
Selepas itu saya mula ‘tenggelam’ dengan dunia penulisan, sebelum tiba masa untuk memasak dan ambil anak dari sekolah,” kongsi Abang Ramlee yang sangat positif terhadap profesion lelaki yang bekerja dari rumah seperti dirinya.
Nona: Novel yang paling dekat dengan kehidupan Abang Ramlee?
“Sunan. Mungkin sebab saya tergolong dalam kategori orang-orang yang mahu bertaubat. Sebenarnya saya mengaku di sekolah dulu, saya kurang pandai. Tapi sekarang saya sedar bahawa semua manusia itu pandai cuma kita saja yang tak sedar potensi diri sendiri.
Saya banyak terhutang budi dengan isteri dan arwah ibu. Dua wanita ini memang penyokong kerjaya saya sejak mula. Dan dua orang ini jugalah yang percaya pada kemampuan saya, pada saat saya tak menyedarinya.
Pencarian saya mencari Tuhan baru bermula. Saya selalu sedar graf agama saya turun naik. Bapa saya qari, tapi saya tak manfaatkan ilmunya betul-betul.
Tahun 2000, saya baru tahu bahawa rezeki yang berkat datang daripada solat dan zakat. Sebelumnya saya selalu bingung, kenapa duit royalti selalu habis? Rupanya zakat ni adalah cara Allah mengajar kita tentang rezeki.
Tentang agama, saya masih lagi belajar. Dan saya tak malu untuk terus belajar sampai bila-bila pun,” akui Abang Ramlee yang kini berusia 50 tahun.
Nona: Cerita sedikit tentang Tombiruo?
“Filem adaptasi novel sudah tentunya tak 100% sama dengan novel asal. Jalan cerita masih kekal cuma ada sedikit yang diubah suai bagi menghidupkan filem yang dihasilkan.
Filem aksi ini mengisahkan tentang Ejim, lelaki bertopeng yang digelar Tombiruo oleh penduduk di Sabah kerana menganggapnya sebagai Penunggu Rimba.
Kehadiran Tombiruo penuh misteri dan sering ditakuti serta dicaci oleh penduduk kampung apabila Wong dan kuncu-kuncunya membuat kacau di kampung untuk meneruskan aktiviti empangan.
Ia secara tak sengaja telah melibatkan kematian ayah Tombiruo, Pondolou, dan itu menimbulkan kemarahan Tombiruo.
Sementara itu, insiden kematian Tan Sri Berham dan isteri Amiruddin, Salina telah membuatkan Amiruddin menyimpan dendam dan memburu Tombiruo kerana menganggap lelaki berwajah bukan manusia itu yang melakukan segala kekecohan.
Wartawan Wan Suraya yang mengikuti perkembangan isu syarikat Tan Sri Berham turut menjejak Tombiruo. Wan Suraya dapat rasakan Tombiruo tidak berbahaya seperti yang dikatakan.
Namun apabila Amiruddin dan Tombiruo bertemu, mereka bertarung demi membela nasib orang-orang yang mereka sayangi. Dengan semangat dari hutan, telah mengiringi kekuatan Tombiruo.
Tetapi hakikatnya sebuah rahsia di antara mereka berdua yang telah lama tersimpan terbongkar. Apakah kaitan mereka berdua sebenarnya? Siapakah dalang di sebalik insiden selama ini?
Filem Tombiruo dibarisi pelakon Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Hasnul Rahmat, Dato’ M. Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Kusairi, Dynas Mokhtar serta ramai lagi. Jom dengarkan promosi dari bibir Zul Ariffin dan Ramlee Awang Murshid sendiri seperti di bawah. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sangka Siti Aisyah Kamaruddin, bila ambil pembantu rumah kehidupannya lebih mudah dan teratur. Tetapi.. sebaliknya pula berlaku. Tidak sedikit pun dapat ‘menghidu’ tindak-tanduk pembantu rumah yang digajinya selama ini akan meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya sepanjang hayat, Aisyah tekad untuk tidak lagi mengambil khidmat pembantu rumah warga Indonesia.
Trauma dengan situasi berkenaan, Aisyah yang merupakan Pengasas Ayaq World terbuka berkongsi bicara. “Bibik lari bawa barang kemas.. duit saya semua. Hal ini baru dua ke tiga bulan lepas berlaku dan saya terpaksa cari babysitter untuk jaga anak-anak. Nasib ada adik saudara, sekarang ni dia yang jaga mereka kalau saya pergi kerja. Apa-apa pun, yang penting semua keluarga saya selamat.
Selama saya kenal maid ni, dia memang tak ada masalah dan boleh dikatakan baik orangnya. Tapi mungkin waktu tu Tuhan nak uji dia. Rasanya dia lari dalam pukul 4 pagi.. malangnya kami sekeluarga tak sedar. Bila Subuh, baru saya terjaga dan rasa pelik kenapa bibik tak datang ambil anak sebab biasanya itu yang akan dia buat.
Tanpa fikir sesuatu yang buruk, saya pun pergi jenguk ke bilik dia dan tak ada orang. Saya ingatkan dia pergi buang sampah. Tapi bila pintu rumah tak berkunci, mula terdetik yang bibik dah lari. Saya pun tak tahu nak jelaskan macam mana perasaan waktu itu.
Nak kata terkejut, tak juga. Rasa semuanya berlaku macam dalam mimpi. Kemudian, saya pergi kejutkan suami dan beritahu yang bibik dah lari. Kami cuba berfikiran positif dan sama-sama fikir ‘tak mengapalah, tak ada rezeki’,” telus Aisyah yang baru menggaji pembantu rumah Indonesia itu kurang daripada setahun.
Setelah diasak kawan-kawan, sekitar pukul 10 pagi baru suami isteri ini mengambil tindakan. “Kalau tak sebab asakan kawan-kawan, kami mungkin akan biarkan bibik tu terlepas macam tu saja. Bila ramai yang suruh kami periksa barang-barang, walaupun dalam kepala ni fikir tiada barang bernilai pun dalam rumah kami.. tapi sebenarnya kami tak sedar ada juga simpan barang kemas macam cincin dan gelang.
Bukan barang kemas saya je lesap, semua barang kemas dekat badan anak-anak pun diambil. Itu belum lagi dia ambil duit kami termasuk duit raya anak-anak sebab selama ni dia yang simpan. Dia tahu dekat mana simpan semua duit tu. Kita ni pula tak perasan. Iyalah, selama ni dia memang baik.
Nak dijadikan cerita, abang saya minta kami periksa penerbangan yang mungkin bibik kami ini naik. Memandangkan saya tahu dia selalu balik Jogja, jadi kami pun periksa dan memang ada nama dia dan suami. Ikutkan, suami dia pun kerja dengan kami.
Sebenarnya, saya baru je buatkan dia pasport dan visa. Cadang hendak bawa dia bersama pergi bercuti di Korea. Tiket pun dah beli dan tiap bulan saya akan bagi dia cuti.
Lepas saja dapat tahu, kami terus buat report polis. Masa kami sampai di lapangan terbang, pintu flight dah tutup dan barang penumpang semua dah check in. Tinggal untuk berlepas saja. Rezeki kami, sebaik saja polis dapat report.. terus minta buka pintu flight dan angkat bawa keluar semua barang-barang bibik dan suami dia sekali.
Bila dah kena tangkap, memang dia ada minta maaf tapi waktu itu saya rasa dah terlambat. Alhamdulillah, semua barang saya dapat balik. Cuma yang buatkan saya terkejut bila buka luggage. Ingatkan dia ambil barang kemas dan duit kami saja. Rupa-rupanya dia angkut sekali beg tangan, kasut, korset dan barang mekap.
Bijak sebenarnya bibik ini. Dia dah ambil sedikit-sedikit sejak dari mula tapi saya yang tak perasan. Betullah, serik hendak ambil pembantu rumah lagi. Masuk yang ni, dah dua kali saya dapat maid yang lari,” cerita ibu kepada tiga orang anak ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Elegance is when the inside is as beautiful as the outside… Sebaris kata Coco Chanel buat menggambarkan kesempurnaan YM Tengku Datin Sri Zawyah Tengku Izham.
Kelihatannya hubungan menantu, bakal menantu dan ibu mertua ini sangat akrab, harmoni dan saling mempesonakan.
Penampilan YM Tengku Datin Sri Zawyah di sisi menantu Nasha Alyssa dan bakal menantu Izara Aishah sempena majlis meraikan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-55, mencuri tumpuan ramai.
Majlis eksklusif bertemakan The Great Gatsby itu telah diadakan di St. Regis, Kuala Lumpur dengan kehadiran ahli keluarga serta kenalan rapat beliau.
Membongkar rahsia keanggunan dan kecantikannya di usia 50-an, YM Tengku Datin Sri Zawyah sudi berkongsi amalan ini. Jom amalkan sama-sama!
(1) Bijak membahagikan masa untuk bersenam dan membuat aktiviti luar. Bersenam juga dapat meningkatkan jumlah kolagen, membantu melawan radikal bebas di dalam tubuh kita dan semestinya dapat menurunkan berat badan serta menjadi sihat.
(2) Sentiasa tersenyum dan tenang dalam apa jua keadaan sekalipun. Stres akan menyebabkan lebih banyak garis-garis kedut dan membuat wajah terlihat tidak segar. Senyum dan ketawa dapat mengurangkan hormon stres dan membuat otot-otot wajah lebih relaks.
(3) Perlu tidur yang cukup, iaitu selama 6-8 jam setiap malam. Mata yang bengkak akibat kekurangan tidur akan membuat anda terlihat lebih tua. Tidur akan mengurangi hormon stres dalam tubuh anda, ini sangatlah baik kerana hormon stres akan membuat kulit terlihat tidak sihat dan kusam.
(4) Perbaiki postur tubuh anda. Ini adalah trik yang sederhana tetapi berdiri tegak akan membuat kita percaya diri dan berkeyakinan. Ia adalah aspek utama yang dimiliki oleh orang berjiwa muda. Berjalan dengan badan dan kepala yang tegak akan membuat kita kelihatan lebih muda.
(5) Proses penuaan membuat kulit menjadi kering. Gunakan krim pelembap khusus untuk wajah dan jangan menggunakan pelembap badan pada wajah kerana kulit wajah lebih sensitif dibandingkan kulit kita pada bahagian lain. Jangan sesekali keluar rumah tanpa memakai krim pelindung matahari, oles dengan lembut dan tepuk manja pada permukaan kulit wajah.
(6) Makan banyak buah, jus dan sayuran untuk melambatkan penuaan. Jangan ambil gula terlalu banyak.
(7) Bersyukur dengan setiap kurniaan dan rezeki yang Allah telah berikan.
(8) Sebelum tidur pastikan wajah dicuci sebersihnya dan pakai krim pelembap serta krim malam.
(9) Amalkan minum air yang banyak setiap hari dan elakkan minuman bergas.
(10) Kenakan solekan minimalis bagi menyerlahkan wajah yang lebih muda. KR
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!