Rumah fesyen Itali terkemuka dunia, Gucci mengumumkan pelakon hebat Alia Bhatt sebagai Duta Besar India Global pertama baru-baru ini.
Pelakon, penerbit dan usahawan itu khabarnya akan membuat penampilan sulungnya sebagai wajah eksklusif rumah fesyen mewah itu di pertunjukan fesyen Gucci Cruise 2024 yang bakal berlangsung di Istana Gyeongbokgung di Seoul, Korea Selatan. Acara fesyen mega ini juga menandakan ulang tahun ke-25 rumah fesyen tersebut di Korea.
View this post on Instagram
Menerusi perkongsian di laman Instagram rasmi Gucci dan Alia, dia dilihat anggun menyarung blazer berjalur besar dengan butiran butang emas pada lengan, dipasangkan dengan seluar.
Rambutnya digayakan lurus dan soleknya jelas menonjolkan kejelitaan anak kepada sutradara Mahesh Bhaat itu. Selain memakai beg buluh Gucci 1947 bernilai AS $ 4500, Alia juga turut memakai aksesori lain seperti subang dan cincin.
Alia turut melahirkan rasa bangga menjadi duta jenama Gucci. “Saya berbesar hati untuk mewakili rumah Gucci bukan sahaja di India tetapi juga di pentas global. Legasi Gucci sentiasa memberi inspirasi dan menarik minat saya dan saya menantikan pelbagai pencapaian fesyen yang kami cipta bersama,” tulisnya dalam hantaran Instagramnya.
Baru-baru ini, Alia turut membuat penampilan debutnya di Met Gala bersempena meraikan legasi fesyen mendiang Karl Lagerfeld di mana Alia memukau bak puteri dengan persalinan ilham Prabal Gurung. Gaun berona putih dan mewa itu disulam dengan jahitan tangan di India dengan tulle sutera pula dibuat di Atelier Prabal Gurung di New York.
Alia Bhatt juga tidak lama lagi akan membuat penampilan sulungnya di Hollywood bersama Gal Gadot dan Jamie Dornan dalam filem thriller spy Netflix, Heart of Stone. Filem ini dijadual ditayangkan di platform penstriman pada 11 Ogos.
Beliau juga membintangi filem Rocky Aur Rani Ki Prem Kahani, bersama Ranveer Singh, dan Jee Le Zaraa, bersama Katrina Kaif dan Priyanka Chopra.