Masih ingat lagi dengan si cantik manis, Hani Nazrina Hanizar yang merupakan finalis Clever Girl Malaysia musim ke-2? Selain senyuman, renungan tajam dari sepasang matanya yang mempesona menjadikan graduan Sains Aktuari ini antara finalis yang memiliki keunikannya yang tersendiri.
Hani Nazrina Hanizar, finalis program realiti televisyen ‘CLever Girl’ musim ke-2.
Mesra disapa sebagai Hani, anak kedua daripada 4 beradik ini seorang yang mudah mesra. Setiap kata-kata yang dilontarkan juga menunjukkan dirinya yang kian matang di usia 26 tahun. Hani bertugas sebagai Eksekutif Perbankan di Maybank.
“Buat masa ini saya perlu memberikan komitmen sepenuhnya terhadap kerjaya, sementara bidang lakonan sebagai sambilan sahaja,” kongsi Hani yang memiliki darah campuran Melayu, India dan Parsi. Berketinggian 159cm serta punya wajah yang komersil sedikit sebanyak membuka ruang rezeki buat anak jati Perlis ini dalam bidang seni khususnya lakonan.
Ads
“Saya tak pernah terfikir pun untuk berada di spotlight umum seperti sekarang. Segalanya bermula ketika saya sedang menunggu peluang kerjaya sebaik tamat graduasi. Pergi ke sesi ujibakat lakonan pun sekadar mencuba nasib. Alhamdulillah drama pertama saya “Shh… I Love You” membuka ruang untuk saya terus menceburi bidang lakonan dan iklan komersil,” ujar Hani yang gemar melancong, berenang dan memasak.
Antara hasil air tangan Hani Nazrina.Salah satu kepakaran Hani Nazrina ialah menghasilkan kuih atau manisan seperti donut serta biskut.Seorang selebriti muda yang sangat berbakat dalam bidang seni.Cantik, bijak dan pandai memasak.
KAGUMI NEELOFA
“Saya amat mengagumi Neelofa kerana beliau seorang yang berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan berani mencuba sesuatu yang baru. Beliau pernah berkongsi dengan saya tentang perancangan masa depannya untuk 10 tahun akan datang yang ditulis dalam satu helaian kertas. Ketika itu kami sama-sama berada di set penggambaran drama. Melihat kepada apa yang ditulis, beliau memberikan inspirasi buat saya agar sentiasa merancang masa depan dan meletakkan target pada diri sendiri.
Ads
Noor Neelofa Mohd Noor.
Maka, saya terinspirasi dengan cara Neelofa. Saya merancang untuk mengembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi di samping melanjutkan pengajian dalam bidang PhD agar dapat menjadi seorang selebriti yang berilmu,” ungkap Hani besungguh-sungguh.
Ads
Dari sudut penampilan, Hani seorang yang amat cerewet dalam memilih pakaian kerana setiap hari dia inginkan kelainan dalam penampilan. Hani sering mendapatkan pandangan daripada kakaknya berkenaan dengan gaya yang sesuai. Satu lagi perkara yang jarang orang nak buat tetapi Hani pasti akan buat ialah menyiapkan 7 set pakaian siap-siap berserta aksesori dan kasut untuk seminggu.
Instagram: @haninazrina
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan melakukan kerja amal untuk dihargai malah jauh sekali untuk dipuji sebaliknya Puan Sri Dato’ Azrene Abdullah turut diuji dengan kerakusan kanser yang menyerangnya 13 tahun lalu. Namun dugaan hidup yang ditempuhnya telah mendorong untuk memberi lebih kepada komuniti terutama pesakit kanser.
Wanita anggun yang memiliki semangat luar biasa ini bukan sahaja lambang wanita inspirasi bahkan seorang isteri, ibu dan anak yang serba membahagiakan. “Saya merupakan kanser survivor, sebab itu apabila saya melakukan kerja amal melalui Breast Cancer Foundation ia menjadi lebih bermakna dan saya faham serta kenal sangat masalah dan cabaran yang mereka hadapi.
Bercakap sahaja nampak mudah tetapi sukar untuk menyeimbangkan kehidupan sebagai pesakit, ibu, isteri, anak dan macam-macam peranan menjadi tanggungjawab pesakit kanser. Memang besar cabaran untuk menyeimbangkan kehidupan dan saya bersyukur kerana dengan ‘kurniaan’ ini saya benar-benar dapat mendalami hati dan perasaan pesakit kanser,” tutur Puan Sri Dato’ Azrene lembut memulakan bicara.
Jelas terpancar riak bahagia apabila bercerita tentang perjuangannya membantu pesakit kanser dapat menerima hakikat kehidupan dan meneruskan kehidupan seperti sedia kala. “Dahulu ketika di awal penglibatan saya, tidak ada sesiapa berani bercakap tentang kanser payudara kerana semua takut untuk bercakap. Sebagai seorang wanita, payudara merupakan simbol yang perlu dipelihara. Bila sudah tidak ada di tempatnya umpama bukan seorang wanita sejati.
Bukan mudah untuk menerima hakikat itu dan perasaan seumpamanya sukar untuk diceritakan kepada umum. Bagi saya Breast Cancer Foundation telah melakukan tugas mereka dengan sempurna untuk mewujudkan kesedaran terhadap wanita tentang bahaya kanser payudara ini. Kini wanita sudah tidak malu untuk bercerita tentang kanser lagi.
13 tahun dahulu hampir 80 peratus pesakit yang datang ke hospital telah didiagnosis kanser tahap tiga atau empat. Tetapi kini bilangan itu sudah semakin berkurangan sehingga 40 peratus. Pada saya ia merupakan suatu anugerah yang tidak terhingga apabila ramai wanita yang sudah sedar dan melakukan pemeriksaan awal. Jadi kanser payudara ini boleh dikesan di peringkat awal dan boleh dirawat dengan lebih cepat. I am so proud of the achievement,” jelas Puan Sri Dato’ Azrene dengan penuh semangat.
Apabila diminta untuk mengulas tentang ramai wanita lain yang menjadikan Puan Sri Dato’ Azrene sebagai inspirasi kehidupan mereka, balasnya dengan nada tenang, “Kerana saya merupakan seorang survivor, secara tidak langsung komuniti kanser payudara ini begitu rapat dengan saya. Apa sahaja yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memperkasa dan menyuntik inspirasi kepada wanita agar bahagia dalam kehidupan walaupun setelah didiagnosis sebagai pesakit kanser. Itu adalah objektif saya.
Apa yang saya lakukan ini umpama telah ditetapkan oleh Sang Pencipta dan meletakkan saya di dunia ini untuk melakukan kerja amal ini. I am happy to do it. Apabila melihat transformasi yang positif telah menguatkan semangat untuk terus berusaha memperkasakan pesakit kanser ini. Apabila saya ketahui ramai wanita yang menganggap saya sebagai sumber inspirasi mereka ini menggalakkan saya untuk beri yang lebih dalam kerja amal begini. I will do this until I die, insyaallah,” terang isteri kepada Datuk Kamaluddin yang merupakan anak sulung bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ini.
Foto: Instagram @breastcancerfoundationmalaysia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan mudah sebenarnya mengemudi sesebuah perniagaan tanapa adanya sistem sokongan yang kuat. Datin Ayu Roslan dan Aniza Shahadan dua rakan usahawan yang telah membawa jenama Bokitta ke tahap membanggakan apabila ia mudah diterima ramai sekaligus tercetusnya fenomena ‘Bokitta lovers’ di Malaysia. Bokittalover.com dimiliki oleh syarikat A&A Empire Sdn Bhd yang dikemudi oleh dua wanita cantik ini sejak tahun 2016.
Kedua-duanya punya impian bersama untuk membawa fesyen dan modesty style sebagai satu entiti di kalangan hijabista Malaysia. Justeru, jenama Bokitta menjadi ‘buah tangan’ pertama keluaran A&A Empire Sdn Bhd. Bokittalover.com bermula sebagai home-based online. Perkembangan terlalu pantas dek kerana penerimaan pelanggan terhadap jenama ini menjadi pencetus kepada pembukaan kedai fizikal pertama di Ayer8, Putrajaya pada September 2016.
Berkat sokongan pelanggan dan team dari Lebanon mereka seterusnya berjaya membuka flagship store pertama di Nu Sentral Shopping Centre pada March 2018. Dalam tahun yang sama mereka bekerjasama pula dengan Parkson. Tumpuan utama juga di Lembah Klang apabila butik turut dibuka di Setia City Mall, MyTown Shopping Centre dan Suria KLCC. Ini termasuk di Alamanda Shopping Centre dan AEON Mall Shah Alam. Pencapaian ini diperolehi hanya dalam tempoh kurang daripada empat tahun.
Datin Ayu Roslan yang berkelulusan Komunikasi Massa merupakan Ketua Pegawai Pemasaran A&A Empire Sdn Bhd. Beliau yang kini berusia 37 tahun memiliki pengalaman luas dalam pengurusan syarikat, jualan, pemasaran dan pengurusan media baharu. Terdahulu, beliau pernah bertugas di Bernama Radio dan pengasas Jari Spa. Beliau juga berpengalaman lebih 12 tahun dalam penjenamaan dan pemasaran. Beliau seorang yang bercita-cita tinggi dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam melakukan semua perkara.
Sementara Aniza Shahadan pula berkelulusan dalam bidang Pengurusan Pelancongan. Aniza juga memiliki pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang peruncitan, produksi dan perdagangan. Aniza juga merupakan pengusaha restoran dan memiliki kedai bunga hampir 10 tahun. Selain itu, Aniza pernah menyertai industri kesihatan dan kecantikan pada tahun 2014 dengan memiliki spa sendiri, RumaaSpa.
Kini Aniza selaku Ketua Pegawai Operasi di A&A Empire Sdn Bhd. Aniza seorang yang percaya dengan kemampuan diri termasuk pasukannya dengan mengatur strategi kerja demi mencipta kejayaan. Berusia 34 tahun, Aniza juga merupakan tenaga pengajar eUsahawan bertauliah.
“Selain menjadi rakan usahawan saya, Aniza sebenarnya adik ipar saya. Mungkin sebab itulah kami mudah serasi. Pada permulaannya kami cuba menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing memandangkan kami memiliki karakter yang berbeza. Tahun pertama, jualan kurang bagus. Namun setelah kami bertemu dan berbincang dengan pengasas Bokitta yang ‘turun’ dari Labenon, jualan kami terus meningkat setelah mengetahui hala tuju perniagaan.
CABARAN & PENERIMAAN
Antara cabarannya ialah kesan pendemik COVID-19. Syukur kami mampu bertahan hingga kini. Kami susun strategi baru yang lebih agresif untuk tahun berikutnya. More aggressive especially in online business. Andai kata PKP lagi kami sudah bersedia dan tahu apa yang perlu dibuat. Kami banyak belajar daripada pengalaman lalu. Memandangkan Bokitta bukan produk lokal, ini juga salah satu cabaran kami.
Salah satu sebab tudung Bokitta mudah diterima di sini ialah rekaannya yang berinovasi. Kebanyakan pembeli kami terdiri daripada wanita berusia 28-45 tahun yang berkerjaya dan bergelar ibu. Walau sibuk uruskan keluarga tetapi dalam masa sama mereka juga ingin bergaya. Bokitta memudahkan mereka untuk bersiap.”
Inovasi tudung Bokitta adalah yang pertama di dunia dipatenkan. Rekaan tudungnya juga berbeza daripada tudung-tudung instant yang lain. Simple cater yet elegant. Maka, apabila menjadi yang pertama dipatenkan maka tiada persaingan. Matlamat utama Bokitta untuk bersaing secara sihat bagi memeriahkan lagi perniagaan hijab di Malaysia.
KEMAMPUAN WANITA
“Kami bangga hari ini ramai wanita di Malaysia yang sukses malah ada yang bergelar jutawan. Selayaknya mereka menjadi inspirasi buat wanita-wanita lain termasuklah saya. Wanita adalah multitask, kita mampu lakukan apa jua perkara. Tidak kira apa jua status pun kita mampu lakukan jika ada motivasi diri untuk berjaya. Secara tidak langsung dapat membantu ekonomi keluarga serta saling membantu dan menginspirasikan sesama wanita. Semoga kita semua terus sukses dan bahagia,” akhiri mereka.
Kredit Foto: Instagram @allureayu @bokitta
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ketika ini tular kisah penderaan tragis seorang anak istimewa bernama Bella sehingga tercetusnya tanda pagar #JusticeForBella tanda sokongan agar pihak bertanggungjawab segera diheret ke muka pengadilan. Segalanya bermula apabila ikon usahawan terkenal, Mona Din nekad menularkan isu ini di Facebook peribadinya pada 5 Julai 2021 demi membela nasib anak syurga itu.
Memetik kata-katanya dalam sesi temu bual ekslusif bersama Mona Din di FB Live Majalah Nona pada 9 Julai 2021, Mona menyatakan dia berjuang kerana Allah SWT. Betapa luluh hatinya melihat penderitaan yang dilakukan terhadap Bella. Beliau pernah kehilangan anak kandung yang juga seorang anak Down Syndrome. Kini Mona Din mempunyai seorang anak angkat bernama Nadira yang juga anak Down Syndrome. Jelas menunjukkan betapa hebatnya naluri keibuan yang dimiliki Mona Din.
“Saya dulu ada anak Down Syndrome sendiri dan dia sebenarnya anak sulung saya. Seorang puteri yang lebih dikenali sebagai Kak Mar. Dia meninggal ketika berumur 12 tahun pada tahun 2004. Kalaulah arwah masih ada sekarang ni umurnya 29 tahun. Maknanya arwah telah pergi meninggalkan saya selama 17 tahun.
Memandangkan arwah adalah anak sulung dia adalah satu ‘kejutan’ pada saya. Masa tu saya baru berumur 26 tahun. Anak Down Syndrome ini sering terjadi kepada elderly couple. So, saya sangat terkejut dapat anak Down Syndrome. Namun alhamdulillah saya tetap bersyukur dengan anugerah Allah SWT. Kehadiran Kak Mar disambut seluruh keluarga terutama oleh saya dan suami. Kami menerimanya dengan sangat ikhlas.
Kak Mar ada masalah jantung berlubang, 2 di jantung dan 2 di injap. Antara kenangan paling memberi kesan yang mungkin boleh dikatakan manis bercampur pahit ialah sepanjang 12 tahun hidupnya dia bermalam di hospital lebih banyak bermalam di rumah sendiri. Sepanjang arwah duduk di hospital selama 12 tahun itu tidak pernah walaupun satu malam saya tidak bersama dia. Maknanya dalam tempoh 12 tahun Kak Mar hidup tu saya juga tidur di hospital bersama dia lebih banyak dari saya tidur di rumah. Dalam masa yang sama saya juga bekerja. Walaupun arwah kerap masuk hospital dan bermalam di sana tetapi saya tak pernah ambil cuti sakit.
Malam-malam saya tidur di hospital, sebelah pagi suami datang bawa baju dan saya mandi di bilik air hospital. Kemudian saya pergi kerja. Bila malam saya balik semula ke hospital. Begitulah hidup saya dengan Kak Mar selama 12 tahun. Sehinggalah Disember 2004, Kak Mar meninggal dunia di pelukan saya. Kak Mar kata “Amma (Mama) nak yalan (nak jalan)” Masa tu saya kata, Kak Mar nak pergi pergilah. Nak pergi mana pun Mama kasi. Nak pergi bila pun Mama kasi.
Bila saya jawab begitu suami di sebelah terkejut. Kak Mar berpusing pada suami dan cakap “Abah, Kak Mar nak pergi.” Suami masa itu dah menggigil bila dengar saya cakap begitu. Dia tak boleh menjawab lalu saya tolong jawab untuknya. Saya cakap “Abah pun OK kalau Kak Mar nak pergi.” Lepas tu dia buka oksigen dan cakap sesuatu tetapi tak berapa jelas. Saya tanya Kak Mar nak minum air Milo ke? Dia angguk dan saya minta suami belikan.
Setelah suami bergerak beberapa langkah, Kak Mar pegang tangan saya dan cakap “Mama, Kak Mar sayang Mama.” Saya peluk dia dan kata “Mama pun sayang Kak Mar” Masa itu tangannya terus terkulai lalu saya menjerit memanggil doktor. Bila doktor datang dan lihat, katanya “Itulah nafas terakhirnya” Dia pergi dalam pelukan saya. Pemergiannya di Syawal terakhir 12 Disember 2004.
Bagi saya, Kak Mar menjadi satu perkara yang sangat besar dalam hidup kami. Walau pemergiannya sudah 17 tahun tetapi setiap tahun tidak kiralah tarikh birthday atau tarikh kematiannya saya akan catat di Facebook (FB). Dulu tak ada FB saya tulis dalam diari. Tapi bila ada FB, setiap tahun nama Kak Mar sentiasa disebut sampai sekarang.
KEHADIRAN NADIRA
Semasa Kak Mar meninggal dunia, saya baru setahun memulakan bisnes Leesa Formula. Ketika pemergiannya saya dalam fasa sangat sibuk sebab baru membina bisnes. Ingatan pada Kak Mar sentiasa kekal. Setelah saya bersara 5 tahun yang sudah, pada Julai 2017 saya menulis di FB bertajuk “Mencari Anak Syurga Down Syndrome” Saya tulis saya dah bersara dan rindu Kak Mar. Saya ingin memiliki anak angkat Down Syndrome. Bukan niat saya nak ambil terus sebab tahu susah nak dapat. Kalau boleh saya nak yang berumur 8-10 tahun. Saya cuma nak membela saja dan berkongsi kasih sayang. Ada dalam 2-3 orang yang respon tapi bila sampai masa untuk berjumpa mereka tak sampai hati. Saya sangat faham dan anggap hasrat saya itu tak kesampaian.
Setahun selepas itu, pada 25 Mei 2018 Presiden Bunga-Bunga Syurga Down Syndrome Malaysia hantar mesej di FB dan menyatakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada anak Down Syndrome perempuan berumur 10 tahun. Mereka sedang mencari keluarga angkat jika saya berminat. Saya kata saya nak anak itu dan beliau bersetuju untuk uruskan. Cuma satu permintaan saya supaya anak itu boleh berjalan, tidak kisah bagaimana tahap Down Syndrome yang dialami. Sebab saya fikir saya makin berusia, mungkin tidak mampu untuk mengangkat dan sebagainya.
Esoknya beliau menyuruh saya ke Mahkamah Majistret untuk lafaz ikrar pengambilan anak angkat. Sebenarnya, perkara ini suami saya tidak tahu. Sebab saya tahu kalau minta permission dia tidak akan benarkan. Sampailah petang tu, saya berdoa dan hantar mesej di WhatsApp. Saya jelaskan semuanya dan minta maaf. Jika dia setuju saya nak ajak suami untuk pergi ambil anak angkat tersebut.
Lewat petang barulah suami balas mesej saya itu. Balik saja rumah suami diam membisu. Lama kelamaan suami pun bersuara dan ajak kami pergi sesudah Subuh esoknya, alhamdulillah. Esoknya saya mendapat surat dari Mahkamah Majistret kemudian terus ke Taman Sinar Harapan di Seremban. Kami bersyukur perjalanan dipermudahkan.
Ketika pertama kali memeluk Nadira saya merasakan yang saya sedang memeluk anak kandung sendiri. Seolah-olah memeluk seorang bayi yang baru lahir. Saya ada 6 orang anak kandung dan Nadira adalah anak yang ke-7. Saya memeluknya lama dan dia terus duduk di sebelah saya.
Anak-anak dimaklumkan pada sebelah malam tu. Mereka memang menunggu kehadiran Nadira dan sudah pun tahu yang saya memang nak ambil anak angkat Down Syndrome. Mereka tahu saya nak cari anak angkat ni dah lama. Suami pun sebenarnya dah lama berikan saya keizinan dari awal saya tulis di FB dulu. Syarat supaya anak itu boleh berjalan tu pun dari suami sebenarnya.
Nadira seorang anak yang sangat aktif, suka bercakap dan mudah sensitif. Kalau bercakap tu memang sangat kuat. Berbeza dengan arwah Kak Mar dulu. Mungkin arwah Kak Mar kami bela sejak kecil, mengikut acuan adik beradiknya. Sangat behave dan polite. Nadira berlawanan sikapnya dan lebih cerdik.
Semasa mengambil Nadira saya dimaklumkan keluarganya tidak pernah datang melawat walaupun sekali. Tetapi semasa umurya setahun ibunya diminta untuk datang ambil. Atas sebab tertentu mereka tidak dapat ambil kerana ibunya sudah memiliki beberapa orang anak. Mereka juga telah membuat surat akur sumpah dan menyerahkan tanggungjawab secara rasmi kepada JKM.
Saya rasa sangat sedih, 10 tahun dalam hidup Nadira dia telah kehilangan haknya sebagai seorang anak. Saya mesej ibunya yang saya ambil Nadira dari JKM dan minta berjumpa di Pesuruhjaya Sumpah di tempatnya. Akhirnya kami bertemu. Pada mulanya ada rasa marah tetapi dia menjelaskan dia sebenarnya rasa sedih, takut dan malu nak berjumpa saya. Itulah juga pertemuan pertama Nadira dengan ibunya. Tetapi itu juga bukanlah yang terakhir kerana ia menyusul ke Hari Raya, Nadira dijemput ke rumah mereka. Saya bersyukur bila ambil Nadira saya berjaya ‘memulangkan’ semula Nadira kepada keluarganya.
Sepanjang memiliki anak syurga ini saya sangat bersyukur kerana dikelilingi orang-orang yang sangat baik termasuk keluarga, rakan-rakan dan pengikut-pengikut di FB. Sejak ada Nadira, saya terima banyak penghargaan dan sokongan daripada mereka.
Bagi saya anak kandung atau anak angkat harus diberi kasih sayang sama rata. Anak angkat memerlukan kasih sayang lebih berbanding anak kandung. Kerana mereka adalah amanah yang sangat besar kepada kita. Saya juga amanah daripada JKM yang telah membenarkan saya membuat pengangkatan tehadap Nadira. Secara tak langsung, saya juga ada tanggungjawab terhadap keluarganya.
Untuk masa depan Nadira, saya ada berpesan kepada beberapa orang andai ditakdirkan saya atau suami pergi dulu. Diharapkan anak sulung yang sangat rapat dengan Nadira dapat menjaganya dengan baik. Selain itu, saya ada juga membuat hibah untuk anak-anak termasuk rumah untuk setiap seorang. Saya turut menghibahkan sebuah kondo buat Nadira. Diharapkan esok kalau saya dah tiada, adalah sedikit harta untuknya.
KES PENDERAAN BELLA
Disebabkan saya ada anak angkat Down Syndrome, saya ada sekumpulan group WhatsApp yang terdiri daripada ibu-ibu kepada anak Down Syndrome. Suatu malam tu ada seorang text saya memaklumkan di hospital ada satu kes anak Down Syndrome didera. Badannya dikatakan disiram air panas dengan kesan terbakar stage 3 atau 4. Masa tu saya tak tau siapa dia. Kemudian saya dikongsi satu video dari sebuah rumah kebajikan di mana JKM datang untuk ambil anak-anak di rumah tersebut yang dibawah JKM.
Saya buat sedikit homework dari beberapa tempat. Saya dapat tahu dia daripada Seremban dan berumur 13 tahun. Saya sangat terkejut kerana Nadira pun saya ambil dari Seremban. Selepas itu saya terima banyak gambar dan video tentang Bella. Saya tunjuk pada Nadira dan beritahu itu Bella. Kemudian saya dapat lagi gambar-gambar Bella yang sebelum didera. Saya tunjuk lagi pada Nadira dan dia terus kenal.
Bila saya lihat Bella saya membayangkan itu adalah arwah Kak Mar dan Nadira. Saya rasa macam separuh nyawa ini dibawa pergi dan masa itu saya berkata ‘I am going to viral this” Semua kata tak boleh, jangan. Tapi saya nak buat dengan risiko sendiri dan tidak akan melibatkan sesiapa termasuk sumbernya sampailah ke saat akhir seseorang itu reveal sumber oleh mahkamah. Saya cakap jangan susah hati kerana saya sendiri akan tanggung risikonya. Pada 5 Julai saya viralkan di FB saya.
Sebelum viral saya dan group dah buat homework dan memantau berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi. Laporan polis dibuat pada 24 Jun. Saya dapat tahu pada 5 Julai. Jarak masa tu sudah 12 hari. Bagi saya kes penderaan itu sangat teruk. Kalau orang tidak jumpa dia sebelum tu mungkin dia boleh mati. Saya menjadi lebih beremosi. Banyak faktor yang menyebabkan saya sangat ralat dan perkara ini perlu diambil serius. Bukan hanya kes penderaan Bella tetapi lebih daripada itu. Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan? Maka isu ini sangat besar, melebihi kes penderaan Bella.
Saya menjadi serius apabila melihat perkara yang perlu diambil serius. Itulah saya, mungkin disebabkan sikap peribadi dan memiliki 2 anak Down Syndrome ia benar-benar memberi kesan yang sangat besar. Saya nak menyampaikan mesej itu kepada orang lain yang mungkin tidak ada anak Down Syndrome tetapi kena ambil berat.
Bella tiada sesiapa dalam hidupnya. Hanya ada kita yang bersimpati dan berjuang untuk #JusticeForBella, seorang anak Down Syndrome yang didera sebegitu rupa. Marilah kita ambil berat kes Bella ini sebagai satu benchmark atau permulaan untuk semua orang memastikan ia tidak berlaku lagi. Mereka ini adalah anak-anak yang tidak berupaya.
Nasihat saya, bagi sesiapa yang berhasrat untuk mengambil anak-anak Down Syndrome sebagai anak angkat hendaklah betul-betul ikhlas untuk menerimanya. Bersedia untuk menerima yang buruk kerana ia lebih banyak daripada yang baik. Pastikan anda mampu untuk memberikan kasih sayang dan cukup kuat untuk menerima kekurangan itu.
Buat sesiapa yang dikurniakan anak istimewa, anda telah pun memiliki seorang ahli syurga dalam keluarga. Kita belum tentu masuk syurga tetapi anak itu pasti menjadi ahli syurga. Itu adalah nikmat terbesar yang Allah SWT bagi, selalu ingat itu. Ciumlah anak syurga ini setiap saat. Kalau benar-benar tidak sanggup carilah bantuan kerana kita ada NGO, JKM dan sebagainya. Banyak yang hendak membantu sebenarnya.”
Kredit Foto: Facebook Mona Din
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.