Terlalu banyak ragam, kejahilan dan asam garam rumah tangga yang dilaporkan di Mahkamah Syariah. Kes aduan perkahwinan terpalit pada sesiapa saja. Boleh jadi seorang ustaz, wanita berijazah atau pengawal keselamatan, golongan B40, M40 mahupun T20.
Salah satu kisah yang dialami oleh peguam syarie, Ustaz Muhammad Amirul Akmal ini menjadi antara kes perceraian yang cukup membimbangkan. Gara-gara sikap baran dan perangai buta hukum, lafaz cerai amat ‘ringan di mulut’. Akibatnya isteri dan anak-anak menjadi mangsa.
Ini cerita beliau kepada Nona.
Kisah ini berlaku beberapa tahun yang lalu. Hadir seorang wanita di hadapan kaunter mahkamah dalam keadaan menangis teresak-esak. Kemudian muncul suaminya selepas itu, saya cuba menenangkan beliau dan bertanyakan mengapa beliau datang dalam keadaan sedemikian.
Beliau menceritakan bahawa suaminya sudah melafazkan talak kali keempat tanpa kebenaran mahkamah. Saya tanya lagi, tiga kali lafaz tu ada perintah mahkamah ke? Beliau jawab, tiada.
“Selama ni suami lafaz talak kepada saya, dia cakap kalau talak tu dalam keadaan marah tak jatuh, tapi sebab ini kali keempat dia lafazkan jadi hati saya rasa serba tak kena, tak sedap hati dan serba salah.
Saya pun terus bertanya, bila lafaz kali pertama itu berlaku? Jawabnya sudah 10 tahun yang lalu. “Kali kedua masa saya sedang mengandung anak kedua dan kali ketiga sekitar 2-3 tahun yang lalu.”
Pasangan ni dah bernikah hampir 20 tahun. Selepas lafazkan cerai, si suami minta maaf dan mengatakan bahawa dalam keadaan marah talak tu tak jatuh.
Ads
Saya pun terkedu mendengar cerita tersebut. Apa sudah jadi dengan masyarakat hari ini? Perihal talak dipermain-mainkan seolah tiada apa-apa, dengan tanpa rasa serba salah mahupun takut dengan azab Allah. Sikap acuh tak acuh tentang hukum-hakam agama menjadikan masyarakat dan institusi keluarga itu sendiri rosak.
SUAMI NAIK MINYAK
Suaminya mencelah selepas itu mengatakan, “Saya lafaz tu dalam keadaan marah, memang hukum cakap tak jatuh, mana ada jatuh talak!”
Kemudian dia memarahi isterinya kerana datang ke mahkamah untuk mengadukan perihal ini. Si suami tiba-tiba minta saya sahkan lafaz talak tu tak jatuh sebab dia lafaz dalam keadaan marah.
Ads
Saya pun jawab, “Encik, penentuan jatuh atau tidak lafaz talak itu hanya Yang Arif Hakim je layak tentukan selepas mendengar keterangan encik dalam perbicaraan. Bukan saya yang layak untuk tentukan. Wujudnya prosedur pengesahan lafaz cerai ini bertindak untuk mengesahkan dan merekodkan jumlah talak yang berbaki jika sabit talak tersebut oleh mahkamah.
Isu ini bukan terangkum dalam perihal bilangan talak sahaja, kesahtarafan anak encik juga menjadi persoalan jika lafaz sebelum ini sabit dan encik membuat persetubuhan selepas talak dilafazkan tanpa merujuk semula isteri encik dengan cara yang diperuntukkan undang-undang.
Selain itu, perihal ini akan berkait dengan hak isteri encik dan hak anak-anak encik yang lahir selepas encik melafazkan talak tersebut. Jangan buat main-main dengan perkara ini. Encik tak kesian ke dengan isteri dan anak encik? Encik sanggup ke isteri encik tak dapat hak harta faraid kerana sikap encik ni?
Encik juga kena faham wujudnya undang-undang untuk mengawal tingkah laku masyarakat. Bukan suka-suka sahaja undang-undang dan prosedur ini diadakan. Kerana dalam kaedah fiqh telah dinyatakan suatu kaedah iaitu ‘keputusan hakim itu mengangkat khilaf’.
Ads
Walaupun encik ada ijazah syariah dan berpengetahuan agama sekalipun, kita ada prinsip takhsis al-qada dalam Nizam Al-Qada di mana hakim itu berkuasa bagi mendengar segala pertikaian penduduk setempat apabila mereka dilantik pemerintah.
Setiap tingkah laku encik ada kesannya, sama ada dari segi hukum mahupun undang-undang, encik tak boleh suka-suka datang dekat depan kaunter dan suruh saya sahkan lafaz encik tak jatuh,” terang saya sambil tersenyum.
Tidak semena-mena dia bangun dari kerusi nak tumbuk saya, sedangkan saya dalam nada yang lembut dan secara berhemah menegur tingkah laku tersebut. Dia berlalu pergi begitu sahaja sebab merasakan dirinya betul dan mahkamah salah. Isterinya pula memohon maaf kepada saya. Dan berlalu pergi dengan kesedihan dan resah gelisah terpancar di wajah.
BUAT PENGESAHAN
Pesan saya kepada wanita di luar sana, apabila suami melafazkan talak di luar mahkamah sama ada melalui lafaz jelas atau lafaz kiasan, sama ada secara lisan mahupun bertulis melalui aplikasi media sosial yang ada, saya mohon anda pergilah ke mahkamah untuk buat pengesahan agar anda tidak hidup dalam keadaan syubhah dan tidak tahu status anda, dan lebih parah status anak anda sama ada sah taraf atau tidak dek kerana perlakuan suami yang mabuk talak.
Kepada suami dan lelaki lelaki budiman di luar sana, pesan saya bertanggungjawablah dengan tindakan anda, kalau dulu mula-mula nak bernikah boleh pula ikut prosedur kalau nak bercerai ikut lah prosedur, jangan pula nak cakap ini bukan syariah yang sebenar dan buat ikut kepala sendiri sesuka hati anda.
Enakmen atau Akta undang-undang di Mahkamah Syariah hari ini adalah hukum syarak yang dikanunkan menjadi undang-undang. Amatlah kurang bijak menyatakan undang-undang itu ciptaan manusia semata-mata nak melempiaskan nafsu gila talaq anda. Ingat setiap tindakan itu ada kesan untuk jangka masa yang panjang. Jangan disebabkan kejahilan diri sendiri orang lain menjadi mangsa rakus nafsu anda.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tanggal 20 November lalu anak kepada pelakon cantik Kuza telah selamat melangsungkan pernikahan. Majlis ijab kabul yang diadakan serba sederhana dengan dihadiri jumlah tetamu yang terhad berikutan situasi Covid-19 bagaimana pun berjalan lancar. Alhamdulillah!
Puteri Nazihah atau lebih mesra disapa Puteri kelihatan anggun dan berseri-seri dalam persalinan kurung rona putih, tampak sedondon di samping suami tercinta. Pada majlis pernikahan tersebut, Puteri sah bergelar isteri kepada Ahmad Shukri yang merupakan rakan baiknya. Difahamkan Puteri menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin dan wang tunai RM300.
Pastinya antara insan paling bahagia dan sebak pada majlis itu ialah ibu Puteri, Kuza. Kongsi pelakon jelita ini, “Alhamdulillah selesai sudah majlis akad nikah. Syukur… Puteri saya sudah pun menjadi isteri kepada Ahmad Shukri. Majlis berjalan dengan seperti dirancang. Hari bahagia buat Puteri Nazihah. Semoga bahagia di dunia dan akhirat.”
Pada majlis tersebut juga Kuza dan ahli keluarga terdekat mengenakan persalinan sepadan bertemakan rona champagne. Melihat penampilan Puteri yang ayu bertudung litup
semasa upacara ijab kabul menyerlahkan sisi keanggunan wanita berusia 25 tahun ini sekaligus mewarisi kecantikan ibunda tersayang. Bila bergambar berdua ibarat seperti adik dan kakak!
Solekan magis Aush Hamdan berjaya menaikkan seri wajah Puteri. Sementara busana pernikahan eksklusif ilham Azammoff juga memberi aura luar biasa kepada bakal mempelai. Foto sepanjang momen indah Puteri dan suami pula menerima khidmat jurufoto Anis Amanina.
Terdahulu, Puteri dan Ahmad Shukri melangsungkan pertunangan pada 6 September lepas. Puteri merupakan anak kedua daripada tiga beradik iaitu abangnya Nizam Firdaus kini berusia 26 tahun sementara adik perempuannya pula, Puteri Nadia berumur 15 tahun.
Sebelum majlis nikahWaktu bertunang
Sepanjang mengenali Puteri, dia disifatkan seorang yang sopan, ramah dan bercita-cita tinggi. Usai menamatkan pengajian di Kolej Universiti Poly-tech Mara (KUPTM) tahun lepas, pencapaian Puteri dalam bidang akademik juga cukup membanggakan apabila dia menerima First Class Degree dalam bidang komunikasi korporat!
Dalam pada itu, Puteri kini sibuk menguruskan perniagaan berasaskan produk rambut dan penjagaan kulit, Eunoiaa. “Berbisnes ni dah lama dari umur 19 tahun. Tapi macam-macam dah cuba dari jual baju preloved, jual kasut, jual baju retail, sekarang keluar produk sendiri iaitu sabun dan produk rambut sebab saya minat dan guna product ni sendiri. Mulanya idea nak ada produk skincare sendiri tu lepas Puteri alami jerawat yang sangat teruk. Macam-macam dah cuba tapi tak jadi.
Sudahnya, Puteri create brand skin care sendiri khas yang tak ada alcohol, warna dan bau. Puteri juga nak create next skincare line yang tak ada bau, warna dan alcohol… pertama di Malaysia. Doakan inshaAllah soon akan ada produk baru menyusul. Setakat ni sabun untuk jerawat sahaja. Untuk rambut, Puteri sedar ramai yang pakai macam-macam produk untuk rambut tapi tak jadi. Jadi Puteri ambil keputusan deal dengan supplier yang supply barang dari luar negara dengan menggunakan formulasi Jepun yang berkualiti, menjadi dan murah.
Buat Puteri, selamat melayari alam rumah tangga dan semoga berkekalan hingga ke syurga.
Kredit foto: Instagram Puteri Nazihah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nama Janetira Attaskulchai mungkin agak asing dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Namun di Thailand, nama keluarga Attaskulchai merupakan golongan elit dan ahli perniagaan berpengaruh di negara Gajah Putih berkenaan. Bersandarkan status itu, Janetira sering menerima tempias dunia glamor dan tumpuan khalayak.
Apatah lagi sejak dia berkahwin dengan usahawan Brunei iaitu Danial Deen Isa Kalebic.
Janetira Attaskulchai Suri Hati Danial Deen Isa Kalebic
Wanita bangsawan Thailand ini melangsungkan perkahwinan dengan Danial Deen yang juga abang kepada Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah pada 1 Disember 2022 dan mengikat tali pertunangan pada November 2020.
Penampilan Janetira Attaskulchai ketika menghadiri majlis perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah pada 11 Januari 2024 lalu turut meraih perhatian.
Bukan hanya Danial Deen bersahabat baik dengan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen sejak kecil, malah mereka diibaratkan seperti sebuah keluarga. Tidak hairanlah setiap kali majlis perkahwinan diraja Brunei pasti kelibat Danial Deen dan Janetira turut kelihatan.
Difahamkan socialite jelita ini mendapat pendidikan di Regent’s University Business School. Dia pernah tinggal di Sydney, Australia dan London, United Kingdom sebelum pulang kembali ke Bangkok dan menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah bagi perusahaan minuman milik keluarganya, Betagen.
Pewaris Betagen, Janetira Attaskulchai Selamat Bergelar Ibu
Janetira juga mempunyai jenama pakaian sendiri iaitu Tira dan Silk Collective. Tanggal 8 Mac lalu, dia meraikan ulang tahun kelahiran ke-30.
Perkahwinan pasangan romantis ini kian bermakna apabila mereka menimang cahaya mata sulung pada Ogos 2024. Bayi lelaki Janetira dan Danial diberi nama Rayan Attaskulchai Danial Deen.
Menelusuri latar belakang Danial, dia ialah cucu kepada penasihat Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Yang Berhormat Pehin Dato Awang Isa bin Awang Ibrahim yang diberi gelaran ‘Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja’.
Datuknya juga pengasas syarikat penerbangan Royal Brunei dan pernah berkhidmat sebagai pengerusi dari tahun 1974 hingga 1984.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Apa jadinya jika Allah tidak menciptakan seorang Hawa, seorang ibu atau seorang wanita. Dunia bakal hampa, tidak sempurna sebuah kehidupan. Kaum wanita perlu juga melihat sejelasnya kewujudan mereka. Adam dari tanah, sehingga fungsi kaum lelaki adalah memakmurkan bumi. Hawa dari rusuk Adam, maka fungsi kaum wanita adalah menjadi supporter paling dekat terhadap lelaki. Jika kaum wanita menyedari perkara ini, nescaya dunia semakin tenteram jadinya.
Kerana Hawa diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok, maka perlakuan lelaki terhadap wanita perlu ekstra berhati-hati. Jika mahu diluruskan secara ekstrem, maka rusuk itu akan patah. Jika wanita dibiarkan dalam bengkoknya, maka ia semakin bengkok. Maka hargailah wanita sewajarnya, agar wanita itu bisa menjadi peneman lelaki dan tertenteram kamu kala di sisinya. Hidup tidak akan sempurna atau lengkap tanpa ada salah seorang daripadanya. Malah dalam Islam, Allah SWT telah berfirman bahawa manusia itu diciptakan berpasang-pasangan.
Hargailah perasaan seorang wanita itu wahai lelaki, ketahuilah… Apabila seorang wanita itu marah pada kamu, bermakna memang dia tidak mampu mengawal perasaannya lagi. Tapi percayalah, dia sangat mengambil berat dan menyayangi kamu. Dan apabila wanita itu mengalirkan air mata, itu bukan bermakna dia lemah tetapi dia sedang mencari kekuatan untuk terus tabah dalam kehidupan. Bila dia bercakap banyak, bukan bermaksud untuk membuatkan anda rimas tetapi dia mahu kamu mengenalinya dengan lebih dekat.
Apabila wanita itu merajuk jangan kata dia mengada-ngada, mereka bukannya mahu dipujuk dengan wang ringgit atau hadiah sedozen tetapi cukup dengan perhatian yang boleh buat mereka rasa dihargai. Bagi wanita cinta itu terlalu bermakna dan tinggi nilainya. Bila wanita jatuh cinta, lelaki itu tidak semestinya punya segala-galanya tetapi lelaki itu adalah segalanya di hatinya. Namun andai kata wanita itu sanggup melepaskan semuanya, bermakna dia ikhlas ingin bersama kamu dan sanggup hidup dalam kesusahan kerana ingin menjaga hati mu dan tidak sanggup melihat mu marah. Itulah sifat setianya yang benar-benar untuk kamu.
Benar, kadang-kadang atau selalunya wanita ini juga menjadi degil. Tapi dia mahu melihat sejauh mana lelaki itu mampu bersabar dengan kerenahnya. Percayalah, hati perempuan itu lembut. Jangan terkejut kalau akhirnya dia menukar fikirannya dalam masa sesaat. Wanita dan emosi tidak boleh dipisahkan. Mungkin itulah kelemahan terbesar mereka dalam mengawal perasaan sehingga tidak boleh mengawal emosi. Apabila wanita berkata ‘tinggalkan saya’, dia tidak bermaksud untuk menyuruh anda pergi selamanya. Dia hanya mahu menenangkan fikirannya sebentar saja. Apabila dia kembali tenang, percayalah dia akan mencari kamu semula. Itu tandanya dia benar-benar mencintai kamu. Sememangnya Allah menciptakan LELAKI dan WANITA itu dengan perbezaan sendiri, tetapi sekiranya mereka saling memahami, mereka akan saling melengkapi dan menyempurnakan.
Hargailah wanita mana pun sebagaimana kamu menghargai saudara perempuanmu, seperti kamu menghargai kakak dan adik perempuanmu kerana sungguh semua wanita hakikatnya sama, dia memiliki hati dan perasaan dengan mereka. Jika wanita yang kamu lukai, khianati dan mainkan hati mereka, maka pasti wanita yang kamu lindungi di samping mu juga akan merasakan hal sama jika lelaki lain memperlakukannya demikian. Ingatlah pula, suatu saat nanti kamu pula akan memiliki anak, lalu bagaimana jika anak perempuanmu diperlakukan tidak baik oleh lelaki lain? Tentu kamu tidak akan senang, bukan? Sebab itulah mengapa kamu harus benar-benar berfikir bijak sebelum kamu berlaku sesuatu yang buruk kepada seorang wanita. Hargailah wanita!
Wanita itu dicipta oleh Allah indah sekali, di sebalik air matanya tersimpan seribu kekuatan yang menjadikan seorang lelaki itu berasa selamat bersamanya, biarpun zahir perempuan itu nampak lemah tapi dia punyai kekuatan sendiri yang bisa menggoncang dunia. Lelaki juga bisa lemah dengan wanita, bukan! Namun begitu, percayalah wanita itu hadir dengan kekuatan untuk menyokong langkah seorang lelaki agar hidup itu lebih sempurna… #terimakasihwanita
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!