Setiap wanita adalah unik. Menjadi seorang suri rumah sepenuh masa mahupun ibu yang bekerjaya tetap mempunyai cabaran tersendiri. Apa pun wanita berhak mendapat peluang sama rata. Hari Wanita Sedunia yang dirai seluruh dunia pada 8 Mac setiap tahun bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangan wanita dalam apa jua bidang.
Dipandu oleh falsafah korporatnya iaitu kyosei, Canon Marketing Malaysia (“Canon”) menghormati kepelbagaian budaya, adat, bahasa dan etnik dalam menggalakkan pengambilan pekerja dan kenaikan pangkat secara adil tanpa mengira jantina, umur atau kelainan upaya. Seterusnya memperkasakan dan memupuk budaya yang inklusif serta nilai-nilai kesamaan di tempat kerja.
Sempena Hari Wanita Sedunia Canon memilih 3 wirawati ‘tak didendang’ bagi mengiktiraf dan meraikan pencapaian serta sumbangan mereka terhadap masyarakat dan juga keberanian mereka dalam menghadapi cabaran.
Melalui kisah mereka, Canon berharap dapat memberikan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia agar mula bertindak dan #ChooseToChallenge situasi semasa yang kian mencabar akibat pandemik COVID-19.
SERENA LEE
PENGASAS SIGN FOR MALAYSIA
Pada tahun 2017, ketika usianya 15 tahun Serena mengalami kepekakan separa pada telinga kirinya. Kehilangan pendengaran sensorineural secara mengejut (akibat jangkitan virus) telah menjejaskan keyakinan diri Serena. Menyedari tidak banyak yang diketahuinya tentang kepekakan dan rasa ingin tahu membuatkan Serena mendekati komuniti Pekak di Malaysia bagi memahami kepekakan dari perspektif mereka.
Diinspirasi dari pengalamannya yang perlu mengubah tanggapan negatif mengenai kelainan upaya, Serena mengasaskan Sign for Malaysia (SFM) kurang setahun selepas itu. Melalui SFM, beliau berharap dapat merapatkan jurang antara komuniti yang boleh mendengar dan komuniti Pekak dengan memulakan dialog mengenai isu-isu berkaitan Pekak dan meningkatkan kesedaran mengenai bahasa isyarat kebangsaan Malaysia iaitu Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).
Projek rintis organisasi tersebut iaitu “Negaraku in Schools” menggalakkan pembelajaran bahasa isyarat dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia dengan mengajar mereka lagu kebangsaan dalam BIM.
“Saya bangga menjadi ahli komuniti ini. Saya melihat Kepekakan separa yang dialami sebagai kekuatan yang memperkasakan saya untuk mencetuskan impak dalam kehidupan. Kelainan upaya ini tidak menghalang saya mencapai cita-cita, sebaliknya menjadikan saya unik. Saya memilih untuk menggunakan keunikan itu untuk melakukan kebaikan.”
RUZIANA MOHAMAD
AHLI BOMBA DI BALAI BOMBA & PENYELAMAT
Beliau antara 5% daripada tenaga kerja wanita di jabatan bomba seluruh negara. Ruziana mempunyai kepakaran sebagai penyelamat perubatan kecemasan yang memberikan rawatan awal kepada ahli bomba yang tercedera semasa bertugas serta mangsa di lokasi kejadian sejak 11 tahun lalu.
Sebagai ahli bomba wanita, Ruziana berusaha untuk mencapai ketahanan mental dan berjaya dalam tugasnya yang didominasi lelaki. Ruziana bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan ibunya. Hasil kegigihan ditunjukkan sepanjang bertugas di jabatan bomba, Ruziana dianugerahi Pingat Kecemerlangan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan.
Beliau menyeru kepada seluruh wanita agar tidak berputus asa walau menghadapi pelbagai cabaran kerana kegagalan bukan untuk selamanya. Kecekalan dan konsistensi pasti akan membuatkan anda berjaya meraih pencapaian yang hebat dalam kehidupan.
SISTER MATHINA BEE GULAM MYDIN
JURURAWAT VETERAN
Sepanjang pengalamannya selama 21 tahun di Amerika Syarikat dan Timur Tengah, sikap tidak mementingkan diri Sister Mathina dalam memberi bantuan kepada pesakit telah mendorong beliau untuk mengatasi rasa takut dan menyertai 25 misi kemanusiaan di zon-zon perang paling berbahaya di dunia.
Semasa menjalani sebuah misi pada tahun 2003, satu letupan bom telah menggegarkan seluruh bandar Nasiriyah ketika Perang Iraq. Sister Mathina berada hanya 2 km dari tempat berlakunya insiden tersebut dan dapat merasakan gegarannya. Tidak lama kemudian, mangsa letupan tiba di hospital tempat beliau sedang berkhidmat.
Walau tugas asalnya adalah menyelia para doktor dan jururawat warga Iraq, Sister Mathina bertindak untuk melakukan lebih dari itu dan mula merawat pesakit. Walaupun syif 12 jam beliau telah tamat, Sister Mathina memilih untuk tidak berehat dan terus merawat pesakit di hospital tersebut.
Meskipun terdapat pelbagai kebimbangan dari serangan bom hinggalah diugut dengan pistol, Sister Mathina terus membantu pesakit dan tidak membiarkan ketakutan menghalang beliau dari memenuhi matlamat hidupnya untuk membantu mereka yang sakit, cedera dan yang kurang bernasib baik.
Sister Mathina menasihatkan semua orang agar tidak membiarkan rasa takut menghalang kita daripada membuat kebaikan. Jadi, marilah kita memerangi sikap mementingkan diri dan tamak. Bantulah mereka yang memerlukan.
Kesimpulan dari kisah mereka, untuk melakukan sesuatu yang hebat kita mungkin akan terlebih dulu menghadapi kegagalan. Maka, beranikan diri dan usah biarkan ketakutan menjadi penghalang. Sentiasalah berusaha untuk menjadi lebih baik.
MENGENAI CANON
Canon adalah peneraju global dalam penyelesaian fotografi dan pengimejan digital. Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd diasaskan pada tahun 1987 bagi menyampaikan pelbagai produk dan sokongan perkhidmatan secara terus serta menerusi rakan kongsi salurannya seluruh negara. Syarikat induknya, Canon Inc. memilik rangkaian global yang terdiri daripada lebih 300 buah syarikat dengan hampir 200 ribu kakitangan seluruh dunia.
Kredit Foto: Canon
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadil Akhir dan Syaaban.” (HR al-Bukhari, hadis sahih)
Jika bulan Ramadan dikenali dengan keistimewaan 10 malam terakhir, bulan Zulhijjah pula mempunyai keistimewaan pada 10 hari terawal sepertimana firman Allah SWT:
وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ﴿٢﴾
Maksudnya: “Demi waktu fajar, dan 10 malam (serta hari terawal Zulhijjah).” (Surah al-Fajr: 1-2)
Bahkan ia turut disebutkan dalam hadis Nabi SAW bahawa jihad di jalan Allah SWT tidak dapat menandingi amalan yang dilakukan pada bulan suci ini.
Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (HR al-Bukhari, hadis sahih)
SubhanAllah, betapa besarnya nilai amalan pada waktu ini di sisi Allah SWT, maka jangan lepaskan peluang ini untuk merebut keistimewaan pada bulan Zulhijjah ini supaya mendapat redha-Nya dan kebaikan.
Andai tidak berpeluang untuk mengerjakan ibadah haji di bulan ini, masih terdapat pelbagai amalan yang disarankan untuk kita melakukan amal soleh sebanyaknya, seperti:
1. ANJURAN UNTUK TIDAK MEMOTONG, MENCABUT DAN MENCUKUR RAMBUT, BULU MAHUPUN KUKU KE ATAS ORANG YANG MELAKUKAN IBADAH KORBAN
Sunat untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku bagi orang yang melakukan ibadah korban bermula daripada 1 Zulhijjah sehingga haiwan korbannya disembelih.
Maksudnya: “Barang siapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.” (HR Muslim, hadis sahih)
Maksudnya: “Apabila masuknya sepuluh (hari Zulhijjah) dan seseorang itu mempunyai haiwan korban yang dia hendak menyembelihnya, maka janganlah dia memotong rambutnya dan jangan dia memotong kukunya.” (HR Muslim, hadis sahih)
Anjuran untuk tidak memotong rambut, bulu dan kuku ini merupakan pendapat Imam al-Syafi’e beserta ashabnya yang lain dan ia juga adalah pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafi’e.
2. BERPUASA PADA HARI ARAFAH
Selain daripada mengamalkan puasa sunat Isnin Khamis dan hari putih, kita digalakkan untuk berpuasa pada hari Arafah iaitu bersamaan 9 Zulhijjah. Ia adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardhu bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji.
Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.” (HR Muslim, hadis sahih)
LAFAZ NIAT PUASA SUNAT ARAFAH:
نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa Arafah, sunat kerana Allah ta’ala.”
Walau bagaimanapun, kita dilarang untuk berpuasa pada hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Pada hari tersebut, para jemaah haji sedang melakukan amalan melontar jamrah di Mina.
Manakala bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji pula, digalakkan untuk melakukan ibadah korban. Kita dianjurkan untuk menikmati makanan dan minuman sebagai bentuk syukur atas nikmat Allah SWT.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Maksudnya: “Hari tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.” (HR Muslim, hadis sahih)
3. PERBANYAKKAN BERDOA DAN SALING MENDOAKAN ANTARA SATU SAMA LAIN
Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (HR al-Tirmizi, hadis hasan)
Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ Maksudnya: “Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: “Apa yang mereka inginkan?” (HR Muslim, hadis sahih)
Saling mendoakan antara satu sama lain dengan mengucapkan:
تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك
Maksudnya: “Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu.” Daripada Jubair bin Nufair r.a. katanya:
Maksudnya: “Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu).” (Fath al-Bari, sanad hasan)
4. MENGHIDUPKAN SUASANA HARI RAYA DENGAN TAKBIR
Sabda Nabi Muhammad SAW:
زَيِّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبير
Maksudnya: “Kamu hiasilah hari raya dengan takbir.” (HR al-Thabarani)
Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a. keluar ke pasar pada 10 hari awal Zulhijjah, lalu mereka bertakbir sehingga menyebabkan orang ramai turut bertakbir bersama mereka.
‘Affan turut menceritakan peristiwa ini. Beliau berkata: “Abu Hurairah dan Ibnu Umar datang ke pasar pada 10 hari terawal bulan Zuhijjah, kemudian meraka bertakbir dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka. Mereka berdua tidak datang melainkan untuk bertakbir.”
Terdapat dua jenis takbir pada hari raya:
i. Takbir Mursal atau Mutlaq (المرسل أو المطلق) • Bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan Solat Hari Raya.
ii. Takbir Muqayyad (المقيد) • Bermula dari solat Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) hinggalah selepas solat Asar pada Hari Tasyrik terakhir (13 Zulhijjah).
Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi Allah dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi Allah daripada sepuluh hari ini (10 hari awal Zulhijjah). Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” (HR Ahmad, hadis sahih)
6. PERBANYAKKAN SEDEKAH DAN MENGHUBUNGKAN SILATURAHIM
Daripada Abu Umamah al-Bahili berkata, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka dari nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.” (HR al-Thabarani, hadis hasan)
7. MENTADABBUR AYAT AL-QURAN
Tadabbur bermaksud menghayati atau merenung kisah-kisah yang terdapat dalam al-Quran sewaktu membacanya.
Maksudnya: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah al-Nisa’: 82)
8. MENDIRIKAN SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILADHA DAN TIDAK MENJAMAH MAKANAN SEBELUMNYA
Maksudnya: “Ketika Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah SAW keluar menuju tempat solat (lapangan), dan pertama kali yang beliau kerjakan adalah solat hingga selesai.” (HR al-Bukhari, hadis sahih)
Sebelum menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan untuk tidak mengambil sarapan terlebih dahulu.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم َلا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ وَلا يَطْعَمُ يَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي
Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW tidak keluar (ke tempat solat) pada Aidilfitri sehingga beliau makan terlebih dahulu, dan beliau tidak makan terlebih dahulu pada Aidiladha sehingga beliau solat terlebih dahulu.” (HR al-Tirmizi, hadis sahih)
9. MELAKUKAN IBADAH KORBAN BAGI YANG MAMPU
Daripada Aisyah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (haiwan korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (HR al-Tirmizi, hadis hasan)
10. MAKAN DAGING KORBAN DAN BERIKAN KEPADA ASNAF FAKIR MISKIN
Bagi mereka yang bukan melakukan ibadah korban nazar atau korban wajib, disunatkan untuk memakan sedikit daging korban sebagai sekadar mengambil berkat dan menyedekahkan bakinya kepada golongan fakir miskin. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.” (Surah al-Hajj: 28)
Menurut Imam Ibnu hajar: “Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari terawal Zulhijjah lebih utama dari hari yang lain kerana ia menghimpunkan semua amalan utama dalam Islam iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Terhimpunnya amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain.” (Fath al-Bari, sanad hasan)
Walau bagaimanapun, masih banyak lagi ibadah sunat lain yang boleh kita lakukan di bulan Zulhijjah ini, namun berikut adalah antara amalan yang boleh kita lakukan. Semoga segala pengorbanan yang kita lakukan diterima Allah SWT dan menjadikan kita lebih dekat kepada-Nya.
Wow, serba boleh Puteri Shazwani! Patutlah wanita ini pernah jadi viral di media sosial. Mana tidaknya, bukan saja cantik dan berpelajaran tetapi Puteri Shazwani Megat Ahmad Shariman juga mampu melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti kaum lelaki. Lain macam semangat anak kelahiran Kuala Lumpur ini.
Berjiwa besar dan berani mencuba perkara baharu, Puteri Shazwani atau selesa disapa Puteri merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Mesra menyambut panggilan Nona, Puteri terbuka berkongsi kisah kejayaan dengan harapan agar perkongsian ini dapat dijadikan inspirasi untuk wanita terus berdaya saing.
Anak kedua daripada lima beradik kepada pasangan Megat Ahmad Shariman Ahmad Damanuri dan Hasimah Abu Kassim ini dilahirkan di Kuala Lumpur tetapi dibesarkan di Ipoh, Perak. Puteri seorang wanita yang gemar melakukan aktiviti sukan lasak triathlon iaitu berenang, berlari dan berbasikal serta tenpin boling.
Mengulas kerjaya mencabarnya, Puteri mendedahkan dia tidak menyangka menjadi salah seorang pasukan keselamatan negara. “Saya tak pernah terdetik menyertai bidang ketenteraan sehinggalah saya dengar career talk tentang tugas Pegawai Tentera dan UPNM waktu belajar di MRSM Parit.
Bila saya dengar career talk tersebut, saya rasa bidang tentera ini beri peluang untuk saya capai macam-macam impian sebab saya seorang yang multi-passionate, sukakan cabaran dan suka cuba sesuatu yang baru untuk uji kemampuan diri.
Alhamdulillah ibu sokong saya untuk kejar impian dalam bidang tentera dan tak putus doakan agar saya cekal sepanjang berada dalam dunia ketenteraan ini. Malah, pesanannya, ‘Until you spread your wings, you will never know how much you can fly,’ akan saya pegang sampai bila-bila.”
Komited memartabatkan golongan wanita, Puteri mengakui mental dan fizikalnya teruji ketika menjalani latihan ketenteraan, Puteri bagaimana pun nekad mengharungi cabaran.
“Sebagai seorang yang baru saja berkhidmat dalam TLDM selama tiga tahun, masih banyak ilmu dan pengalaman yang perlu saya timba untuk jadi pegawai TLDM yang berkualiti. Saya percaya wanita memiliki kekuatan mental, ilmu pengetahuan dan kebijaksaan serta berupaya buktikan kami mampu berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki.
Kami juga dilatih bekerja bawah tekanan dan perlu mengawal emosi serta sikap profesionalisme. Malah, kami juga diajar bertanggungjawab terhadap kesilapan yang dilakukan.”
Ujarnya lagi, “Saya ditauliah dan dikurniakan pangkat Leftenan Muda TLDM pada 2019 dan jawatan pertama di bahagian Materiel, Markas Tentera Laut pada 2020. Kemudian, saya masuk bidang peluru dan bahan letupan.
Tahun lepas, saya dipilih menyertai Kursus Pegawai Kejuruteraan Peluru selama lapan bulan dan berjaya dikurniakan dua lencana kepakaran iaitu Ammunition Technician (AT) dan Explosive Ordnance Disposal (EOD) pada 20 Ogos 2021.
Tugas ini berdepan risiko dan isu keselamatan yang tinggi kerana saya perlu melakukan pemeriksaan fizikal peluru dan bahan letupan, ujibukti untuk tentukan kefungsiannya dan pemusnahan terhadap peluru dan bahan letupan yang sudah capai jangka hayat. Kini saya ialah Pegawai Laksana di Depot Peluru dan Bahan Letupan Wilayah Laut 1 (DPBLWL 1).”
Mencabar sungguh kerjaya wanita berusia 26 tahun ini. Bukan calang-calang wanita dapat sesuaikan diri dengan dunia ketenteraan.
“Zaman sekolah saya aktif masuk sukan, berpidato, forum, menyanyi, menari, teater dan banyak lagi. Ibu tak pernah halang saya aktif dalam pelbagai bidang dan hantar saya ke kelas renang untuk bantu saya atasi masalah takut air.
Sejujurnya saya juga ada perasaan takut macam orang lain tapi perasaan ingin tahu lebih tinggi daripada perasaan takut. Jadi saya elak rasa takut menguasai diri sebab saya akan rugi dan terlepas peluang untuk cuba benda baru,” dedah Puteri yang turut minat bermain gitar, keyboard, mencipta lagu, scuba diving, menyanyi dan membaca buku.
Meskipun berjiwa lasak dan suka menceburi bidang yang kebanyakannya dimonopoli lelaki, Puteri juga sebenarnya pernah dinobatkan sebagai ratu cantik. Pada tahun 2018, dia bergelar Naib Juara World Miss University Malaysia!
“Sejak di bangku sekolah, saya simpan niat untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Jika diberi peluang, saya ingin menyambung pengajian Master di luar negara dalam bidang Management and Leadership dan kembali berkhidmat dalam TLDM,” akhiri Puteri sambil berharap impiannya ini dimakbulkan satu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak-anak biasanya akan berbohong untuk menutup kesalahan, keluar dari sesuatu masalah, nak elak rasa malu atau melindungi orang lain. Kita sebagai ibu bapa mahupun penjaga tidak dapat melindungi mereka jika kita sendiri tak tahu apa sebenarnya yang terjadi sehingga mendorong mereka untuk bercakap bohong.
Anak-anak juga pasti tidak akan dapat belajar dari kesilapannya jika mereka tidak dapat mendapat bimbingan mahupun nasihat sewajarnya daripada orang dewasa. Berikut tip yang boleh dipraktikkan ketika berhadapan dengan situasi ini.
INGAT, JANGAN BERLETER
Apabila anda mendapati anak dah mula pandai berbohong, ingat, berleter tak akan membantu. Lebih-lebih lagi kalau cara anda memang begitu setiap kali memarahinya. Si anak mungkin dah tak mahu mendengarnya dan tetap tidak akan berubah. Maka, sebagai ibu bapa cara yang sebaiknya anda buat ialah dengan mengenal pasti apa yang anda lihat dan apa yang dibimbangkan.
JANGAN BERI ANCAMAN UNTUK MENGHUKUM
Kajian menunjukkan anak-anak yang diancam untuk dihukum kerana bercakap bohong lebih cenderung untuk melakukan perkara yang sama pada masa depan. Sebenarnya mereka sedang belajar adakah mereka boleh percaya atau tidak dengan ancaman itu.
BERI SEMANGAT DEMI KEBAIKAN
Kejujuran adalah sesuatu yang perlu dipupuk. Salah satu perkara penting yang boleh anda lakukan untuk mewujudkannya ialah memberi semangat kepadanya untuk menjadi seorang yang kuat dan berani untuk bercakap benar. Jangan diruntuhkan lagi semangat itu saat anak-anak melakukan kesalahan.
PESANAN YANG RINGKAS SAJA
Tetap memfokuskan dan memberi perhatian terhadap tingkah lakunya. Katakan kepada anak bahawa anda mahu mendengar apa yang terjadi sehingga mendorong dirinya sampai bercakap bohong. Jadilah seorang yang spesifik dan direct. Ingat, jangan berleter terlalu lama kerana cara ini sememangnya tidak berkesan.
LEBIH SPESIFIK
Ketika anda bercakap dengan anak, spesifikkan apa yang anda lihat dan apakah masalah utamanya. Bercakap dengan tenang dengan permasalahan yang sudah jelas bukan perkara-perkara yang tidak ada kaitan. Katakan padanya kesan-kesan yang akan berlaku terhadap perkara yang dilakukan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!