Klon DATUK LEE CHONG WEI di Madame Tussauds Hong Kong, Atlet Malaysia Pertama Ada Patung Lilin!

Walaupun sudah bersara dari dunia sukan badminton namun aura pemain badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei masih berbisa! Terbaru, tokoh olahragawan ini mencipta satu lagi pencapaian membanggakan dalam ensiklopedia kehidupannya sebagai atlet apabila ‘diri’ beliau bakal menjadi penghuni muzium lilin Madame Tussauds Hong Kong! Lebih mengharukan, Datuk Lee Chong Wei adalah satu-satunya atlet Malaysia dan yang pertama diberi penghargaan tersebut. Tahniah!

Klon Datuk Lee Chong Wei berkenaan bakal bertemu pengunjung di Madame Tussauds Hong Kong pada suku kedua tahun 2020 nanti. Dan apabila ia siap kelak, atlet kebanggaan Malaysia ini sebaris kejayaan personaliti ternama dunia lain yang turut menghuni muzium lilin tersebut.

Antaranya Presiden Indonesia, Joko Widodo; selebriti popular Hollywood, Dwayne Johnson atau The Rock; juara tinju Filipina, Manny Pacquiao dan Miss Universe 2015, Pia Wurtzbach.

Berkongsi momen bersama team Madame Tussauds di IG miliknya beberapa hari lalu, Datuk Lee Chong Wei menjelaskan sesi untuk menghasilkan patung lilin miripnya berlangsung selama kira-kira enam jam. Namun dek kerana teruja, beliau merasakan pengalaman tersebut berlalu dengan begitu pantas.

Malah Datuk Lee Chong Wei sempat berseloroh dan membayangkan dirinya ibarat Tony Stark yang memiliki sut rekaan khas Iron Man.

Ketika sesi memperincikan susuk tubuh jaguh badminton ini, pasukan Madame Tussauds turut mengenal pasti setiap inci Datuk Lee Chong Wei termasuklah mengukur saiz lengan, bahu, wajah, warna kulit, warna rambut dan juga warna mata yang menyerupai dirinya.

“Siapalah Lee Chong Wei tanpa sokongan anda semua. Patung lilin saya nanti menyarung jersi yang saya pakai ketika bertanding dalam Sukan Olimpik Rio 2016. Ia merupakan momen yang cukup bermakna buat saya selepas meraih pingat perak terakhir dan saya gembira ia dipamerkan di Madame Tussauds Hong Kong,” kongsinya.

Datuk Lee Chong Wei mewarnai bidang sukan badminton Malaysia sejak tahun 2000 dan sepanjang hampir dua dekad beraksi di pentas antarabangsa, beliau telah memenangi pelbagai kejuaraan dunia sekaligus dinobatkan pemain badminton paling berjaya di Malaysia!

 

Kredit foto: Instagram Lee Chong Wei Official

IKLAN
Share