Proses penuaan berlaku secara menyeluruh bukan hanya pada kulit bahkan juga kuku. Antara tanda penuaan kulit ialah kedutan sementara kuku akan terlihat kusam dan menipis.
Pertumbuhannya juga perlahan dan permukaan tidak sekata. Contoh, kuku di ibu jari akan lebih cenderung menebal. Berikut beberapa petua yang boleh anda amalkan bagi melambatkan proses penuaan pada kuku.
AIR PUTIH
Banyakkan meminum air putih kerana ia salah satu cara mudah bagi mencantikkan dan menguatkan kuku dari dalam. Petua ini juga membantu agar kuku tidak kering dan rapuh.
SUSU
Susu dan makanan yang mengandungi kalsium membantu menguatkan kuku. Contohnya keju, ikan pari, ikan sardin, kekacang, bijian, brokoli, kangkung, bayam, epal merah, strawberi, betik, nanas, mangga dan anggur.
Ads
DAUN LIDAH BUAYA
Membantu merawat kuku. Caranya, bersihkan daun lidah buaya dan sapu secara merata pada kuku. Amalkan rawatan ini secara rutin dan hasilnya anda akan lihat kuku lebih cantik dan jernih.
LIMAU NIPIS
Sediakan sesudu jus lemon dan campurkan dengan ubat gigi. Gaul rata kemudian sapu pada kuku, tunggu sampai kering. Setelah itu basuh kuku dengan air suam. Amalkan seminggu sekali secara konsisten. Warna kuku akan kembali normal.
Ads
BAWANG PUTIH
Parut bawang putih hingga halus, kemudian sapu pada kuku. Tunggu beberapa minit, kemudian bersihkan kuku. Boleh juga terus gosok bawang putih tanpa diparut pada kuku. Amalkan secara rutin, kuku akan semakin kuat dan tidak rapuh.
Ads
CAMPURAN MADU, TELUR & MINYAK ZAITUN
Bagi melembabkan dan melembutkan kuku. Campur dua sudu makan madu bersama minyak zaitun. Panaskan dan gaul rata. Sementara itu, pukul telur sampai sebati. Campur adunan madu dan minyak zaitun tadi bersama telur kemudian sapu pada kuku. Tunggu sehingga 10-15 minit kemudian bersihkan kuku.
GETAH BETIK
Sangat bermanfaat untuk membersihkan bahagian luar kuku agar tidak mudah pecah dan menggelupas.
BELIMBING BULUH
Membantu membersihkan kotoran di bahagian luar dan sela-sela kuku. Caranya, gosok potongan belimbing buluh pada kuku kemudian bilas dengan air bersih. Mudah bukan?
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rutin yang berjela-jela bagai tiada kesudahan. Bergelut pula dengan pelbagai stres, badan lesu dan pencemaran. Aduh, mungkin sudah tiba masanya untuk memujuk diri…
Beginilah takdir wanita berkerjaya. Saya sendiri kalau pulang kerja, badan sudah lembik tak bermaya. Usahkan tubuh, nak pakai krim malam pun antara ingat dan lupa. Mungkin itu sebabnya mekap seinci pun tak berseri. Wajah kusam, pasti gara-gara kulit mati bertimbun di pipi.
Pelawaan untuk mencuba rawatan terbaru di AsterSpring ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Temu janji pada petang yang dijanjikan berlangsung di pusat kecantikan AsterSpring The Starling, Damansara dalam suasana serba menenangkan.
Tiba dengan wajah polos, kunjungan saya disambut skincare therapist berseragam putih, Claire. Orangnya amat lembut dan sentiasa tersenyum. Sambil bertanya rutin serta latar belakang saya, dia menganalisis kondisi kulit ini dengan cermat.
‘Kulit terlalu kering. You selalu bekerja dalam aircond dan kurang minum air?’
Saya mengangguk. ‘Yes, all the time.’
Claire mencatat sesuatu. Tertera perkataan dehydrated, large pores dan fine lines di sana. Kulit saya pula jenis kombinasi, boleh berminyak dan kering dalam satu masa.
Seperti memahami bagaimana ‘terdesaknya’ wajah saya, dia memperkenalkan rawatan facial terbaharu iaitu Intense Hydra-Light Therapy yang sangat diperlukan waktu ini.
Kata Claire, Intense Hydra-Light Therapy merupakan perawatan Dermalogica yang berprestasi tinggi. Ia menggunakan sejumlah poten IonActive Hyaluronic Acid, pati pekat Gelloids dan bt-accent LED Light untuk hasil maksimum, sesuai jenis kulit masing-masing. Terapi cahaya ini juga dikatakan mampu merawat masalah kulit dengan amat berkesan.
Sebenarnya fikirkan saya dah terbayang momen istirahat yang ditunggu-tunggu. Membelai wajah dan kembali cantik seperti dulu. Akhirnya selepas menukar persalinan dan menyimpan barangan peribadi di dalam lokar, saya dibawa ke kamar rawatan.
Lampu siling diredupkan dan bisikan muzik pun bergetar di hujung telinga. Dengan nada lembut, Claire pun memulakan sentuhan ajaibnya.
Rawatan Terbaik
Terapi dimulakan dengan langkah asas membersih, menyental dan membuang bintik-bintik hitam pada kulit. Beberapa kali juga Claire mengulangi proses membersih. Katanya kulit yang betul-betul bersih saja dapat menyerap segala manfaat produk dan rawatan yang bakal dibuat.
Namun dalam tempoh itu, tidak terasa sedikit pun waktu berjalan. Bagi saya, setiap langkah dibuat dengan kemas dan profesional. Teratur sekali.
Seterusnya Dermalogica IonActive Hyaluronic Acid pun diaplikasi dengan mesin LDM, sambil jari-jemari Claire mengurut tengkuk dan bahu yang tegang. Sesi urutan ini merupakan salah satu keistimewaan di AsterSpring kerana setiap urutan adalah berbeza dan dilakukan dengan teknik tertentu.
Kemudian Claire menyapu Dermalogica IonActive Thermal atau masker Cooling Gelloid sebelum terapi cahaya bermula. Menggunakan mesin bt-accent LED Light, mata saya ditutup dan wajah didedahkan di bawah warna cahaya ungu selama 15 minit.
Terdapat 3 warna cahaya LED yang menyalurkan fungsi berbeza untuk merawat masalah kulit yang berbeza. Terapi cahaya LED ini telah diasaskan oleh NASA untuk mempercepatkan proses pemulihan luka dalam situasi sifar graviti.
Teknologi bt-accent LED Light yang digunakan dalam AsterSpring Intense Hydra-Light Therapy ini turut menggabungkan gelombang cahaya warna yang berbeza untuk meresap ke dalam lapisan kulit, menjana pertumbuhan sel kulit baru dan memberikan kompleksi yang saya idam-idamkan. Oh, tak sabar pula menantikan hasilnya!
Dalam tempoh 90 minit, sesi facial saya pun selesai selepas beauty therapist memberikan sentuhan akhirnya – mengoles toner, pelembap dan krim tabir suria pada kulit baru saya.
Bisikan Claire mengejutkan lena. Saya terjaga dengan kulit wajah yang betul-betul segar dan ringan. Tertawa sekejap pabila melihat refleksi muka di depan cermin. Bukan omong kosong, memang cerah sedikit rasanya. Paling penting, tekstur kulit bertambah halus, anjal dan sekata. Tengoklah perbezaan ni!
Sebelum pulang, Claire menghidangkan secangkir air dan biskut. Ada hadiah kecil di atas meja, kit sampel Dermalogica yang sesuai dengan jenis kulit saya. Pesan Claire, saya mesti kawal stres. Banyakkan minum air dan rajin sapu krim pelembap selalu.
Jam sudah menghampiri angka 5. Saya bergegas pulang dengan senyuman yang lebih yakin. Diam diam hati bertekad mahu lebih kerap beri perhatian pada kulit dan menjaganya sebelum terlewat. Mungkin mahu kembali lagi ke AsterSpring, tak puas pula kalau buat sekali dan harapkan magis kekal selamanya.
Jujur. Saya jatuh cinta dengan pusat kecantikan ini. Pada usia menginjak 30-an, saya fikir di sinilah satu-satunya tempat yang paling dipercayai untuk mengekalkan keremajaan.
Ini memang tempat terbaik untuk reward diri sendiri.
Yang pasti bukan saya seorang yang mesti ke AsterSpring, anda pun berhak memanjakan kulit wajah sebaik ini. Dan bukankah kita hanya diberi satu peluang untuk hidup bahagia, jadi mengapa sia-siakan anugerah kecantikan dari-Nya?
Fungsi Cahaya
Cahaya yang dipancar oleh bt-accent LED Light pada permukaan kulit akan menembusi lapisan kutikel, seterusnya ke dalam epidermis, dermis dan hipodermis. Warna yang berbeza pula memberikan hasil yang berbeza seperti di bawah.
(a) Cahaya Biru
Untuk kulit berminyak dan akne.
Mengurangkan jerawat akibat bakteria.
Meminimumkan kemerahan dan inflamasi.
Menggunakan EndoThermal Gelloid (Cooling) dengan perlindungan antioksidan bagi merawat akne dan mengawal pengeluaran minyak.
(b) Cahaya Ungu
Untuk kulit sensitif.
Membantu mempercepatkan proses penyembuhan dan merangsang pertumbuhan selular.
Menenangkan kulit sensitif, mengurangkan kemerahan dan iritasi kulit.
Menggunakan EndoThermal Gelloid (Cooling) untuk sensasi dingin.
(c) Cahaya Merah
Untuk masalah penuaan dan kulit kering.
Meningkatkan stimulasi, produksi kolagen dan pertumbuhan sel kulit baru.
Melancarkan peredaran darah dan oksigen bagi mengurangkan garis halus, kedutan serta kesan kerosakan matahari.
Menggunakan ExoThermal Gelloid (Warming) dengan faedah termal dan formula hangat sendiri untuk membantu mengaktifkan penetrasi cahaya.
**Semua catatan dan foto-foto rawatan adalah diambil berdasarkan pengalaman Penulis Nona sendiri. Tidak menggunakan beauty filter. Norzalina Mohd Alias.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jerawat umpama ‘musuh tradisi’ terutama bagi wanita. Kemunculan jerawat sering membuatkan seseorang itu kurang keyakinan diri. Parut jerawat pula boleh meninggalkan kesan hitam dan tekstur kasar pada kulit.
Selebriti Hollywood tidak terkecuali. Mereka juga mengalami masalah jerawat. Biarpun tidak boleh hilang begitu sahaja, cara selebriti-selebriti ini boleh dijadikan panduan.
KENDALL JENNER
Kendall Jenner sendiri mempunyai cara untuk menangani masalah jerawat dan mengekalkan kesihatan kulit wajahnya setiap hari. Kaedahnya sangat mudah dan semula jadi.
Kendall kerap melakukan senaman ringan, makan makanan yang sihat, mengelakkan gula-gula, dan minum banyak air. Bagi Kendall, untuk mendapatkan wajah yang sihat dan cerah adalah dengan minum banyak air.
VICTORIA BECHKAM
Victoria Beckham percaya, untuk memiliki kulit yang cantik adalah menyuburkannya dari dalam. Selebriti dan model terkenal ini mengamalkan makan salmon setiap hari. Hasilnya, kulit tidak mengalami masalah jerawat yang serius.
Victoria memulakan tabiat sihat ini selepas berjumpa dengan pakar dermatologi, Dr Harold Lancer yang turut menguruskan keluarga Kardashian. Salmon kaya dengan asid lemak omega-3, yang dapat membantu menyuburkan kulit, membersihkan pori-pori dan mengurangkan keradangan.
MILEY CYRUS
Penyanyi ‘Wrecking Ball’ ini memilih makanan organik untuk kesihatan dan kebersihan wajahnya.
Bukan itu sahaja, Miley juga mengambil ubat daripada doktor bagi menghilangkan jerawat di mukanya.
NATALIE PORTMAN
Sejak menjadi vegan, Natalie mengakui kulit wajahnya tidak pernah berjerawat. Jika anda ingin mencubanya, lakukan perlahan-lahan.
Bila sudah terbiasa, anda boleh ke peringkat seterusnya iaitu menjadi vegetarian. Kemudian menjadi vegan seperti Natalie Portman.
Kredit Foto: Instagram Ru
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Leka menatap video terbaharu Deanna Yusoff di media sosial, bukan fokus pada ayat-ayatnya tapi terpegun tengok kulit wanita berusia 56 tahun ni. Macam tak percaya tanpa mekap pun, raut wajah Deanna tetap cantik seperti masih 30-an.
Seorang pencinta alam sekitar dan pengamal ‘clean eating’, Deanna Yusoff sememangnya terkenal dengan amalan sihat tak kira daripada aspek diet mahupun penjagaan diri.
Paling suka bila tengok aktres popular ni mengenakan persalinan kebaya sempena meraikan 1 Ramadan lepas. Cantik jelita macam tak dimakan usia!
“Saya doakan semua orang mendapat keberkatan puasa. Ramadan Mubarak!” Deanna Yusoff
SEMULA JADI
Bagi yang mengikuti perjalanan hidup Deanna, beliau sering berkongsi ilmu pengetahuannya tentang minyak pati antaranya buah merah, buah keras, prickly pear seed oil, watermelon seed oil serta sebagainya yang berfungsi sebagai carrier oils.
“Stres dan kurang tidur adalah punca kulit nampak letih serta kusam. Jadi ambil masa untuk berehat atau ‘me time’ untuk kurangkan stres tu sekaligus buat muka nampak lebih berseri.” Deanna Yusoff
Mengintai khabar terkini Deanna di Singapura, wanita yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-10 itu kini masih aktif dengan kegiatan seninya di sana.
Sebagai aktres, penyanyi, model dan emcee yang masih aktif, Deanna tetap menitikberatkan aspek penjagaan kecantikan bersandarkan alam semula jadi.
Antaranya dengan mengurangkan penggunaan produk berasaskan bahan kimia yang mengancam tubuh badan.
Pada usia 50-an, Deanna dilihat sebagai seorang yang mengamalkan diet sihat. Antaranya menikmati buah ara, matcha, avokado, biji chia dan smoothie pisang untuk menu sarapan berkhasiat dan tinggi antioksidan.
Gaya hidup sihat yang diamalkan oleh Deanna termasuklah berjalan dan menikmati keindahan alam bagi kesihatannya.
“Saya perlu reset. Saya mula beralih kepada aktiviti yang lebih senyap dan mendekatkan diri dengan orang-orang yang ‘sekepala’ agar rasa lebih seimbang dan tenang.
Saya rasa lebih bertenaga apabila menari, mendengar muzik, bermeditasi dan mewarna. Saya pilih untuk lebih fokus pada diri sendiri dan saya mahu anda semua juga begitu.” Deanna Yusoff
Deanna memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Perdagangan dari sebuah universiti luar negara. Beliau berdarah kacukan Melayu-Inggeris dan mula mencapai kejayaan dalam bidang lakonan menerusi watak Mastura lakonannya dalam filem Selubung diikuti watak sebagai Farah Hanum dalam filem Abang 92.
Popularti beliau dalam bidang lakonan mula melonjak naik menerusi drama Idaman yang mencipta sejarah sebagai Drama Melayu Paling Panjang oleh The Malaysia Book of Records.
Deanna juga pernah berlakon bersama Jodie Foster dan Chow Yun-Fat dalam filem epik Amerika, Anna and the King arahan Andy Tennant, yang mana beliau memegang watak sebagai Ratu Thiang.
***************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
***************
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!