Perlantikan sebagai Profesor Perubatan Diabetes dan Metabolik di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Nottingham, United Kingdom bukan sahaja kemuncak kejayaan peribadi Prof Dr Iskandar Idris malah melakar sejarah buat Malaysia.
Prof Dr Iskandar Idris.
Ini membuktikan anak Malaysia mampu bersaing di universiti bertaraf antarabangsa dan menjadi pendorong serta sumber inspirasi kepada rakyat negara ini khususnya golongan muda.
Tidak menyangka akan dipilih menyandang jawatan tersebut pada Januari 2022, Dr Iskandar, 52, menyifatkan pencapaian itu berkat usaha dan penat lelahnya selama ini sekali gus menjadi pengiktirafan tertinggi buat dirinya di persada antarabangsa.
Universiti Nottingham tersenarai dalam Kumpulan Russell yang terdiri daripada 24 universiti penyelidikan awam berprestij di United Kingdom dan ditubuhkan pada tahun 1798, kemudian menjadi kolej Universiti pada tahun 1881.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati memandangkan Universiti Nottingham sangat kompetitif. Bukan satu laluan mudah untuk seseorang itu dilantik menyandang jawatan ini. Saya juga turut menjalankan penyelidikan dalam rawatan baharu untuk penghidap diabetes,” katanya.
Menurut Dr Iskandar, beliau meluangkan 50 peratus daripada masanya untuk memberi perhatian kepada kajian dan penyelidikan manakala sebahagian lagi dihabiskan dengan melakukan rutin klinikal.
Selain persaingan sengit, beliau turut diuji dengan pelbagai cabaran dalam proses menjalankan penyelidikan serta kajian di perantauan.
Menurut anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini, kekangan kewangan, masalah mendapatkan dana, beban tugas selain pada masa sama terikat dengan tanggungjawab pekerjaan hakiki antara isu yang harus ditangani secara bijak.
Ditanya mengenai pemilihan bidang diabetes untuk diterokai berbanding bidang lain, Dr Iskandar menjelaskan penyakit itu dilihat semakin meningkat dan mengancam masyarakat di negara ini.
“Faktor kedua ialah pengkhususan dalam diabetes turut membabitkan endokrinologi iaitu kajian tentang kelenjar endokrin dan rembesan hormon, jadi bidang ini turut membabitkan banyak penyakit lain.
Ads
“Misalnya diabetes turut mencakupi aspek kesihatan mata, buah pinggang, jantung, kaki selain melibatkan pelbagai golongan pesakit kanak-kanak, wanita hamil selain kami turut melakukan praktis perubatan am,” jelasnya.
GIAT JALAN PENYELIDIKAN Mendapat sokongan padu daripada bapanya, bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Idris Abdul Rauf, beliau menyatakan isterinya, Hayley Hobbs Iskandar serta tiga anak mereka Zakary (17), Luq (14) dan Erica (12) turut menjadi tulang belakang utama.
“Bapa saya insan paling banyak memberi dorongan dan inspirasi untuk saya terus berjaya dalam bidang yang diceburi. Beliau amat menyokong anak-anaknya untuk terus belajar dan mendalami ilmu.
Dr Iskandar bersama isteri dan anak-anak.
“Isteri sangat memahami minat dan kerjaya saya memandangkan beliau juga dalam dunia perubatan,” katanya.
Isteri Dr Iskandar merupakan tenaga pengajar di Universiti Nottingham dan jururawat di Jabatan Kardiologi.
Berkongsi perjalanan kehidupannya, Dr Iskandar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Petaling Jaya, sebelum bersekolah menengah di Victoria Institution, Kuala Lumpur.
“Pada tahun 1988, saya melanjutkan pengajian di Universiti Nottingham dalam jurusan perubatan. Pada tahun 1994 saya menamatkan pengajian dan bergelar doktor.
Ads
“Selain itu saya turut menjalankan penyelidikan Eksperimen Farmakologi Kebolehtelapan Endothelial dan Rintangan Insulin ketika berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Nottingham, United Kingdom dari tahun 2000 hingga 2002,” katanya.
Dr Iskandar menjalani latihan perubatan am di Birmingham dan menamatkan latihan kepakaran dalam bidang Diabetes, Endokrinologi dan Perubatan Am pada tahun 2004.
Beliau juga Pakar Perunding Kehormat di Hospital Pengajar Derby, pakar perubatan utama Institut Bariatrik dan Metabolik East Midlands, England di Hospital Pengajar Derby selain menganggotai Persatuan Pakar Perubatan Pengkhususan dalam Obesiti UK (APSO-UK).
Kini, beliau giat meneruskan penyelidikan dalam bidang terapeutik dan pemakanan dalam aspek obesiti, metabolisme otot dan komplikasi vaskular diabetes.
Ads
Dr Iskandar turut berperanan sebagai Pengetua Penyiasat Majlis Penyelidikan Perubatan (MRC) Pusat Penyelidikan Arthritis United Kingdom untuk Kumpulan Penyelidikan Penuaan Muskuloskeletal dan Perubatan Vaskular.
Di samping hasil kajian dan penyelidikannya diterbitkan secara meluas dalam bidang diabetes, obesiti dan farmakologi, beliau turut aktif menyampaikan syarahan dalam aspek klinikal dan penyelidikan di dalam dan luar negara.
Menyentuh mengenai diabetes di Malaysia, Dr Iskandar berpendapat rakyat negara ini memiliki tahap kesedaran yang tinggi terhadap penyakit tidak berjangkit itu.
Namun katanya, kekangan kos perubatan yang tinggi terutama bagi membiayai kos rawatan baharu memberikan sedikit kesulitan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan terbaik.
“Diabetes berlaku di mana-mana sahaja sama ada di England atau Malaysia, sehingga memaksa (sektor) penjagaan kesihatan bekerja keras dalam merawat pesakit diabetes terutama yang berisiko tinggi,” jelasnya.
Dr Iskandar menambah, faktor genetik termasuk trend tertentu melibatkan etnik berbeza seperti Melayu, Cina serta India, diet harian, gaya hidup dan kurang bersenam adalah antara penyebab kepada diabetes.
“Masyarakat perlu melakukan langkah pencegahan dengan menjalani gaya hidup sihat selain mengawal pengambilan makanan yang mengandungi lemak dan karbohidrat mengikut keperluan tubuh.
“Paling penting, pesakit melakukan rutin pemeriksaan seperti mata, buah pinggang dan jantung sebagai langkah berjaga-jaga dalam berdepan risiko komplikasi penyakit yang berkait rapat dengan diabetes,” katanya.
Sumber: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Baru- baru ini, heboh di alam maya memperkatakan tentang kewujudan telekung yang mana harganya mencecah ribuan ribu ringgit. Telekung yang dipakai semasa sujud pada Allah SWT itu sememangnya perlu berada dalam keadaan bersih tatkala digunakan semasa berdepan dengan Tuhan. Soal harga mahal ataupun murah sebenarnya terlalu subjektif untuk diperkatakan.
Baru-baru ini, pengusaha BAWAL EXCLUSIVE, Haliza Maysuri melebarkan sayap perniagaannya dengan pembukaan butik Telekung Haliza Maysuri yang terletak di Bandar Bukit Puchong, Selangor.
Menjengah laman Instagram miliknya, dalam tempoh 5 jam pembukaan rasmi butik berkenaan, jualan berjumlah ratusan ribu ringgit berjaya diperolehi hasil pembelian telekung oleh para pelanggan yang hadir pada hari pembukaan rasmi butik tersebut!
“Rezeki yang tidak disangka-sangka. Ini adalah penangan viral tempoh hari. Bila kita positif dan sentiasa melihat dari sudut yang berbeza, pasti kita akan terus pandang ke hadapan. Kesannya, bukan sahaja pelanggan dari Malaysia yang mengunjungi ke butik pada awal pembukaan malah pelanggan dari Brunei dan Singapura juga turut menghadirkan diri,” ujar Haliza Maysuri yang ditemui secara eksklusif oleh Majalah NONA baru-baru ini.
Rupanya, perniagaan menjual telekung bukanlah sesuatu yang baharu buat dirinya.
“Sebenarnya saya mula berniaga telekung sejak 20 tahun yang lalu. Pada ketika itu, telekung yang saya keluarkan sudah mempunyai pelanggan VVIP yang terdiri daripada kerabat, kenamaan dan usahawan. Bermula tahun 2014, saya mula fokus menjual tudung Bawal Exclusive kerana pada tahun tersebut ia mula mempunyai cawangan di seluruh Malaysia,” ujarnya memulakan bicara.
Menurutnya lagi, kejadian banjir di Kelantan ketika itu menjadi titik tolak mengapa dia memperlahankan seketika perniagaan berasaskan telekung.
“Kebetulan pada masa itu Kelantan dilanda banjir. Seluruh stok telekung di butik saya sedekahkan kepada mangsa banjir. Semasa itu saya pejam mata dan sedekahkan telekung tersebut tanpa mengira harga di mana ada di antaranya berharga ratusan ke ribuan ringgit.
Walaupun memberi tumpuan terhadap jualan tudung Bawal Exclusive, saya tetap mengeluarkan telekung untuk saya jadikan hadiah dan hamper untuk saya hadiahkan kepada rakan-rakan sempena bulan Ramadan dan sebagai hadiah hari lahir buat pelanggan-pelanggan tetap.”
Menurut Haliza lagi, penangan Covid juga menjadi salah satu asbab mengapa perusahaan telekung kembali dihidupkan tatkala melihat stok telekung yang banyak untuk persiapan bulan Ramadan untuk dijadikan hamper terpaksa dihentikan seketika.
“Saya mendapat idea untuk memuat naik gambar-gambar telekung di Instagram saya. Saya cuba memaparkan gambar-gambar telekung yang ada IG Story saya dan mendapat sambutan yang diluar jangkaan. Ini kerana pada ketika itu personal IG saya tidak aktif.
Walaupun harga mencecah ribuan ringgit iaitu RM1200 yang paling murah kerana telekung tersebut saya hasilkan untuk dijadikan hadiah, tetap laku sehingga habis licin. Hasil dari muat naik gambar tersebut, saya dapat membayar gaji pekerja yang bernilai ratusan ribu ringgit sebulan,” ujarnya yang memanfaatkan stok yang ada untuk memastikan kebajikan kakitangannya terpelihara.
Selepas dari jualan itu, saya terfikir sepasang telekung yang mahal pun boleh terjual hanya berniaga semata-mata di alam maya, apakan lagi jika ada butik khas untuk telekung
Dari situ tercetuslah idea untuk membuka butik.
Walaupun menerima kecaman demi kecaman dek kerana menjual telekung pada harga ‘kayangan’, namun bagi wanita bergelar usahawan ini dia tidak melihat kecaman sebagai sesuatu yang melemahkan dirinya dan memandang ia dari sudut positif.
Telekung Haliza Maysuri mempunyai lebih kurang 40 rekaan dan corak dan harga sepasang telekung bermula dari serendah RM280 sehingga mencecah puluhan ribu ringgit sepasang. Lebih membanggakan, Telekung Haliza Maysuri telah mendapat trademark yang telah diperakui dari MyIPO.
Ketika ditanya mengenai keistimewaan telekung keluarannya, Haliza berkata ia hanya menggunakan material yang berkualiti tinggi serta bertatahkan kristal Swarovski. Selain itu, ia diperinci dengan keindahan sulaman/lace telekung yang berkualiti tinggi.
Walaupun baharu sahaja dibuka awal tahun ini, Telekung Haliza Maysuri mempunyai perancangan terperinci untuk mengukuhkan lagi jenamanya di pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Saya mengimpikan untuk mempunyai gedung sendiri di mana di dalam gedung tersebut saya akan menjual bukan sahaja telekung malah pakaian umrah dan haji. Selain itu, InsyaAllah tudung Bawal Exclusive bakal menembusi pasaran United Kingdom tidak lama lagi.
Bagi telekung jenama Haliza Maysuri pula, saya merancang untuk meluaskan pasaran ke luar negara sebaik sahaja saya berjaya memiliki gedung sendiri. Perancangannya mungkin ke Brunei dan Singapura kerana ramai pelanggan setia berasal dari sana,” ujarnya menutup bicara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perjalanan hidup setiap orang berbeza-beza. Ada yang mudah, serba serbi lancar tanpa banyak halangan. Namun, ada pula sebaliknya sehingga terpaksa menempuh bermacam dugaan yang adakalanya boleh mengakibatkan ‘jatuh terduduk’. Natijahnya, mudah ataupun sukar kedua-duanya adalah ujian kerana setiap yang berlaku menjadi asbab dan penentu masa depan.
Finalis Pencarian Nona Superwoman, Nur Aida Nazili Norazlan berkongsi jatuh bangun dalam bisnes yang menjadi sumber pendapatan utamanya. Mesra disapa sebagai Ayda, wanita berumur 30 tahun yang berasal dari Kelantan ini merupakan ibu anak 3.
Finalis Pencarian Nona Superwoman, Nur Aida Nazili Norazlan yang berasal dari Kelantan.
Ayda kini mempunyai dua rangkaian bisnes iaitu Beautsahara (inai) dan Nutellabanana (makanan). Ayda cukup bertuah kerana turut dibantu oleh suami, Lut Bosni yang sanggup berhenti kerja kerana mahu bersama-sama menguruskan bisnes.
“Sebelum berbisnes saya pernah bekerja. Kemudian saya ambil keputusan untuk berhenti kerana nak beri tumpuan kepada keluarga. Tiba masanya untuk saya buat keputusan sendiri dan ‘bebas’ daripada tekanan kerja bawah orang. Bila menjadi surirumah sepenuh masa fokus saya hanyalah keluarga. Waktu itu suami seorang saja yang bekerja.
Tetapi lama kelamaan saya mula terfikir untuk bantu suami tambah pendapatan keluarga. Tambahan pula saya jenis yang tak boleh duduk diam. Saya mulakan langkah buat bisnes online dari rumah dengan menjadi stokis produk inai.
Suami, Lut Bosni sebagai ‘tulang belakang’ utama di sebalik jatuh bangun Ayda dalam bisnes.Ayda seorang yang sangat menitikberatkan soal kecantikan.
Saya juga buat bisnes makanan. Buka gerai tepi jalan jual nasi lemak. Dari segi keuntungan tak seberapa. Sebulan berniaga tak laku lantas saya buat keputusan tutup gerai. Kemudian saya cuba jual sushi pun tak laku juga. Akhirnya saya kembali meniaga inai. Saya buat full time bersama suami bila dia ambil keputusan berhenti kerja untuk bantu saya.
Alhamdulillah dalam masa 3 bulan bisnes inai menjadi dan telah pun mempunyai 32 agen seluruh Malaysia. Permintaan juga tinggi bukan hanya untuk majlis perkahwinan malah sebagai salah satu perhiasan bagi wanita (aksesori). Inai Sahara ini adalah instant maka mudah digunakan serta boleh dibawa solat.
DETIK STRUGGLE
Pengalaman paling tak dapat saya lupakan ketika buat bisnes sushi. Dengan modal yang ada saya laburkan semua untuk bisnes tersebut tapi tak laku. Berniaga dari pagi sampai malam untung RM15-RM20 saja. Memang tak balik modal dan tiada langsung simpanan.
Pernah satu hari terjadinya hujan lebat. Khemah tempat kami berniaga tu koyak disebabkan angin ribut yang kuat. Kami terpaksa bertahan walaupun barang-barang jualan basah dan rosak. Walau jualan tak laku, selama 2 minggu jugalah kami bertahan. Dengan saya lagi yang sedang sarat mengandung 7 bulan, Allah saja yang tahu betapa peritnya ujian kami ketika itu.
Ayda merupakan seorang wanita yang berjiwa kental.
Kami tak mampu bayar sewa rumah dan terpaksa merayu pinjam duit Mama nak langsaikan hutang. Setelah berfikir mencari jalan penyelesaian akhirnya saya dan suami sepakat untuk kembali buat bisnes inai secara online. Alhamdulillah Allah mudahkan jalan dan bertahan sehingga kini. Kehidupan kembali tenang dan kami bahagia dengan apa yang ada. Rezeki Allah sentiasa cukup buat kami sekeluarga.
PENDORONG
Semestinya suami dan Mama. Suami adalah mastermind dalam bisnes yang kami lakukan. Suami jugalah yang akan menjaga anak-anak jika saya sibuk dengan urusan bisnes. Suami tulang belakang saya, tanpa beliau saya tak akan mampu lakukan semua.
Pasangan bahagia. Saat suka dan duka ditempuhi bersama.
Manakala Mama, Shalieza Shafii, sejak kecil sampailah sekarang tak pernah lupa memberikan saya kata-kata semangat. Mama adalah satu-satunya wanita inspirasi saya. Sentiasa ada di belakang saya untuk support apa yang saya suka. Kalau tak boleh pun Mama tetap akan cakap saya boleh buat. Itulah istimewanya Mama, tak pernah memandang rendah kemampuan anaknya.
Bersama ibu, Shalieza Shafii. Awet muda sungguh ibunya, macam adik beradik!Ayda ibu anak 3.
IMPIAN
Saya akan terus berkongsi rezeki dengan orang lain dan kembangkan bisnes inai serta makanan ke tahap yang lebih tinggi. Sebab itulah saya sertai Pencarian Nona Superwoman untuk bina keyakinan diri dalam bisnes. Satu lagi impian saya untuk memiliki pusat consultancy grooming suatu hari nanti untuk berkongsi ilmu serta motivasi tentang kecantikan seperti solekan dan imej. Doakan saya.”
Semoga Ayda terus sukses membina empayar perniagaanya serta tercapai segala impian yang diharapkan, Insha-Allah.
Foto kenangan bersama pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim.
Rancangan Pencarian Nona Superwoman 2021 di ASTRO PRIMA bermula 22 September setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona, diperkasakan oleh Usanita.
Kredit Foto: Instagram @aydaazlan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sering tampil dengan cara tersendiri menerusi koleksi video kreatif seperti tutorial dan reviu produk berjenama tempatan serta antarabangsa, Nisha Ezzati antara instafamous yang hadir dengan pakej lengkap. Bukan sekadar cantik dan bijak, Nisha juga seorang gadis yang pandai berdikari.
Dalam usia 24 tahun, selain bergelar tutor akademik Nisha juga aktif sebagai seorang beauty vlogger dan YouTube sejak tahun 2009. Nisha sinonim dengan gelaran NishxNish dan #Samprit sehingga mencetuskan fenomenanya yang tersendiri. Lebih membanggakan lagi, selain bergelar hos dan content creator Nisha turut memiliki program bual bicaranya sendiri bertajuk Lipstik Maskara di saluran YouTube.
Nisha bukanlah gadis biasa yang sentiasa leka dengan keseronokan. Dia punya matlamat hidup yang jelas sebagai seorang generasi muda yang berwawasan. Gemar berkongsi tentang isu-isu semasa menjadikan Nisha seorang yang berfikiran matang.
PEKA ISU SEMASA
Ketika diajukan soalan tentang isu-isu wanita yang mudah menyentuh tangkai hatinya, ini jawapan jujur Nisha. “Tak dinafikan sekarang ini banyak kes yang melibatkan hal-hal rumah tangga. Antara isu-isu wanita yang mudah menyentuh hati saya ialah kes penceraian dan penderaan terhadap isteri.
Secara tak langsung ia boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan. Kadar golongan ibu tunggal akibat penceraian juga meningkat. Pastinya golongan ini mempunyai masalah dari sudut kewangan serta tiada sumber pendapatan tetap.
Melihat kepada situasi inilah telah menyedarkan saya untuk menjadi seorang wanita yang berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Bagi saya seorang wanita itu perlu ada simpanan sebagai persediaan untuk masa depannya. Alhamdulillah berkat berdikari selama ini saya dapat membayar sendiri kos pengajian termasuk ansuran bulanan kereta. Buat masa ini saya sedang mengumpul wang untuk membeli rumah pula.
Walaupun tinggal bersama keluarga saya tidak pernah lupa untuk membeli barang-barang keperluan rumah dan sebagainya di samping meringankan beban ibu bapa. Sebagai anak saya bersyukur kerana dapat membantu mereka sejak muda dengan hasil titik peluh sendiri,” bicara Nisha.
INSPIRASI
Idola sebenar saya ialah ibu dan nenek. Apa yang membuatkan saya sangat menginspirasikan mereka ialah kejayaan yang diraih dengan cara tersendiri. Walau pun kini berusia 50-an namun ibu masih mementingkan penampilan.
Ibu masih mengamalkan petua jamu yang diwarisi keluarga sejak turun temurun. Selain itu, ibulah yang menjadi tulang belakang buat saya. Untuk perkembangan kerjaya yang lebih baik saya ingin mencabar diri dalam bidang pengacaraan agar lebih mantap,” akhiri Nisha.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
AirAsia berhijab membuka lembaran baharu buat wanita Muslim dalam industri penerbangan dengan membenarkan kru kabin memakai hijab secara rasmi. Perubahan ini meraikan kepelbagaian dan memberi ruang kepada wanita hadir sebagai diri sendiri tanpa mengorbankan prinsip.