Kesempatan menemu bual Pengarah Urusan Swarovski (Asia Tenggara & India), Lars Schmidt, Nona banyak mencungkil inspirasi perniagaan kristal ini dari cabaran pandemik COVID-19 yang melanda.

Meskipun kini berada di Singapura, beliau sudi ditemu bual secara online tentang hala tuju dan masa depan perniagaan Swarovski di Malaysia.

IKLAN

Bergemerlapan, berkilauan dan bersinar-sinar bak berlian. Begitulah iluminasi batu-batu kristal Swarovski yang sering dijadikan perhiasan fesyen dan barangan kemas wanita sejak 125 tahun lalu.

Kini sebagai pembuat kristal terbesar di dunia, Swarovski menghamparkan pelbagai inovasi dan lebih banyak rekaan hebat buat para penggemarnya.

Lars Schmidt

Nona: Dalam situasi sekarang, adakah perniagaan Swarovski terjejas di negara ini?

Lars Schmidt: Di sebalik cabaran penularan penyakit berjangkit yang menjejaskan banyak perniagaan, saya melihat Swarovski di Asia Tenggara masih berpotensi untuk berkembang pesat. Kami juga yakin dengan strategi yang mampan, Swarovski mampu kembali menjadi pilihan utama pelanggan pada masa depan.

 

Nona: Kehendak membeli barangan perhiasan mungkin bukan keutamaan lagi pada waktu ini. Pendapat anda?

Lars Schmidt: Meskipun landskap fesyen kelihatan suram sepanjang tempoh pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi saya yakin harapan masih ada. Contohnya terdapat tanda-tanda positif di Malaysia menjelang suku kedua tahun ini.

Dengan pelbagai had, sekatan dan SOP ketat untuk penganjuran majlis-majlis sosial, ramai pelanggan yang mencari jalan alternatif bagi meluahkan kasih sayang serta perhatian mereka pada orang tercinta.

Tambahan pula semakin ramai yang duduk di rumah dan tidak berbelanja untuk melancong, jadi banyak lebihan simpanan yang boleh digunakan untuk membeli hadiah secara online.

Platform e-dagang sangat penting pada masa ini, selain kaedah penghantaran hadiah kepada ahli keluarga dan rakan yang lebih bersifat contact-free. Swarovski juga menawarkan khidmat penghantaran percuma untuk kemudahan pelanggan.

 

Nona: Kenapa nak shopping kalau tak boleh keluar dan berjumpa orang? Ini antara pandangan pelanggan terhadap industri fesyen masa kini. Jadi apakah strategi anda bagi mengatasi pandangan tersebut?

Lars Schmidt: Sungguhpun operasi butik Swarovski terjejas berbanding sebelum pandemik, tapi pesanan dari Internet meningkat. Pelanggan lebih suka membeli secara online mengikut keselesaan di rumah masing-masing.

Kami juga menjangkakan potensi besar dalam segmen e-dagang selari dengan pelancaran eCom kami sejak tahun 2019. Pada bulan Jun lepas, kami turut melancarkan website eCom dengan prestasi jualan yang menggalakkan. Jualan online dan mengembangkan pasaran operasi online kami adalah strategi paling ideal dalam situasi sekarang.

Kini kami mula membuat pendekatan ‘digital first’ bagi menguatkan jenama dan produk Swarovski ke arah pelanggan sasaran. Kami juga sudah merangka perancangan media secara 100% digital dan mengiklan secara programmatic, iaitu melalui media sosial, kempen dengan influencer serta digital content marketing.

 

Nona: Boleh kongsikan tentang pembukaan Swarovski Crystal Studio di Mid Valley Megamall bulan lalu?

Lars Schmidt: Lokasi Mid Valley Megamall yang terletak strategik di Lembah Klang menawarkan konsep jualan baru di pasaran.

Konsep terbuka di Swarovski Crystal Studio ini merupakan yang pertama di Asia Tenggara dengan membolehkan pelanggan bebas memilih, menyentuh dan mencuba terus barangan-barangan kemas Swarovski yang disukai. Engagement dengan konsumer juga bertambah mesra dengan persembahan konsep terbuka ni.

 

Nona: Bercerita tentang hadiah sempena musim perayaan Krismas dan Tahun Baru nanti, namakan produk-produk terbaru Swarovski yang sesuai dibeli?

Lars Schmidt: Secara peribadi, saya memilih koleksi di bawah ini sebagai saranan paling tepat untuk dijadikan hadiah.

Crystal Flower Watch


Dari rekaan yang klasik hingga kontemporari, Swarovski menawarkan himpunan jam tangan wanita buatan Switzerland yang diminati ramai. Koleksi ini diinspirasikan daripada flora, dengan bezel yang memaparkan jalinan garisan rose gold dan tatahan kristal. Nampak romantik dan sesuai untuk pemakaian harian.

 

Gelang The Elements Chain

Koleksi gelang tangan Swarovski yang mesti dimiliki. Terdapat pelbagai lagi idea gelang tangan Swarovski yang sesuai dijadikan hadiah mengikut pelbagai personaliti wanita.

Cincin Vittore

Bergaya dan elegan, cincin ini adalah stail kemestian anda. Ia juga cantik jika dikombinasikan dengan cincin lain untuk gaya stacking.