Meskipun suami tercinta pelakon terkenal tanah air namun Ezza Yusof selesa berdikari dan merupakan usahawan berjaya. Enggan menumpang populariti Remy Ishak, wanita berjiwa kental ini sudah pun mempunyai empayar perniagaan sendiri sebelum berkahwin dengan aktor kacak tersebut.
Kreatif mengemudi perniagaan, Ezza atau nama sebenarnya Roszaliza Yusof yang berasal dari Pahang ini meniti usia 41 tahun.
Difahamkan suri hati Remy ini memiliki kelulusan bidang grafik dan multimedia serta pernah bekerja sebagai pereka grafik sebelum membina jenama 2morrow.
Minat mendalam Ezza terhadap pembuatan kasut mula bercambah sejak tahun 2012. Dia yang juga pengasas dan pengarah kreatif 2morrow berusaha keras mengembangkan legasi.
Sehingga kini, 2morrow sudah bertapak dalam industri fesyen kasut selama lebih sedekad. Bukan satu tempoh yang singkat tu!
Ads
Selain mereka kasut untuk gaya formal dan santai, kasut rekaan Ezza juga menerima tempahan untuk perkahwinan.
Uniknya, setiap rekaan kasut 2morrow ialah cetusan idea Ezza sendiri dan diperbuat dengan penuh kualiti serta handmade.
Tidak ketinggalan, jenama 2morrow juga menawarkan aksesori tote bag pelbagai warna.
Ads
Ezza Yusof sebelum ini pernah mereka kasut untuk beberapa selebriti tanah air termasuk Nad Zainal, Elvina Mohamad, Julia Ziegler dan ramai lagi.
Wanita cantik ini juga dilaporkan mula berkenalan dengan Remy Ishak pada tahun 2013 dan mengikat tali pertunangan pada Mei 2017.
Ezza sah menjadi isteri Muhammad Zalimei Ishak atau Remy Ishak pada 21 Ogos 2021 selepas kira-kira sembilan tahun mengenali hati budi masing-masing.
Hampir tiga tahun melayari alam perkahwinan, pasangan romantis ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 27 Julai 2023. Genap tiga minggu menerima kehadiran zuriat sulung, Remy Ishak mengumumkan nama putera mereka iaitu Tuah Alam.
Kesempatan berbual hati ke hati dengan DSP Noorhamasiren, cukup mengubah persepsi penulis terhadap karakter polis wanita. Apatah lagi kalau teringat video Akak Polis On Duty yang pernah viral, begitu garang dan tegas menegur orang awam yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tiba tepat jam yang dijanjikan, DSP Noorhamasiren Boonthnam Ekkasook muncul dengan uniform polis lengkap diiringi seorang pegawai Inspektor. Cantik sekali wajahnya, persis selebriti Uqasha Senrose tapi dalam versi Major Mira Killian, lakonan Scarlett Johansson dalam filem Ghost in the Shell.
Sesekali, fringe rambutnya ditolak ke tepi, menampakkan lagi kejelitaan asli wanita kacukan Siam itu.
Mesra disapa Puan Siren, beliau kini menggalas jawatan Pemangku Pegawai Turus D11 (Seksual, Wanita & Kanak-Kanak) di Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Kontinjen Selangor.
Perbualan kami tentang tugasannya sepanjang Ops COVID-19 (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu cukup meniupkan inspirasi, sekaligus membuat penulis tambah kagum dengan keberanian wirawati negara tersebut.
“Pada 16 Mac lepas, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan PKP selama dua minggu mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara, disebabkan situasi ancaman wabak COVID-19 yang menimbulkan kebimbangan. Jadi PDRM berperanan sebagai agensi yang membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengekang penularan pandemik tersebut.
Objektif kami jelas untuk menyedarkan masyarakat bahaya COVID-19 dan memastikan PKP dipatuhi. Operasi pasukan saya terdiri daripada seorang pegawai dan tiga orang APR, untuk memantau kawasan-kawasan yang dikenal pasti sering menjadi tumpuan orang awam.
Pendekatan yang kami gunakan sebenarnya lebih kepada memberi nasihat secara berhemah kepada orang ramai yang berkumpul, supaya beredar dan mematuhi PKP yang dikuat kuasakan,” cerita Puan Siren panjang lebar.
Di sebalik perwatakan tegas beliau, Puan Siren sebenarnya seorang yang amat komited dalam tugas, berdisiplin tinggi dan berintegriti kerana mereka membawa nama pasukan PDRM.
“Wajah saya mungkin nampak garang tapi niat hanya mahu memberi teguran, nasihat dan jika perlu mengeluarkan kompaun serta tangkapan individu yang melanggar undang-undang.
Khususnya ketika Ops COVID-19, kami perlu tegas mengambil tindakan terhadap individu yang mengingkari PKPB dengan melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau mana-mana peraturan yang dibuat dibawah Akta ini.
Bagi menangani perkara ini, tindakan penguatkuasaan mengkompaun kesalahan terhadap mana-mana orang yang mengingkari PKPB akan diambil sebagaimana kuasa yang diberikan di bawah seksyen 22 akta yang sama.”
“Tidak dinafikan sebagai frontliners, kebimbangan terhadap penyakit sudah tentu ada kerana kami sentiasa keluar bertemu masyarakat. Begitu juga apabila menjalankan tugas, rasa bimbang terhadap keselamatan keluarga serta terhadap setiap orang yang ditahan kerana tidak mengetahui latar belakang mereka.
Cabaran lain adalah dari segi menguruskan keluarga kerana saya perlu meninggalkan suami dan anak-anak pada bulan Ramadan untuk menjalankan tugas. Pernah juga bersahur dan berbuka di tepi jalan masa tu.
Sebenarnya sebagai pegawai polis, saya berjumpa pelbagai karakter manusia. Mahu atau tidak, saya mesti melengkapkan diri dengan kekuatan mental, fizikal dan emosi.
Setakat sakit-sakit ringan macam pening kepala, selesema atau batuk, itu perkara biasa. Ada kalanya bertemu orang susah sampai tersentuh hati dan perasaan, tapi demi tugas diteruskan juga,” luah Puan Siren.
Menyentuh secara ringkas latar belakang Puan Siren, wanita ini mula berkhidmat dalam PDRM pada 1 Oktober 2000 sebagai Inspektor Pelatih. Selepas tamat latihan, beliau diarahkan bertugas di Ibupejabat Polis Daerah Kajang sebagai Pegawai Penyiasat Siasatan Seksual.
Kini beliau bertugas sebagai Pemangku Pegawai Turus D11 (Seksual, Wanita dan Kanak-kanak) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
“Bulan Oktober 2020 menandakan tahun ke-20 usia perkhidmatan saya. Alhamdulilah keluarga amat memahami tugas dan kerjaya ini. Sebenarnya penglibatan saya dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah, bukanlah satu perkara baru.
Tetapi operasi kali ini berbeza sebagai Pegawai Pemantauan dan Penguatkuasaan Ops COVID-19, yang mana kami berlawan dengan sejenis virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan sememangnya menjadi ancaman kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Setiap kali keluar bertugas, perasaan bimbang dan takut sememangnya ada, kerana saya mempunyai keluarga yang perlu dijaga dan kemungkinan kita menjadi ejen pembawa kuman tersebut kepada ahli keluarga sendiri.
Mujurlah keluarga memahami dan selalu menasihati saya supaya sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan seperti yang telah dinasihatkan oleh KKM.
Soal perlindungan diri menjadi keutamaan kami. Kami perlu memakai sut PPE, mask, sarung tangan dan mengamalkan penggunaan hand sanitizer yang sentiasa berada di poket saya.”
Kerjaya beruniform merupakan cita-cita Puan Siren sejak kecil. Ceritanya, sejak di bangku sekolah lagi beliau telah dilantik sebagai ketua darjah, dan di peringkat sekolah menengah dilantik sebagai ketua tingkatan dan pengawas, juga kerap menyertai pasukan beruniform seperti Kadet Polis. Daripada aktiviti kepimpinan yang dijalankan, minat beliau terhadap imej, ketrampilan, ketegasan dan disiplin anggota beruniform cukup menarik minatnya.
“Saya berharap agar saya dapat membantu dan memberikan perkhidmatan yang baik dan profesional kepada semua lapisan masyarakat. Saya selalu memegang prinsip ‘Setiap orang yang datang berjumpa dengan kita di balai, mereka menghadapi masalah dan memerlukan bantuan, permudahkan urusan mereka, insya-Allah ada doa daripada mereka,” akhiri Puan Siren sambil tersenyum.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nampaknya tahun ini beberapa selebriti tanahair memilih untuk meraikan Aidilfitri di luar negara. Pasangan selebriti Hairul Azreen dan Hanis Zalikha berkongsi foto sambutan Aidilfitri keluarga mereka dari kota London, United Kingdom.
Meskipun berada jauh dari tanahair, pagi 1 Syawal memperlihatkan pasangan ini menggayakan busana tradisional di mana Hairul dan Yusuf Iskandar segak mengenakan baju Melayu manakala Hanis dan Alisa Aisyah mengenakan baju kurung.
Menerusi perkongsian di media sosial, pasangan ini meluangkan masa bercuti di United Kingdom. Selain itu, Hanis turut memberikan kejutan buat suami tersayang sempena ulang tahun kelahiran Hairul Azreen ke 35 tahun di salah sebuah restoran di London.
Kejutan istimewa itu turut dikongsi oleh Hairul di laman Instagram miliknya yang nyata terharu dan bersyukur dapat meraikan sambutan hari lahir bersama keluarga serta beberapa kenalan yang menetap di sana.
Selain meraikan lebaran, keluarga ini mengambil kesempatan untuk bercuti sambil membawa anak-anak berjalan dan melawat ke beberapa destinasi pelancongan popular sekitar London. Antara lokasi yang dikunjungi termasuklah London Natural History Museum.
“Isi perut sangat penting sebelum jalan beribu langkah dalam London Natural History Museum nak tengok dinosaur. Mak-mak kena firm, ikutkan bapak dia kata cukup seketul croissant je dulu, nanti dah settle baru makan betul-betul”- HANIS ZALIKHA.
Perkongsian Hanis mengenai peranan seorang ibu dalam memastikan ‘keselesaan’ anak sentiasa terpelihara ketika menempuh perjalanan yang jauh sememangnya menarik perhatian para pengikutnya di laman sosial.
Mana tidaknya, sebagai ibu kepada dua orang cahayamata, sudah semestinya Hanis amat menitik beratkan soal keselesaan anak-anak terutamanya berkaitan dengan makanan untuk memastikan perjalanan percutian keluarga ini berjalan lancar dan anak-anak tidak meragam.
Pastinya percutian ini meninggalkan memori indah buat keluarga kecil ini apatah lagi dapat merasai suasana Aidilfitri di perantauan sambil bercuti untuk meluangkan masa bersama-sama. Selamat bercuti!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kalau Mawi kini lebih selesa berkarya di sebalik tabir sebagai pengarah.. Ekin pula makin rancak merencana karier sebagai usahawan. Baru menyambut ulang tahun perkahwinan ke-10 pada 20 Disember lalu, Ekin atau nama sebenarnya Nora’ashikin Rahmat tetap kelihatan cantik dan menawan seperti dulu. Meskipun dia merupakan ibu kepada seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Cahaya Malaika berusia tujuh tahun.
Enggan terlalu bergantung kepada suami dan selesa berdikari, wanita jelita yang hampir meniti umur 40an ini ligat menguruskan rangkaian produk kesihatan di bawah syarikat miliknya, Unequein. Menariknya, perniagaan ini turut diusahakan bersama adik kembar, Aenn atau Nora’ain Rahmat. Dari dulu sampai sekarang, memang susah hendak cam mana satu Aenn dan Ekin sebab muka mereka yang seiras.
Ekin dan Aenn
Pernah bergelar pelakon.. percaturan Ekin untuk menjadi ahli perniagaan nyata membuahkan hasil. Satu per satu produk berjaya dihasilkan dan terbaru, mereka mengeluarkan produk Dip Dip Candy yang berupaya menyingkirkan toksin dalam badan, baik untuk proses penghadaman sekaligus menyerlahkan kecantikan dalaman dan luaran.
Antara produk kecantikan dan kesihatan lain yang telah dihasilkan termasuklah Multijuice Liquid Health Supplement dan Teh Tarik Malaika.
Tidak hanya terhad mengeluarkan produk berasaskan kecantikan.. usahawan cantik ini turut mengeluarkan label hijab Twinny Scarf yang menggunakan material cotton silk. Tidak ketinggalan, seleksi busana untuk lelaki dan wanita seperti kurta, baju kurung dan sebagainya.
Malah, terdapat juga produk haruman popular mereka yang sarat dengan bauan segar kasturi iaitu Calit!
Untung Mawi dikurniakan isteri yang bukan saja pandai menjaga penampilan diri tetapi juga bijak berniaga dan menjana pendapatan sendiri.
Unequein mula ditubuhkan sekitar tahun 2013 dan masih bertapak kukuh di pasaran hingga ke hari ini. Lebih bermakna, bisnes tersebut membuka peluang kepada kaum wanita untuk bergelar stokis dan berjinak-jinak dalam bidang perniagaan di samping dapat menambah pendapatan keluarga.
Buat Ekin, teruskan usaha dan kerja keras anda. Moga kesungguhan Ekin memajukan diri dan perniagaan ini mampu menjadi suntikan semangat kepada masyarakat untuk berjuang mengejar impian.
Kredit foto: Instagram Ekin Mawi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!