
Masakan Timur Tengah memang terkenal dengan portion yang besar dan berasaskan ramuan berkhasiat seperti kekacang dan safron.
Dua sajian yang diketengahkan ini selain mudah disediakan dalam tempoh masa singkat, ia juga kurang manis dan enak dinikmati pada bila-bila masa. Fukhara Om Ali misalnya enak dinikmati ketika masih panas. Selamat mencuba!
Saffron Mahalabiya

Bahan-bahan:
- 1 liter susu penuh krim
- Secubit safron
- ¼ cawan gula
- ¼ cawan tepung jagung
- Kacang pistasio (dihancurkan)
- Buah strawberi (hiasan)
Cara membuat:
Dalam periuk yang sesuai, didihkan susu bersama gula dan safron. Sementara menunggu ia mendidih, dalam mangkuk berasingan, larut tepung jagung dengan secawan air.
Apabila susu sudah bertukar warna kuning, masukkan tepung jagung perlahan-lahan sehingga adunan pekat. Tutup api dan tuangkan adunan susu tadi ke dalam bekas. Apabila sudah sejuk, hiaskan dengan taburan kacang pistasio dan hirisan buah strawberi. Siap untuk dihidang.
Fukhara Om Ali

Bahan-bahan:
- 1 liter susu penuh krim
- 8 keping croissant
- ¼ cawan gula
- ¼ cawan krim putar
- 2 sudu makan kacang gajus
- 2 sudu makan kacang pistasio
- 2 sudu makan kacang badam
- 2 sudu makan kismis
- Krim masakan
Cara membuat:
Dalam periuk tahan keluli, panaskan susu dengan gula dan krim putar. Angkat dan ketepikan. Kemudian, potong croissant kepada bahagian kecil dan letakkan dalam bekas yang sesuai sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar.
Hancurkan kekacang dan tabur di atas croissant tadi. Simpan lebihan kekacang sebagai hiasan. Sesudah itu, tuang susu yang masih panas ke atas croissant diikuti krim masakan di atasnya dan bakar selama 10 hingga 15 minit. Apabila sudah masak, taburkan lebihan kekacang dan hidangkan. Suziana Abu Daud
Resipi: TERIMA KASIH SUNWAY RESORT HOTEL & SPA, CEF ALA’A ALI
4 Pencuci Mulut Istimewa Sajian Iftar Untuk Keluarga. Boleh Cuba Ni!

Dalam situasi berada di rumah sempena Perintah Kawalan Pergerakan, sudah pasti kaum hawa mempunyai banyak masa menyediakan hidangan istimewa untuk berbuka puasa bersama keluarga tersayang. Kemahiran memasak di dapur di asah hari demi hari bagi memastikan juadah tersedia di meja makan.
Dalam suasana menyambut kedatangan Ramadan yang berbeza dari norma biasa, apa kata anda mencuba dessert yang tidak kurang hebatnya ini. Selamat mencuba!
BERRY TART
BAHAN SHELL TART
250 gram mentega
120 gram gula aising
2 biji telur
480 gram tepung gandum
BAHAN KRIM PASTRI:
4 biji kuning telur
¼ tepung jagung
½ cawan gula kastor
2 cawan susu
Ekstrak vanilla
1 cawan krim putar
CARA MEMBUAT:
- Untuk menyediakan tart shell, ayak gula aising terlebih dahulu. Pukul gula aising dan mentega. Jangan pukul terlalu lama.
- Masukkan telur dan adun sebati. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga sebati. Jika masih lembik, tambah tepung.
- Bakar selama 17 minit pada suhu 170 darjah Celsius atau sehingga masak.
- Sementara itu, panaskan susu di dalam periuk dengan api kecil. Masukkan tepung jagung, gula dan kuning telur dalam satu mangkuk. Kacau sebati.
- Setelah susu berbuih, masukkan separuh susu ke dalam adunan kuning telur tadi. Kacau sebentar untuk melarutkan gula, kemudian tuang semula ke dalam periuk susu tadi.
- Gaul menggunakan whisker atau senduk kayu sehingga adunan likat. Adunan sudah masak jika ia mengeluarkan letupan angin.
- Tutup api dan masukkan ekstrak vanila. Biarkan sejuk. Akhir sekali, pukul krim putar dan gaulkan ke dalam adunan kastard yang sudah sejuk.
- Paipkan ke dalam tart shell dan hias bersama pilihan buah beri anda.
CHOCOLATE PANNA COTTA
BAHAN-BAHAN:
220 gram krim
65 gram gula
300 gram susu
14 gram gelatin
70 gram coklat gelap
CARA MEMBUAT:
- Mula-mula cairkan coklat gelap dan larutkan gelatin di dalam air. Biarkan seketika dan didih krim bersama gula, susu dan gelatin tadi.
- Angkat dan ketepikan supaya campuran berkenaan sejuk seketika. Seterusnya, tuang coklat yang telah cair ke dalam bekas.
- Lapisi permukaan atasnya dengan sos buah beri. Simpan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya empat jam atau semalaman.
- Akhir sekali, hidangkan bersama buah beri dan mousse untuk rasa yang lebih memikat.
TAT KELAPA LEMON
BAHAN LEMON MOUSSE:
300 gram krim putar
60 gram gula
30 gram jus lemon
10 gram serbuk gelatin
25 gram air
200 gram susu
BAHAN KRIM KELAPA:
200 gram santan
80 gram krim putar
40 gram gula
6 gram serbuk gelatin
20 gram air
BAHAN CRUST TART:
190 gram gula
370 gram mentega
200 gram tepung
220 gram serbuk kacang badam
65 gram kuning telur
CARA MEMBUAT:
- Sediakan crust atau lapisan bawah tart dengan mencampurkan krim mentega bersama gula.
- Pukul sekata dan masukkan pula tepung serta serbuk kacang badam. Masukkan kuning telur sedikit demi sedikit dan kacau sekali lagi.
- Balut doh di dalam peti sejuk selama 30 minit. Sesudah itu, keluarkan doh dan bentukkan secara segi empat memanjang. Bakar pada suhu 170 darjah Celsius hingga masak. Ketepikan.
- Semenatara itu, larutkan gelatin di dalam air. Tuang susu, gula dan panaskan kedua-duanya hingga cair sebelum dicampurkan bersama gelatin tadi dan jus lemon.
- Akhir sekali, masukkan krim putar.
Untuk menyediakan krim kelapa, didih santan dan gula. Biarkan ia sejuk seketika dan masukkan gelatin hingga cair bersama krim putar.Ambil crust yang telah siap dan hiaskan krim kelapa serta lemon mousse. Jika mahu boleh tambahkan hiasan buah-buahan seperti buah beri dan sebagainya.
KEK KEJU CITRUS
BAHAN INTI
400 gram krim keju
50 gram gula aising
250 gram krim putar
30 gram jus lemon
10 gram serbuk gelatin
30 gram air
BAHAN KEK:
8 biji telur
300 gram gula
60 gram susu
60 gram minyak jagung
280 gram tepung naik sendiri
50 gram parutan kulit lemon
50 gram parutan kulit limau
BAHAN LAPISAN BAWAH KEK:
190 gram gula
370 gram mentega
200 gram tepung
220 gram serbuk kacang badam
65 gram kuning telur
CARA MEMASAK LAPISAN BAWAH KEK
- Campurkan krim mentega bersama gula. Kacau hingga sekata
- Kemudian masukkan tepung dan serbuk kacang badam. Apabila sudah sebati, masukkan kuning telur dan gaul sebati.
- Balut doh dan letakkan di dalam peti sejuk selama 30 minit. Kemudian, keluarkan doh tadi daripada peti sejuk dan bentukkan di atas getah ‘silpat’.
- Angkat acuan yang dibuat dan bakar di dalam ketuhar pada suhu 170 darjah Celsius atau hingga berwarna kuning keemasan.
UNTUK KEK SPAN:
- Pukul telur dan gula hingga berbuih menggunakan mesin pengadun, masukkan tepung ke dalam adunan telur tadi dengan kelajuan perlahan.
- Tuangkan susu, parutan oren dan lemon serta minyak jagung. Pastikan sebati sebelum dibakar pada suhu 180 darjah Celsius selama 15 minit.
- Akhir sekali, sediakan isi kek dengan melarutkan gelatin di dalam mangkuk berisi air.
- Pukul krim keju bersama gula aising hingga berbuih dan kembang kemudian masukkan jus lemon serta krim putar. Ambil lapisan bawah kek dan bubuh isi krim yang telah siap.
- Hiaskan dengan kek span untuk menutupinya. Siap dinikmati.
Resipi:Majalah RASA
Kenal & Faham Fungsi Minyak Masak. Barulah Masakan Kita Terjamin Sihat

Setiap pengeluar minyak masak semestinya ingin memastikan produk keluarannya adalah yang terbaik serta menyihatkan.
Kita biasa melihat di label-label produk minyak masak terteranya perkataan-perkataan seperti mengandungi Omega-3 dan Omega-9, melalui dua kali proses penyaringan, mengandungi pelbagai jenis vitamin dan sebagainya. Perkara-perkara seperti inilah yang selalu membuatkan para pengguna keliru.
Agar anda tidak lagi keliru, info minyak masak ini boleh dijadikan panduan untuk membuat pertimbangan secara bijaksana ketika memilih minyak masak.
(a) Fungsi minyak masak
Khasiat minyak masak ini sebenarnya tidaklah mempunyai banyak perbezaan. Minyak masak yang berada di pasaran sekarang umumnya dihasilkan daripada sumber-sumber seperti bunga matahari, jagung, kacang tanah, kelapa atau kelapa sawit.
Meskipun berbeza sumbernya namun hampir semua minyak masak ini mempunyai fungsi yang sama iaitu sebagai medium pemanas untuk memasak.
(b) Omega-3 dan Omega-9
Anda harus tahu bahawa sebenarnya minyak masak tidak mengandungi Omega-3. Ini kerana Omega-3 berasal daripada sumber haiwan.
Sekiranya Omega-3 ini ditambahkan kepada proses pembuatan minyak masak, sama sekali tiada manfaat untuk tubuh. Mengapa? Ini kerana jumlah minyak masak yang kita ambil setiap hari sangatlah sedikit jumlahnya.
Manakala Omega-9 pula merupakan sebahagian daripada minyak yang berbentuk cecair yang dikenali sebagai olein. Oleh itu, sekiranya dikatakan bahawa minyak masak itu mengandungi Omega-9 sememangnya ia adalah benar.
(c) Penyaringan dua kali
Selama ini, minyak masak yang sering kita gunakan adalah yang dihasilkan daripada kelapa sawit. Di dalam proses pembuatan minyak masak yang dihasilkan daripada kelapa sawit ini, terdiri daripada dua fasa yang berbeza iaitu fasa padat dan fasa cair.
Jenis fasa padat dikenali sebagai stearin dengan asid lemak iaitu stearat. Sementara minyak yang berbentuk cair adalah disebut sebagai olein dan nama asid lemak iaitu asid oleat atau Omega 9.
Proses penyaringan dua kali merupakan sebutan untuk menjelaskan pemisahan minyak fasa padat dari fasa cair tadi. Dilakukan double fractination atau penyaringan dua kali.
Sekiranya hanya dilakukan sekali sahaja penyaringan, kadang-kadang minyak tersebut masih boleh membeku. Biasanya ia disebut sebagai minyak masak ‘tidur’. Sebaliknya, jika melalui proses dua kali penyaringan, minyak masak ‘tidur’ itu tidak akan terjadi walaupun disimpan di dalam peti sejuk.
Di samping itu, minyak masak yang membeku atau ‘tidur’ tidaklah berbahaya dan sama sekali tidak mempengaruhi kesihatan. Justeru, minyak masak yang menjalani proses dua kali penyaringan akan lebih mahal harganya kerana kos pengeluarannya adalah besar.
(d) Minyak masak berkolesterol & tidak berkolesterol
Minyak masak yang dihasilkan daripada sumber tumbuh-tumbuhan seperti kelapa sawit, kelapa, kacang tanah, jagung dan biji bunga matahari semestinya tidak mengandungi kolesterol. Namun begitu, sekiranya minyak masak yang dihasilkan itu adalah daripada sumber haiwan maka barulah ia mengandungi kolesterol.
(e) Mengandungi vitamin
Kebanyakan produk minyak masak di pasaran mengandungi pelbagai jenis vitamin antaranya vitamin A, D dan E. Namun begitu, apa yang perlu anda ketahui ialah disebabkan oleh fungsi minyak masak adalah sebagai medium pemanas, maka vitamin-vitamin yang terkandung di dalam minyak masak akan hilang atau mudah rosak ketika proses menggoreng. Rosmah Idayu Abu Samah
4 Menu Lauk Pauk Kampung Must Try Untuk Sajian Keluarga

Dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan, pasti ramai ibu-ibu buntu memikirkan menu untuk keluarga apatah lagi masuk hari ke 9 ini kan!Jika anda masih tercari-cari resipi yang mudah untuk disediakan sebagai sajian makan tengah hari atau malam, menu di bawah boleh dijadikan panduan untuk hidangan keluarga tercinta. Selamat mencuba!
IKAN ASAM PEDAS KUALA
BAHAN-BAHAN:
1kg ikan tenggiri
50gm cili kering|dikisar
10gm kunyit hidup|dikisar
5gm halba |dikisar
5gm lada hitam|dikisar
3 biji bawang besar|dikisar
4 ulas bawang putih|dikisar
1 inci belacan |dibakar dan dikisar
1 batang serai|dititik
10 helai daun kesum
500gm air asam
Garam secukup rasa
CARA MEMBUAT:
Panaskan minyak. Masukkan serai yang telah dititik. Masukkan pula bahan-bahan yang telah dikisar terlebih dahulu. Tumis sehingga ia menjadi garing dan wangi.Masukkan ikan dan daun kesum. Didihkan dengan menggunakan api yang perlahan. Masukkan air asam mengikut citarasa. Masukkan garam dan hidangkan.
GULAI DAGING SALAI CILI PADI ATUK
BAHAN-BAHAN (PERAPAND DAGING):
1kg daging batang pinang
2 sudu kecil cili boh
2 inci kunyit hidup |dikisar
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
BAHAN-BAHAN:
20gm cili padi|dikisar
3 biji bawang besar|dikisar
4 ulas bawang putih |dikisar
3 inci kunyit hidup |dikisar
1 batang serai |dititik
3 keping asam gelugor
2 helai daun kunyit |dimayam
500gm susu cair dan susu pekat
Garam secukup rasa
Air secukupnya
CARA MEMBUAT:
Gaul bahan-bahan perapan dan perap daging semalaman. Salai daging tersebut sehingga ia menjadi separuh masak. Kemudian hiris nipis daging tersebut. Panaskan air dan campurkan santan cair. Masukkan serai yang telah diketuk dan bahan-bahan yang telah dikisar terlebih dahulu. Biarkan sehingga ia mendidih. Masukkan daging dan asam gelugor dan perlahankan api. Masukkan pula santan pekat dan daun kunyit. Tambahkan garam secukup rasa sebelum dihidangkan.
PAJERI TERUNG BONDA
BAHAN-BAHAN:
1 kg terung bulat |dibelah dua
30gm cili kering|dikisar
4 biji bawang besar|dikisar
3 ulas bawang putih |dikisar
3 inci kunyit hidup |dikisar
1 batang serai |dititik
50gm udang kering |dikisar
20gm serbuk kari ikan
5 gm biji sawi
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 helai daun kari
3 sudu besar kerisik
100ml santan
30gm gula melaka
3 sudu kecil cuka
Garam secukup rasa
CARA MEMBUAT:
Panaskan minyak.Kemudian goreng terung sehingga garing.Panaskan minyak dan tumiskan kulit kayu manis, bunga lawing dan biji sawi sehingga naik baunya. Masukkan pula bahan-bahan yang telah dikisar dan kemudian masukkan serai yang telah dititik sehingga garing. Tumiskan rempah kari sehingga pecah minyak. Masukkan terung dan gaul sehingga rata. Masukkan pula gula Melaka, daun kunyit, cuka makan, santan dan kerisik. Biarkan ia mendidih dan masukkan pula garam secukup rasa.
PECAL KAMPUNG
BAHAN-BAHAN:
200gm kangkong|dicelur
200gm daun ubi kayu |dicelur
200gm daun meranti |dicelur
200gm pucuk paku|dicelur
200gm timun |dihiris Panjang
200gm sengkuang|dihiris Panjang
200gm taugeh |dicelur
2 biji tauhu |digoreng dan potong dadu
2 biji tempe |digoreng dan dipotong dadu
BAHAN UNTUK KUAH PECAL
400gm kacang tanah |digoreng
20gm cili kering |direbus dan goreng
5gm cili padi|digoreng
4 biji bawang kecil|digoreng
2 inci belacan |digoreng
50ml air asam
3 inci akar cekur |digoreng
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa
CARA MEMBUAT:
Hiris dan celur bahan-bahan asas seperti sayur-sayuran kampung dan asingkan seketika. Untuk menyediakan kuah kacang pula, kisar bahan-bahan yang telah digoreng terlebih dahulu. Kemudian masukkan air suam, air asam dan gula. Pastikan ia tidak terlalu oekat dan tidak terlalu cair. Untuk mendapatkan tahap kepedasan pula, terpulang kepada citarasa individu. Hidangkan Bersama sayur-sayuran kampung yang telah dicelur terlebih dahulu.
Credit Resipi: Hotel Tamu Kuala Lumpur