‘Lesung Pipit’ Penyeri 3 SELEBRITI Ini, Umur Dah Lewat 20an, 30an & 40an Pun Tetap Comel!

Preity Zinta, Miranda Kerr dan Wawa Zainal… ketiga-tiga selebriti ini bukan hanya mempunyai raut wajah cantik dan comel. Bahkan turut berkongsi persamaan iaitu memiliki lesung pipit yang mampu membuatkan ramai ‘jatuh hati’ dan tertawan. Uniknya, walau pertambahan usia meningkat saban tahun namun ketiga-tiga mereka masih kekal awet muda. Biarpun hakikatnya masing-masing sudah meniti usia lewat 20an, 30an dan 40an!

Wawa Zainal misalnya bakal menginjak umur 28 tahun pada 12 Mac ini. Wawa atau nama penuhnya Nur Hawa Zainal Abidin memulakan karier sebagai pelakon sebelum mendirikan rumah tangga bersama aktor kacak, Aeril Zafrel pada tahun 2013. Wawa yang merupakan anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu ini juga sudah berstatus ibu kepada tiga anak.

Disember tahun lepas, Wawa selamat melahirkan anak ketiga yang diberi nama Aya Soffya. Terdahulu, dia dan Aeril dikurniakan seorang sulung lelaki bernama Ahmad Fakharuddin Attar, 7 tahun dan anak perempuan comel, Hayla Maghrifatul Adzkiyaa berusia 5 tahun.

Wawa sebelum ini pernah membintangi filem Budak Pailang sebelum dilihat lebih aktif mengusahakan perniagaan sendiri, Wawa Cosmetics sekarang. Berkat kerja keras meningkatkan empayar niaga, perniagaan yang hampir dua tahun bertapak dalam industri kosmetik ini sudah mendapat tempat dalam kalangan peminat. Malah, mereka mampu melahirkan beberapa jutawan hasil jualan Wawa Cosmetics. Kagum!

Kalau Wawa Zainal berusia lewat 20an, model dan selebriti Hollywood Miranda Kerr ini pula bakal berusia 36 tahun pada 20 April nanti. Baru melahirkan anak ketiga yang diberi nama Myles pada Oktober tahun lepas, ia merupakan cahaya mata pertama hasil perkahwinan model Victoria’s Secret ini bersama usahawan ternama, Evan Spiegel sejak tahun 2017.

Sebelum ini Miranda pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon handalan Hollywood, Orlando Bloom pada tahun 2010. Namun bercerai tiga tahun selepas itu.

Mula berjinak dalam bidang peragaan sejak usia 13 tahun, Miranda juga merupakan pemilik Kora Organics iaitu produk penjagaan kulit berasaskan ramuan organik. Walau
sudah bergelar ibu tiga anak dan berusia lewat 30an tetapi wanita cantik ini masih kelihatan awet muda seperti gadis remaja.

Seorang lagi selebriti yang sememangnya terkenal dengan tarikan lesung pipit ialah pelakon cantik Bollywood, Preity Zinta. Pesona aktres ini bukan hanya terletak pada rupa paras bahkan Preity juga pandai menari dan setiap filem yang dibintangi pasti mendapat tempat di hati peminat.

Tidak hanya di negaranya sendiri bahkan peminat di Malaysia turut mengagumi bakat Preity Zinta. Baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-45 pada 31 Januari lepas,
Preity pernah menyandang gelaran pelakon wanita yang mendapat bayaran termahal di India pada tahun 2000.

Antara filem popular yang dibintangi Preity termasuk Dil Se, Koi.. Mil Gaya, Salaam Namaste, Chori Chori Chupke Chupke.

 

Kredit foto: Instagram Wawa Zainal, Preity Zinta & Miranda Kerr

IKLAN
Share