Lia Natalia mengakui bahawa dia kini sedang berada dalam fasa untuk belajar dan memperbaiki diri, untuk menjadi wanita yang lebih baik.
Jelasnya, dia amat selesa mengenakan hijab terutamanya ketika menghadiri majlis-majlis ilmu agama bersama rakan artis, sambil menggayakan busana patuh syariah seperti jubah dan bertudung litup.
Bagimanapun, Finalis rancangan realiti ‘Pilih Kasih’ yang juga pelakon dan model wanita itu menegaskan bahawa dia masih belum berhijab, tetapi sedang berusaha semampunya untuk ke arah yang lebih baik.
Belum Berhijab Sedang Usaha Ke Arah Itu
Memetik hantaran kapsyen di ruangan Instagram milik Lia, jelitawan itu memaklumkan dirinya masih dalam fasa belajar dan belum berhijab sepenuhnya seperti yang didakwa netizen.
Ads
“Saya belum bertudung sepenuhnya, tapi keinginan itu sentiasa ada,” kata Lia.
Jelasnya lagi, gambar yang tular di media sosial adalah ketika menghadiri majlis ilmu agama, sekaligus menolak dakwaan dirinya kini sudah pun berhijab.
Namun, menurut lia, dia sememangnya ada menyimpan hasrat untuk ke arah itu dan memohon agar diberi ruang dan peluang untuk berubah secara perlahan-lahan dan kerana kemahuannya sendiri.
“Saya memang nak bertudung tapi saya tak mahu perubahan itu dilakukan kerana saya mengikut trend atau fesyen serta melihat kawan-kawan bertudung.”
Ads
“Saya nak keputusan bertudung ini biarlah muktamad dan selama-lamanya. Tetapi buat masa ini saya belum bersedia ke arah itu,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Lia berkata dia merasa cukup terharu dengan komen-komen positif yang dilemparkan netizen kepadanya, malah Lia berharap agar para peminat sentiasa mendoakan agar dia menjadi lebih baik di masa hadapan.
“Saya menerima banyak komen positif daripada peminat. Malah ramai juga yang minta saya teruskan dengan imej berhijab ini.
Ads
“Doakan semoga saya diberikan kekuatan dan hidayah. Saya juga sedar yang memakai tudung ini adalah wajib bagi menutup aurat,” katanya.
Sebagai rekod, pada sambutan ulangtahun kelahiran yang ke-30 tahun, lia telah memuatnaik gambar dirinya tampil bertudung litup serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka yang memberikan kata-kata positif serta mendoakan supaya dia mendapat hidayah untuk kekal berhijab.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Ogos lalu genap setahun usia perkahwinan Nurul Izzah dan suami tercinta, Yin Shao Loong. Masih segar lagi di ingatan apabila anak sulung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ini berkongsi berita perkahwinan, ramai yang terkejut dengan khabar berkenaan.
Bagaimana pun, rata-rata mereka memanjatkan kesyukuran dan tumpang bahagia saat Nurul Izzah kembali bergelar isteri.
Sekian lama merancang pertemuan bersama aktivis politik ini akhirnya Izzah menyatakan kesudian menjadi penghias Nona November 2023 versi digital. Walau mempunyai jadual tugas yang padat, kesanggupannya meluangkan masa berkongsi perkembangan terkini bersama pengikut setia Nona amat dihargai.
Apatah lagi Nurul Izzah kini menggalas tanggungjawab selaku Ketua Bersama Sekretariat Penasihat Kepada Menteri Kewangan yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican.
Foto Koleksi Majalah NonaKredit Instagram @n_izzahKredit Instagram @n_izzah
Mengulas rutin harian sejak bergelar suri hati Shao Loong, dalam nada bahagia Izzah membuka bicara. “Saya rasa tak ada banyak perbezaan. Mungkin boleh dikatakan kami sama-sama sibuk. Alhamdulillah dalam keadaan suami pun mengenali saya lama, jadi beliau tahu (kesibukan) saya. Rutin tidaklah begitu berbeza berbanding dahulu.
Kami dua-dua pun tidaklah makan sarapan pagi yang besar. Hanya kami fokus persediaan anak-anak sebelum ke sekolah. Samalah seperti mana saya laksanakan dahulu sebelum berkahwin.”
Tambah Izzah lagi, walau suami sempat turun padang bersamanya hanya beberapa kali namun dia bersyukur kerana penyelidik kanan Institut Penyelidikan Khazanah berkenaan sentiasa menjadi tulang belakang.
“Bila saya memerlukan seorang sahabat, beliau sentiasa meluangkan masa. Kerna kami kenal lama dan kadang kala ada krisis politik atau isu Palestin kita nak meneliti dari segi dasar.
Beliau banyak membantu saya walaupun beliau bertugas dengan dapatan dan input. Bagi saya itu adalah sesuatu yang sangat bernilai because time you cannot buy.
Orang beli sesuatu untuk kita itu satu hal, tapi orang luangkan masa bila kita perlukan pada saat kita perlukan, itulah saya fikir ‘hadiah’ buat kita.”
Diaju pertanyaan mengenai rumah tangga, ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, “Make sure people yang berkahwin, saya pernah bercerai dan kahwin kali kedua, saya harus tekankan tiga benda ini.
Dalam perkahwinan kita perlu ada keinginan berkomunikasi, kemahiran untuk berkompromi dan berunding, serta ketiga adalah kesabaran.”
Izzah juga dalam pada itu melahirkan rasa syukur kerana mempunyai sistem sokongan yang baik terutamanya dari keluarga ketika diuji dengan perpisahan rumah tangga.
“Alhamdulillah walau pun banyak yang telah saya hadapi, saya fikir kita diberi peluang untuk bersama ibu, ayah dan adik-beradik dalam satu kepompong kasih sayang dan itu adalah suatu yang amat saya hargai.
Saya juga punya ibu mentua yang sangat memahami dan anak-anak,” ujarnya yang turut mendedahkan suami dan anak perempuan iaitu Nur Safiyah pandai memasak hidangan pasta.
Foto Koleksi Majalah NonaKredit Instagram @n_izzahKredit Instagram @n_izzahKredit Instagram @n_izzah
Nurul Izzah pernah mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dan dikurniakan dua anak masing-masing berusia 16 serta 14 tahun.
Dia kemudian sah bergelar isteri Yin Shao Loong yang pernah menjadi Pengarah Eksekutif Institut Pemikir Institut Rakyat pada Ogos 2022. Shao Loong turut mempunyai seorang anak iaitu Yu Zhou.
Moga rumah tangga yang dibina kekal bahagia dan berkekalan hingga ke jannah.
Teks & Penyelaras : Suziana Abu Daud
Konsep & Penata Gaya : Norzalina Mohd Alias
Jurugambar & Juruvideo : Sharinizam Othman & Mohd Qaaf
Solekan & Dandanan : Ann Karim
Tajaan Lokasi: Terima kasih Commune Bangsar, Kuala Lumpur (Pegawai Perhubungan Awam – Inga Jawahir)
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sekitar tahun 90an industri muzik tanah air begitu meriah dengan kehadiran boyband dan girlband. Girlband seperti kumpulan Elite, Feminin, Res2 dan Freshie bukan suatu nama yang asing dalam industri seni ketika itu.
Kumpulan M’Steen yang terdiri daripada 5 anggota kumpulan iaitu Intan, Diela, Jaja, Shankey dan allahyarham Meyra juga tidak terkecuali dengan pesona glamor ketika itu. Menjejaki Jaja M’Steen atau nama sebenarnya Syirin Syafiza Said yang kini menetap di Kota London bersama keluarga tersayang begitu istimewa.
Rupanya dalam diam sudah 24 tahun Jaja M’Steen berhijrah ke Kota London yang pada mulanya untuk melanjutkan pelajaran di sana. Patutlah sedap dengar bila Jaja M’Steen bertutur dengan loghat Inggeris. Sementelah pula suami kepada penyanyi ini seorang lelaki berbangsa Caucasian, Lee Gaze. Pasangan sama cantik ini dikurniakan 2 orang anak lelaki, Daniyal, 11 tahun dan Zachy, 10 tahun.
Foto: Koleksi peribadi Jaja M’Steen
Dalam kesibukannya menggalas tugas sebagai isteri dan ibu, Jaja tetap aktif sebagai pelakon, model dan pegawai komunikasi korporat. Bukan itu sahaja, wanita ini juga telah menjadi sukarelawan badan kebajikan di London. Seronok melihat Jaja M’Steen menjalankan aktiviti kemanusiaan di Kota London.
Foto: Koleksi peribadi Jaja M’Steen
Bercerita tentang penglibatan wanita cantik ini tentang aktiviti kemanusiaan, “Sebenarnya memang dah lama saya bergiat aktif menjalankan aktiviti kemanusian. Di tempat kerja, saya salah seorang komiti yang bertanggungjawab mengeratkan dan menjalinkan hubungan yang bermanfaat dengan badan-badan kebajikan di London,” tutur Jaja M’Steen tentang penglibatan awalnya sebagai sukarelawan.
Dalam diam rupanya Jaja M’Steen juga telah membuka perniagaan berasaskan makanan Melayu bersama rakan kongsi di London. “Semasa penularan pandemik COVID-19 ini, saya dan rakan perniagaan di Malaysian Supper Club telah menyumbangkan sejumlah makanan kepada mereka yang tiada tempat tinggal.
Saya juga merupakan sukarelawan untuk Food Bank di kawasan tempat tinggal saya. Alhamdullilah, ramai yang sudi membantu menyumbangkan makanan kepada mereka yang mengalami kesukaran akibat COVID-19 dan juga kepada keluarga-keluarga miskin di sini,” terang Jaja M’Steen ini panjang lebar.
Wanita ini juga mempunyai jiwa yang murni dan sanggup menolong orang dalam apa cara sekalipun. “Saya juga pernah menolong seorang insan yang tinggal di tepi jalan dengan mencarikan beliau kerja dan tempat tinggal. Ahamdullillah rezeki dan tenaga Allah SWT anugerahkan ini boleh gunakan untuk menolong mereka yang berada dalam kesusahan,” ujar wanita kelahiran Kuala Lumpur ini.
Foto: Koleksi peribadi Jaja M’Steen
Bila ditanya tentang perasaan rindunya dengan kegiatan seni di Malaysia, jawabnya jujur, “Rindu sangat tapi belum ada yang memberikan peluang untuk saya sambung di dalam dunia seni. Saya juga masih berhubung dengan ahli kumpulan yang lain dan kami memang rapat. Saya sayang semua kawan seumur hidup, Shankey, Dilla dan Intan. Semasa saya pulang ke Malaysia pada bulan Feb lalu, mereka ada datang berkunjung ke rumah saya,” kata Jaja M’Steen mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukan mudah untuk menjejak kisah terbaru usahawan wanita bertaraf legenda ini. Barangkali di atas faktor umur dan tidak lagi memimpin PT Mustika Ratu, beliau lebih senang menikmati sisa kehidupan jauh daripada perhatian media. Ibu Mooryati juga selesa beristirahat dan menyerahkan urusan dunia kepada para pewaris.
Mesra dan menyenangkan. Seperti masih terbayang momen penulis menemu bual Ibu Mooryati dan anakanda, Putri Kuswinu Wardani saat mereka berkunjung ke Malaysia.
Biarpun sudah sedekad lamanya, kenangan itu kini bertukar rindu terhadap jenama gergasi Indonesia yang cukup sebati di hati. Bayangkan walau berstatus jutawan kosmetik serta memiliki segudang harta yang melimpah-ruah, keluarga ini tetap merendah diri.
Kerana rindu menemukan penulis dengan cucu-cucu Ibu Mooryati iaitu adik-beradik Dr Kusuma Puteri dan Kusuma Anggraini, anak kepada Djoko Ramiadji (anak sulung Ibu Mooryati).
Menerusi akaun Ninik yang memegang posisi Pengarah Hotel Sheraton Mustika, Yogyakarta, perkongsian mereka bersama nenda kesayangan yang dipanggil Eyang Ti, mengubat kerinduan. Paling seronok tengok sambutan hari jadinya yang ke-94!
Sambutan hari jadi Ibu Mooryati ke-94
Ibu Mooryati Soedibyo
Potret generasi pertama, ketiga dan keempat Ibu Mooryati
Masih kelihatan sihat dan bertenaga pada usia mencecah seabad, rahsia pengasas Mustika Ratu itu tak lain dan tak bukan hanyalah amalan minum jamu.
“Dari masih muda saya rajin minum jamu, saat ini pun saya masih rajin. Saya biasanya minum beras kencur yang saya buat sendiri di rumah.” Ibu Mooryati
Dengan kulit wajah yang masih licin, Ibu Mooryati membuktikan bahawa jamu adalah rahsia awet muda yang sangat mustajab.
Tengok kehidupan keluarga dan cucu-cucu beliau pun harmoni belaka. Semua cantik-cantik dan tampan, paling penting hidup senang serta berkerjaya bagus. Antaranya dua beradik ini yang bergelar doktor dan pengurus hartanah.
Kusuma Anggraini dan Dr Kusuma Puteri
Kusuma Anggraini dan Dr Kusuma Puteri bersama ibu bapa tercinta
CUCU RAJA JAWA
Barangkali tidak ramai menyedari bahawa pengasas Mustika Ratu, Dr. B.R.A Mooryati Soedibyo ini merupakan seorang cucu Raja Jawa yang juga digelar pahlawan nasional Indonesia, Sri Susuhunan Pakubuwana X.
Dilahirkan pada 5 Januari 1928 di Solo, Ibu Mooryati membesar di istana, atau keraton, di Surakarta yang sarat kebudayaan Jawa. Di sini jugalah beliau mengenal tumbuhan berkhasiat, meramu jamu dan kosmetik tradisional dari bahan semula jadi.
Nenda Ibu Mooryati merupakan pemerintah dari susuhunan kesembilan Kesunanan Surakarta (1893-1939) sekaligus menjadikan keluarga itu susuhunan paling lama memerintah dalam sejarah Surakarta.
Gelaran B.R.A pada pangkal nama Ibu Mooryati adalah singkatan kepada Bendara Raden Ayu yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan putera puteri Sultan, cucu cicit hinggalah generasi di bawahnya.
Merupakan cucu Raja Jawa yang disegani
Ibu Mooryati dan Putri Kuswinu Wardani
BERNIAGA
Cantik dan pintar. Begitulah gambaran masyarakat terhadap sosok Ibu Mooryati sejak dahulu lagi.
Beliau merupakan alumni Universitas Saraswati, Universitas Terbuka dan Universitas Sebelas Maret Surakarta. Bahkan gelaran Doktor diperoleh dari Universitas Indonesia dalam jurusan Ekonomi.
Bukan itu sahaja, Ibu Mooryati merupakan penerima gelaran doktor tertua di Indonesia dan tercatat dalam The Indonesia World Records Museum (MURI)!
Seorang yang pandai menari, wanita ini menikah saat usianya menginjak 37 tahun. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Soedibyo Purbo Hadiningrat pada tahun 1965, kemudian mengikuti suaminya bertugas di Sumatera Utara.
Ninik dan nendanya
Kecantikan cucu Ibu Mooryati mirip dirinya sewaktu muda
Sebagai suri rumah, Ibu Mooryati fokus terhadap tugasnya sebagai ibu anak lima. Sambil menjaga Djoko Ramiadji, Putri Kuswinu Wardani, Dewi Nur Handayani, Haryo Tejo Baskoro dan Yulia Astuti di rumah, beliau mengamalkan jamu setiap hari.
Siapa sangka, hobi minum jamu Ibu Mooryati menjadi ikutan wanita lain. Beliau menggunakan resipi asli Keraton Surakarta untuk meracik jamu dan kosmetik dari bahan alami.
Jamu racikan ini mula digemari dan mendapat banyak tempahan. Di situlah bermulanya idea untuk berniaga.
Tanpa mempedulikan komen-komen negatif, beliau merintis perniagaan jamu dari ruangan garaj di rumah. Waktu itu (tahun 1973) Ibu Mooryati hanya sekadar mempunyai modal Rp 25,000 (sekitar RM7) untuk membangunkan Mustika Ratu.
“Trahing kusumo rembesing madu, trahing sinatrio mustikaning ratu.” Peribahasa Jawa
Mengambil nama Mustika Ratu dari peribahasa Jawa, empayar Ibu Mooryati pun berkembang ketika umurnya 45 tahun. Dari bantuan dua orang pembantu menjadi 25 orang dan kemudian meningkat 50 orang. Kesemua pekerja ini mendiami rumahnya.
Ibu Mooryati mengilhamkan Taman Sari Royal Heritage Spa
Taman Sari Royal Heritage Spa berkembang pesat dan menawarkan layanan bagaikan di keraton
Ingat lagi nama-nama jamu Mustika Ratu yang pernah kita amalkan dulu? Antaranya Perawatan Remaja Putri, Perawatan Wanita, Kesepuhan dan Sepetan Sari yang sering dijual di toko-toko jamu dan salun kecantikan.
Tahun 1981, Ibu Mooryati membangunkan gedung sendiri hasil pinjaman bank berjumlah Rp100 juta untuk memajukan Mustika Ratu. Sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Maju terus dan memartabatkan produk tempatan Indonesia secara holistik.
‘Semangatmu, dedikasimu, karyamu dan kerja kerasmu akan selalu menjadi inspirasi yang berharga untuk wanita Indonesia’ Mustika Ratu
LEGENDA
Ibu Mooryati banyak menjalankan program di peringkat nasional dan antarabangsa dalam mengangkat sosok wanita yang kuat. Salah satunya pertandingan Puteri Indonesia yang berinspirasikan daripada acara Miss Universe yang dihadirinya pada tahun 1990.
Percaya bahawa wanita mampu memimpin dan menguruskan organisasi, beliau menerapkan prinsip Pemberdayaan Perempuan untuk mencapai kesamarataan gender.
Tak hairanlah syarikat beliau terpilih sebagai advocate dalam G20 EMPOWER serta menjadi antara 60 perusahaan di Indonesia dan antara 4,637 perusahaan di dunia yang tergabung dalam Women’s Empowerment Principle.
Kini meskipun Ibu Mooryati tidak lagi bekerja keras seperti dulu namun legasi Mustika Ratu terus menjadi kebanggaan rakyat jiran dan menjana ekonomi rakyatnya. Semoga segala jasa dan usaha keras wanita ini mendapat penghargaan sewajarnya!
Foto: Instagram @ninik102
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!