Sudah tiga tahun berlalu sejak pemergian Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd, Datuk Maznah Hamid. Wanita Inspirasi Nona ini, atau lebih dikenali sebagai Iron Lady telah menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) pada tahun 2017, selepas mengalami komplikasi jantung.
Kami berkongsi kembali coretan yang pernah ditulis oleh arwah kepada semua pembaca Majalah Nona…
============================
Saya melontar kata ini untuk pembaca jadikannya sebagai inspirasi, motivasi dan kesedaran kepada semua. Jika saya boleh, anda semua boleh! Tidak kira anda anak penoreh getah, pesawah padi atau siapa sahaja dari mana asal usulnya, paling penting apa akhirnya… dia boleh jadikan dirinya!
Saya tidak mahu wanita mudah yang mudah tertindas, merana ikut emosi sehingga hidup tidak teratur dan tidak bangun semula. Saya tidak mahu mereka mengalah dan harus bangun kembali berjuang supaya hidup ini dihadapi dengan kuat biarpun pelbagai cabaran. Kita perlu enjoy menikmati kehidupan dan hadapi cabaran untuk menjadi lebih kuat.
Saya orang kampung, bila ibu bapa bercerai saya dijaga oleh nenek sebagai cucu sulung. Saya juga dibesarkan dalam sawah bendang dalam suasana yang sememangnya tidak mengenali erti kekayaan atau kemewahan. Tetapi mungkin bagi sesetengah manusia, keadaan begini akan membuatkannya menjadi lemah dan pasrah. Namun saya jadikan keadaan ini sebagai satu rahmat untuk bangun berjuang, kebal dan ‘Never say die attitude’ akhirnya.
Dahulunya saya seorang yang sensitif, takut, pemalu dan tidak bijaksana. Saya seorang gadis biasa dengan kebiasaannya. Tetapi saya berikrar tidak mahu jadi sebegitu selamanya. Saya ingin mencipta 3k – kejayaan, kekayaan dan kesenangan. Itulah yang saya rasa perlu ubah segala-galanya. Saya keluar dari kepompong tersebut, lalu menjelajah dunia untuk belajar untuk memperoleh pelbagai ilmu bagi mencapai kejayaan.
Ads
Pada peringkat permulaan saya mula berniaga di awal 80-an, saya gagal untuk mendapat sebarang bantuan kewangan kerana saya seorang wanita. Kata mereka, ‘Maznah, you salah pilih bidang! Perempuan mana boleh buat perniagaan yang melibatkan senjata api dan sebagainya. Ini bukan mainan wanita, lelaki sahaja boleh berjaya.
Tetapi saya berdoa kepada Allah untuk memberi kekuatan kerana saya ingin buktikan kemampuan untuk melakukannya. Kerana saya percaya wanita seperti saya mempunyai nilai kejujuran, kepercayaan dan amanah yang tinggi. Inilah asas paling utama dalam pelaksanaan apa sahaja bidang perniagaan sekalipun selain daripada kuat untuk menghadapi cabaran.
Perniagaan saya ini melibatkan mereka yang ternama dan kaya-raya, menjaga keselamatan secara menyeluruh. Bukan mudah untuk melalui semua keadaan ini, … saya boleh berjaya daripada lelaki. Wanita kadang-kadang tidak faham keistimewaan dan keunikan yang Tuhan berikan.
Kekuatan dalaman yang diberikan tidak digunakan dan diperkuatkan. Wanita hanya melihat dia lemah fizikal atau beremosi mengikut perasaan, seharusnya wanita perlu cabar untuk menghadapi pelbagai cabaran di abad ke-21 ini…. Seperti saya, saya ingin menjadi wanita luar biasa, tidak mahu sama sekali dikatakan lemah, putus asa, ‘mandom’ dan ‘loy’ – loghat bahasa orang utara Kedah.
‘The best man for the job is a woman’ kata-kata ini setiap pagi saya baca. Ini kerana perniagaan utama saya ialah keselamatan, senjata api, kereta kebal dan monitor dengan penggunaan sistem teknologi terkini. Jadi orang ingat wanita hanya sesuai buat perniagaan tradisi seperti memasak, mengandam, menjahit dan sebagainya.
Ads
Saya ingin menjadi seorang yang luar biasa. Lelaki yang berada dalam dunia kerjaya wanita, akan menjadi hebat dan begitu juga wanita apabila berada dalam dunia lelaki, dia akan menjadi perkasa dan bertambah powerful. Jadi wahai wanita, keluarlah daripada bidang tradisi mu…
Saya bersyukur kepada Allah SWT telah mengubah keperibadian saya dahulu menjadi wanita perkasa disebabkan perniagaan saya ini. Sekarang karakter berani dengan kekuatan dalaman yang kuat, mempunyai personaliti yang tidak mudah ‘terancam tetapi ‘mengancam’. Tidak mudah tergugat tetapi menggugat.
Walau bagaimanapun, ciri-ciri perubahan ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dicapai. Ia tidak datang bergolek begitu sahaja, ia memerlukan latihan demi latihan, mengharungi pelbagai cabaran dan godaan yang tidak henti tanpa noktahnya.
Sebab itu saya percaya kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga. Kita haruslah berupaya untuk membuat persediaan yang rapi untuk mempunyai keupayaan mengharungi segala-galanya.
Ads
Namun saya tidak menafikan, sebagai wanita biasa, saya juga tidak terlepas untuk meluahkan perasaan sedih dengan menangis. Tetapi saya melatih diri saya untuk jangan menangis seperti dahulu, kecuali untuk perkara yang membantu saya.
Suami dan anak-anak saya, kalau saya menangis semua akan menjadi takut kerana saya jarang menangis. Tetapi kadangkala saya menangis mungkin kerana saya gembira bukan kecewa. Andai kata musibah berlaku dan kalau saya ingin menangis, saya akan masuk bilik kecil dan menangis sekurang-kurang sejam. Selepas itu saya akan menarik nafas dan memohon pada Tuhan untuk memberi saya kekuatan dan keluar untuk menghadapi cabaran dunia ini.
Jelas untuk menjadi wanita perkasa bukan mudah sebenarnya. Saya bersyukur kepada Allah S.W.T kerana memberikan saya seorang suami terbaik, Life partner, business partner and sleeping partner yang cukup memahami dan menghormati keistimewaan serta keunikan seperti saya.
Dan alhamdulillah, saya kini mengecap segala keseimbangan ini. Saya bersyukur perjalanan hidup saya sempurna sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan nenekanda yang terbaik… Dan kini saya ingin kembalikan segala-galanya kepada masyarakat untuk berjaya bersama.
DATUK DR. MAZNAH HAMID
Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah (dibaca) buat wanita besi ini….
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Baru meniti usia 12 tahun tapi bakat dan kepetahan anak Puteri Lily Lokman dan Aziz M Osman ini cukup terserlah. Gaya santai dan mesra Puteri Nur Azzahra atau lebih dikenali sebagai Ara Aziz menjadi tumpuan. Tidak hairanlah walau masih kecil, Ara sudah pun menerima tawaran sebagai pengacara televisyen kanak-kanak!
Cepat betul masa berlalu. Sejak kecil Ara sudah mula dikenali warga maya dengan perkongsian video tutorial mekap yang viral di media sosial. Gelagat dan telatahnya yang sewaktu itu berusia sekitar empat tahun membuatkan ramai terpikat.
Jelas terserlah bakat Ara beraksi depan kamera. Iyalah, anak pengarah dan penerbit filem!
Dalam temu bual Nona bersama Puteri Lily sebelum ini, dia memberitahu,“My daughter, Ara yang take over dan hosting. Saya juga banyak ajar dia macam mana nak jadi seorang pengacara dan sebagainya.
Saya masukkan dia macam-macam kelas termasuk public speaking to build up her confident and how to talk in front of camera. Semua tu bukan untuk saya tapi untuk dia sebab bapa dia pengarah, mak dia producer jadi dia ada advantage untuk ini.
Alhamdulillah Ara ada talent dan minat dia memang nampak lebih kepada bidang seni. Saya ni suka belakang tabir je bila depan tu, tak minat sangat.”
Mengikuti sesi persekolahan di sebuah sekolah antarabangsa, Ara memanfaatkan populariti yang diraih dengan mengusahakan jenama kosmetik miliknya, Ara Little Beauty yang turut dijual di pasaran Singapura dan Brunei.
Ara merupakan anak ketujuh Aziz M Osman bersama ibunya, Puteri Lily Lokman. Menerusi perkahwinan Aziz terdahulu, dia turut mempunyai enam orang anak.
Aziz dan Puteri Lily berkahwin pada 6 Jun 2010 namun dilaporkan berpisah pada Julai 2023. Selain Ara, mereka turut dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Muhammad Aryan Aziz berusia lima tahun.
Walau sudah bercerai namun Puteri Lily dan Aziz masih berkawan baik. Bahkan ketika menyambut Syawal baru-baru ini, kelihatan mereka meraikan Hari Raya bersama dengan anak-anak.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pasangan suami isteri iaitu Dr. Hafizah Md Salleh dan Dr. Ahmad Fahmi Dato’ Mohamad Bustaman merupakan pakar dalam bidang kedoktoran masing-masing.
Biarpun berbeza kepakaran, namun mereka menggalas amanah yang sama iaitu mendidik masyarakat agar menghargai kesihatan.
Kedua-duanya berusia 37 tahun. Hasil perkahwinan selama 13 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata berusia 12, 9 dan 7 tahun.
Dr. Hafizah merupakan doktor perubatan keluarga di sebuah hospital kerajaan. Anak jati Perlis ini pernah menuntut di Maktab Rendah Sains MARA Taiping seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Sains Malaysia (USM).
Dr. Hafizah juga baharu saja menamatkan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM). Sebagai doktor perubatan keluarga, beliau bertanggungjawab merawat pesakit dari pelbagai peringkat usia bermula bayi sehinggalah warga emas di samping memberi konsultasi kesihatan.
Sementara Dr. Fahmi pula dilahirkan di Kuantan, Pahang dan kini bertugas sebagai Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial. Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun ini merupakan graduan Universiti Sains Malaysia, University of Hong Kong dan Royal College of Surgeons Edinburgh Scotland.
Sebagai Pakar Bedah Mulut, beliau bertanggungjawab menjalankan pembedahan-pembedahan minor dan major di bahagian mulut dan muka. Bidang ini berbeza dengan pembedahan plastik kerana ia melibatkan tulang. Manakala pembedahan plastik melibatkan kulit serta otot.
MEDIA SOSIAL
Bagi pasangan ini, kerjaya doktor merupakan satu kelebihan buat mereka kerana mudah untuk saling memahami dan bertoleransi dalam segala hal. Apa yang penting ialah disiplin dan bijak membahagi masa.
“Jangan campur adukkan urusan kerja ketika di rumah. Dahulu saya sangat aktif dalam media sosial. Tanpa sedar ia mengambil banyak masa yang sepatutnya saya beri buat diri sendiri. Kini saya lebihkan masa untuk keluarga dan peribadi seperti bersukan serta membaca agar setiap masa saya dapat memperbaiki diri menjadi lebih baik.
Tidak dinafikan kini ramai yang popular dan berpengaruh di media sosial yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk doktor.
Hakikatnya apa yang dipaparkan di media sosial itu bergantung kepada niat kita. Jika anda seorang doktor dan hanya berniat untuk meraih populariti dan likes, tanpa sedar anda sebenarnya telah memalukan profesion kedoktoran yang merupakan satu tugas murni.
Tidak perlu menunjuk-nunjuk apa yang dilakukan kepada pesakit setiap hari semata-mata mahu mendapatkan populariti kerana ia tidak akan kekal lama. Lakukan tugas dengan ikhlas dan jujur. Populariti kita mungkin bukan di media sosial, cukup hanya di hati mereka yang telah kita bantu,” luah Dr. Fahmi.
Dr. Hafizah pula berpendapat, media sosial boleh dijadikan platform bagi mendidik masyarakat tentang kesihatan. Tidak salah untuk menjadi popular di media sosial asalkan apa yang dipamerkan dan disampaikan adalah benar. Tidak semuanya menunjukkan realiti sebenar. Maka sebab itulah Dr. Hafizah kurang aktif di media sosial.
“Sebagai isteri dan ibu yang bergelar doktor, jatuh bangun dalam kerjaya saya lebih kepada turun naik emosi. Ada ketikanya semangat saya merudum dengan beban kerja, tugasan belajar dan urusan keluarga.
Kadang-kadang hampir putus asa. Doa insan-insan sekeliling terutama keluarga menjadi pendorong buat saya bagi mengharungi segala cabaran.
Suami seorang yang istimewa kerana beliaulah pelengkap untuk setiap kelebihan dan kekurangan saya. Suami juga seorang bapa yang baik.
Sebagai isteri tipulah kalau saya kata tidak cemburu. Paling penting ada tempat istimewa buat saya dalam hatinya. Itu sudah cukup buat saya.
Untuk berjaya dalam karier jangan banyak mengeluh. Banyakkan bersabar dan bebas daripada hal negatif. Sentiasa berbuat baik dengan semua orang.
Walaupun ada pembantu rumah, tugas sebagai ibu dan isteri tetap diutamakan. Jika tidak sibuk, saya ambil peluang untuk memasak demi mengembirakan anak-anak dan suami,” kongsi Dr. Hafizah.
KANSER PAYUDARA
Menurut Dr. Hafizah, kesedaran tentang kanser payudara sangat penting kerana rawatan segera boleh diberikan jika kanser ini berjaya dikesan peringkat awal.
“Banyak saringan kanser payudara menerusi ujian mamogram ditawarkan di klinik kerajaan serta swasta. Wanita berusia 50 tahun ke atas atau sesiapa sahaja yang mempunyai risiko kanser digalakkan membuat saringan kanser payudara bagi mengesan kanser di peringkat awal.
Pengesanan dan rawatan awal memastikan rawatan terbaik dapat diberikan.
Kini ramai bekas pesakit kanser yang berjaya memberi inspirasi buat kaum wanita tentang pengesanan awal di samping berkongsi kehidupan selepas menjalani rawatan kanser.
Malang sekali bagi mereka yang masih menolak rawatan kanser payudara di hospital sebaliknya memilih rawatan alternatif yang kita tahu belum tentu selamat. Wahai wanita, sayangilah payudara anda,” jelas Dr. Hafizah. Amy Mohd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Di sebalik keperibadiannya yang tenang serta murah dengan senyuman, Nurul Alis Aidil Akhbar atau Kiki pernah melalui fasa ‘pedih’ dalam rumahtangga. Biarpun tiga kali pernah gagal dalam perkahwinan namun Kiki tak pernah serik untuk mencari cinta sejati.
Berkat kesabaran dan redha dengan ketentuanNya bekas pembaca berita televisyen ini yang cukup sebati dengan dunia permotoran berkuasa tinggi kini mampu mengukir semula senyuman bahagia apabila bergelar isteri kepada Brig Jen Dr Faizal Baharuddin yang merupakan Pegawai Memerintah 96 Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut. Ini merupakan perkahwinannya kali ke-4 yang baru menjangkau dua tahun.
DETIK PERKENALAN
“Sekitar tahun 2014 ketika saya menjadi wakil presiden Kelab Ducati Malaysia, suami juga menjadi ahli kelab. Waktu tu saya tak mengenalinya secara peribadi tapi tahu beliau seorang doktor.
Suami seorang yang sangat berani. Beliau bertemu terus dengan ibu dan kakak saya untuk melamar secara personally. Walaupun pada mulanya saya tak suka dengan caranya itu tapi kakak saya telah memberi keyakinan bahawa suami benar-benar ikhlas dan serius untuk menyunting saya sebagai isteri.
Kakak juga banyak beri nasihat kepada saya agar lebih terbuka dan jangan terlalu risau untuk membuat keputusan. Lupakan kisah lalu dan harungi masa depan dengan tenang. Just do it.. Selepas tu barulah saya yakin dan nampak keikhlasannya. Anak-anak pun dah besar dan boleh menerima. Paling penting doa agar semuanya dipermudahkan.”
TERPAKSA BERJAUHAN
“Suami sangat positif dan tak pernah mengeluh. Kami sedaya upaya cuba to make it fun. Kalau kebetulan turun ke Lumut, saya akan bertemu dengannya. Suami pula biasanya akan berjumpa saya dan anak-anak pada hujung minggu. Selalunya kami akan melakukan aktiviti bersama seperti menunggang motosikal atau buat short trip dalam negara bersama anak-anak.
Memandangkan saya seorang yang aktif dan tak boleh duduk diam, saya tiada masa nak fikir tentang sunyi tanpa suami. Kalau rindu atau ada apa-apa nak dibincangkan kami akan manfaatkan Skype, video call atau WhatsApp. Paling penting saling memahami, menghormati, percaya serta memberi dan menerima cara masing-masing.”
JAGA MAKAN DAN MASAK SENDIRI
“Saya memang jaga makan sejak dulu lagi. Waktu umur 20-an saya jarang makan di luar sebab suka masak sendiri. Masak ringkas-ringkas saja pun tak mengapa asalkan dapat masak sendiri. Segala jenis makanan ringan saya elakkan. Memandangkan saya asal Negeri Sembilan semestinya makanan pedas menjadi kegemaran. Saya juga amalkan makan buah dahulu sebelum makan nasi. Turut diamalkan ialah makan sayur-sayuran, ulam dan minum air putih secukupnya setiap hari.
Kalau nak tahu saya bukanlah seorang gym person. Namun saya pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya setiap hari. Manakala aktiviti hujung minggu pula semestinya riding bersama rakan-rakan mahupun suami agar sentiasa cergas dan dapat keluarkan peluh secara sihat.”
Kredit Foto: Instagram Nurul Alis Aidil Akhbar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.