Gaya Hidup

Majlis Cukur Jambul Pertama Ada Pentas Bergerak, Pelamin Ala Disneyland AREESYA MALAYKHA Cipta Sejarah!

Walaupun majlis cukur jambul permata hari Azrinaz Mazhar Hakim dan Fairos Khan ini sudah berlalu lebih dua bulan lalu namun kemewahan majlis tersebut masih diperkatakan hingga ke saat ini. Mana tidaknya, ia merupakan majlis cukur jambul pertama yang direalisasikan dengan pelamin carousel ala Disneyland bergerak! Untung Areesya Malaykha.

Mengulas kisah di sebalik tema fairytale, rupanya ia tercetus secara spontan. Ujar Azrinaz, “Awalnya saya tidaklah menekankan keajaiban dan tak terlintas langsung pun tema itu. Jadi dalam pada kami fikirkan tentang bentuk doorgifts yang sesuai, ternampak gambar carousel, maka saya dan pihak Glam terus mencadangkan carousel

sebagai pelamin.

Dan untuk menambahkan lagi keajaibannya, kita buat pelamin itu mampu bergerak seolah-olah Disneyland. Pada mulanya tak terlintas yang pihak Glam mampu merealisasikan usikan saya, tapi rupanya mereka ini pantang dicabar. Sebut sahaja apa, mereka mampu buat.

Dan saya amat berpuas hati kerana tidak ada sesiapa lagi yang pernah menganjurkan majlis cukur jambul mahupun perkahwinan dengan pentas yang bergerak.”

Difahamkan sewaktu awal perbincangan bersama pihak Glam Weddings menerusi Whatsapp, ibu Areesya Malaykha ini mengakui tertarik dengan pelamin hot air balloon yang pernah dilakukan oleh Glam Weddings. Namun, disebabkan ia pernah dibuat oleh klien lain… mereka akur untuk tidak mengulangi idea sama.

Mengimbas kembali kemeriahan majlis berkenaan, Azrinaz dan suami sepakat untuk meraikan momen istimewa itu di ballroom Shangri-La Kuala Lumpur. Sebaik memasuki ruang dewan, tetamu dikejutkan dengan dekorasi fairytale

yang digarap dengan sebegitu nyata. Sebuah carousel berkuda putih menunggu di ruang tengah, dikelilingi bunga-bunga segar, table centrepieces berkupu-kupu dan dua buah candy bars!

Ditanya tentang jemputan VVIP utama yang hadir, ibu berusia 40 tahun ini memanjatkan kesyukuran di atas kesudian mereka menyerikan majlis. “Kehadiran DYMM Tuanku Sultanah Terengganu dan Tun Dr Siti Hasmah amat saya hargai dan akan saya kenang sampai mati.

Seperti ibu bapa lain, semua ibu mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Bagi saya selain kasih sayang, saya mahukan anak-anak saya membesar dalam keadaan selesa dan sempurna di samping mendapat pendidikan terbaik.

Akan saya didik amanah Allah SWT ini dengan sebaik mungkin, membesar menjadi hamba yang solehah dan saya berdoa agar suatu hari nanti, Areesya Malaykha dapat berjumpa dengan abang dan kakaknya. Janji Allah itu pasti, insyaAllah,” kongsi Azrinaz.

Areesya Malaykha dilahirkan pada 15 September 2019 secara normal dengan berat 2.75 kilogram. Genap seminggu dilahirkan, Azrinaz dan suami sepakat mengumumkan nama anak mereka iaitu Areesya Malaykha selepas bayi perempuan comel tersebut selesai bertahnik. Upacara tahnik disempurnakan Ustaz Muhamad bin Abdullah Al-Amin dan dibantu Ustaz Mohd Hafeez di kediaman mereka.

 

 

 

 

Menurut Azrinaz, nama Areesya dalam Bahasa Arab membawa maksud tinggi dan kuat. Manakala Malaykha pula bermakna bidadari atau malaikat.

 

Kredit foto: Blackpepper Production

IKLAN
Share