
Bilik tidur yang selesa dan tenang membantu meningkatkan kreativiti serta semangat pembelajaran anak-anak. Jika boleh, realisasikanlah bilik tidur impian anak-anak anda. Jadikan bilik tidur bukan hanya tempat untuk beristirahat kerana ia boleh menjadi cermin peribadi pemiliknya.
Dekorasi bilik tidur dapat membantu seseorang itu merasa tenang dan kerap menghabiskan waktu di situ. Bukan hanya untuk orang dewasa, bahkan anak-anak juga mempunyai bilik tidur impian masing-masing. Berikut tema menarik bagi bilik tidur anak lelaki yang boleh dijadikan idea.
TEMPAT TIDUR SUSUN UNTUK 2 ANAK LELAKI
Bagi anda yang mempunyai dua anak lelaki, idea bilik tidur dengan susunan ini sangat sesuai.
SUPERHERO KEGEMARAN ANAK
Di mata anak lelaki, superhero adalah pahlawan buat mereka. Dengan tema ini, anak lelaki anda mungkin mempunyai daya imaginasi yang lebih besar untuk menjadi hebat dan kuat seperti superhero kesukaannya.
PERKEMAHAN
Agar anak-anak tidak merasa bosan, anda juga boleh menggunakan tema ini untuk kamar anak lelaki.
PLAYGROUND
Untuk idea yang lebih unik anda boleh mengubah suai ruang bilik tidur anak lelaki dengan tema taman permainan (playground) sekaligus menjadi tempat untuknya bermain.
DINDING UNTUK DICONTENG
Tema ini sangat sesuai untuk anak lelaki kecil yang gemar melompat. Dengan adanya dinding khusus untuk menconteng, anak anda dapat mengekspresikan serta mengembangkan kreativitinya secara bebas.
KATIL BERTINGKAT
Agar anak lelaki anda mempunyai ruang yang banyak, anda boleh memilih tema ini. Anda boleh memanfaatkan bahagian atas untuk tempat tidur anak dan bahagian bawah pula untuk ruang bermain atau belajar.
MINIMALIS
Sangat sesuai untuk bilik tidur anak lelaki yang tidak mempunyai ruang yang luas. Menggunakan perabot minimalis akan menjadikan bilik tidunya kelihatan lebih luas dan lapang.AMY MOHD
Tangisan Berdarah… Wanita Ini Kecam Ibu Bapa Yang Hantar Anak Sakit Mata Ke Taska, Tengoklah Akibatnya!

Selain kes penderaan, satu lagi ketakutan terbesar ibu bapa yang menghantar anak-anak ke taska adalah jangkitan penyakit.
Seperti insiden yang menimpa Puan Nurzahida Baharuddin ini, bayangkan bayinya dijangkiti sakit mata hingga terpaksa dibedah.
Kisah Puan Nurzahida atau Zaza, 33, seharusnya diberi perhatian serius kerana ia berisiko dialami oleh ibu bapa lain. Dengan niat mahu berkongsi pengalaman menakutkan itu, Zaza yang merupakan Penolong Pengarah Kastam Ibu Pejabat Putrajaya tidak keberatan bercerita tentang peristiwa tersebut.

==========================
Pagi tu macam biasa suami hantar anak sulung kami, Ryfzal Zachry (4 tahun) ke taska. Tiba-tiba cikgu taska call saya minta ambil anak sebab matanya tak boleh buka dan bengkak. Jadi saya pun terus ke sana dan bercakap dengan cikgu tersebut.
Kata cikgu taska, ada seorang murid yang terkena jangkitan mata tapi ibunya tetap degil mahu hantar anak ke taska. Tak lama kemudian, penyakit merebak ke murid-murid lain. Taska sendiri terpaksa kuarantin, siapa yang mahu hantar anak mesti sertakan surat doktor yang mengesahkan mereka bebas daripada sakit mata.
Anak kami tak terkecuali. Selepas dia dijangkiti sakit mata, berjangkit pula ke ibu bapanya. Kami suami isteri pun terpaksa diberi MC selama seminggu untuk berehat. Keadaan suami paling teruk, mata putihnya sampai merah macam drakula!
Mangsa terakhir yang kena adalah bayi kami, Ryfsha Laura, 1 tahun 1 bulan. Mulanya dia okey sebab kami cepat-cepat asingkan si abang tinggal di rumah neneknya di Nilai. Tapi saya masih ingat masa hari yang sama hantar abangnya, mereka berdua bermain dan makan satu pinggan yang sama.
Bila Laura kena sakit mata, tiba-tiba suhu badannya panas dan dia segera dihantar ke klinik swasta di Nilai. Doktor cuma berikan ubat titis mata dan ubat demam, yang kami berikan dari hari Isnin sampai Rabu. Keadaan matanya bertambah teruk apabila ia membengkak dan darah mula keluar dengan air mata.
Saya terus ke klinik kerajaan dan tunjukkan ubat-ubatan yang kami dapat di klinik swasta. Doktor di klinik kerajaan (Putrajaya) ni cakap, ubat tu tak sesuai untuk bayi berumur 1 tahun. Sebab tu mata Laura jadi makin teruk dan virus merebak dengan cepat sampai ia langsung tak boleh dibuka.
Kami diberi ubat titis mata baru. Saya pun pulang ke rumah dan nampak ada perubahan sikit pada mata Laura, walaupun masih bengkak. Yang saya kesalnya, doktor tu tak percaya yang ada darah keluar dari mata anak saya, jadi beliau langsung tak keluarkan surat rujukan untuk kami ke hospital besar.
Pada malam yang sama, kami suami isteri terkejut bila tiba-tiba Laura menangis dengan air mata darah yang sangat pekat. Meraung macam kena histeria! Kami ambil gambar cepat-cepat sebagai bukti dan dalam masa yang sama, Google cari maklumat bagaimana jadi begini.
Sempat juga call rakan-rakan doktor yang rapat untuk minta nasihat dan kebanyakannya minta kami tunggu sampai pagi untuk tengok keadaannya. Kami lap mata Laura dengan kapas dan bersihkan darah yang keluar hingga berhenti.
Awal pagi Khamis 21 Disember, suami saya Rasha Afzal Shafii, terus ajak ke wad kecemasan di Hospital Putrajaya. Doktor bertugas periksa Laura dan beliau terus bagi surat referral ke pakar mata. Jam 2.30 petang, doktor pakar sahkan mata Laura terkena jangkitan kuman dan ia telah merebak ke selaput matanya.
Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya masa tu. Takut. Cemas. Bimbang. Semua bercampur baur. Tengok doktor cuci mata dan letakkan ubat ke mata Laura pun saya dah kecut perut. Kami diminta datang semula esok untuk pembedahan minor bagi mengeluarkan selaput mata Laura yang dijangkiti. Allah, selaput mata?
Jumaat, 22 Disember. Seawal jam 8 pagi, doktor dah jalankan pembedahan mata Laura. Sebagai ibu yang melihat, saya sendiri menangis dengar tangisan anak, apa lagi nampak darah di matanya. Tak putus-putus bibir berdoa supaya Allah selamatkan bayi kecil kami.
Selepas pembedahan, Laura nampak letih sikit tapi alhamdulilah darah tak keluar lagi. Masa dia tidur, saya hubungi taska si abang dan maklumkan hal ini. Saya terkilan kerana pihak taska sepatutnya beri komitmen atau maklumkan pada ibu bapa bila ada budak sakit.
Jawab cikgu taska tersebut, sebenarnya jangkitan mata ni mula tersebar dari seorang budak 3 tahun. Budak ni dapat sakit mata selepas mandi dalam swimming pool, kemudian virus pun merebak bila dia hadir ke taska. Seramai 6 orang murid terkena jangkitan mata yang teruk termasuk ibu bapa murid seperti kami ni.
Saya tak sangka peristiwa ni terjadi pada kami sekeluarga. Nasihat saya pada ibu bapa lain, tolonglah ada rasa tanggungjawab terhadap anak-anak orang lain yang dihantar ke taska yang sama. Kalau anak sakit, janganlah degil nak hantar juga. Tengoklah akibatnya, orang lain yang menanggung!
Pihak taska dan sekolah juga mesti berkeras. Beri amaran jika ada murid yang sakit, jangan izinkan hantar ke taska sebab ia akan memudaratkan orang lain. Begitu juga kalau ke tempat-tempat awam macam restoran atau pusat membeli-belah. Elakkan sama sekali!
Bagi ibu bapa yang nak bawa anak-anak bercuti, pastikan dulu tempat tu selamat daripada jangkitan virus. Ingat, penyakit disebabkan virus ni senang merebak. Tengok air swimming pool bersih atau tak, kalau ragu-ragu lebih baik elakkan. Jangan kita bahayakan kesihatan si kecil.
==========================
Semoga perkongsian Zaza ini menjadi pengajaran kepada ibu bapa lain. Kadang-kadang kita fikir sesuatu penyakit tu tak berbahaya. Mungkin tak untuk orang dewasa, tapi fikirkan pula jika penyakit yang sama melibatkan bayi kecil seperti Laura.
Khabar terkini tentang Laura. Hari ini dia kelihatan semakin sihat dan sembuh. Zaza masih fobia untuk membawanya keluar rumah dan dia dinasihatkan tidak dibawa ke mana-mana selama 5 hari selepas pembedahan. Semoga keadaan bayi comel ni dan ibu bapanya kembali sembuh seperti sedia kala! Norzalina Mohd Alias

Nampak Saja Warak Tapi Belum Tentu IMAN TEBAL DI DADA, Ini Sebabnya Lelaki PERLU TEGAS Soal Agama

Ijab dan kabul adalah satu ikatan yang dijanjikan Allah dengan kebahagiaan. Masakan tidak, perhubungan tanpa ikatan halal ibarat mencampakkan diri ke lembah hina.
Setiap manusia diciptakan berpasang-pasangan, itu sesuatu yang klise didengar. Tetapi ramai juga berpendapat, semakin usia meningkat, jodoh pula semakin sukar ditemui dan akhirnya mereka membuat andaian, jodoh untuk mereka sudah mati.
Ramai berkahwin atas dasar cinta, ada juga yang berkahwin atas dasar jodoh tiba-tiba. Bahkan ada juga perkahwinan atas dasar paksaan. Tidak kiralah apa pun, kasih sayang pasti akan terbit jua sedikit demi sedikit.
Penulis menganggap, jodoh yang lambat tiba ini pasti ada hikmahnya. Penulis terus berdoa agar satu hari nanti, Allah utus seorang lelaki yang boleh membimbing dan memandu penulis ke jalan Allah.
Sementelah itu, penulis banyak melihat dan mendengar kisah-kisah teman yang sibuk bercerita mengenai kehidupan rumah tangga mereka. Ada yang melayan suami seadanya dan ada yang memartabatkan suami setinggi-tingginya. Subhanallah, teringat satu cerita yang pernah diceritakan kepada penulis satu ketika dahulu.
Fatimah, seorang pensyarah berkelulusan dari Mesir cukup baik orangnya. Pada mata penulis, dialah wanita, isteri dan ibu yang amat solehah. Penampilannya sopan, dengan tudung labuh serta baju kurung ringkas. Dalam setiap baris kata disampaikan dengan cukup lembut. Tapi kebaikannya ini rupanya hanya topeng semata-mata.
Di rumah, Fatimah mempunyai karakter yang cukup berbeza terutama apabila berhadapan dengan suaminya. Fatimah dan Ikram berkenalan sewaktu sama-sama belajar di Mesir.
Atas desakan kemiskinan keluarga Ikram, dia terpaksa berhenti dan pulang ke Malaysia. Sukar mencari pekerjaan stabil ketika itu dan Ikram perlu terus membantu keluarga. Dia pernah menjadi buruh, mengambil upah mencuci kereta malah dia juga bekas pengawal keselamatan.
Kerana sayang, sekembalinya Fatimah ke Malaysia selepas tamat pengajian, Ikram melamar mereka dan di situlah bermulanya satu kisah baru. Masa tu, Ikram sudah pun menjawat jawatan eksekutif di sebuah kilang. Tetapi perbelanjaannya sering genting.
Fatimah? Langsung tidak peduli akan perbelanjaan rumah. Yang dia tahu, urusan rumah adalah tanggungjawab suami. Setiap kali Ikram memohon bantuan, Fatimah mula ‘mengajar’ dengan dalil-dalil agama, membuatkan Ikram bagai terkunci untuk berkata-kata.
Sudahlah tidak mahu membantu, Fatimah demand macam-macam dari Ikram. Kereta mewah, barang kemas mahupun keperluan mewah lain. Ikram umpama lembu dicucuk hidung menurut sahaja kemahuan Fatimah. Dapat sahaja gaji, habis digunakan untuk membayar hutang.
Senang cerita, Ikram mengamalkan pepatah ‘biar papa asal bergaya’. Ya, masih ada lagi lelaki yang tidak ‘buka mata’ mengenai hal ini. Yang si isteri pun, langsung tidak ada hati dan perasaan. Nampak ini nak, nampak itu mahu.
Tanpa pengetahuan Fatimah, Ikram meminjam wang dari keluarganya, untuk menutup lubang-lubang hutang pada orang lain. Entah macam mana, satu hari rahsia Ikram terbongkar apabila ada seseorang yang menyampaikan berita ini ke pengetahuan Fatimah. Bagai petir di langit, segala kata makian singgah pada Ikram.
Fatimah terlalu malu atas apa yang berlaku. Ikram tiada pilihan dan terus mengakui kesilapannya. Rupanya keluarga dan saudara-mara sudah mengetahui keadaan ekonomi rumah tangga mereka yang sangat goyang tetapi Fatimah dan suami masih memotret kehidupan senang-lenang.
Mana mahu dibuang rasa malu itu. Suami sama naik, demi memenuhi impian isteri sehingga lupa tanggungjawab yang sebenar sebagai ketua keluarga.
Dia juga mula naik berang dengan sikap Fatimah. Dirasakan umpama seorang suami dayus. Tidak dididiknya Fatimah dengan baik. Sayang sungguh kerana Ikram cukup menjaga solat tetapi dia tidak pernah menegur isterinya yang solat hanya apabila memerlukan bantuan Allah! Anak sudah berderet tetapi solat tidak dijaga.
Sakit hati bila teringat kembali kisah mereka, semuanya terhenti di situ dan penulis tidak lagi mendengar khabar berita pasangan ini setelah mereka berpindah entah ke mana. Benar Fatimah nampak seperti figura penuh kelembutan dan Muslimah tetapi itu belum cukup untuk mentafsir sedalam mana kasih sayangnya pada suami dan paling penting, sayangnya pada Maha Pencipta! KR
Akibat Kufur Nikmat, Kemewahannya Ditarik SEKELIP MATA! Kisah Wanita Kaya Ini Cukup Menginsafkan

Datin Azie, pemilik butik pengantin tersohor di Kota Bharu. Perniagaan yang dimilikinya hasil daripada titik peluh dia dan arwah ibunya. Dari butik yang hanya beroperasi dari rumah 30 tahun lalu kini dia memiliki butik sendiri.
Sebut sahaja namanya, orang sudah tahu di mana butik pengantinnya berdiri megah. Pendek kata, ceritera Datin Azie cukup membanggakan tetapi penghormatan terhadapnya tidak pernah datang dari penduduk kampung.
Kata orang, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. Berbeza dengan Datin Azie yang sentiasa mendongak langit. Dia tidak bercampur dengan penduduk kampung, jauh sekali menghadiri majlis keraian yang diadakan.
Rumah umpama syurga baginya, tidak perlu dia menjengah ke laur lagi kerana segala-galanya ada. Pulang dari butik, dia mengunci pintu di dalam ‘istana hinggap’ yang dibina hasil titik peluhnya.
“Kenapa ada orang tua depan rumah ni?” bisik hati Datin Azie suatu hari. Dari jendela bilik tidur kelihatan seorang wanita berpakaian lusuh mundar mandir di hadapan rumahnya.
“Ima, cuba pergi jenguk siapa di muka pintu. Menakutkanlah!” diarahkan pembantu rumah melihat tetamu yang tidak diundang itu.
Rupa-rupanya, ibu saudara Datin Azie datang menyinggah. Wajah pucatnya bagai mengunci perasaan yang lama terpendam. Kehadiran Mek Na ada hajat. Hujan yang turun lebat hampir seminggu lamanya ini telah menenggelamkan keseluruhan rumahnya. Dia ke situ dengan menumpang kenderaan sukarelawan yang datang membantu mangsa banjir.
“Sejak bila Mek ingat akan saudara mara ni? Selama ini tak pernah pun bertanya khabar tiba-tiba muncul depan rumah saya. Mek nak apa?” kasar bunyi perbualan Datin Azie. Barangkali dia lupa adab berbahasa.
“Mek minta maaf kerana selama ini Mek tak pernah telefon Azie. Tapi Mek ada suruh budak-budak ni telefon tapi tak dapat. Azie tukar nombor telefon ke?” lembut balas Mek Na.
“Mek minta maaf la Azie. Sungguh Mek rasa bersalah. Mek datang ni sebab Mek nak tumpang tidur sini. Rumah Mek nak tak ada apa-apa lagi. Hanya tangga kayu yang ada. Anak-anak semua ada di sekolah, tempat tinggal untuk mangsa banjir. Mek minta tumpang orang datang sini sebab Mek nak minta bantuan Azie. Mek nak tinggal sini. Mek dah tak ada siapa-siapa lagi. Rumah Mek hanya tinggal tangga. Pakcik Kadir pula hanyut dibawa arus.”
Gugur air mata Mek tidak dapat tertahan lagi. Tubuh Mek yang kurus menampakkan urat tangan yang ketara tatkala tangan itu mengusap air mata yang mengalir. Rumah pusaka milik keluarga hanya tinggal rangka. Haiwan ternakan semuanya musnah. Selama dua hari dia tidur di perhentian bas kerana terperangkap. Hanya doa dan selawat menjadi ‘makanan dan minuman’ untuk menempuh hari-hari sebelum dia diselamatkan sukarelawan. Hanya kasih Azie diharapkannya kini.
“Hari ni Mek tidur la sini. Esok saya kerja. Saya hantar Mek ke pusat mangsa banjir semula. Susah kalau Mek tinggal sini. Banyak hal lagi saya perlu selesaikan.” Bongkak suara Azie membuatkan Mek tergamam. Tidak sangka sikap Azie begitu angkuh. Namun Mek akur. Dia kembali ke sekolah, pusat mangsa banjir dan terus menadah tangan memohon bantuan Yang Maha Esa.
Selang tiga hari selepas itu, seluruh Kota Bharu ditenggelami banjir. Azie bukan sahaja kehilangan harta benda malah anak-anak yang berada di Kuala Lumpur senyap tanpa berita. Berkali-kali dia cuba hubungi mereka tetapi gagal. Dia kini berada di salah sebuah penempatan banjir. Dia banyak memencilkan diri. Hanya khemah yang diberikan mendapat ‘mandat’ sebagai syurga barunya.
“Hello Azman. Mama ni. Kenapa Man tak angkat call Mama? Man boleh ambil Mama kat sini tak?” suara Azie tersekat-sekat, menahan sebak.
“Sana banjir teruk kan Mama. Susahlah Man nak ambil. Jalan tutup sana sini. Abang dan kakak pun kata susah nak jemput Mama. Mama ok kan tinggal di penempatan banjir tu? Ma, sempat selamatkan apa-apa dari rumah?” tanya Azman.
“Tak nak. Mama cuma selamatkan diri. Air naik terlalu cepat. Butik Mama pun hanya nampak bumbung je!” makin rancak deraian air mata Azie jatuh ke bumi. “Mama tak suka duduk di sini Man. Man carilah jalan jemput Mama…”
“Man keluarkan semua duit Mama dalam bank ya. Kad ATM Mama ada pada Man. Man rugi teruk dalam business ni Mama. I’m so sorry Mama. Thank you.” Talian diputuskan. Azie cuba hubungi Azman semula tetapi gagal.
Kemusnahan banjir yang menenggelami sebahagian besar Pantai Timur sudah mula surut namun kerosakan teruk bagai sukar dibaiki lagi. Sehingga kini, tidak ada seorang pun anak-anaknya cuba menghubungi Azie. Dia sedar, dia sedang menerima hukuman dari Allah.
Sejak Azman dan adik-beradik lain masih kecil, Azie tidak pernah ada bersama mereka. Arwah suami Azie iaitu Datuk Husin yang menjaga anak-anak.
“Kalau bukan kerana duit saya, awak tidak berpangkat seperti sekarang. Sebagai balasan, awak ambil alih tanggungjawab saya di rumah. Jangan biar anak-anak minta satu sen dari saya kerana sebagai suami, awaklah pemberi duit kepada mereka. saya tidak halalkan satu sen pun duit saya untuk kegunaan rumah dan anak-anak. Kalau isteri tidak halalkan, maka awak tidak berhak ke atas duit pencarian saya.”
Nah! Itulah pembalasan yang Allah berikan kepada Azie. Dia berdiri tegak di hadapan rumahnya yang rosak teruk. Dia keseorangan. Di tepi tembok rumah, Azie bersimpuh. Dia hilang segala-galanya. Entah apa yang akan berlaku kepadanya selepas ini. KR