Rambut kita sama hitam, tapi hati lain-lain. Walaupun zaman sekarang, jelas dan terang rambut pun dah macam-macam warna.
Dalam usaha kita menggapai cita-cita dan ingin berjaya dalam kehidupan pasti ada segelintir manusia yang biasanya punya niat cemburu, tak senang duduk dengan apa yang orang lain dapat. Tak kisah la yang berniaga gorang pisang atau punya empayar perniagaan jutaan ringgit, pasti ada tak senang duduk melihat rezeki orang lain.
Begitulah lazimnya warna kehidupan. Bagi Makcik Kiah yang dalam usaha memperbaiki peribadi dan meningkatkan ekonomi keluarganya dengan berniaga, juga tidak lari dengan kritikan-kritikan yang pedas dan pahit. Ada juga sesekali dapat cemuhan dan hinaan dari orang lain. Tambahan pula perniagaan Makcik Kiah sekarang viral.
Kalau hujung tahun ini, Makcik Kiah naik pentas terima anugerah NONA SUPERWOMAN AWARD 2020 sebaris bersama wanita sukses lain, pasti lagi banyak yang panas dengan kecemerlangannya.
Ads
Ini bukannya omong-omong kosong kerana ada segelintir manusia yang sentiasa tidak puas hati dengan pencapaian orang lain. Patutnya diambil kejayaan Makcik Kiah itu dari sudut yang positif, belajar dan bersaing dengan sihat untuk maju bersama, namun sebaliknya ada tompok hitam dalam hati mereka.
Golongan ini tidak pernah duduk diam mengkritik dan mungkin sampai ke liang lahad. Sekuat-kuat Makcik Kiah dalam mengharungi kehidupannya, ada masa dia terduduk menangis sendiri. Sedih hatinya bukan kerana apa, kecewa dan sedih dengan sikap manusia yang sebegitu. Bagi Makcik Kiah, manusia begini tidak akan ke mana pencapaian hidupnya.
Percayalah orang yang duduk di atas tanah tidak akan pernah jatuh. Adanya mereka yang marah, kesal, cemburu atau sakit hati itu adalah kerana kita punya lebih daripada mereka dari segi kebaikan, ilmu, sifat peribadi dan harta benda. Mereka tidak selesa dan senang melihat apa yang kita miliki.
Ads
Oleh itu, Makcik Kiah bangkit memperkasakan mental dan fizikal. Kuatkan kesabaran dalam hati serta tanamkan semangat yang positif dan ikhlas dalam usaha untuk terus melangkah ke hadapan. Makcik Kiah bersikap seperti batu karang, tetap kukuh berdiri meski diterpa ombak kuat yang menderanya setiap saat.
Makcik Kiah tidak mudah terpengaruh oleh kritikan atau cemuhan mereka, jika dibiarkan terpengaruh dengan suasana negatif itu, sepertinya membiarkan diri dikotori dan mencemarkan kehidupan sendiri.
Ads
Makcik Kiah menjawab dengan setiap perilaku negatif mereka itu dengan terus menunjuk akhlak yang baik. Bagi Makcik Kiah, kritikan mereka yang menyakitkan itu adalah satu penghormatan untuk diri sendiri. Semakin tinggi darjat dan kedudukan seseroang itu, maka akan semakin pedas pula krtikan yang diterima.
Makcik Kiah tidak mampu untuk menutup mulut mereka, menahan gerakan lidah atau menghentikan tangan mereka yang pantas memberi komen negatif di sosial media. Yang Makcik Kiah mampu hanya masuk telinga kiri dan keluarkan di telinga kanan, bersikap acuh tak acuh dengan kritikan tidak membina sambil medoakan kesejahteraan untuk semua. Kebiasaannya Makcik Kiah hanya diam seribu bahasa dengan cara memperbaiki akhlak dan meluruskan kembali kesilapan yang mungkin dibuat.
Kita sedar tidak semua manusia boleh menerima atau mencintai diri kita dan terhindar dari dicela. Jangalah kita berangan terlalu jauh. Tetapi kita untuk diri sendiri kita perlu tanamkan smengat dalam diri agar sentiasa lakukan yang terbaik, jaga peribadi, bersikap jujur dan ikhlas dalam kehidupan. Pesanan terakhir Makcik Kiah untuk jadi orang berjaya laluannya bukan mudah seperti apa yang orang sekitar nampak. Bila sudah berjaya, kekuatan itu perlu dipergandakan kerana lebih banyak dugaan yang hadir. Kiffy Razak
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bangga bila wanita Malaysia mampu ‘bawa’ masakan tempatan ke persada antarabangsa. Secara tidak langsung berjaya mempromosikan budaya dan tradisi negara kepada dunia. Sememangnya usaha Diana Chan dalam dunia kulinari bukan saja memberi manfaat buat diri sendiri. Malah mengangkat juadah Malaysia agar lebih dikenali ramai.
Bagi mereka yang meminati dan mengikuti perkembangan dunia masakan sudah pasti mengenali sosok tubuh selebriti chef yang anggun ini. Wanita bernama Diana Chan mula menempa nama setelah berjaya merangkul gelaran juara pertandingan MasterChef Australia musim ke-9.
Ia sekali gus melayakkan wanita kelahiran Sitiawan, Perak ini membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah AUD250,000 bersamaan dengan RM834,000.
Meskipun sudah hampir lima tahun berlalu namun pertandingan yang berlangsung pada tahun 2017 itu telah melonjakkan nama Diana Chan. Difahamkan dia yang dibesarkan di Johor Bahru sejak usia tiga tahun turut diberi peluang beraksi dalam rancangan masakan termasuk Unplated with Diana Chan di SBS Food Channel.
Terpegun melihat anak Malaysia ini menghidangkan sajian yang begitu istimewa. Terbaharu, Diana menerusi media sosial miliknya turut mempromosikan keenakan kuih tradisi, Kuih Lapis!
Mengimbas kembali pembabitan Diana Chan, dia mula berpindah ke Australia pada usia 18 tahun untuk menyambung pelajaran di Deakin University dalam jurusan perdagangan. Selepas menamatkan pengajian Diana diberi peluang bekerja di sana sebagai akauntan.
KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Tenun Pahang Diraja yang julung kalinya diadakan di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London, United Kingdom sempena London Craft Week (LCW) bermula pada 9-15 Mei 2022.
Lebih 300 koleksi Tenun Pahang Diraja hasil kerja tangan banduan dari Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang dipamerkan, termasuk pilihan pakaian Seri Paduka Baginda sendiri, serta koleksi rekaan dan tenun peribadi.
Bertemakan “Menyulam Harapan” (Weaving Hope), pameran turut menampilkan fabrik arkib dari Muzium Pahang dan koleksi baju kurung dan samping Riau-Pahang serta penenun yang merupakan bekas banduan penjara.
Seri Paduka Baginda yang juga penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja menzahirkan harapan agar ianya bukan sahaja menghidupkan Tenun Pahang, malah mempertahankan kelangsungan seni tenun, di samping memberi sinar baharu kepada banduan menerusi program tenunan penjara.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Jabatan Penjara, Institut Kraf Negara dan jabatan berkaitan, kerana ‘memberi harapan dan peluang kedua’ bukan sahaja untuk industri tenunan tertua untuk terus hidup, malah juga untuk membina kehidupan baharu bagi banduan.
Diterajui Seri Paduka Baginda, majlis dan pameran dianjurkan oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara, Muzium Pahang dan Kraftangan Malaysia.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan delegasi pada 10 Mei 2022 di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London, United Kingdom. YAB Perdana Menteri kemudiannya melawat Pameran Tenun Pahang Diraja. Seri Paduka Baginda berkenan memberi penerangan kepada YAB Perdana Menteri berkenaan pameran tersebut.
Menurut YAB Perdana Menteri, beliau rasa bangga dengan sambutan memberangsangkan Pameran Tenun Pahang Diraja kerana ia melibatkan hasil kreativiti penghuni Penjara Penor dan Bentong di Pahang.
Beliau berkata program tenunan seumpamanya boleh ditambah baik termasuk dari segi latihan dan kemahiran serta mendapat sokongan orang ramai.
YAB Perdana Menteri turut percaya lebih banyak pendidikan latihan teknikal dan vokasional dalam industri tekstil negara akan dapat diwujudkan pada masa hadapan di dalam negara khususnya di negeri Pahang.
Hadir sama di majlis pelancaran ini, Menteri Luar, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Zakri Jaafar; Komisioner Jeneral Jabatan Penjara, Dato’ Nordin Muhammad; Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim dan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Istana Negara
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nama Mekyun semestinya tidak asing lagi di kalangan warga maya terutamanya pengguna TikTok. Gadis cantik berbangsa Cina ini mula menjadi perhatian ramai setelah video yang memaparkan dirinya fasih berbahasa Melayu dan dialek Kelantan tular di TikTok tahun lalu.
Menariknya, kebanyakan koleksi videonya adalah di dalam Bahasa Melayu dan dialek Kelantan. Sesekali turut diselitkan video dia berbahasa Inggeris.
Mekyun yang aktif di TikTok dan Instagram sering berkongsi pelbagai jenis kandungan video kreatif sama ada tentang dirinya mahupun kisah-kisah anak muda masa kini. Namun ianya lebih menjurus kepada kisah inspirasi. Ternyata, Mekyun bijak memanfaatkan platform media sosial yang bukan hanya berbentuk hiburan semata-mata.
Memiliki wajah pour Chinese look, Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee yang kini berusia 25 tahun berjaya meraih lebih 540, 000 pengikut di TikTok.
Selain fasih bertutur dalam Bahasa Melayu dan dialek Kelantan, anak bongsu dari tiga beradik ini turut menguasai bahasa Thailand dan Hokkien. Ibunya berasal dari Lundang manakala bapanya dari Rantau Panjang, Kelantan.
Salah satu sebab Mekyun fasih berbahasa Melayu ialah sejak kecil dia dibesarkan dalam komuniti Melayu selain dihantar ke Tabika KEMAS, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.
Bukan Mekyun sahaja yang fasih berbahasa Melayu bahkan seluruh ahli keluarganya juga. Pernah menetap di Kelantan selama hampir tiga tahun ketika di bangku sekolah serta berjiran dengan masyarakat Melayu memberi kelebihan kepada Mekyun.
Menurut Mekyun yang pernah membintangi filem Hantu Mok Joh, ramai sebenarnya yang salah sangka dan menganggap dirinya orang Melayu. Malah, ada juga yang meggelarnya ‘Melayu free hair’ sewaktu di sekolah dahulu.
RAIH 2 ANUGERAH CEMERLANG Baru-baru ini, Mekyun yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda jurusan Fakulti Kejuruteraan Elektrik ini menerima dua anugerah terbaik pada Istiadat Konvokesyen ke-21 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) iaitu Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik.
Mekyun yang kini bertugas sebagai Eksekutif Growth & Culture di syarikat penerbangan AirAsia berkongsi rahsia kejayaan. Salah satunya ialah sentiasa berusaha membahagikan masa dengan sebaik mungkin agar pengajian tidak terjejas. Di samping itu, dia juga sering berkongsi kata-kata motivasi buat para pelajar di media sosialnya.
Mekyun turut menjadikan bapanya, Dato’ Wee Han Siew sebagai sumber inspirasi dalam mengejar impian dan kejayaan.
Memetik kata-kata Mekyun kepada Sinar Bestari, “Saya tidak mahu abaikan tanggungjawab sebagai pelajar walaupun pada ketika itu saya aktif sebagai Digital Content Creator,” jelas Mekyun yang pernah meraih keputusan 4 flat dan menerima beberapa anugerah emas dan perak ketika menyertai pertandingan bertemakan penyelidikan dan inovasi.
Kredit Foto: Instagram Mekyun
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!