
Nampaknya minggu lalu ibu kota Kuala Lumpur disajikan dengan pelbagai persembahan hiburan berskala besar yang melibatkan artis dari negara jiran. Usai Konsert Ulang Tahun Ke -30 Kumpulan Dewa 19, konsert Faztival Fazura pula mengambil tempat.
Konsert tersebut telah menggabungkan beberapa nama besar dalam industri hiburan termasuklah Dato M.Nasir, Ella, Ruffedge dan beberapa barisan selebriti lain.
Antara selebriti yang mencuri tumpuan tentulah Ahmad Dhani dan Mulan Jameela yang turut diundang membuat persembahan.
Kemunculan penyanyi terkenal Indonesia, Mulan Jameela di konsert tersebut mencuri tumpuan apabila tampil sopan dengan busana merah dan tudung yang menutupi bahagian dadanya. Ternyata ramai penonton terpukau dengan penampilan Mulan dengan imej terbaharunya itu.
Biarpun penampilannya sudah berubah, namun ketika Mulan mempersembahkan lagu hitsnya, Makhluk Tuhan Paling Seksi, ternyata ia tidak menjadi halangan untuk Mulan memberikan persembahan terbaik dan penuh bertenaga untuk menghiburkan para peminat.
Lontaran vokal Mulan sewaktu menyampaikan lagu popularnya itu harus diberikan pujian kerana Mulan mempunyai kekuatan vokal yang baik serta cukup bertenaga walaupun usianya sudah mencecah 43 tahun!
Jika sebelum ini peminat mengenali peribadi Mulan kerana penampilannya yang seksi, kini kompas hidupnya berubah. Baju yang selama ini ‘melekap’ di tubuh kini longgar tanpa mengikut bentuk badan, gaya tudungnya pula labuh dan mematuhi syariat Islam selain lengkap mengenakan stokin kaki dan tangan. Memang menepati ciri-ciri wanita muslimah sebenar. Untung Ahmad Dhani! Untuk rekod, Mulan mula berhijab penuh selepaspulang dari Palestin pada tahun 2019.
Selain bergelar selebriti, Mulan turut menyandang status sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). Mulan dikurniakan dua cahaya mata menerusi perkahwinan pertama bersama Harry Nugraha iaitu Tiara Savitri dan Muhammaf Rafly Aziz. Selain Safeea, Mulan juga mempunyai anak lelaki, Muhammad Ali, hasil perkahwinannya bersama Ahmad Dhani.
Kredit Foto: Instagram Mulan Jameela
Mahu PAHALA SOLAT Sebagai Seorang Isteri, Ini Sebabnya Datin Rapidah Terima Lamaran Datuk Jalaluddin Hassan

Cara terbaik untuk melupakan adalah dengan mengikhlaskan. Dan cara menerima kehilangan adalah dengan bermula sekali lagi.
Setahun berlalu semenjak pemergian Datin Hashimah Aksan ke rahmatullah. Kisah arwah sebagai seorang isteri yang taat, pernah membuatkan banyak air mata tumpah mengenangkan pengorbanan teragungnya terhadap suami dan anak-anak.
Datuk Jalaluddin Hassan sendiri pernah rebah di pusara. Bayangkan bagaimana perasaan kehilangan yang ditanggung… Saban hari berzikir dalam sunyi dan rindu, dengan telekung arwah yang terlipat kaku di tepi tikar sejadah. Itulah temannya.
Bukan seorang dua yang menggesa pelakon veteran itu agar mencari pengganti. Bukankah hidup perlu diteruskan?
Maka apabila Datuk Jalaluddin Hassan sendiri merelakan hatinya untuk diisi, keputusan beliau memilih seorang ibu tunggal beranak empat dari Melaka dilihat sebagai keputusan paling matang dan bukannya berlandaskan kepuasan duniawi semata-mata. Paling tersentuh bila beliau mengaku terpaut pada wanita itu kerana mirip sifat arwah isteri tercinta!
Berita pernikahan beliau dengan Yong Rapidah Haji Abd Ghani pada Ahad lalu, menarik perhatian Nona untuk menyelami kisah percintaan kilat pasangan ini. Dengan izin Datuk Jalaluddin, Nona menghubungi Datin Rapidah sendiri bagi mengenali wanita istimewa yang bertakhta di jiwanya. Tepat bagai dijangka, orangnya sangat peramah dan penuh sifat keibuan!
Ramai sudah tahu sejarah perkenalan anda berdua di Facebook, tapi tak banyak kisah tentang diri Datin sebelum ini. Boleh ceritakan?
Takde yang menarik pun (ketawa). Dulu saya pernah berkhidmat dengan PERODUA di bahagian jualan, sebelum meletakkan jawatan pada tahun 2013 untuk menjaga ibu yang sedang sakit jantung. Kami menetap di Serkam, Melaka.
Saya mengenali nama Datuk Jalaluddin Hassan sebagai seorang pelakon terkenal. Walaupun tak mengikuti perkembangan artis, tapi dulu saya pernah terjumpa beliau bersama arwah isterinya di Istana Budaya. Kebetulan abang saya iaitu Lokman Haji Abd Ghani adalah seorang penggiat teater dan pengarah. Mereka juga berkawan rapat.
Sebenarnya walaupun bermula di Facebook, tapi kami tak pernah chatting pun. Selama tiga bulan, dia hubungi saya melalui Whatsapp saja dan suatu hari, dia menyatakan hasrat mahu melamar melalui abang saya (Lokman). Jadi kami pun atur pertemuan untuk berjumpa di rumah abang dan itulah pertama kali kami duduk face to face berbincang hal ni.
Keistimewaan Datuk Jalaluddin di mata Datin?
Alhamdulilah, saya melihat perkahwinan ini sebagai sambungan daripada arwah isterinya untuk menjaga dan mengasihi suami kami. Suami saya banyak keistimewaannya, ia terlalu panjang kalau mahu diceritakan satu persatu. Tapi saya pandang beliau sebagai amanah dari segi tanggungjawab dan kasih sayang.
Dengan jarak perbezaan umur yang ketara, apa yang membuatkan Datin terdorong berkahwin dengan lelaki yang lebih berusia?
Saya yakin ini ketentuan Allah. Betul, memang jarak umur kami 18 tahun, tapi kami masing-masing sudah mempunyai anak menantu serta cucu-cucu daripada perkahwinan lalu. Memandangkan saya ibu tunggal dan dia pun telah setahun kehilangan isteri, jadi ikatan perkahwinan ini dilihat dapat mengisi ruang-ruang hidup kami yang kosong.
Berbeza dengan pasangan muda yang pastinya berkahwin untuk mengembangkan zuriat atau mengelakkan perbuatan maksiat, kami pula berhasrat untuk menjadi teman hidup yang dapat saling menjaga dan menemani perjalanan hidup ini sampai ke akhir hayat.
Penerimaan anak-anak?
Jika dicampurkan, jumlah anak-anak kami ada 12 orang semuanya. Anak saya empat orang dan suami ada lapan orang. Saya juga ada tiga menantu dan suami lima menantu. Jadi bila berkumpul, memang besarlah keluarga kami sekarang. Dari situ saya nampak penyatuan silaturahim yang sangat akrab.
Saya bersyukur sebab anak-anak kami semua memberi restu terhadap perkahwinan ini. Kalau nak tahu, persiapan dari segi hantaran dan baju nikah yang kami berdua pakai ini pun diuruskan oleh anak-anak. Nampak betul kegembiraan di wajah mereka apabila kami berkahwin. Mereka cakap, ‘Solat seorang tak banyak pahala. Lebih baik saya solat sebagai seorang isteri, lebih besar dan banyak pahala.’
Sebab tu saya reda dan yakin bahawa pertemuan itu adalah kerja Allah. Selepas berkahwin, saya harap kebahagiaan ini akan berkekalan sampai ke hujung nyawa. Doa saya semoga kami sama-sama dapat ke syurga, insyaAllah sentiasalah berusaha ke arahnya.
Tip kebahagiaan yang boleh dikongsi?
- Selalu berterus terang. Maklumlah kami berdua mesti banyak berbincang sebab keluarga besar.
- Kasih sayang dan perhatian mesti dipupuk setiap hari, without failed.
- Beri layanan terbaik dan jaga waktu makan suami.
- Banyakkan berdoa, jangan tangguh ibadah dan taat pada suami.
Majlis akad nikah di antara Datuk Jalaluddin Hassan dan Datin Yong Rapidah Haji Abd Ghani telah berlangsung di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur dengan kehadiran ahli keluarga serta kenalan rapat mereka.
Mempelai dinikahkan sendiri oleh abang pengantin perempuan iaitu Lokman Haji Abd Ghani yang juga merupakan bapa mertua kepada pelakon dan pengarah terkenal, Aziz M. Osman. Pasangan merpati dua sejoli ini turut berkongsi rancangan mereka untuk berbulan madu sambil menunaikan umrah pada bulan Februari 2018. Norzalina Mohd Alias
Neelofa Tak Pernah ‘Hutang A’, DATIN NOOR KARTINI Dedah Sikap & Cara Didik Anak!

Bergelar ibu kepada selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor nyata bukan perkara mudah bagi Datin Noor Kartini Noor Mohamed. Biarpun pada awal pembabitan anak ketiga daripada sembilan beradik itu dalam industri seni menerbitkan perasaan gusar di benaknya namun saban tahun Datin Kartini yang lebih dikenali dengan panggilan Datin Tini sudah mampu menyesuaikan diri dengan tempias dunia glamor Neelofa.
Tidak mahu membezakan cabaran yang dilaluinya sebagai ibu selebriti melebihi dugaan kebanyakan ibu lain, Datin Tini percaya setiap wanita bergelar ibu tidak terlepas dilanda ujian masing-masing. Mendirikan rumah tangga pada usia muda, Datin Tini yang juga isteri kepada Dato’ Abdul Halim Khan tidak pernah serik mempunyai ramai anak. Selain berdepan persepsi khalayak kerana statusnya sebagai ibu selebriti, dia juga menggalas tanggungjawab besar untuk mendidik sembilan orang anak.




Percaya didikan yang baik bermula dari rumah, wanita berjiwa penyayang yang lahir pada 8 Julai 1966 ini tidak lokek berkongsi rahsia. “Anak-anak perlu dipupuk dengan amalan murni sejak kecil termasuk tentang disiplin. Bab mendisiplinkan anak-anak, saya serahkan kepada ayah mereka. Didikan saya lebih kepada aspek rohani manakala suami pula mendidik dari segi karakter dan fizikal anak-anak.
Suami pun memang seorang yang tegas jadi anak-anak takut kalau tak ikut cakap ayah mereka. Katakan bila cuti sekolah hendak keluar makan dengan kawan-kawan kena beritahu awal sekurang-kurangnya 3 hari sebelum keluar. Kalau esok hendak keluar, malam tadi baru cakap memang tak akan dapat.
Ketepatan masa juga antara yang paling utama dalam mendidik anak. Mungkin sebab sudah lali dengan cara ayah mereka, Neelofa termasuk adik-beradik yang lain terlatih untuk bersiap awal kalau ada perjumpaan atau shooting. Pada saya, orang yang mahu berjaya kena ada disiplin yang tinggi. Kalau tak ada disiplin dalam diri memang susah hendak maju. Bukan mahu membangga diri tapi hakikatnya saya tak alami kesusahan hendak asuh sembilan anak sebab bila anak sulung sudah tunjuk teladan yang baik, secara automatik adik-adik seterusnya akan ikut cara yang sama,” telus Datin Tini yang mengimpikan anak yang ramai.
Seperti yang diketahui ramai, Neelofa merupakan antara selebriti yang memiliki keputusan akademik cemerlang sepanjang berada di bangku sekolah. Pernah memperoleh keputusan 5A dalam UPSR, 8A semasa PMR dan 10A ketika menerima Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) membuatkan ramai yang cemburu dengan kelebihan gadis berusia 31 tahun itu. Dia bukan saja dikurniakan raut wajah cantik malah pintar dalam pelajaran.
Mencungkil apakah resipi kejayaan Neelofa hingga meraih keputusan sedemikian, Datin Tini yang memiliki darah keturunan Pakistan-Arab lantas membuka rahsia. “Saya bukanlah ibu yang tetapkan standard tertentu untuk keputusan pelajaran anak-anak. Memang Neelofa anak yang paling pandai dan tak pernah hutang ‘A’ sama seperti Aqief dan Nur Athisha.
Waktu baru umur lima tahun, Neelofa sudah mula buat subjek pelajaran untuk usia lapan tahun. Bila saya tengok cara dia belajar dan minatnya dalam pelajaran, saya sokong dan daftarkan dia ke pusat tuisyen di Kota Bharu. Ketika itu kami tinggal di Pasir Mas. Memang rutin dia setiap hari diisi dengan membaca buku dan buat latihan di rumah.
Pernah masa di MRSM selepas habis peperiksaan PMR, dia telefon saya beritahu susah hati dan menangis sebab takut tak dapat skor A. Sebenarnya saya tak kisah pun kalau dia tak dapat gred A sebab tahu cara dia belajar macam mana. Cuma perangai Neelofa ini.. dia takut buat saya kecewa. Sampai sekarang bila sudah jadi artis pun dia terbawa-bawa perangai itu.
Sama ada suami atau saya sendiri, kami tak pernah pilih kasih dalam mendidik anak. Semua layanan sama rata saja. Jadi, kalau ada yang tanya apa saya buat untuk anak pandai dalam akademik.. hanya kata-kata perangsang. Tiada ajaran istimewa pun sebab pada akhirnya nanti kemahuan untuk berjaya itu ada dalam diri sendiri. Tak ada sesiapa yang mampu ubah kalau bukan empunya diri.”
Ruginya! ‘ABC’ 10 Ramadan Terakhir, Terlepas Peluang Jumpa Malam Lailatul Qadar, Tapi Ada Caranya

Kita sudah pun masuk malam 10 akhir Ramadan yang telah dijanjikan pahala berlipat kali ganda. Kalau melakukan amalan sunat boleh dapat pahala wajib dan jika melakukan amalan wajib pula pahala berganda-ganda sedang menanti.
Dalam keghairahan merebut pahala tiba-tiba ‘Allah Bagi Cuti’ (ABC) kepada kaum wanita. Terasa hampa dan rugi sangat kerana tak berpeluang untuk mendapat pahala berlipat kali ganda apatah lagi untuk bertemu dengan malam Lailatulqadar.
Usah risau wahai kaum wanita yang ABC ketika 10 terakhir Ramadan kerana kita juga boleh berusaha untuk meraih pahala seperti mana mereka yang tidak uzur. Ini seperti yang dikongsi laman Twitter oleh Abu Aufa atau nama di laman Twitternya @AzlinMuhammad.
“Kalau kita ‘uzur’ pada 10 terakhir Ramadan, apa yang kita boleh buat untuk mendapatkan Lailatul Qadar?
Jangan risau wahai golongan wanita. Walaupun anda tak dapat puasa, solat dan membaca Al-Quran pada 10 akhir Ramadan, masih banyak amal kebaikan yang boleh dimanfaatkan.
√ Menyediakan makanan berbuka
Boleh sediakan makanan untuk sesiapa sahaja. Masak dan sediakan untuk ahli keluarga sendiri pun dah dapat pahala orang yang berpuasa dah.
Kalau tak sempat masak. Boleh beli sahaja. Berikan untuk orang lain berbuka puasa.
√ Menyediakan makanan sahur.
Selain mendapat pahala memberi makan orang lain, ia juga memberi peluang untuk turut menghidupkan waktu sahur untuk dengan qiamulail.
Qiamulail tak semestinya solat. Boleh dalam bentuk zikir, istighfar dan doa. Doa banyak-banyak, waktu mustajab ni.
√ Menjauhi larangan agama.
Jangan kerana tidak puasa, terus lalui hari 10 terakhir Ramadan dengan perkara yang lalai dan sia-sia.
Manfaatkan masa dengan kebaikan. Jaga mata, jaga telinga, jaga mulut dan anggota badan daripada perkara yang dilarang.
√ Banyakkan berdoa dan berzikir.
Sepanjang bulan Ramadan adalah waktu mustajab berdoa.
Lebih-lebih lagi ketika waktu berbuka, waktu bersahur dan 1/3 malam. Sambil-sambil tolong siapkan makanan tu, banyakkan berdoa.
√ Mengingatkan ahli keluarga kepada kebaikan.
Ingatkan ahli keluarga yang lelaki supaya solat fardhu dan solat terawih berjemaah di masjid.
Jika ada ahli keluarga dalam kalangan anak kecil, tolong jagakan. Mudahkan ahli-ahli keluarga lain untuk beribadat.
√ Menyibukkan diri menuntut ilmu.
Manfaatkan masa dengan menghadiri majlis ilmu, mendengar ceramah agama, membaca buku ilmiah, mendengar bacaan Al-Quran, membaca tafsir Al-Quran dan sebagainya.
Yan penting, dapat menambahkan amala kebajikan dan manfaat buat diri.
√ Banyakkan bersedekah dan derma.
Nabi Muhammad SAW sendiri menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Rebutkan pahala berlipat kali ganda di bulan Ramadan dengan bersedekah.
Lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir Ramadan. Perbanyakkan sedekah.
Kesimpulannya, Islam ialah agama yang mudah dan memudahkan. Islam ialah agama yang meraikan penganutnya.
Kepada kaum hawa, masih terbuka luas peluang untuk merebut pahala ibadat 10 malam terakhir Ramadan.