Makin Cantik Berhijab, Penampilan JIHAN MUSE Jadi Inspirasi Hijabi!

Lepas ada anak dan mengenakan hijab sekitar Februari lalu, makin cantik penampilan Jihan Muse. Anggun, elegan dan sejuk saja mata memandang. Lebih-lebih lagi sejak dia mengacarakan program hiburan popular, Gegarvaganza. Memang diakui ramai peminat menanti-nantikan gaya isteri Ungku Hariz ini. Pendek kata, apa saja gaya yang dibawa Jihan… mencetus inspirasi buat para hijabi termasuk golongan wanita yang mengikuti perkembangannya.

Memenangi Persembahan Komedi Terbaik Anugerah Kreatif Akademi Asia (AAA) 2019 menerusi telefilem Keluarga Baha Don pada Oktober lalu, Jihan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai pencapaian terbesar dalam kerjayanya sepanjang bergelar anak seni. Bakat seni Jihan atau nama sebenarnya Nur Jihan Musa mula bersinar kira-kira 10 tahun lalu ketika dia menjadi naib johan Raja Lawak Astro musim ketiga.

Bertitik tolak dari situ, Jihan meneruskan langkah menceburi pelbagai pertandingan lawak dan kini dia diberi kepercayaan menjadi pelakon, model dan hos. Hampir sedekad berkecimpung dalam dunia seni hiburan… Jihan turut telah menggondol bermacam-macam anugerah. Antaranya Artis Komedi Wanita Popular, Pelakon Komedi TV Wanita Terbaik dan Selebriti Komedi Pilihan Online.

Jihan menamatkan zaman bujang bersama Ungku Hariz pada tahun 2016 sebelum dikurniakan seorang cahaya mata lelaki comel, Ungku Arsalan Haq.

Mengintai perkembangan wanita cantik ini, Jihan ternyata bijak menambat hati penonton dengan telatah lucu dan personaliti menarik. Menyedari penampilannya sebagai muslimah, Jihan dilihat cukup berhati-hati memilih busana yang sesuai dengan imej wanita berhijab. Turut menggunakan khidmat penata gaya, ia sekaligus menyerlahkan lagi gaya dan pesona Jihan setiap kali tampil di kaca televisyen.

Selain aktif dengan kerjaya seninya, Jihan juga ligat mengusahakan produk makanan di bawah jenama Kitchen Potion. Khabarnya, bisnes ini diusahakan Jihan bersama seorang lagi rakan niaga. Apa-apa pun, kagum tengok cara Jihan mencari rezeki. Daripada seorang pelawak, dia mendaki kerjaya sebagai model, pelakon, hos dan kini selaku ahli perniagaan pula. Tahniah, Jihan!

 

 

Kredit foto: Instagram Jihan Muse

IKLAN
Share