Sejak kebelakangan ini nama Ustaz Ebit Lew menjadi bualan hangat masyarakat. Beliau yang dikenali sebagai penceramah dan sering turun padang bertemu pelbagai lapisan khalayak tanpa mengira usia, jantina, bangsa mahupun pangkat, dilihat tidak lelah berdakwah ke jalan Allah. Penyampaian ilmu agamanya tidak sekadar tertumpu dalam majlis-majlis ceramah bahkan Ustaz Ebit juga selesa mendekati mereka yang berada di lorong-lorong, kaki lima dan bawah jambatan.
Usaha murninya untuk membantu insan memerlukan tidak pernah terhenti malah ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sekalipun beliau masih teguh menghulurkan sumbangan. Meredah hujan, panas terik dan semak-samun asalkan niat untuk meringankan beban insan yang terjejas dapat dipenuhi.
Berkongsi realiti hidup selepas beberapa hari tidak bertemu keluarga kerana aktif melakukan kerja amal, Ustaz Ebit Lew sekali lagi menjadi tumpuan warganet apabila perkongsian video yang menyaksikan ketiga-tiga anak mendakap erat tubuh bapa tersayang menerima jutaan tontonan.
“Setelah berhari tiada di rumah. Perjalanan kali ini terasa sebak. Banyak saya belajar tentang kehidupan dan muhasabah diri dan rindu hadir sampai menangis teresak-esak. Rindunya bidadari, rindu anak-anak. Anugerah Allah dalam hidup.
Ads
Ayah kenapa menangis? Rindu sangat pada bidadari dan anak ayah.
Rindu sangat ayah. Ayah pun rindu anak-anak ayah.
Ayah nak jadi baby boleh tak? Nak dukung. Seorang lagi, ayah nak terbang. Boleh tak ayah.
Semua anak berlari nak peluk. Jap ayah mandi bersih-bersih wangi-wangi. Jap-jap yer anakku. Mana pun kita pergi dalam dunia dan apa orang kata, pelukan bidadari dan anak-anak mengubati segalanya.Nikmat dari Allah.
Berebut-rebut semua nak kiss ayah dia. Nak hug semua sekali. Rumahku syurgaku. Bidadari saya walau penat, peluk saya dan kata, jangan sedih abang, Allah kan ada. Kan dia jaga kita dari dulu sampai bila-bila. Allah punya semua. Nanti kita nangis sama-sama dalam doa.”
Ads
Meskipun Ramadan tiba namun Ustaz Ebit tetap menjalankan kerja amalnya. Difahamkan sebaik sahaja selesai bersahur, beliau terus menuju ke utara tanah air bagi mencari mereka yang kesusahan. Bayangkan, urusan bantuannya berlanjutan hingga ke petang dan beliau sedikit pun tidak kekok berbuka puasa di kawasan rehat dan rawat (RnR).
Allahu, sungguh baik hati Ustaz Ebit. Moga setiap kebaikan yang dilakukan menerima ganjaran besar Allah SWT dan secara tidak langsung memberi inspirasi kepada insan lain untuk membuat perkara baik
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dr Taufiq Johari antara ahli politik muda negara yang kian mendapat perhatian masyarakat. Kejayaan figura ini memenangi kerusi Parlimen Sungai Petani dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-15 nyata melonjakkan namanya dalam arena politik tanah air dan mula dikenali ramai.
Siapa sangka, Dr Taufiq atau nama penuhnya Mohammad Taufiq Johari yang menyandang jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah ketika itu dan mencalonkan dirinya sendiri untuk bertanding kerusi berkenaan telah berjaya meraih kemenangan sebanyak lebih 50,000 undian.
Kemenangan itu sekaligus melayakkan Dr Taufiq Johari menggantikan bapanya, Tan Sri Johari Abdul yang menyandang Parlimen Sungai Petani di Kedah selama tiga penggal. Tan Sri Johari kini Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Berusia 30 tahun, Dr Taufiq sebelum ini pernah berkhidmat sebagai doktor perubatan. Dia memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Islam Bandung dan merupakan anak keenam daripada lapan cahaya mata kepada Tan Sri Johari Abdul dan Puan Sri Noraini Mohd.
Menelusuri latar belakang Dr Taufiq Johari, Menteri Kabinet ini mendirikan rumah tangga dengan Dr Fathiya Ainul Mardhiyah pada 24 Februari 2024.
Majlis persandingan mereka diraikan dalam suasana meriah dan gilang-gemilang yang menyaksikan kehadiran individu kenamaan seperti Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Hasil perkongsian hidup, Dr Taufiq dan Dr Fathiya menerima kehadiran cahaya mata sulung pada 12 Disember 2025. Khabar gembira berkenaan dikongsikan Dr Taufiq di media sosial miliknya.
“12.12.25, pada hari Jumaat yang penuh barakah. Alhamdulillah hero sulung kami, Mohammed Sulaiman, selamat dilahirkan.
Terima kasih kepada isteri atas segala sakit, sabar dan pengorbanan yang tak terbalas. Semoga cahaya mata ini membesar sebagai anak yang soleh, baik budi dan membahagiakan semua.”
Empat hari selepas bergelar bapa, Dr Taufiq Johari menerima satu lagi berita gembira apabila dia dilantik menerajui Kementerian Belia dan Sukan pada 16 Disember 2025.
Ia susulan rombakan menteri kabinet kerajaan Madani dibawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengisi beberapa jawatan yang dikosongkan.
Pelantikan Dr Taufiq menggantikan tugas Hannah Yeoh yang kini berkhidmat sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Tidak menunggu lama untuk menjalankan amanah yang diberi, Dr Taufiq turun padang memberi sokongan kepada kontinjen Malaysia dalam temasya Sukan SEA 2025 yang berlangsung di Bangkok, Thailand dari 9 hingga 20 Disember 2025.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memasuki hari keenam Ramadan, pasti pelbagai dimensi baharu berpuasa pada tahun ini dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan yang dilancatkan di seluruh negara. Dalam kegembiraan menyambut kedatangan Ramadan, masih ada persoalan mengenal hukum meninggalkan puasa dengan sengaja diajukan di portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Berikut jawapan yang telah diterangkan dengan terperinci.
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Puasa di dalam bulan Ramadan adalah salah satu daripada rukun Islam yang difardhukan ke atas setiap umat Islam. Hal ini jelas seperti mana yang disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Terbinanya Islam itu atas lima perkara; syahadah bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadan.”
Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)
Maka jelaslah puasa Ramadan ini adalah perkara utama di dalam Islam yang tidak boleh ditinggalkan sekiranya tidak ada sebarang keuzuran.
Imam Ibn Hajar al-Haithami menyebutkan bahawa betapa besarnya kesalahan meninggalkan puasa dengan sengaja terutamanya di bulan Ramadhan. Hal ini jelas seperti yang disebutkan beliau:
Maksud: Dosa besar yang ke 140 dan 141, meninggalkan puasa pada salah satu hari daripada hari-hari dalam bulan Ramadhan, dan berbuka puasa padanya dengan persetubuhan atau selainnya tanpa sebarang keuzuran seperti sakit atau bermusafir. Lihat al-Zawajir (1/323).
Namun begitu, Islam masih memberikan peluang kepada umatnya yang telah terlanjur meninggalkan puasa dengan sengaja dan mempunyai kesedaran untuk bertaubat kepada Allah SWT. Maka, para fuqaha’ membahaskan hal ini di dalam perbahasan bab mengqada’ puasa bagi mereka yang meninggalkan puasa secara sengaja.
Kesalahan berbuka dengan sengaja ini sangat berat sehinggakan mazhab Imam Malik dan mazhab Imam Abu Hanifah mewajibkan kafarah dan qada’ kepada orang yang makan dan minum secara sengaja pada bulan Ramadhan.
Mazhab Imam al-Syafie dan Mazhab Imam Ahmad pula berpandangan orang yang meninggalkan puasa dengan makan atau minum secara sengaja tidak dikenakan kafarah, kerana kafarah hanya khusus kepada orang yang melakukan persetubuhan pada siang hari dalam bulan Ramadan sahaja. Namun kedua mereka seiring bahawa puasa tetap wajib diqada’kan. Lihat Mausuah al-Fiqhiyah (28/60).
Hal ini turut dinyatakan oleh para fuqaha’ kontemporari tentang apa yang perlu dilakukan bagi orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja, atau melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan puasa terbatal selain daripada persetubuhan di siang hari. Antaranya disebutkan oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili:
من أفطر في رمضان بغير جماع، بأن أكل أو شرب، أو استعط ، أو باشر فيما دون الفرج فأنزل، أو استمني فأنزل، وكان يمكنه الصوم، وجب عليه قضاؤه قبل حلول شهر رمضان من العام الذي يليه،
Maksudnya: Sesiapa yang berbuka puasa ketika Ramadhan selain daripada jima’ dengan makan atau minum, atau memasukkan sesuatu (cecair atau ubat) ke dalam hidung, atau bersentuhan selain pada kemaluan kemudian terkeluar mani, atau melakukan onani, kemudian keluar mani. (Ketika melakukan semua perbuatan ini) dia berkemampuan untuk berpuasa, maka wajib qada’, sebelum masuk bulan Ramadhan tahun seterusnya. Lihat al-Mu’tamad (2/200).
Syeikh Ibn Baz pula dalam menjawab persoalan yang diajukan kepada beliau daripada seseorang yang sengaja berbuka puasa ketika Ramadhan beberapa tahun sebelumnya, menekankan bahawa berbuka puasa dengan makan atau minum atau apa-apa yang membatalkan selain jima’ adalah perkara mungkar yang diharamkan. Beliau menyatakan bahawa orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja hendaklah bertaubat kepada Allah, dan menyesal di atas perbuatan tersebut. Seterusnya mengqada’kan hari-hari yang ditinggalkan dan inilah kewajipan untuknya kerana berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran merupakan perkara mungkar yang diharamkan[1]
Melihatkan kepada nas dan hujah di atas, jelas bahawa orang yang sengaja berbuka puasa di dalam bulan Ramadan adalah berdosa besar kerana meninggalkan salah satu daripada rukun Islam.
Namun begitu, Allah SWT sangat mengasihani hamba-hambanya dengan memberi peluang untuk menebus kembali dosa tersebut. Maka kami katakan bahawa, orang yang meninggalkan puasa di dalam bulan Ramadhan dengan apa cara sekalipun selain daripada jima’ di siang hari hendaklah menggantikan puasa tersebut secepatnya sebelum datang Ramadhan pada tahun berikutnya.
Bagi mereka yang gagal menggantikan puasa sebelum datang Ramadan berikutnya, hendaklah membayar fidyah mengikut kadar yang telah ditentukan.
Semoga kita semua mendapat hidayah dan taufiq untuk mengamalkan segala titah perintah-Nya.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sepetang bersama Fazura di The Orchid Conservatory, Hotel Majestic Kuala Lumpur akhirnya meleraikan pelbagai tanda tanya Nona tentang kehidupan wanita jelita itu.
Selain kesempatan bermesra dalam suasana privasi, Faz juga ‘membuka’ dirinya untuk menjawab beberapa soalan Nona. Jom dengarkan temu bual Editor Nona, Kiffy Razak ketika sesi Meet & Greet ni, part perkahwinan yang Faz jawab tu paling best!
Suka dengar jawapan Faz tentang perkahwinan… ia adalah penyatuan dua hati dan in the same time dapat membuatkan keluarga kita happy!
Nona juga tertarik dengan pengakuan Fazura yang menjadikan sahabat karibnya, Puteri Zarith sebagai antara sumber inspirasi berniaga, selain artis Hollywood seperti Jessica Alba dan Oprah.
Penggemar dessert the Sizzling Brownie itu juga baru melancarkan album sulungnya yang berjudul Fazura! pada 3 November lalu. Fazura kini lebih fokus untuk melebarkan sayap nyanyiannya ke tahap profesional.
Di bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia, album ini menerima Anugerah Emas apabila berjaya terjual sebanyak 5,000 unit ketika dilancarkan. Fazura juga turut dilantik sebagai duta Sahajidah Hai-O Marketing, sebuah syarikat MLM terkemuka di ibu negara.
Sementara produk suplemen TruDolly by Fazura pula menampilkan dua produk utama iaitu Beauty Booster dan Detox PRO untuk penjagaan kecantikan serta kesihatan secara menyeluruh. Jadi inilah rahsia kecantikan Faz ya! KR
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!