Manis Berhijab, Penampilan TENGKU PERMAISURI SELANGOR Tarik Tumpuan Rakyat!

Kejelitaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sememangnya dikagumi ramai. Bahkan sejak bergelar Penyampai Berita lagi, keanggunan baginda telah menarik perhatian penonton. Terbaharu, penampilan Tengku Permaisuri Norashikin yang manis mengenakan hijab ketika berangkat ke majlis rasmi dalam bulan Ramadan sekali lagi mencuri tumpuan rakyat jelata.

Misalnya, pada 17 April lepas baginda bersama DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil. Majlis berkenaan diadakan sempena Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Pada majlis itu, Tengku Permaisuri Selangor tampil anggun dalam persalinan jubah biru dan hitam, sedondon dengan DYMM Sultan Selangor. Lebih memikat, baginda turut mengenakan tudung bawal polis rona hitam. Dengan gaya sederhana dan tanpa solekan di wajah, jelas terserlah kecantikan Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut berangkat ke majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

DYMM Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Selangir dan Tengku Amir Shah turut berkenan berbuka puasa bersama para jemputan yang terdiri daripada Orang Besar Istana, Ahli Dewan Diraja Selangor, Orang Besar Daerah serta kerabat diraja Selangor, seterusnya menunaikan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.

Sementara itu, pada 16 April lepas pula, DYMM Sultan Selangor yang diiringi DYMM Tengku Permaisuri Norashikin dan DYTM Raja Muda Selangor turut berkenan berangkat menerima zakat perniagaan daripada Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berjumlah RM37.44 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Pada majlis berkenaan, Tengku Permaisuri Selangor menyarung jubah bercorak abstrak warna biru lembut yang dipadankan bersama tudung bawal polos kelabu.

 

 

Kredit: Facebook Selangor Royal Office

IKLAN
Share