Masjid Habib membuka pintunya hari ini, 5 Disember 2025 untuk jemaah menunaikan solat Jumaat pertama. Majlis pembukaan rasmi berlangsung sebentar lagi, disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Dalam sejarah manusia yang fana, ada nama yang meninggalkan jejak pada bumi, dan ada pula yang meninggalkan cahaya pada hati. Di Pulau Pinang, sebuah mercu tanda sedang tumbuh, bukan daripada batu marmar semata tetapi daripada niat tulus seorang dermawan yang memahami makna hakiki rezeki sebagai amanah. Itulah Masjid Habib, rumah Allah yang dibangunkan dengan penuh adab, cinta dan kesedaran bahawa harta menjadi mulia apabila dikembalikan kepada Tuhan.
Lokasi Strategik & Inspirasi Pembinaan
Terletak di Bandar Seri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong, masjid yang didirikan di atas tanah seluas 8,615 meter persegi ini bakal berdiri sebagai mercu tanda baharu kawasan tersebut.
Dibina berdekatan denyut kehidupan masyarakat setempat, Masjid Habib bukan sekadar bangunan ibadah, tetapi simbol syukur sebuah keluarga yang sekian lama meniti rezeki dalam dunia perhiasan barang kemas.
Cantiknya, terpegun tengok seni bina Masjid Habib ni…
Ads
Masjid ini adalah hasrat yang diwarisi. Pengasas Kumpulan Habib, Allahyarham Datuk Habib Mohamed Abdul Latif pernah menyimpan impian untuk membina sebuah masjid yang menjadi manfaat ummah.
Hari ini, impian itu disempurnakan oleh anakanda beliau, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Dato’ Sri Meer Sadik Habib, yang menanggung keseluruhan kos pembinaan dianggarkan berjumlah RM30 juta. Dalam dunia korporat yang sering dilingkari angka dan keuntungan, jarang kita melihat sebuah keputusan besar lahir daripada bahasa cinta dan ketaatan kepada Allah. Namun di sinilah bezanya rezeki yang diurus oleh hati yang tunduk.
Seni Bina Jawi Peranakan
Bangga dengan kejayaan jutawan Muslim, Dato’ Sri Meer Sadik Habib serta keluarga. Benarlah sebaik-baik harta adalah harta yang digunakan di jalan Allah. Dan sebaik-baik perbelanjaan adalah perbelanjaan untuk mencari reda Allah.
Keunikan Masjid Habib bukan terletak pada angka kos atau saiznya semata. Ia tersirat pada roh seni bina yang merangkum identiti Jawi Peranakan, sebuah komuniti kacukan yang sarat sejarah dan nilai estetika. Menurut Datuk Seri Meer Sadik, inspirasi masjid ini lahir daripada khazanah budaya yang hampir pupus daripada pandangan generasi muda.
Kubah masjid diinspirasikan daripada potongan intan. Bukan sekadar menzahirkan warisan perhiasan wanita Jawi Peranakan suatu ketika dahulu, tetapi juga sebagai simbol bahawa cahaya Islam itu berlapis-lapis keindahan, seperti kilauan permata yang memantulkan sinar dari setiap arah. Di sinilah seni dan spiritual bertaut, membentuk identiti sebuah masjid yang lain daripada yang lain.
Sebagai anak jati Pulau Pinang, keluarga ini mendirikan Masjid Habib di atas tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di Jalan Seri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong.
Kemudahan Mesra Komuniti
Menjangkakan kapasiti sehingga 1,600 jemaah pada satu-satu masa, masjid ini dibina dengan jiwa inklusif. Ruang yang selesa untuk wanita, warga emas, kanak-kanak dan golongan OKU. Sebuah masjid yang benar-benar memahami makna rahmatan lil ‘alamin, menyediakan ruang bukan untuk golongan tertentu tetapi untuk semua yang ingin mendekatkan diri kepada Pencipta.
Ads
Selain ruang solat, masjid ini dilengkapi dewan serba guna sebagai nadi komuniti; tempat di mana akad nikah berlangsung, majlis ilmu bertunas, kenduri kesyukuran diraikan. Turut disediakan bilik kuliah, bilik mesyuarat dan ruang-ruang serbaguna yang menjadikan masjid ini pusat penghidupan, bukan sekadar destinasi ibadah.
Sedekah Berterusan
Inilah wajah sebenar seorang jutawan Muslim. Tidak meninggi dengan hartanya tetapi meninggikan agama dengan rezeki yang dipinjamkan Tuhan. Masjid Habib adalah wakaf yang hidup, doa yang berpintal dalam batu dan besi, hadiah seorang ayah kepada ummah, dan tanda bahawa kekayaan paling abadi ialah sedekah yang berterusan pahalanya.
Apabila masjid ini siap kelak, ia tidak hanya menjadi mercu tanda Pulau Pinang, tetapi juga mercu tanda hati. Mengingatkan kita bahawa setiap rezeki akan kembali indah apabila diserahkan kepada yang Maha Memberi. Semoga masjid ini berdiri teguh sebagai cahaya yang tidak pernah malap, menjadi saksi bahawa ada manusia yang memilih untuk membina syurga melalui pintu dunia.
Semoga segala kebaikan keluarga besar ini mendapat keberkatan dan dikurniakan syurga tertinggi Jannatul Firdaus.
Wow, hebatnya! Empat anugerah yang diterima tu bukan calang-calang. Selayaknya, digelar beauty with brain anak dara Raja Azura ni.
Baru-baru ini, Raja Azura atau panggilan mesranya Kak Engku berkongsi detik manis hari anugerah kecemerlangan anak bongsunya, Puteri Mia Maizura di Instagram.
Detik manis itu telah diabadikan dalam sebuah video berdurasi 1 minit 40 saat.
“Syukur alhamdullilah congrats Puteri Mia Maizura,” tulis Raja Azura di ruangan kapsyen.
Video tersebut memaparkan Puteri Mia Maizura yang merupakan bekas pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur berjaya meraih empat anugerah terbaik iaitu Anugerah Pencapaian Cemerlang SPM 2022, Anugerah Ikon Kokurikulum, Anugerah Tokoh Bidang Teater, dan Anugerah Tokoh Murid 2022.
Masha-Allah, sejuk perut ibu mengandung. Tiada yang lebih menggembirakan hati seorang wanita apatah lagi yang bergelar ibu tunggal apabila anak-anak berjaya dalam akademik.
Begitulah yang dirasai oleh pelakon, penyanyi, pelawak, pengacara, dan penyampai radio terkenal ini.
Bertuah anak-anaknya dikurniakan seorang ibu yang ceria dan penyayang. Didikan Raja Azura terhadap mereka juga adalah terbaik biarpun lebih 10 tahun bergelar ibu tunggal.
Lebih bermakna lagi, kejayaan anak bongsunya itu turut menjadi ‘hadiah’ paling istimewa buat Raja Azura sempena hari lahirnya yang ke-51 tahun.
“Terima kasih hadiah hari jadi Mama 18/8/2023,” luah Raja Azura.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata para peminat termasuk rakan-rakan artis menitipkan ucapan tahniah.
Semoga anak-anak Raja Azura terus berjaya di dunia mahupun akhirat seterusnya menjadi anak-anak yang berbakti kepada ibu bapa, agama, bangsa dan negara.
Selain Puteri Mia Maizura (18), dua lagi anak Raja Azura ialah Megat Muhammad Raziq (21), dan Megat Luqman Haqim (20).
Untuk info, Raja Azura atau pemilik nama sebenar, Y.M Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin merupakan antara selebriti yang memiliki pertalian darah dengan kerabat Diraja Perak.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Alicia Schmidt yang pernah digelar atlet terseksi di dunia akhirnya berjaya menembusi ke persaingan semifinal Kejohanan Eropah 2022 di Muchen, Jerman kelmarin. Menyarung nombor badan 400, kejayaan dikecapinya itu merupakan salah satu momen paling istimewa dalam kariernya. Ini dikongsi sendiri oleh Alicia menerusi hantaran di Instagramnya yang dilihat mempunyai 3.2 juta pegikut.
“Tembusi pusingan separuh akhir, itulah matlamat saya. Dan hari ini saya dapat beraksi sekali lagi di hadapan semua penonton tuan rumah. Hari ini benar-benar salah satu momen paling spesial untuk saya,” tulis Schmidt.
Alica yang berumur 23 tahun ternyata bangga dapat mewakili Jerman dalam acara larian 400 meter (m) selepas gagal memberikan aksi terbaik di Kejohanan Dunia di Eugene, Oregon baru-baru ini.
Bagi yang tidak mengenali Alicia Schmidt, ini adalah antara beberapa fakta menarik tentang atlet jelita ini.
Pada tahun 2017, Alica Schmidt pernah diberi gelaran sebagai gelaran atlet paling seksi di dunia oleh majalah Australia Busted Coverage.
Berasal dari Jerman dan lahir di Berlin pada tahun 1998, Alicia mula mendapat perhatian selepas terlibat dalam acara larian gantian di Tokyo 2020 dalam pertandingan lari 4 x 400 meter dan campuran 4 x 400 meter.
Alica Schmidt mengemari sukan larian sejak usia kecil lagi. Keupayaannya menarik perhatian Thomas Kremer, pelatih sprint profesional yang menyuruh ibu bapanya mendaftarkan Alica dalam kejohanan larian. Pada usia 7, Alicia sudah mula menyertai pelbagai pertandingan larian.
Alica Schmidt pernah ditawarkan untuk menghiasi sampul depan majalah Playboy, namun dia menolak kerana fokusnya adalah dalam bidang sukan dan larian.
Dek kejelitaan dan keanggunannya, Alicia pernah tampil berjalan sebagai model di pertunjukan fesyen HUGO BOSS di Milan Fashion Week Spring/Summer 2022.
6. Sudah berpunya. Alicia dikhabarkan sudah mempunyai teman lelaki yang bernama Fredi Richter.
Bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke 40 pada 27 September ini, nampaknya Nur Fazura bakal bergandingan dengan penyanyi kumpulan Dewa, Ahmad Dhani untuk sebuah projek khas.
Menurut isteri kepada Fattah Amin ini, dia bakal menyanyikan semula lagu berjudul Jika Cinta Allah yang pernah dipopularkan oleh Ahmad Dhani. Tambah Fazura lagi, meskipun projek tersebut tertangguh setahun atas perkara-perkara yang tidak dapat elakkan, namun dia bersyukur akhirnya ia bakal terlaksana.
“Jika diikutkan, saya sudah mempunyai lagu bersama Ahmad Dhani yang dinyanyikan semula serta mendapat sentuhan Ahmad Dhani dari segi arrangement baharu. Meskipun sudah merancang untuk melancarkan lagu tersebut pada tahun lalu, namun aturan Allah lebih baik.
Jadi, dengan izin Allah, saya bercadang untuk melancarkan lagu tersebut September ini sempena ulang tahun kelahiran saya. Doakan ya,” ujar ibu kepada Nur Fatima Aisya.
Pernah mempunyai single dalam bahasa Melayu dan Inggeris, sememangnya Fazura menyimpan hasrat untuk menyanyikan lagu-lagu berunsur ketuhanan. Tambah Fazura lagi, sebagai penghibur dia perlu berkongsi motivasi kepada para pendengar memandangkan situasi kini di mana ramai yang mengalami masalah depresi dan tekanan hidup.
“Kalau nak buat album pun memang saya ingin berkonsepkan ketuhanan. Saya rasa penting untuk kita beri motivasi kepada masyarakat kerana sekarang ini ramai orang mengalami tekanan dan depresi, ” ujar Fazura yang mengakui jiwanya tenang apabila mendengar lagu-lagu berunsur ketuhanan. Untuk rekod, Fattah Amin juga turut mempunyai beberapa lagu berunsur ketuhanan.
“Jika diberi peluang untuk membuat lagu, saya ingin menyanyikan lagu berkonsepkan ketuhanan kerana sejak dahulu lagi saya sering menyelitkan mesej menaikkan semangat orang lain. Ini cara saya berkongsi dengan para peminat,” ujar Fazura seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cantik manis orangnya! Sejak zaman anak dara sampai sudah pun berstatus isteri dan ibu tiga orang anak, kejelitaan Leuniey Natasha sentiasa tarik perhatian warga maya. Walau usia makin meningkat, kecantikan isteri pemain bola sepak popular iaitu Khairul Fahmi Che Mat ini seakan tidak memudar.