Mati Mengejut Kerana Kolesterol Berlebihan. Ini Makanan Yang Perlu Dielak

Sebut berkenaan kolesterol, memang ramai mengetahui mengenainya. Ada yang prihatin, tidak kurang juga yang tidak ambil pusing.

Berpeluang menghadiri Konsert Terunggul Afgan & Ungu baru-baru ini, vokalis Kumpulan Ungu itu beberapa kali mengungkapkan perihal kesihatan terutamanya berkaitan kolesterol. Mungkin juga penyanyi yang berusia 38 tahun itu mula prihatin soal penjagaan kesihatan terutamanya kolesterol yang berkait rapat dengan masalah jantung.

Acap kali golongan obes dikaitkan dengan masalah kolesterol. Jangan pandang remeh, individu kurus turut berisiko menghadapi masalah kolesterol tinggi. Dengan kata lain, memiliki tubuh tidak gemuk bukanlah jaminan untuk terlepas daripada bahana kolesterol.

Pendapat kebanyakan pakar perubatan dan kesihatan, kadar kolesterol tidak boleh diukur hanya dengan melihat tubuh secara fizikal. Kegemukan lebih melibatkan penyimpanan kolesterol pada bawah kulit. Manakala masalah berlebihan kolesterol lazimnya berkait rapat dengan pengumpulannya di dinding saluran.

Fenomena ini berkait rapat dengan pelbagai faktor. Meskipun begitu, tidak disangkal bahawa kegemukan boleh mendedahkan seseorang kepada masalah kolesterol berlebihan. Ini dikenali sebagai sindrom metabolik. Peningkatan usia dan faktor risiko penyakit kardiovaskular utama yang lain seperti diabetes dan darah tinggi turut ada kaitan dengan masalah ini.

Kandungan kolesterol yang tinggi juga ada kalanya bersangkut-paut dengan genetik individu. Namun ia bukan penyebab utama dan jarang berlaku. Selain itu, gaya hidup yang tidak sihat seperti kurang senaman dan pengambilan banyak makanan berkolesterol tinggi turut menjadi penyumbang.

Mati Mengejut

Kekurangan kolestrol juga meninggalkan impak pada tubuh. Sering dipandang negatif, kolesterol sebenarnya merupakan komponen penting dalam penghasilan hormon dan pertumbuhan sel saraf badan. Ia boleh diperoleh daripada pelbagai sumber makanan.

Antaranya

  • kulit ayam,
  • kuning telur,
  • daging berlemak,
  • santan dan
  • makanan laut selain ikan

Walau bagaimana pun, kolesterol dalam badan kebanyakannya dihasilkan sendiri oleh tubuh melalui proses sintesis di hati. Lantaran itu, pengambilan sumber kolesterol dari luar perlu dikawal melalui pengamalan diet yang seimbang agar arasnya tidak berlebihan. Dalam badan manusia, kolesterol yang disintesiskan di hati akan dibawa ke dalam darah oleh lipoprotein. Kemudian lipoprotein akan membawanya ke sel-sel badan. Jika berlebihan, kolesterol ini akan mendap pada dinding arteri (salur darah). Ini akan menyebabkan berlaku penyempitan padanya dan akhirnya ia akan tersumbat.

Pemendapan kolesterol ini dikenali sebagai atheroma. Penyumbatan ini boleh berlaku pada salur darah di jantung, otak, buah pinggang, usus dan bahagian lain di seluruh tubuh. Proses penyempitan dan penyumbatan lazimnya memakan masa yang lama dan bukan cuma sehari dua. Komplikasi utama ialah penyakit jantung koronari dan strok. Keadaan ini boleh mengakibatkan kematian secara tiba-tiba.

Kolesterol berlebihan dalam darah tidak banyak mempamerkan simptom. Bagi segelintir individu, antara simptomnya adalah seperti kelihatan ada kumpulan lemak pada bahagian bawah kulit di sekitar kelopak mata dikenali sebagai xanthelasma.Selain itu, ada juga yang memiliki bonjol lemak pada tempat lain di bawah kulit. Antaranya ialah di sendi tangan, siku dan pergelangan kaki. Namun, simptom ini lazimnya dialami oleh individu yang memiliki masalah kolesterol bertitik-tolak daripada faktor genetik.

QUOTE:
Pemendapan kolesterol dikenali sebagai atheroma. Penyumbatan ini boleh berlaku pada salur darah di jantung, otak, buah pinggang, usus dan bahagian lain di seluruh tubuh.ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

IKLAN
Share