Terharu dengan hubungan akrab rakan selebriti ini. Meskipun sahabat tersayang sudah tiada dan pergi buat selamanya namun Nikki Palikat dan Suki Low masih mengenang kemanisan persahabatan yang terjalin di antara mereka.
Di samping menghargai segala kebaikan yang pernah diberikan Allahyarham Adibah Noor Mohd Omar selama ini.
Perkongsian yang dibuat penyanyi yang juga dua peserta All Stars Gegar Vaganza berkenaan di media sosial mereka baru-baru ini nyata meruntun jiwa peminat.
Ads
Memuat naik gambar terkini, Nikki dan Suki dilihat memakai selendang serta menabur bunga di pusara rakan tersayang, Allahyarham Adibah Noor.
Dalam foto tersebut kelihatan Nikki dan Suki mengenakan blaus hitam dan berseluar jeans biru serta masing-masing berselendang putih dan merah jambu. Turut menemani kedua duanya ialah bekas pembantu peribadi Allahyarham dan beberapa rakan lain.
Ads
“Melepaskan kerinduan.. Kakakku, semoga tenang di sana bersama mereka yang beriman. Al-fatihah Adibah Noor Mohd Omar.”
Perkongsian itu meraih perhatian ramai dan rata-rata peminat meluahkan rasa senang dengan sikap Nikki Palikat serta Suki.
Allahyarham Adibah Noor Mohd Omar yang cukup sinonim dengan lagu Terlalu Istimewa kembali ke rahmatullah pada 18 Jun 2022 akibat kanser ovari tahap empat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Belum ada rezeki. Takziah buat selebriti cantik, Rafidah Ibrahim dan suami yang ‘kehilangan’ cahaya mata mereka baru-baru ini. Walau pahit untuk ditelan apatah lagi ini merupakan keguguran kedua Fida namun pasangan suami isteri ini tabah menempuh dugaan. Bagi mereka, segala ujian ini pasti ada hikmah!
14 Jun lalu, Fida berkongsi khabar gembira mengenai kehamilannya bersama peminat di media sosial. Bagaimana pun waktu itu, doktor memaklumkan dia dan suami perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku terhadap kandungan disebabkan keadaan yang dialami ibu dan bayi.
Takdir ilahi, 10 hari kemudian Fida dilaporkan sekali lagi mengalami keguguran. Kali pertama Fida mengumumkan keguguran ialah pada 14 November tahun lalu.
Kongsi Fida, “Innalillahhiwainnalillah hiroji’un. Jumaat, 24 Jun 2022, sebelum masuk waktu Maghrib, anak dalam kandungan saya, Abdullah bin Shahzemir yang berusia 4 bulan 7 hari telah pergi. Petang, dari jam 5 perut saya terlalu sakit dan saya sangkakan angin yang terlalu teruk dalam badan terutama di bahagian bawah perut. Saya biarkan dan berehat walaupun sakitnya hanya Allah saja yang tahu.
Sebelum masuk waktu Maghrib dan sebelum berwuduk, saya berhadas kecil dan pada ketika tu terasa sesuatu ingin keluar. Saya terus memanggil suami dan cakap ada sesuatu nak keluar dan suami kata, biarkan.
Saya tadahkan tangan. Pada waktu itu, janin keluar di atas tapak tangan saya dan saya ada rasa sedikit pergerakan sebelum suami memotong tali pusat. Sekiranya berlaku pada anda, terus ke hospital ya dan jangan potong sendiri kerana itu akan lebih memudahkan proses cuci uri atau placenta nanti.
Pada waktu tu perasaan panik ada, nak nangis pun ada. Tapi bila saya pegang baby, subhanAllah indahnya ciptaan Allah SWT. Perasaan panik dan sedih tadi bertukar serta-merta jadi gembira saat saya dan suami melihat keindahan ciptaan Allah itu walaupun belum sempurna tapi sudah cukup sifat.”
Ujarnya lagi, “Saya yakin para ibu bapa yang sudah menimang cahaya mata, perasaan itu sangat-sangat menggembirakan dan terubat segala rasa. Sementara suami tunaikan solat, saya bersiap dan kami terus ke hospital. Seperti biasa, proses membersihkan uri dilakukan dan saya ditahan 1 malam di wad bagi tujuan pantauan.
Alhamdulillah segala urusan dipermudahkan bagi anak syurga ini. Jantina baby tak dapat dikenalpasti, tapi kami menamakannya Abdullah (hamba Allah). Terima kasih Abi – Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi atas ‘guideline’ perkara yang perlu dibuat ke atas jenazah bayi kami dan juga atas nama yang diberi sebab kami memang dah niatkan jika anak kami lahir nak Abi namakan.
Terima kasih juga buat para doktor, para misi, forensik dan semua warga Hospital Wanita & Kanak-kanak Kuala Lumpur (HWKKKL) atas keprihatinan anda, nasihat dan layanan yang sangat baik. Tak lupa juga saya nak ucapkan terima kasih buat kejiranan yang membantu dan memudahkan pengurusan jenazah bayi saya.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Ampang, bersebelahan kubur arwah mak dan arwah ayah saya. Tidak ketinggalan buat para keluarga, sahabat, pengikut di setiap media sosial dan semua yang sentiasa mendoakan kebaikan saya, anak dan suami serta nasihat.
Terima kasih sekali lagi buat semua yg terlibat secara langsung dan tak langsung. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita semua di dunia dan di akhirat.”
Semoga Fida segera sembuh dan terus cekal hadapi ujian Allah SWT kelak. Fida sah bergelar isteri Shahzemir Shahzulkarib pada 5 Mei 2021.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Episod duka, banjir yang melanda negara baru-baru ini telah mencetus ilham buat Datuk Aznil Nawawi menyediakan Kedai Percuma Pak Nil buat mereka yang terkesan.
Pengacara Nombor Satu Tanah Air ini antara selebriti yang turun padang membantu mereka yang terkesan dengan banjir. Menurut lelaki yang mesra disapa Pak Nil ini kerja sukarelanya ini bermula dengan usahanya mengumpul golongan sukarelawan bagi membantu masyarakat di Bukit Canggang, Banting, Selangor.
“Ia cetusan usaha pemberian bantuan kepada mangsa banjir tempoh hari di situ. Ketika menjejaki kawasan itu, saya lihat ramai penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tinggal sehelai sepinggang,” kata Datuk Aznil.
Tambahnya lagi, “Bermula dengan hanya makanan yang dimasak penduduk kampung secara rewang bermodalkan wang sumbangan yang saya kutip di kalangan pengikut media sosial saya.
Ketika itu dalam sehari kami berjaya menyediakan hampir 1000 bungkusan makanan kepada mereka yang terkesan banjir. Malah selepas banjir surut, mulalah mereka bergerak pulang dari PPS ke rumah masing masing.
Ketika itu saya tinjau dan amati, kesemua mereka terpaksa mengumpul barang semula dan membaik pulih rumah mereka. Bahkan barang keperluan asas mereka tiada langsung. Daripada situ saya fikir kenapa tidak diwujudkan kedai percuma berkenaan,” kata Datuk Aznil yang menubuhkan Kedai Percuma Pak Nil pada 30 Disember lalu.
Menurut Datuk Aznil juga pengasas Yayasan Pesona, mereka yang terkesan dengan banjir boleh ke kedai tersebut untuk mengambil barang keperluan secara percuma mengikut keperluan mereka sahaja.
“Kedai ini mengalu-alukan barangan keperluan yang boleh dihantar terus ke sana atau menyalurkan duit sumbangan kepada saya.
Kedai ini akan berterusan beroperasi jika terus menerima sumbangan orang ramai atau pertubuhan kerajaan mahupun swasta,” katanya yang mendapat kerjasama daripada jenama Eskayvie dan Nakada.
Datuk Aznil tidak dapat menyembunyikan perasaan sayu saat melihat pasca banjir dengan mata sendiri. “Sedih tengok keadaan mereka. Saya sentiasa membayangkan saya atau keluarga saya melalui ujian dan dugaan itu.
Kerana itu, saya tidak mampu duduk berpeluk tubuh, saya perlu lakukan sesuatu untuk membantu mereka membina hidup kembali,” katanya yang terharu dengan kemurahan hati rakyat Malaysia.
“Menangis saya melihat keprihatinan rakyat Malaysia. Dana yang disalurkan itu saya agihkan kepada wakil saya di sana. Walaupun, tidak banyak yang diterima setiap mangsa, namun, sekurang-kurangnya mereka di sana tahu bahawa seluruh negara turut sama bersedih dengan nasib mereka dan mahu berkongsi rezeki.
Itulah yang menjadi motivasi buat saya untuk meneruskan kerja kemanusiaan ini,” kata Datuk Aznil.
Bagaimana kita dapat memanfaatkan bulan penuh keberkatan ini yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi dalam suasana norma baharu?
Walaupun pergerakan kita dikawal namun ia sebenarnya mengawal kita daripada melakukan dosa-dosa kepada Allah SWT. Ia juga mengawal hati kita supaya tidak terus leka serta lalai kepada perintah Allah SWT.
Selain itu, ia juga mengawal emosi kita supaya sentiasa meningkatkan rasa syukur, tenang dan tabah. Sekarang Allah SWT sedang menduga kita dengan ujian berat yang tidak pernah kita fikirkan dan lalui. Maka dengan sebab itulah kedatangan bulan Ramadan kali ini menjadi begitu istimewa bagi kita sebagai umat Islam.
Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail berkongsi huraian yang cukup menarik untuk panduan kita bersama.
“Ramadan merupakan sebaik-baik bulan. Dalam banyak-banyak bulan, bulan ini ada satu malam yang cukup istimewa iaitu malam lailatul qadar, yang lebih baik daripada seribu bulan.
Dalam bulan ini juga ada sebaik-baik doa di mana apabila ‘diangkat’ doa itu akan menjadi mustajab di sisi Allah SWT. Bulan ini juga adalah masanya untuk seseorang itu beramal soleh demi mendapatkan keredhaan Allah SWT sebagai tanda dirinya bertaqwa kepada Allah SWT.
Seseorang itu juga akan menghitung dosa-dosanya untuk memohon keampunan Allah SWT. Maka ia akan menjadi amalan yang lebih baik berbanding amalan-amalan yang dilakukan sebelum bulan Ramadan. Amalan-amalan itu juga akan diganda-gandakan pahalanya oleh Allah SWT.
Apabila seseorang itu menghulurkan kebaikan-kebaikannya seperti bersedekah termasuk kepada ahli keluarga, kaum kerabatnya dan masyarakat di sekeliling maka sedekah itu akan menjadi sebaik-baik sedekah kerana bersedekah dalam bulan Ramadan.
Pendek kata, apa yang dilakukan dalam bulan Ramadan menjadi lebih baik daripada bulan-bulan yang lain. Marilah kita sama-sama berdoa, dengan doa yang ringkas ini.
“Ya Allah Ya Tuhan Kami, sampaikanlah kami dalam bulan yang penuh keberkatan ini”
Inilah masanya untuk kita benar-benar bertaubat, benar-benar beribadah kepada Allah SWT, benar-benar bermunajat kepada Allah SWT. Ada hikmah di sebalik situasi yang kita lalui sekarang ini. Namun sedarlah, kita tidak bersendirian kerana bukan hanya Malaysia yang merasai detik kesukaran ini bahkan di seluruh dunia. Sudah tentu ia memberikan keinsafan yang tinggi buat kita.
Persiapan pertama, niatkan bahawa bukan hanya rantaian wabak COVID-19 yang hendak kita putuskan bahkan juga rantaian dosa-dosa. Niat untuk meningkatkan keinsafan dalam diri kita sepanjang Ramadan yang berlainan pada tahun ini. Niat yang lebih tinggi untuk meningkatkan taubat kita kepada Allah SWT. Maka, betulkan niat kita.
Kesilapan dan kealpaan kita datangnya dari musuh-musuh pelbagai ‘kluster’ antaranya ‘kluster syaitan’. Sebelum bulan Ramadan pun syaitan tetap datang mengganggu kita. ‘Kluster nafsu’ pula lebih kepada nafsu makan terutama ketika berbuka puasa. Orang yang sentiasa menjaga iman dengan baik, ibadahnya pasti tidak akan terganggu dengan mudah.
Mudah mudahan kita bukan sekadar dapat memutuskan rantaian virus COVID-19 tetapi juga rantaian ‘kluster-kluster’ ini yang boleh merosakkan jiwa, akal, emosi serta fokus kita. Semua ini datangnya daripada kluster syaitan, kluster nafsu yang jahat, kluster dunia yang melalaikan dan kluster orang-orang yang merosakkan.
Di dalam satu hadis Rasulullah SAW menyebut “Setiap amalan bergantung kepada niat kamu. Dan kamu akan mendapat apa yang kamu niatkan.” Maka niatkanlah yang baik-baik, fikirkan yang baik-baik, hasratkan yang baik-baik.
Persiapan kedua, banyakkan memohon ampun kepada Allah SWT. Sekarang apabila diuji kita reda, kita tabah. Istighfar selalu contohnya sambil memasak, sambil buat apa sahaja kerja pastikan lidah kita banyak beristighfar.
Semoga Allah SWT ampunkan dosa-dosa kita, ahli keluarga, masyarakat, apa sahaja dosa-dosa kita dahulu yang kita sedar dan tidak sedar. Mohon ampun dengan Allah SWT. Persiapkan hati, minda dan emosi. Baca perkara-perkara yang baik, elakkan provokasi yang menjuruskan kita untuk memikirkan perkara-perkara yang tidak baik.
Bacalah sesuatu yang boleh memberi inspirasi untuk kita terus membuat kebaikan khususnya dalam bulan Ramadan. Kita kekalkan #kitajagakita Bukan sekadar jaga keselamatan, kesihatan, kebersihan dan ahli keluarga tetapi juga jaga hati kita. Apabila hati bersih dan baik, jaga akal fikiran kita supaya sentiasa positif. Jaga emosi supaya sentiasa tenang dan sabar. Fikirkan apa yang lebih penting untuk kita beramal soleh di dalam bulan Ramadan.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!