SIAPA yang tidak kenal dengan figura fesyen berpengaruh tanah air, Melinda Looi. Melinda tidak pernah kering idea dalam menampilkan busana terbaharu yang cukup memukau dan mempunyai gaya tersendiri.
Seolah-olah ‘membalas dendam‘ setelah sekian lama tidak beraksi di atas pentas peragaan, Melinda atau mesra disapa Mell menampilkan 110 helai busana dengan pelbagai rekaan. Daripada jenis yang ranggi sehinggalah kepada smart kasual.
Menamakan koleksi terbaharu itu sebagai Melinda Looi Couture 2023: Through Our Eyes, kata pereka itu, himpunan berkenaan sangat istimewa kerana dihasilkan dengan sentuhan dan ilham bersama Maya Luebbert yang juga anaknya sendiri.
“Selepas saya melihat hasil seni yang dihasilkan Maya beberapa tahun lalu, saya beritahu diri yang saya akan berkolaboratif dengannya dalam menghasilkan sesuatu yang mengujakan dan berjiwa muda,“ kata graduan La Salle School of Fashion, Kanada itu.
Menurut Pemenang Anugerah Pereka Muda ketika mewakili negara di Hong Kong pada tahun 2000 itu, beliau mengetengahkan gabungan elemen kraf tradisi masyarakat Sarawak yang bertunjangkan sentuhan tradisi klasik dan kontemporari Malaysia.
Untuk mendapatkan hasil terbaik, Melinda mengambil inisiatif turun padang dengan berkunjung ke Sarawak pada akhir Ogos lalu untuk mempelajari, memperhalusi dan mendokumentasikan beberapa seni kraf serta halus etnik Bumi Kenyalang.
Antaranya seperti anyaman rotan tradisional, tenun batik dan songket.
“Apa yang boleh saya simpulkan, kami membawa unsur tradisi klasik dan kontemporari dalam Melinda Looi Couture 2023: Through Our Eyes,“ katanya.
Meneliti setiap helaian dipersembahkan, kebanyakannya menggabungkan imaginasi anyaman rotan tradisional, tenun, batik dan songket. Namun, ada di antaranya telah diolah dengan cara yang lebih inovatif menggunakan teknologi sedia ada.
“Untuk ‘buah tangan’ kali ini, saya benar-benar mahu menekankan kepada potongan busana melalui tenun, songket, batik dan rotan. Ia sememangnya sesuai dengan signatur saya yang sentiasa edgy dan berani,“ ujar beliau sambil memberitahu, setiap satu koleksi adalah hasil adaptasi dan idea daripada buku lakaran anaknya, Maya.
Mengenai pemilihan kain, Mell memilih material jenis campuran tekstil.
“Motif abstrak dan bunga-bungaan turut menjadi seleksi saya. Selain itu, saya ambil pendekatan menghasilkan potongan longgar dan berlapis. Malah, saya juga memberi fokus kepada teknik cetakan.
“Pada masa sama, perincian pada bahagian tertentu seperti leher, lengan dan bawah baju diberi sentuhan gaya mewah,“ ungkapnya yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri fesyen negara.
Ya, rekaan terkininya sememangnya kelihatan elegan dan eksklusif. Seperti kata pereka wanita itu, ia sesuai digayakan untuk acara kasual mahupun formal.
Mell dilihat sangat teliti dari aspek pemilihan warna. Jelasnya, rona terang menjadi keutamaan, sekali gus memperlihatkan jiwa beliau yang sentiasa bersemangat.
Pun demikian, rona lembut seperti merah jambu, biru dan sebagainya turut tersenarai dalam carta koleksi Melinda Looi Couture 2023: Through Our Eyes.
“Saya dengan penuh pengharapan mahu setiap satu helaian yang dihasilkan menjadikan pemakainya rasa lebih yakin dan memberi inspirasi kepada orang lain,“ katanya.
Dalam pada itu, Mell melahirkan keterujaan apabila dapat menjalin kerjasama dengan Malaysia Aviation Group (MAG).
Bersama MAG, terdapat tiga helai pakaian yang cukup unik dan diperbuat daripada bahan kitar semula. Selain itu, turut ditampilkan enam hasil kerjasama pakaian eksklusif dengan Barbie yang akan dipersembahkan dalam saiz sebenar pada model. Mell menambah, mekanisme miniatur dan khas yang disediakan oleh Kolej Universiti KDU UOW Malaysia sangat menarik perhatian dan terus melekat dalam mindanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai desain beliau kali ini yang kelihatan sedikit seksi, Mell memberi jawapan ringkas: “Saya mahu melihat sejauhmana saya boleh pergi dengan rekaan yang dihasilkan itu.
Kredit: Sinar Plus