Umum sedia maklum bahawa pelakon genit, Datin Anne Ngasri yang dulu popular ketika membintangi drama era 90-an cili padi kini sudahpun melebarkan sayap ke kancah politik negara, terutama apabila sah bergelar suri hati kepada ahli politik, Datuk Mohd Sumali Reduan
Lebih menarik lagi, Anne Ngasri mengakui bidang politik telah membuka matanya untuk melihat dengan lebih dekat realiti kehidupan rakyat di Malaysia.
Menurut Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri, realiti itu juga telah membuatkan dirinya bertambah semangat untuk berkerja lebih keras dalam usaha untuk memperjuangkan nasib rakyat.
Turun Padang Bantu Masyarakat Pengalaman Indah
“Bila saya turun padang, ia merupakan satu perasaan yang sangat indah. Sebelum ini, saya hanya berlakon di tv untuk babak membantu orang.
“Kini, saya berjumpa dengan pelbagai peringkat masyarakat. Ia turut memberikan kesedaran kepada saya sebagai seorang manusia.
“Walaupun ada yang tak suka dengan kerjaya ahli politik, pada saya mereka melihatnya daripada sudut lain. Bila saya turut padang, ia sangat dekat di hati saya,” katanya.
Ads
Adik kepada pelakon Bell Ngasri itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pertunjukkan fesyen Nona Glam Raya pada Rabu.
Terlalu Banyak Momen ‘Sentuh Hati’ Anne Ngasri
Dalam pada itu, Anne akui dia telah banyak berdepan situasi menyentuh hati sepanjang inisiatifnya menyantuni masyarakat di Malaysia.
“Terlalu banyak momen yang menyentuh jiwa. Bila kita lihat realiti kehidupan rakyat Malaysia, saya rasa masyarakat kita perlu mensyukuri jasa para pemimpin.
“Kerana apa yang terjadi hari ini adalah kerana hasil usaha sesebuah parti itu kepada negara.
Ads
“Walaupun kita melihat orang itu susah, kita cuba sedaya upaya membina orang itu.
“Saya rasa, orang politik ini lebih memikirkan orang lain tanpa mengira siapa orangnya. Itu yang perlu kita hargai,” ulasnya lagi.
Malah, Anne turut menyifatkan jasa orang politik sangat besar dalam pembangunan sesebuah negara.
Ads
“Politik ini tak semestinya perkara-perkara yang tidak baik sahaja seperti yang ramai perkatakan.
“Kalau kita lihat semula, bidang politik ini sangat mulia jasanya. Apa yang kita ada sekarang ini merupakan hasil tangan kerja orang politik.
“Mungkin disebabkan minat itu, Allah izinkan saya ceburi bidang politik. Saya masuk bertanding dan diizinkan menang.
“Ini bermakna Allah mahu memberikan saya tanggungjawab itu. In Sha Allah, doakan saya supaya mampu melakukan yang terbaik,” akhirinya.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Macam tak percaya, pada usia cecah 62 tahun, bakat anak seni bukan Melayu yang fasih Bahasa Melayu dan Kantonis, Susan Lankester terus diiktiraf di persada seni meskipun pada usia senja.
Aktres berwajah Pan Asia, Susan Lankester dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan hebatnya dalam filem Raintown di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2024 yang berlangsung di Singapura, pada Rabu.
Ini bukanlah kali pertama Susan memenangi trofi dalam anugerah berprestij sedemikian. Sebelum ini dia pernah merangkul trofi Pelakon Komedi Wanita Terbaik pada anugerah sama tiga tahun lepas menerusi drama Keluarga Baha Don.
Dilahirkan dengan nama Susan Anne Lankester pada 30 Jun 1962 di Johor Bahru, bakat anak seni bukan Melayu yang fasih Bahasa Melayu dan Kantonis ini terus diiktiraf di persada seni meskipun pada usia senja.
Sepanjang pembabitannya sebagai anak seni di Malaysia, Susan berjaya menjadi antara pelakon bukan Melayu yang mendapat tempat dalam kalangan peminat seni tanah air hingga ke hari ini.
“Orang putih ke, orang hitam ke, orang coklat ke, orang biru ke, kita semua orang Malaysia, kan?” Itulah dialog yang melonjakkan nama Susan Lankester menerusi filem pertamanya, Mekanik.
Kejayaan filem ini antara titik tolak populariti wanita berdarah Inggeris-Cina itu selain bergandingan dengan Allahyarham Azmil Mustapha dan diarahkan oleh Othman Hafsham pada tahun 1983.
Terbukti bakat yang dimiliki oleh wanita ini bukan bersandarkan rupa paras semata-mata apabila telah dinobatkan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-11 (1994) menerusi filem Femina.
Sehingga kini, Susan Lankaster masih aktif meneruskan kegiatan seninya. Bagi peminat yang merindui lakonan mantap wanita yang popular dengan drama siri komedi 2+1 ini boleh menyaksikan hasil karyanya menerusi drama rantaian Keluarga Bahadon.
Selain aktif sebagai pelakon filem, drama dan teater wanita yang fasih berbahasa Melayu ini pernah menghasilkan sebuah album yang bertajuk Takdir dan popular dengan lagu Antara Dua Zaman. Susan Lankester juga pernah berduet Allahyarham Tan Sri SM Salim menerusi lagu Dilema.
Sudahlah cantik, pandai pula jaga badan walaupun memiliki anak kembar. Mengikut pengalaman yang dikongsi oleh wanita cantik ini bukan mudah sebenarnya hendak menjaga anak kembar. Sudah tentu sang ibu kurang rehat dan mudah penat.
Wan Nur Shahirah Wan Mohamed Azman merupakan isteri kepada Afiq Amani, satu-satunya anak lelaki tunggal Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Puan Sri Rosniah Abdul Rahman. Tiga lagi anak Tan Sri Annuar Musa ialah Azzahraa, Azzwaa dan Ajjrina. Kesemuanya sudah berumahtangga.
Wan Nur Shahirah yang kini berusia 27 tahun merupakan seorang peguam korporat dan berasal dari Kota Bahru, Kelantan. Anak kembarnya yang comel itu diberi nama Samaira Amani Afiq Amani dan Sara Amani Afiq Amani kedua-duanya kini berusia 9 bulan.
KEKAL LANGSING & CANTIK “Saya yakin dengan cara sederhana dan konsisten, contohnya diet. Saya tak pernah amalkan diet kerana akan makan apa sahaja yang saya suka tetapi dengan cara sederhana. Kalau makanan itu manis saya makan sekadar untuk merasa. Paling penting berhenti sebelum terlalu kenyang.
Apabila menyentuh tentang bentuk badan ramai di luar sana yang menggunakan umur sebagai alasan. Bagi saya tua atau muda kita sentiasa digalakkan untuk bersenam atau sekurang-kurangnya berjalan di halaman rumah sekitar 15-20 minit secara konsisten.
Luangkan beberapa jam atau minit untuk memanjakan diri. Buat perkara yang menyeronokan seperti menari, brisk walking di dalam bilik, facial atau memasak menu kesukaan. Bila dalam keadaan gembira dan tidak stres, akan memudahkan kita dalam membuat keputusan. Remember that when you eat better you will feel better and you will look better.
PENGALAMAN HAMIL & BERSALIN Ketika dimaklumkan oleh doktor yang saya hamil anak kembar sejujurnya saya merasa sangat risau memandangkan kami baru sahaja memasuki alam perkahwinan. Tak sangka pula fasa parenting datangnya sangat cepat sehingga membuatkan saya cemas. Dalam pada itu saya tetap bersyukur dengan rezeki Allah SWT.
Sememangnya sebelah keluarga saya ada kembar iaitu makcik saya namun kedua-duanya telah meninggal dunia sejak bayi. Alhamdulillah sepanjang kehamilan saya tidak mengalami sebarang masalah yang teruk. Cuma saya sangat takut dengan suntikan. Pengalaman setiap kali kena suntik ketika check-up memang sangat ngeri bagi saya.
Momen sedih adalah ketika bersalin. Asalnya saya dijadualkan untuk kelahiran normal dengan cara induce. Namun setelah beberapa jam tiada progres, doktor pakar menasihatkan saya agar menjalani pembedahan caesarean (c-section) kerana bimbang dengan keselamatan kedua-dua bayi.
Memandangkan I was induced sejak pagi lagi, pada malam pembedahan tu kesan ubat bius saya semakin berkurang. Kebetulan semasa doktor cuba mengeluarkan bayi kedua saya dalam keadaan sedar. Waktu itu saya terasa badan seperti ‘dibelah’ dua. Akhirnya doktor terpaksa menambah dos ubat bius dengan segera.
CABARAN BERGELAR IBU Saya cuba yang terbaik untuk menguruskan kedua-duanya mengikut jadual yang sama iaitu waktu untuk makan, tidur, nap, playtime, dan lain lain. Saya juga cuba untuk memberikan perhatian sama rata terhadap mereka. Tak dinafikan mempunyai bayi kembar sangat memenatkan apatah lagi ini pengalaman pertama saya bergelar ibu.
Apabila seorang bayi tidur, yang seorang lagi akan bangun dan menangis. Jadi saya sentiasa berjaga untuk menyusu dan menguruskan mereka. Bila dua-duanya menangis saya rasa sangat sedih kerana tidak dapat dukung bagi memenangkannya. Ia benar-benar menyentuh jiwa saya sebagai ibu.
Sejak mempunyai anak saya sering berasa resah dan kurang rehat. Bila ada urusan di luar saya akan mudah risau dengan keadaan anak-anak di rumah, pengerakan pun jadi terhad. Jadi saya hanya akan keluar rumah bila perlu sahaja.
KAGUMI BAPA & IBU MERTUA Saya kagum dengan sikap mereka yang tidak mementingkan diri. Mereka sering meletakkan kepentingan orang lain sebelum diri mereka sendiri. Setiap hari Papa akan bertugas bermula pukul 7.30 pagi sehingga adakalanya sampai lewat malam. Namun begitu Papa gembira melaksanakan tugasnya membantu rakyat kerana ia memberikan satu kepuasan buat dirinya. Bagi saya, Papa adalah seroang pemimpin yang sangat berwibawa serta sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.
Manakala Mama adalah tulang belakang keluarga. Mama sentiasa memastikan segala keperluan serta makan minum anak-anak, menantu serta cucunya terjaga. Malah, Mama sendiri yang akan memasak dan menghidangkan makanan ke dalam pinggan untuk semua pembantu di rumah. Ini menunjukkan betapa penyayang dan merendah dirinya mereka.
Selalunya kalau dengan Mama, kami akan ada sesi bual pagi dan petang berbincang mengenai pelbagai topik antaranya tip-tip masakan, agama dan kesihatan. Walaupun umurnya sudah mencecah 62 tahun tetapi beliau masih kekal langsing dan cergas. Alhamdulillah!”
Kredit Foto: IG @wnshahirahazman @annuar.musa56
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak imigran dan tak selesai pengajian, kini Lucy Guo tersenarai sebagai antara wanita termuda dalam senarai America's Richest Self-Made Women pada usia 30 tahun!