Setiap pasangan suami isteri sudah pasti menempuh dugaan dan cabaran hidup berumah tangga. Kata orang, isteri diuji ketika suami ditimpa kesusahan manakala suami pula diuji ketika memiliki segala-galanya. Kesetiaan dan kejujuran dalam hubungan sangat penting bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga.
Ramai juga pasangan suami isteri diduga ketika pendemik COVID-19 ini. Nor Syuhada Ramli juga turut menerima ujian apabila suami tidak dapat bekerja. Ini kerana suaminya menerbangkan pesawat ke luar negara dan terpaksa dihentikan tugas bagi mematuhi arahan kerajaan untuk membantu memutuskan rantaian COVID-19.
Namun, benar kata orang selepas hujan mesti ada pelangi, begitu juga kehidupan selepas penderitaan pasti terselit kebahagiaan. Siapa sangka wanita kelahiran Melaka ini bergelar usahawan selepas menempuh pengalaman hidup yang tak pernah diduganya.
“Sejak melahirkan anak pertama saya buat keputusan untuk fokus dengan keluarga sebagai suri rumah sepenuh masa. Suami saya seorang juruterbang, dia juga menyokong saya untuk berhenti kerja kerana ketika itu jadual kerjanya terlalu padat dan selalu balik lewat serta overtime,” tutur Syu Ramli yang pernah bertugas sebagai ahli kimia sebelum berhenti kerja memulakan bicara.
DUGAAN
Namun, ujian datang apabila pandemik COVID-19 melanda dunia dan wanita yang berusia 33 tahun ini juga turut terkena tempiasnya. “Keadaan hidup saya berubah sejak COVID-19 melanda dunia. Seperti mana yang kita tahu ianya bermula pada bulan Mac 2020 sehingga negara kita terpaksa mengisytiharkan lockdown.
Sempadan negara ditutup jadi suami saya tidak dapat bekerja. Selagi sempadan tidak dibuka selagi itulah dia tak dapat bekerja semula,” ucap graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kimia Gunaan ini.
Pasangan suami isteri sama cantik sama padan ini juga tidak pernah menyangka situasi tersebut berpanjangan. “Pada mulanya kami beranggapan keadaan ini cuma seketika dan meneruskan hidup macam biasa. Kami tak risau dan cuba memanfaatkan masa terluang bersama-sama.
Tapi selepas beberapa minggu tu, rasa macam keadaan takkan kembali normal dalam masa terdekat. Tak lama dalam kerisauan kami tu, suami dapat berita yang dia diberikan cuti tanpa gaji sehingga sempadan luar negara dibuka semula.
Masa suami mula-mula beritahu berita ini, saya tak tau nak respon macam mana. Saya terkejut dan suami sudah pasti lebih terkejut. Saya tak tau nak bagi reaksi dan tak tahu ayat apa yang terbaik untuk menenangkan suami. Saya rasa apa-apa ayat pun pada ketika itu tak mampu menyedapkan hatinya,” tutur Syu Ramli atau nama sebenarnya Nor Syuhada Ramli.
Ads
DARI PILOT KE RIDER
Tambahnya lagi, “Keesokan harinya, kami sedar yang ini bukan pengakhiran. Kami perlu lakukan sesuatu supaya kami dapat menampung perbelanjaan keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup. Ketika itu, suami fokus nak cari duit lebih untuk keluarga. Jadi, suami buat macam-macam kerja, jadi delivery guy, bawa Grab, Lalamove dan despatch.
Foto: Koleksi Peribadi Syu Ramli
Saya ingat lagi, kali pertama suami ambil gambar payment pertama buat Lalamove. Dia ambil gambar duit RM10 dan mesej saya, “Gaji pertama I,”. Masa saya baca tu air mata saya turun mengalir. Masa tu saya rasa dua benda. Saya rasa kesian tapi pada masa yang sama saya bangga kerana walaupun kehidupan kami berubah 360 darjah tapi dia tak memilih kerja.
Kalau orang yang tak boleh relate, orang akan cakap. Kerja pilot apa yang susahnya. Takkan tak ada simpanan? Kami punya komitmen yang tinggi bak kata orang ‘besar periuk besarlah keraknya’.
Kalau kita tak duduk kat tempat orang tu sebenarnya kita takkan tahu apa yang betul-betul dia alami. Memanglah kami ada simpanan, tapi setinggi manapun gunung kalau asyik ditarah satu hari pasti akan menjadi rata. Betul tak?
Ketika itu juga, saya rasa saya perlu buat sesuatu untuk membantu suami. Selepas itu, saya mendapat ilham dan terciptanya sambal dengan jenama Wow Sambel, Sambal Goreng Daging Tumbuk Yang Pertama Di Malaysia.
Syu Ramli bersama keluarga mentua. Foto: Koleksi Peribadi Syu RamliFoto: Koleksi Peribadi Syu Ramli
Sambal ini merupakan ciptaan saya sendiri, ianya terhasil disebabkan minat memasak dan inginkan kelainan dengan sambal-sambal lain. Bermula dengan 1 jenis produk, Wow Sambel kini sudah ada 5 jenis produk dalam masa setahun, syukur alhamdulillah,” ungkap Syu Ramli penuh kesyukuran dengan pencapaiannya sekarang.
Syu Ramli bersama 11 finalis lain bakal menemui anda semua menerusi Rancangan Pencarian Nona Superwoman 2021, di ASTRO PRIMA bermula 22 September, setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona, diperkasakan oleh USANITA.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bakat seni turun-temurun, pada usia 14 tahun anak Lan Solo muncul juara tarian di Paris sekaligus harumkan nama negara!
Anak kepada penyanyi terkenal Lan Solo, Nur Amna Qaleesya, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara dalam kategori tarian kuartet di acara prestij ‘Etoiles De Paris’ UAE-England-France 2025, yang berlangsung di Paris.
Kejayaan luar biasa ini bukan sahaja membanggakan keluarga, malah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa malam tadi.
Lan Solo atau nama sebenarnya Muhammad Razlan Mohamed Yusof, meluahkan rasa bangga dan terharu dengan pencapaian anaknya. Beliau yang tidak menyangka anak perempuan tercinta mampu meraih kemenangan setinggi itu, mengakui Amna telah berjaya mengatasi pelbagai cabaran untuk sampai ke tahap ini.
“Saya tak pernah bayangkan dia akan sampai sejauh ini. Dia memang berbakat dan ini adalah hasil kerja keras dan komitmennya dalam dunia seni,” ujar Lan dengan penuh rasa bangga.
Sejak kecil, Lan telah memberi sokongan penuh terhadap minat Amna dalam seni tarian. Sebagai seorang bapa, beliau selalu berada di belakang anaknya, memastikan setiap langkah dan impian Amna mendapat perhatian sepenuhnya.
Amna yang sudah lama menunjukkan kecintaan terhadap dunia seni kini berjaya membuktikan bahawa impian dan usaha tidak akan pernah menghampakan, terutamanya apabila disokong dengan sepenuh hati oleh keluarga.
“Asalnya dia minat tarian moden dan K-Pop, jadi bila nampak minatnya ke arah itu saya rasa keputusan menghantarnya ke sekolah seni itu adalah tepat.”
Isteri kepada Lan Solo, Nur Sheila Hassim yang kini berada di Paris bersama anak mereka, turut meluahkan rasa syukur atas kejayaan luar biasa yang diraih pasukan tarian dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSEMKL).
Sheila yang turut menyaksikan kejayaan ini di Paris berkata Amna dan tiga lagi wakil dari SSEMKL berjaya menewaskan tujuh negara lain yang turut bertanding termasuk Ukraine, Indonesia, Kyrgyzstan, dan Armenia.
“Anak kami mewakili Malaysia dalam kategori tarian kuartet, dan alhamdulillah mereka berjaya menjadi juara. Lebih membanggakan, kemenangan ini membolehkan pasukan Malaysia meraih hadiah utama Grand Prix,” kata Sheila penuh teruja.
Kejayaan pasukan tarian Malaysia ini menjadi satu bukti kecemerlangan dan semangat juang yang tinggi di kalangan anak-anak muda kita.
Sebanyak 64 penyertaan dari pelbagai negara mengambil bahagian dalam acara tarian berprestij ini, namun Amna dan rakan-rakannya berjaya membuktikan kehebatan mereka. Kategori yang dipertandingkan melibatkan lapan negara termasuk Ukraine, Indonesia, Kyrgyzstan, dan Armenia, namun Amna dan pasukan tarian SSEMKL berjaya mengungguli semua cabaran yang diberikan.
Namanya dahulu pernah menjadi tular gara-gara video memangis ditinggalkan kekasih yang dimuat turun memberi impak cukup luar biasa pada dirinya. Namun, sebenarnya ia adalah gimik untuk pelancaran video lagu Pematah Hati milik bekas bintang Akademi Fantasia, Nur Nabila Mohd Razali.
Kini Nabila sudah tidak sendiri lagi, apabila telah menjadi suri hati kepada ahli perniagaan Nik Iruwan pada 18 November tahun lalu. Malah, penyanyi dan pelakon yang sememangnya bijak bergaya dan cukup stailo meski mengenakan hijab ini terlihat semakin manis sejak bergelar isteri dan ibu kepada seorang cahaya mata.
Nabila Pernah Alami Fasa Hati ‘Goyang’
Tapi siapa sangka sebelum ini, hatinya pernah ‘goyang’ ketika mula-mula berniat untuk berhijab.
Mengenang kembali tika pertama kali menyatakan hasrat berhijab pada 2012 yang lalu, Nabila akui cukup teruja. Namun bukan semudah itu untuk terus kekal menjaga aurahnya. Pelbagai rintangan perlu dilaluinya untuk menetapkan hati dalam menjaga penampian sebagai gadis Muslimah.
“Sejak tahun 2012, iaitu setahun sebelum saya menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia (AF). Itupun sempena Maal Hijrah pada tahun tersebut kerana pada pengamatan saya, rasa hormat rakan-rakan sekeliling amat berbeza antara kita berhijab dengan tidak.
“Sebelum berhijab, mereka terlalu senang untuk dekat dengan saya dan tidak terlalu menjaga batas pergaulan. Bermula pada detik itu, saya merasakan mahu buka buku baru. Terfikir juga sampai bila mahu berpenampilan tanpa hijab. Umur pula semakin meningkat. Walaupun masih belum sempurna, saya yakin ia merupakan satu langkah untuk mula menjadi manusia yang lebih baik.
“Rakan-rakan yang rapat dengan saya memang sudah lama menggalakkan saya untuk berhijab. Ada juga sindiran-sindiran manja daripada mereka. Apabila difikirkan semula, apa salahnya untuk saya menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslimah. Apa yang saya dapat lihat, cara mereka bergaul dengan saya juga agak berbeza daripada sebelumnya.
“Kadang-kadang ada juga terbawa-bawa perangai lama, namun mereka memberi teguran dan menasihati saya. Ibu dan ayah pula jenis tidak kisah tetapi mereka mengingatkan saya untuk terus istiqomah dan tidak hanya separuh jalan. Itu merupakan satu amanah untuk dijaga dan tiada alasan untuk toleh ke belakang semula. Selagi mana boleh dijaga, kita perlu jaga.
Akui Istiqamah Sukar Untuk Digapai
“Bagi saya, untuk kekal istiqamah adalah satu perkara yang amat sukar. Lebih-lebih lagi jika dikelilingi rakan-rakan yang ‘hot’, kadang-kadang hati akan goyang juga. Walau bagaimanapun, apa-apa dugaan yang mendatang ia sebenarnya berbalik kepada hati sendiri. Hati perlu kuat dan kena berbalik semula kepada niat kita untuk berhijab. Apabila memulakan langkah untuk berhijab, rasa malu terbit sedikit demi sedikit untuk meninggalkan amalan wajib yang lain.
“Sewaktu berada di Akademi Fantasia, rasa tergugat jugalah kena sentiasa berjaga-jaga dalam berpakaian dan bergaul. Dalam bab berfesyen, saya rasa sudah tiada masalah sekarang kerana sudah ramai pereka-pereka fesyen yang sudah mula menghasilkan busana-busana yang sesuai buat mereka yang berhijab. Walaupun berhijab, masih boleh mengikut trend.
Nabila yang kini semakin sibuk menjalani kehidupan sebagai wanita bekerjaya dan dalam masa sama menguruskan keluarga sebagai seorang isteri. Dia juga turut menyimpan harapan untuk menjadi insan lebih baik untuk dunia dan akhirat.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di TELEGRAM!
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Hijabista
Mengambil berkat malam hari Arafah, MUABELLAZ bersyukur anak ketiganya dilahirkan dengan selamat. Muhamad Ean Yusuf Bin Mohd Anuar mendapat perhatian daripada followers Muabellaz dan ramai yang memuji baby comel yang bertuah itu.
Kegembiraan menyambut orang baru dalam keluarga semestinya dinanti-nantikan oleh suami tersayang, Anuar Ahmad dan dua lagi anak-anaknya, Alisya dan Aidil.
Mengenali Muabellaz atau nama sebenarnya Nur Nabila Zulyadaini yang mempunyai 1.7 juta followers di Instagram, dia cukup rendah diri. Celotehnya ketika tutorial live di media sosial dalam loghat utara sangat menarik dan lucu.
“Saya belajar makeup hanya dari Youtube dan Instagram. Masa mula-mula dulu memang saya tak mampu untuk menghadiri kelas solekan kerana yurannya terlalu mahal. Saya bukan dari keluarga yang kaya jadi duit yang ada digunakan untuk perbelanjaan keluarga dan untuk up-grade barang solekan.
Solekan ini umpama satu kelebihan dalam skil. Untuk jadi pandai, kita perlu selalu praktikkan solekan dan itulah yang saya lakukan. Setiap kali saya terima bayaran dari klien, saya gunakan untuk beli barang-barang yang lebih baik. Sampai di rumah, saya akan berulang kali solek diri sendiri supaya skil itu semakin baik.
Saya memang minat sangat makeup. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan. Selepas itu saya mula buat video live di Facebook dan tutorial makeup dan dari situ orang mula mengenali saya. Lama-kelamaan, saya mengambil cabaran membuka kelas solekan agar lebih ramai lagi yang boleh belajar ilmu solekan dan pada masa sama, saya sendiri boleh belajar dari mereka dan mengasah skil sendiri,” ujarnya.
Mengimbau kembali setiap kesukaran hidup yang pernah dilalui, Bellaz hampir mengaku kalah dengan airmata. Hidupnya sukar dan tidak pernah langsung dia terfikir dapat keluar dari kemiskinan. Jiwa yang kental dan tanggungjawab yang dipikul membuatkan Bellaz sentiasa mencari ruang untuk cuba memperbaiki nasib keluarga.
“Ayah saya seorang nelayan, manakala ibu pula hanya seorang surirumah. Apabila ayah ‘masuk pulau’, hampir dua hingga tiga minggu juga kami ditinggalkan. Sebagai anak ketiga, saya rasa sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mencari rezeki untuk kami anak-beranak makan, biarpun hanya kais pagi makan pagi.
Kesenangan yang dikecapi Bellaz kini bukanlah hasil sebulan dua. Dia bekerja keras demi kelangsungan hidup dan untuk terus kekal relevan dalam industri demi untuk memberi kesenangan kepada keluarga. Macam tidak percaya apabila Bellaz akui adik-adiknya tidak tahu membuka pintu kereta kerana tak pernah naik kereta seumur hidup mereka.
“Sewaktu saya dan suami belum berkahwin, suami bercadang membawa saya dan adik-adik makan dengan menaiki kereta. Adik-adik saya tak tahu macam mana nak buka pintu kereta kerana kami tak pernah naik kereta! Bagi saya, makan sayur kailan dan minum Milo ais pun sudah cukup mewah.
Kalau tak cukup duit untuk makan, memang saya sendiri akan ke rumah jiran untuk pinjam duit. Kadang-kadang duit upah dari kelas ikan saya berikan kepada ibu kerana ibu dan adik-adik tak makan. Saya berlapar kerana kasihankan mereka. Saya sedar ramai lagi orang yang lebih susah dari saya tapi ini kisah hidup saya yang ingin kongsikan kepada semua,” cerita Bellaz.
“Saya tak pernah terfikir untuk mendapat rezeki besar macam ni dari Allah. Saya fikir, cukuplah kalau ada duit untuk makan, tak perlu kaya-raya. Tetapi ini pemberian Allah, jadi saya perlu buat sesuatu agar ia boleh dikongsi bersama orang lain.
Di kampung, memang ramai sangat orang yang susah, malah lebih susah dari saya dulu. Kalau saya dengar ada yang perlukan bantuan, saya akan ke rumah mereka dan lihat apa yang boleh dibantu. Begitu juga sekiranya mereka perlukan bantuan dari segi kemudahan infrastruktur.
Ada dua perkara yang saya pegang dalam diri iaitu sejahat mana sekalipun kita, jaga hubungan kita dengan Allah kerana Allah akan sentiasa bersama kita. Jangan pernah putus doa dan niat perlu betul. Dan bersedekah dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Dengan rezeki yang Allah beri, kita cuba bantu adik-beradik kita dan tolong orang yang memerlukan.” Katanya mengakhiri perbualan.
Kredit foto: Instagram Muabellaz
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!